Saturday, May 26, 2012

Good Practising Malay Vs Good Practising Muslim


Mengikut Perlembagaan Malaysia, Melayu memiliki ciri-ciri yang unik. Mereka bercakap Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan mereka beragama Islam. Apabila ada antara ciri tersebut tersisih maka dengan sendirinya manusia Melayu itu hilang kemelayuannya. Hilang segala hak istimewanya sebagaai Melayu. Malah anak lelaki Melayu ada bin di tengah nama lelakinya. Ada binti di tengah nama wanitanya. Keistimewaan yang tidak diberi kepada etnik lain di Malaysia. Tanda-tanda Melayu itu menjadi signifikan dalam banyak hal. Ianya terserlah dalam pendidikan. Dalam ekonomi. Dalam agama. Dalam pentadbiran. Dalam pemilikan harta.

Kerana itu dikatakan bahawa Melayu itu sinonim dengan Islam. Melayu dan Islam dilihat daripada nama, pakaian, makanan, ibadat dan amalan harian. Nama Melayu diambil dari nama-nama Rasul dan Nabi. Nama para sahabat. Nama tabi’in dan nama tabi’ tabi’in. Begitu juga nama-nama besar sarjana Islam. Maka nama seperti Adam, Idris, Nuh, Isa, Musa, Muhammad dan yang lain-lain biasa kepada nama Melayu lelaki. Juga Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Yang wanitanya mengambil nama-nama besar  isteri-isteri Rasulullah dan nama-nama lain seperti yang banyak diriwayatkan. Tidak hairan terdapat nama Hajar, Siti Sarah, Mariam, Kahadijah, Aisyah, Hafsah, dan ramai lagi. Nama ibu susuan Rasulullahpun sangat popular iaitu Halimahtul Saadiah.

Pakaian secara umumnya lebih mirip kepada Barat. Itulah pakaian kerja lelaki Melayu. Tetapi sangat biasa kita melihat lelaki Melayu berjubah, kopiah dan serban. Yang wanita pula berjubah juga, berjilbab, purdah dan memakai fesyen Arab. Makanan Melayu adalah makanan halal. Disembelih kerana Allah. Dengan nama Allah. Dihidangkan dengan konsep halal, bersih, suci dan toyyibah. Mereka diwajibkan menghindar yang haram, yang syubhah dan yang makruh.  Ibadahnya menyangkut rukun iman dan rukun Islam. Pada diri orang Melayu terdapat unsur akidah Islam, Ibadah Islam dan akhlak Islam. Ada kesempurnaan yang syumul. Yang kamil. Indah zahir dan batinnya. Begitulah amalan hariannya yang bersandarkan syariah. Menyahut tuntutan syariah. Memenuhi tuntutan agama. Mematuhi segala yang diperintah dan menjauhi segala yang dilarang.

Evolusi berlaku dalam sistem kehidupan orang Melayu Islam. Di luar sana didatangkan segala macam pengaruh Barat yang didalangi Yahudi. Mereka diasak dengan gangguan akidah (Faith). Disajikan banyak makanan yang meragukan status halalnya (Food). Banyak hiburan yang berupa hedonism menggila (Festival/Fiesta). Pakaian mereka dari yang menutup aurat menjadi terdedah, sendat dan menampakkan segala yang terlarang (Fashion). Akhirnya terjadi sesuatu yang asing dalam budaya Melayu Islam. Anak-anak remaja dan muda menuntut kebebasan (Freedom). Ini adalah lanjutan dari falsafah ekstensialism dan individualism. Ditambah pula dengan emansipasi wanita Barat.  Orang Melayu ramai kalah dalam hal ini. Dalam ekonomi pula kita selalu terpengaruh dengan sistem konvensional yang selalu pula menjebak riba’ (Finance). Sekarang ini sudah banyak diusahakan supaya terhapus sistem riba’ yang sudah merobek sistem kesejahteran ekonomi di Barat. 

Islam adalah agama. Mereka yang Islam memenuhi rukun Islam yang lima. Syahadah, solat, puasa, zakat dan menunaikan haji . Islam menekankan lima prinsip utama yang merangkumi agama (akidah), nyawa yang sangat berharga, harta yang halal, keturunan yang sah taraf dan maruah. Melayu dan Islam adalah dua entiti yang berbeza. Tidak semua  Melayu adalah Islam. Islam tidak dianuti oleh semua yang berketurunan Melayu. Melayu bukan hanya yang ada di Malaysia. Lihat ke Indonesia, New Zealand, Afrika Selatan, Sri Lanka, Madagaskar dan Surinam (Belanda) di Amerika Selatan. Orang Melayu sejarahnya bermula dari Yunan. Dalam Islam orang Melayu dari susur galur Yapith bin Noh. Anak Nabi Noh. Kita dalam kelompok Monggoloid. Kita berupa kacukan antara sawo matang dan bermata sepet. Hidung tidak mancung dan bertubuh agak kecil.

Orang Melayu di Malaysia yang tidak mangamalkan Islam dalam konteks Perlembagaan Malaysia bukan lagi Melayu. Tanpa mengamalkan adat resam mereka juga bukan Melayu. Maka yang tinggal ialah orang-orang berketurunan Melayu. Atau berdarah Melayu. Tetapi sifat-sifat Melayunya sudah terlalu banyak terhakis. Asakan hidup maju dan mewah banyak mendesak berubahnya paradigma Melayu. Ramai yang hilang punca menyeimbangkan keutamaan beragama. Keduanya tidak diharmonikan. Agama yang sepatutnya supreme tidak lagi berada di tempatnya. Kita lebih sekular. Terasing agama dari arus kehidupan. Lari dari konsep ad-din. Agama itu hidup dan kehidupan. Dalam banyak hal kita buang agama. Anak muda terlonta-lonta tiada arah yang ditunjukkan kepada mereka. Kegilaan kita lari dari agama semakin parah.

Siapakah yang lebih utama antara Melayu dan Islam? Allah hanya melihat mereka yang lebih baik taqwanya. Tiada pertimbangan tentang bangsa. Tentang keturunan. Tentang selain daripada taqwa.  Iman diikuti dengan Islam. Mereka diwajibkan berakhlak Islam. Maksudnya menjadi Islam adalah lebih utama dari menjadi Melayu. Kita bukan membincangkan tentang kehidupan di dunia. Kita hanya transit di dunia. Destinasi kita akhirat. Di akhirat tiada pengasingan bangsa. Tiada pengasingan keturunan. Tiada pengasingan warna kulit. Tiada dan tiada pengasingan dalam apa bentuk apapun. Yang berbeza tetap kembali kepada taqwa. Kerana itu memang kita berbangsa Melayu barangkali tetapi kepada Allah istilah Melayu itu tiada memberi apa-apa makna kecuali taqwanya.

Mungkin kita banyak bersasakan kepada keturunan, etnik dan bangsa. Namun itu hanya sebagai asas bertindak. Bukan matlamat. Menjadi Melayu hanya wacana. Hanya wahana. Platform untuk bergerak. Dalam berjemaah Melayu bukan penentu. Saf-saf yang diluruskan juga bukan kerana Melayu. Tinggi, rendah, jatuh dan  bangun kita bukan berasaskan Melayu. Jika kita kaji Al-Quran, terlalu banyak bangsa yang Allah hapuskan. Kaum Nabi Noh ditenggelamkan oleh banjir besar. Kaum Nabi Hud iaitu kaum ‘Ad Allah hapuskan dengan angin kencang yang kering dan sejuk. Allah timbus mereka di bawah timbunan pasir yang dipanggil al-Ahqaf. Tinggalannya ditemui di Selatan Yamen. Kaum  Thamud (Nabi Salleh) Allah hapuskan dengan satu pekikan yang menggempitakan. Ingat Firaun yang tenggelam di Laut Merah. Kaum Nabi Lut yang ditunggang terbalikkan bumi kediaman mereka. Begitu juga hapusnya kekuatan kaum Tartar. Empayar Rom. Empayar Farsi. Hapusnya kehidupan di Pompei, Itali. Barangkali kita masih terlalu ingat dengan jelas tentang hapusnya Banda Aceh ditelan tsunami. Manusia mati. Bangsa hapus. Namun agama Islam tetap mengikut landasannya sebagimana ditentukan Allah.

Sejarah manusia sudah terlalu panjang. Terlalu banyak bangsa yang telah Allah hapuskan. Melaluinya Allah gantikan pula dengan bangsa lain yang lebih baik. Proses itu bersilih ganti dari satu zaman ke zaman yang lain. Orang Barat yang kita katakan hebat sekarang ini sedang tenat ekonomi mereka. Greece sudah muflis. Iceland juga sudah muflis. Portugis, Sepanyol sedang mengikutinya. Amerika Syarikat sedang sesak nafas dengan hutang negaranya. Eropah juga sedang tenat. Hampir kesemua negara yang megamalkan sistem konvensional mengalami kepincangan ekonomi. Nampaknya sejak akhir-akhir ini negara-negara yang ada di Asia dilihat memiliki daya ketahanan yang lebih tinggi dari negara Barat. Penyelamat ekonomi nampaknya bukan lain melainkan sistem Islam.   Semua sistem buatan manusia tidak mungkin lebih baik dari yang dicipta Allah.

Di mana kedudukan Melayu dalam semua perspektif yang kita lihat. Yang kita amati. Yang kita sedari.  Sejarah telah memberikan bukti bahawa ramai manusia yang hebat tidak dilihat oleh dirinya. Tidak pada zamannya. Socrettes diketauhi kerana diberitakan oleh muridnya iaitu Plato. Orang dahulu diceritakan oleh orang terkemudian. Begitulah prosesnya. Mungkin kita boleh mengambil iktibar. Pakar bahasa Arab bukan orang Arab. Imam Bukhari bukan orang Arab. Maka kembalilah kita kepada Islam. Hanya itu yang akan kekal hingga ke akhirat. Yang lain kesemuanya tinggal di dunia. Jadilah good practising Muslim. Jadilah good practising Malay yang tidak melanggar syariat. Syariat menjadi perisai untuk menangkis asakan dan desakan yang menghakis kesucian agama. Kita tolak pluralism. Kita tolak liberalism. Islam bersifat adil dan mengambilkira semua aspek dengan saksama. Tanpa syariat segala-galanya hanya kebobrokan sahaja. 

Pilihlah sendiri. Hendak jadi Melayu atau hendak jadi Muslim. Pilihannya ialah dunia atau akhirat. Atau pilihan yang lebih baik iaitu dunia dan akhirat. Tepuk dada tanya iman.

Tuesday, May 22, 2012

Napoleon: Kecilnya Menggugat



Akhirnya saya menemui manusia bernama Napoleon. Dalam zaman yang berbeza. Dalam persekitaran yang berbeza. Pertemuan antara fizikal dan  jasad yang sudah tiada. Saya berdiri di sebelah patung lilin seorang manusia kecil. Kerdil mengikut standard orang Barat. Saya lebih tinggi daripadanya. Mungkin saya 8sm lebih tinggi daripadanya. Dalam tubuh kecil itu terserlah nama besar yang dikenang sejarahnya sepanjang zaman. Sejarah manusia Barat yang besar pengaruhnya. Yang merubah dunia. Bukan hanya sejarahnya sahaja. Malah kemanusiaan itu sendiri telah dirubahnya. Rupanya manusia bukan diukur dari saiznya. Bukan tinggi atau rendahnya. Bukan berat atau ringannya. Bukan besar atau kecilnya. Bukan usia tua dan mudanya. Manusia dikenang kerana impaknya. Impak positif yang lebih besar dari impak negatifnya. Manusia kecil yang bernama napoleon Bonaparte bukan orang besar. Bukan berdarah bangsawan. Bukan orang kaya. Tidak juga dikira sarjana. Namun tangannya menggugat dunia. Tindakannya menumbangkan suatu kerajaan mendahuluai zamannya. Daripadanya warisan dibina. Tamadun disebar. Manusia mengambil manfaat daripadanya. Siapa kata suatu revolusi tiada manfaatnya. Napoleon adalah buktinya. Masih ampuh hingga kini.

Napoleon menggerakkan hati manusia untuk memimpin suatu peristiwa yang belum ada sebelumnya. Ia menggemblingkan manusia Perancis menentang rajanya, Louis VI. Tumbang sebuah kerajaan beraja. Napoleon menjadi ikon sebuah revolusi. Maka berjajaranlah rentetan sejarah manusia. Hanya kerana seorang manusia kecil seperti Napoleon boleh merubah lanskap politik dunia. Sistem pentadbiran. Sebuah ideologi. Sistem pendidikan. Banyak sungguh impaknya. Firman Allah yang mafhumnya, yang lebih penting dilihat pada manusia ialah taqwanya. Saiz, keturunan, warna kulit dan lain-lain ciri bukan penentu. Dalam kes Napoleon yang membezakannya dengan mansuia lain ialah keupayaannya mencipta sesuatu yang baru. Yang belum pernah dilakukan orang. Yang belum ada saingannya. Ia mendahului zaman. Terkehadapan berbanding dengan orang lain. Ia berjaya. Hingga sekarang ia abadi dalam sejarah. Ia dikenang kerana terciptanya sistem demokrasi. Sistem metrik.

Dalam zamannya manusia tentu takut kepada pengaruhnya. Kemaraannya ke England tersekat kerana tentangan Lord Nelson yang mewakili raja England. Napoleon mara ke timur hingga ke Stalingrad di Russia. Salji dan frosbite yang menimpa askar-askarnya menggagalkan hasratnya menawan Russia. Negara besar Russia pernah kalah kepada Jepun dalam Sino-Japanese War. Seperti kegagalan Napoleon, Hitler juga gagal mengalahlan Russia kerana frosbite musim winter yang melanda askar-askarnya. Faktor Allah ju ayang menyelamatkan Russia. Namun begitu napoleon kembali ke Perancis membina negaranya. Ternyata semangat Perancis itu kental. Hingga sekarang ia menghebatkan dirinya. Dendamnya kepada British dan English masih berkekalan. Bercakaplah Inggeris dengan mereka. Maaf. Mereka pasti tidak melayan. Bukan sahaja di Perancis bahkan sewaktu saya di Canada dulu saya lalui pengalaman itu. Tidak dilayannya pertanyaan saya. Sapa saya tidak berjawab. Kata mereka yang ke Paris bercakaplah dalam bahasa Melayu nanti mereka sendiri yang meminta kita bercakap Inggeris. Sejarah dan suatu kebencian yang berpanjangan. Semangat sebuah bangsa yang merdeka dan berdaulat. Jati dirinya teguh. Entitinya pantang tercalar. Mereka pegang apa yang menjadi hak mereka. Warisan mereka. Sejarah mereka. Mereka tidak mengambil apa yang ada pada tangan orang lain sewenang-wenangnya. Mesti ada pertimbangan yang wajar. Kebijaksanaan yang memancar. Teringat saya tentan tulisan Jawi. Lara ia di Oxford Street, London. Warisan yang terbuang jauh.

Manusia seharunya mencipta sesuatu kejayaan dalam lingkungan keupayananya. Seorang lelaki sekurang-kurang hebat di mata isteri dan anak-anaknya.  Isteri hebat di mata dan hati suami dan anak-anaknya. Hebat di mata jiran-jiran. Di mata saudara mara. Di mata teman, taulan handai. Di mata masyarakat. Beruntunglah bagi yang mendapat peluang menjadi hebat di mata negara. Di mata bangsa. Di mata agama. Semua orang boleh menjadi hebat. Carilah. Kehebatan itu ada pada diri kita sendiri. Serlahkan tanpa malu yang tidak bertempat. Pancarkan dengan suluhan yang tanpa batas. Asah bakat itu dengan hati cekal. Biarlah hati itu untuk mengiringi bakti menyumbang kepada memberi yang terbaik untuk maslahah umum.  Ramai orang-orang yang menyumbang besar kepada persekitaran mereka. Diingat kerana memberi impak besar.

Sebenarnya setiap dari kita berbakat besar. Cumanya kita tidak boleh bandingkan diri kita dengan orang lain. Ada bidang yang sesuai dengan diri kita. Bakat-bakat itu diasah menjadi sesuatu yang besar. Bila waktunya sesuai akan ada menfaat yang dikongsi oleh orang lain. Tidak perlu untuk seramai mana sekalipun. Cukuplah untuk orang-orang yang tertentu. Berkongsikan apa yang kita ada membantu orang lain keluar dari kepompong masalah. Keluar dari sarung yang menghalang kejayaan. Lalu kita boleh membuka jalan untuk orang lain melalui susur kejayaan untui diri mereka. Seperti Napoleon, kejayaannya melakukan revolusi bukan untuk dirinya pun. Mungkin pada awalnya itulah yang mungkin dihasratkan. Ia menggelarkan dirinya raja. Tetapi akhirnya revolusi itu tidak menjanjikan kejayaan mutlak kepadanya.

Begitulah apabila sesuatu yang tinggi martabatnya perlu dijaga dengan rapi. Dari bawah kita selalu merangkak naik. Setapak demi setapak. Dari satu anak tangga kita naik hingga sampai di mercu tangga itu. Namun sesuatu yang di atas perlu dijaga dengan kerapian yang memanjang. Jika yang di bawah lambat naiknya lain pula bagi yang di atas. Jika jatuh terlalu pantas. Tiada akan ada penahan dan pengadang. Jatuh lepas melayang dan terhempas. Sakitnya juga terlalu. Sementelahan pula ditambah dengan rasa malu dan hina.  Begitulah yang terjadi kepada Napoleon. Rakusnya menggila tanpa batas. Namun semakin lama kudratnya semakin menurun. Keupayaannya semakin menipis. Nafsu besarnya untuk menguasai dunia terhalang. Akhirnya dia jatuh dan dijatuhkan. Dari seorang biasa yang tiada nama, dia mencipta kehebatan. Seorang raja gugur kerananya. Ramai yang gerun mendengar nemanya. Penentuan karma juga sudahnya. Ia ditahan, diadili dan dihukum  beberapa kali. Setiap kali hukumannya ke pulau di Laut Mediterranean. Akhirnya ia terdampar di pulau Elba. Riwayatnya tamat di situ. Namanya padam di situ.  Yang tinggal ialah kenangan sejarah revolusi Perancis. Revolusi awal yang menggegar dunia. Belum pernah dilakukan orang sebelumnya. Sistem demokrasi subur hingga sekarang. Sistem ukuran metrik hampir menghapus sistem British. Dinukilkan orang Able was I ere I saw Elba. Kata-kata hikmah seorang yang gagal. Itulah kata-katanya di hujung usia. Lemah dan tiada lagi pengharapan. Yang ada ialah lamunan maasa lalu yang sudah berlalu.

Sebab itu segala kejayaan atau usaha hendaklah selari dengan syariah. Tunduk kepada tuntutan agama. Mentarbiah manusia untuk kekal taat kepada Rabnya. Namun Napolen gagal dalam melestarikan kejayaannya. Tercampak ke pulau Elba yang mengenang sejarah dirinya. Di situ dia kembali kepada alam. Kembali bersendiri. Able was ere I saw Elba. Kata-kata hikmah ini sangat puitik. Jika dibaca terbalik bunyinya tetap sama. Ada irama yang sayu. Penuh dengan makna. Kegagahan dan kehebatannya bersandar pada kata-kata Able was I. Kegagalannya menyelubungi Elba. Di situ dia memulakan segala yang tidak pernah diimpikan. Dari istana dia turun ke pulau di tengah laut. Tiada hubungan dengan manusia lain.  Tiada siapa yang menghubunginya. Terpencil bak pulau Elba itu sendiri. Daratan terlalu jauh untuk direnang. Menjadi statik seperti pulau itu sendiri.



Tuesday, May 15, 2012

Trafalgar Square dan Beburung Merpati Yang Jinak-Jinak di Tangan


Andainya ada ruang di sini untuk memungkinkan merpati jinak di tangan. Dalam kesibikan manusia mengejar dunia meeka tidak melupakan alam dan persekitarannya. Berkongsi dengan penghuni alam yang lain. Mereka dijinakkan. Mereka menjinak kerana kebiasaan yang sangat biasa. berkongsi ruang yang sama.


Jinak-jinak merpati. Makan di tangan. Ditangkap jangan. Bukan larangan. Cuma sia-sia. Terlalu sukar menangkapnya. Di negara sendiri saya tidak ada kesempatan bersama merpati. Tiada tempat merpati bebas bermesra dengan manusia. Kita tidak memberi ruang untuknya. Ada yang membelanya tetapi bilangannya terlalu sedikit. Di luar negara banyak tempat untuk bersama merpati. Memberi makan apa yang ada. Ditabur dan diserak. Berkawan-kawan merpati itu datang. Datang dan datang. Warna yang berbagai tetapi tiada yang berwarna garang. Ada putih. Ada hitam. Ada biru. Ada cokelat. Mungkin campuran hijau. Ada yang berkombinasi antara warna-warna itu. Jinak-jinak belaka. Hinggap di kepala. Di lengan dan di bahu. Tidak ada yang takut. Bukan liar. Namun ditangkap sukar jua. Jinak-jinak merpati. Alangkah elok jika wanita begitu. Tentu tidak ramai yang dicemari tangan-tangan berdosa. Tetap suci. Tetap anggun. Tetap terpelihara. Terbangnya siang sahaja. Hinggapnya merata-rata tetapi sukar ditangkap orang. Bebas dan selalu bebas. Unggas tetap ke sarang bila datang malam.



Tiada kanak-kanak di Malaysia yang dibiasakan dengan burung. Semuanya seperti tabu. Anak keempat saya keliru dengan keadaan. Hanya burung yang jinak. Kanak-kanak Melayu yang selalu segan denga keadaan. Alhamdulillah besarnya berjaya sebagai wanita berkerjaya. Mencari tapak kejayaan dalam hidup.


Lama saya di situ. Hati saya terbang bersama burung-burung itu. Deramnya bergema kerana banyaknya. Kerana seronoknya makan percuma dari tangan-tangan manusia. Alangkah jika manusia diberi pilihan untuk menerima segalanya dengan percuma. Hanya perlu terbang dan hinggap. Makanan tersedia. Tetapi tidak. Manusia dengan futrahnya. Perlu berusaha. Mencari. Memadan dan mengukur kecukupannya. Belajar dan berkemahiran untuk kegunaan yang selari dengan kehendak. Akalnya digunapakai untuk mencari jalan terbaik bagi faedahnya dirinya. Di samping itu bertanggungjawab pula mengenai orang-orang, tumbuhan dan haiwan yang ada di sekelilingnya. Kitaran yang tidak boleh terputus. Yang mesti dilestarikan. Yang mesti diperpanjang. Yang mesti diperkasakan. Kesejagatan manusia yang mesti terpelihara.



Menara tinggi yang selalunya ada di kota-kota besar. Ada simbol Yahudi seperti yang selalu disebut. Nelson seorang wira. Tiangnya yang dipacak tinggi sebagai lambang kejayaannya. Itu yang dilihat secara fizikal. Pada psikologinya itulah keangkuhan bangsa yang mencacak egonya.


Trafalgar Square di tengah kesibukan kota London. Di tengahnya tertegak Nelson Column. Tiang yang disandarkan kepada Lord Nelson. Panglima perang British yang menewaskan Napoleon Bonaparte. Usaha Nepoleon menawan Britain gagal. Dua kali ia mencuba. Nelson mengalahkannya. Satu di Trafalgar dan keduanya di Waterloo. Napoleon yang gagah itu gagal. Kerana itu Nelson diabadikan jasanya. Trafalgar Square itu selalu mengingatkan sejarahnya. Tugunya juga ada di situ. Ingat merpati putih? Selalu dilambangkan kepada kemerdekaan. Kebebasan bernegara. Menjadi warganegara. Berdaulat. Dataran-dataran sepertinya banyak di barat. Trafalgar Square antara yang signifikan. Kawasannya luas. Di sekelilingnya berselirat jalanraya utama di London. Bunyi burung merpati dan deru engin kereta berselang-seli membising. Bunyi kereta yang membingit. Bunyi merpati yang serasi dengan alam. Kesejagatannya melampaui benua dan negara. Merpati tetap merpati.


Apalah seorang bapa. Anak-anaknya adalah permatanya. Pengalaman kebersamaan ini sukar dilupakan. Mereka merentas benua bersama saya. Alam luas yang terbentang sebagai pengalaman hidup. Seusia mereka banyak yang berbekas di hati. Selalu diingat lama. Singa di belakang saya adalah lambang kegagahan Britain walaupun pada dasarnya tiada singa yang hidup di britain. Kita semua tahu singa hanya ada di Afrika dan India. Mungkin lambang hanya lambang. Kekuatan dalaman sebuah kedaulatan.


Orang barat mengenang wira mereka. Ditunjukkan kepada generasai terkemudian dari mereka. Sejarahnya diabadikan. Tidak pula dimanipulasi. Bukan untuk ditokok tambah hingga bukan lagi hilang nilai sejarahnya. Dokumen mereka autentik. Dataran mereka real. Tugu mereka benar. Catatan-catatan mereka benar. Semuanya dibebaskan dari sandaran politik. Sejarah itu untuk iktibar. Untuk wawasan. Untuk merencanakan masa hadapan yang lebih wajar. Begitulah Trafalgar Square menjadi gah. Bukan Nelson wiranya. Medannya yang diabadikan. Wiranya hanya satu figura. Ia memenangkan negaranya. Akhirnya negara yang diberi keutamaan. Bukan wiranya. Tanggungjawab warganegara untuk menggemilangkan negaranya. Negaranya hanyalah tanahair dan hutan belantara. Gunung-ganang dan padang rumput. Warganya yang memanfaatkan segala sumber yang ada untuk maslahah manusia. Bukan untuk prutnya sendiri. Bukan untuk perut yang diketahuinya. Tetapi untuk sesiapa sahaja yang mahu. Yang menghendakinya. Yang memerlukannnya. Untuk sama-sama mencicip bahagian masing-masing mengikut kewajarannya.


Patung Nelson terlalu tinggi untuk dirakam bersama. Di ruang ini jauh sedikit dari pusat kesibukan burung merpati. Jinaknya tetap sama.


Sejarah Britain berwarna warni. Sejarahnya berperang dengan Perancis bukan hanya Napoleon dan Nelson sahaja. Lama sebelum itu kedua negara sentiasa tidak boleh bertentang mata. Banyak perang yang tidak decisive. Menang atau kalah di laut sahaja. Tanah jajahan tidak diperolehi. Namun impaknya besar. Walaupun Britain tidak menakluki Perancis ia berjaya menakluki sebahagian besar negara-negara di bumi ini. Seluruh Amerika Utara menjadi milik Britain. Begitu juga Afrika yang besar itu dijajahinya. Termasuk juga India dan Australia. Dalam kegagahannya itu Lord Nelson bukanlah individu yang disanjung tinggi melangit. Sebagai komander perang itu tanggungjawabnya. Menang atau kalah bergantung kepada strategi dan persekitarannya. Logistik memainkan peranan penting. Begitu juga latihan dan taktik berperang. Kelebihan itu yang dimiliki askar British. Dalam sejarahnya Perancis gagal menggugatnya. German gagal berbuat apa-apa. Yang gagal akhirnya ialah sistem hidup mereka. Falsafah meeka. Gaya hidup mereka. Sistem yang tidak ditebat dengan syariah selalu gagal. Sekarang mereka mencari alternatif. Ramai yang mengakui benarnya sistem Islam. Lestari dan benar sepanjang zaman. Itulah janji dan jaminan Allah.


Bangunan kukuh di belakang sana sudah ratusan tahun. Nampak daya tahannya dimamah zaman. Musim berganti dengan kitaran suhu dan panas sejuknya. Lambang tamadun yang utuh.


Kenapa merpati di Trafalgar Square tersangatlah jinaknya. Makan di tapak tangan sangat biasa kepada mereka. Manusia yang berada d situ bukan  untuk digeruni. Bahkan untuk dipaksa memberi makan.   Dijadikan sasaran untuk dihinggapi. Begitu dekatnya kita dengan makhluk-makhluk Allah yang lain. Kebiasaan menjadikan merpati-merpati itu menjinakkan diri. Tiada merpati yang disakiti. Tiada yang dizalimi. Tiada yang kelaparan. Masing-masing dilayan. Dimaniskan dengan kamanusiaan yang tiada batasan. Seumur hidup saya belum pernah mengalaminya. Merpati di Trafalgar Square itu menggamit saya untuk bersantai bersama mereka. Menerbangi angkasa London. Menghirup uradanya. Melintasi sejarahnya. Mengujakan diri untuk mengambil apa yang baik. Titipan pengajaran untuk anak cucu. Untuk genersai saya yang kemudian.


Pengunjung yang seorang ini sengaja melebihkan jinaknya burung merpati. Lihatlah. Merpati itu ada di bahagian atas badannya. Baik di kepala. Baik di bahunya. Di sekeliling kakinya bjuga berkerumun merpati itu mencari ruang untu mendekatinya. Rahsianya bukan apa-apa. Makanan yang sengaja ditabur di seluruh badannya.


Manusia yang bernama pelancong tidak henti mengunjungi square itu. Terasa aman berada di situ. Burung yang beribu-ribu banyaknya terlalu jinak untuk diajak bersama. Makannya yang terkedek-kedek. Jalannya yang berlenggok-lenggok. Patuknya yang tanpa henti. Kenyangnya entah bila. Tangan-tangan yang dihayun dan dipanjangkan menabur segala makanan yang enak bagi mereka. Boleh dibeli di sekeliling dataran itu. Dataran yang mengenang seorang wira menjadi produk pelancongan. Memberi impak ekonomi. Tempat orang mencari makan. Sesungguhnya yang namanya planet bumi ini asalnya kering kontang. Allah turunkan hujan. Basahlah bumi. Air meresap ke dalam mencambahkan biji benih yang Allah kirimkan ke bumi. Lalu tumbuhlah segala pokok. Yang besar dan yang renek. Yang mencakar langit dan yang menjalar di bumi. Yang dimakan buahnya dan yang dimakan daunnya. Lalu datanglah haiwan yang menjadi makanan dan tunggangan. Menyatu antara manusia dengan alam sekitarnya. Keharmonian yang Allah ciptakan untuk kelangsungan hidup manusia di bumi.





Di Trafalgar Square saya menemui tuntutan itu. Harmoni antara makhluk. Mensyukuri nikmat hidup. Memaklumi tanda-tanda kebesaran Allah. Dalam dunia yang semakin ke hujungnya ini apa lagi yang masih tinggal. Jika tidak kenal kebesaran Allah tiada lagi harapan untuk kembali kepadaNya dengan selamat. Realitinya kita bukan burung. Bukan merpati. Kita manusia yang tanggungjawabnya besar. Kesempurnaan tanggungjawab itu ditagih jawapannya di sana nanti. InsyaAllah kita mendokongnya.

Monday, May 14, 2012

Mengarak Panji-Panji di Buckingham Palace

Di Barat banyak hal yang tidak eksklusif. Hatta istana presiden atau raja menjadi tempat popular kunjungan awam. Jadi sebahagian dari industri pelancongan. Jadi produknya. Di USA orang boleh masuk melawat White House di Washington. Di London orang hanya boleh berada di luar istana Buckingham. Tempat semayam Queen Elizabeth II bersama suaminya Putera Philip. Dilihat dari luar tiada apa yang istimewa tentang istana ini. Biasalah bangunan lama yang tersergam. Kawasan sekelilingnya lapang dan luas. Saya tidak tahu dalamnya. Mungkin penuh dengan segala kemewahan sebuah keluarga DiRaja. Segala kemungkinan gambaran kekayaan. Keluarga DiRaja Britain itu kaya dengan segala harta yang mungkin. Kemampuan berharta bukan ada halangan. Hari itu saya dan keluarga teringin sangat melihat sesuatu yang selalu diperkatakan orang. Melihat keunikan pertukaran pengawal di hadapan istana Queen itu. Lazimnya disebut The Changing of the Guards.

Istana batu yang kelihatan dengan kesuraman batunya. Tiada warna di luarnya. Tidak begitu menarik jika dipandang lama. Empat musim setiap tahun tidak memungkinkan untuk dicat selalu. Maka yang diserikan ialah dalamnya. Hiasan dalaman yang benar-benar English. Royalty pula. Bagi orang Barat pengisian dan hiasan dalaman itu lebih penting. Luar hanya kulit sementara. Walaupun dihias tiada bertahan lama. Yang di dalam itu kekal lama. Berzaman boleh diabadikan. Kekuatan dalaman itulah yang memberi ketahanan diluarnya. Fizikal semata-mata tidak memberi jaminan ketahanan. Rohani yang utuh merentas berbagai kepayahan. Bak bangunan ini ia megah merentasi musim demi musim. Istana itu tetap gagah mengusik rasa.

Pertukaran sif  bertugas bukanlah sesuatu yang istimewa. Di mana-mana berlaku. Secara kecil atau secara besar. Tetapi kadang-kadang peristiwa kecil boleh menjadi sesuatu yang berimpak besar.  Menjadikan kunjungan sesuatu yang menyegarkan. Menyemat di qalbu. Apalah istimewanya pengawal-pengawal yang berbaris keluar dan yang berbaris masuk. Sesuatu yang lumrah di mana-mana. Bukan di Istana Buckingham sahaja. Namun di London pertukaran pengawal menjadi produk pelancongan yang sangat bernilai tinggi. Sesuatu yang dianggap must see. Kebanggaan orang British. English khususnya. Setiap hari beribu-ribu pelancong bersesak-sesak melihat, menonton, merakam menikmati sesuatu yang dilihat indah. Worth your money. Terasa rugi jika tidak melihatnya dengan mata kepala sendiri. Suasananya, persekitarannya, wajah-wajah yang berbagai rupa. Warna-warni pakaian yang berkemilauan di musim bunga. Wajah-wajah spring yang ceria keluar dari kesuraman winter beberapa bulan sebelumnya. Spring menjadikan suasana bergemerlapan. Di istana lama ini hanya untuk melihat pengawal-pengawal bertukar giliran kerja. Tradisi yang sudah tidak lagi dipamer di mana-mana. Ia jadi vintage. Mungkin antik.

Mereka di atas kuda. Berpelana. Pakaian tradisi pahlawan silam. Kuning DiRaja. Derap kaki kuda. Pergerakan yang sistematik. Kelembutan gerakannya memukau. Lenggok kuda yang menarik. Harmini antara manusia dan haiwan tunggangan yang ada sejak dahulu kala. Kebanyakan kuda dari negar Arab. Kuda yang berjenis Stallion sangat popular sebagai kuda yang tidak terbilang tan gkasnya. Teringat pahlawan Islam yang bernama Khalid. Ingat Salahuddin al-Ayubi yang mengalahkan King Richard. Kuda adalah antara penjana kemenangan dalam mana-mana perang zaman itu.



Berbaris dan beriringan. Rangkaian warna kuning. Kuda yang berbulu gelap. Tidak lekang mata memandang. Gagah dan perkasa. Derap kaki kuda ada masanya gempita. Mungkin siaga. Ada masanya mengancam bunyinya.

Dalam kehidupan ini kadang-kadang kita terlalu menantikan yang besar. Seolah-olah yang besar itu bulat datangnya bergolek. Dinanti yang pipih datangnya melayang. Kehidupan istana yang canggih tidak menghalang berlangsungnya sesuatu yang tradisi. Cebisan budaya lama yang dikekalkan. Yang dijadikan produk pelancongan. Queen hanya figure untuk upacara dan majlis rasmi-rasmian. Namun begitu kehadiran Queen memberikan impak ekonomi kepada Britain atau United Kingdom (UK). Terasa rugi tidak melihatnya. Kepada pelancong, pertukaran pengawal yang sangat tradisi bukan mudah untuk ditonton. Pengawal-pengawal yang lengkap dengan regalia mereka. Kostum lama yang digilap baru. Pakaian pengawal zaman silam yang dikekalkan. Yang dipamerkan untuk menghidupkan zaman lampau. Bayangan yang sudah lama berlalu. Mereka berbaju kuning, hitam dan putih. Warna-warna gagah kepahlawanan. Night of the Round Table. Orang lama seperti saya biasa dengan cerita-cerita itu.


Berpusu-pusu pelancong dari seluruh dunia. Berkerumun di sekitar istana. Tidak kelihatanpun Queen. Yang ada hanya budaya dan keindahan tamadun mereka. Maju jauh ke dadapan sekalipun mereka tidak meninggalkan yang lama. Malah makin disinari dengan gemerlapan untuk dikongsi bersama dengan seluruh warga dunia. Manusia ini sama sahaja. Mereka ingin melihat sesuatu yang tiada di tempat mereka. Yang mereka ada kadang-kadang tidak diberi nilai. Tidak diletakkan di tempat yang tinggi. Benar kata pepetah Melayu, kuman di seberang laut nampak besarnya. Gajah di hadapan mata silau tidak dilihat.


Saya seperti menonton filem-filem klasik. Teringat saya tentang Spartacus, Cleoptra, Robin Hood dan banyak lagi. Warna warni. Pakaian dari kain tebal dan mungkin dari bulu haiwan atau gentian tiruan. Pada musim sejuk menampan rasa mencucuk yang mendesah dari udara luar. Hangat di dalam balutan pakaian tebal.

Kita tidak ada kenderaan tradisi begini. Yang selalu diingat zaman nenek moyang kita hanya berjalan kaki. Berkaki ayam. Haiwan tunggangan tiada untukk memudahkan pergerakan. Mungkin gajah yang gagah. Tetapi lanskap dan terrain negara kita tidak memungkinkan haiwan seperti kuda, unta, keldai dan baghal. Pergerakan jadi lambat. Tamadun juga tidak dapat dibina dengan kewajaran yang ada. Cara berfikir jadi lambat. Segalanya banyak merangkak.



Lagi kehebatan pakaian mereka. Kostum lama. Topi mereka berbagai warna.

Ramainya askar beruniform merah. Seluar gelap berjalur merah. Lihat topi mereka. Hitam, tinggi dan menancap ke atas. Nampak berat. Tetapi mungkin ringan kerana dibuat dari bulu. Asli atau tiruan.


Punyalah segak mereka. Saya dan anak ketiga saya tumpang sebelah. Mereka tak kisahpun. Yang di kanan tu koperal. Yang berbaju hitam konstabal biasa. Polis mereka. Rezeki saya yang Allah anugerahkan. Jejak kaki di sana. Melihat rupa bangsa mereka dari dekat. Pengalaman sekali seumur hidup. Jadilah ubat dan penawar. Ingatan juga yang kekal. Mengimbau selalu.


Kuda hitam. Ingat lagu Juliza Adzlizan sewaktu pertandaingan akhir Bintang RTM yang disertainya pada tahun 1984. Aduh lamanya.


Aduhai. Dengan seperti berat di kepala masih berjalan dengan gagah. Demi negaranya. Topi itu tinggi tetapi bukan untyk meninggi diri. Dahipun tidak kelihatan. Mata sahaja yang pasti cerah kerana sentiasa waspada dalam semua keadaan.


Saya ke Amerika Syarikat, saya melihat kampung-kampung tradisi yang mereka bangunkan untyk menjadi bukti sejarah mereka. Bukan di muzium. Bahkan kampung sebenar dan orang kampung sebenar. Lengkap berpakaian tradisi. Peralatan tradisi. Gaya hidup tradisi. Begitu juga saya lihat di Canada.  Yang lama tidak semuanya dibuang. Kecuali yang mendatangkan mudarat. Walaupun dulunya da kesan negatif ianya disejarahkan. Untuk dilihat dan difahami oleh generasai yang akan datang silih berganti. Memaluinya warganegara belajar menghindar yang tidak baik. Memupuk yang bermanfaat. Tiada dahulu pasti tiada sekarang. Kita banyak belajar dari sejarah. Dari jatuh bangun orang-orang dahulu. Rugilah jika mengatakan sejarah semata-mata hanaya masa lampau yang sudah tiada. Untuk apa diingat. Namun kita tidak boleh membuat kesilapan yang sama berulang-ulang. Tidak belajar dari sejarah namanya. Tidak kira sekecil mana sekalipun sejarah ada manfaatnya untuk diri sendiri, keluarga dan untuk negara.

Tolong jangan buang yang lama. Tolong jangan buang yang tua. Ibarat kelapa, yang tua banyak santannya. Dari yang tua itulah biji benih dicambahkan. Kelangsungan suatu generasi. Kemusiaan yang selalu lestari. Dimantapkan mengikut tahap kekuatan minda, rohani dan psikologi warganya. Memahami modal insan yang perlu dibangunkan. Yang dirancang peranan dan tanggungjawabnya. Memikul amanah bangsanya untuk masa hadapan generasi selepasnya. Membina bangsa yang beragama tentulah lebih besar keutamaannya. Banyak bangsa yang pupus tetapi agama Allah berterusan. Jika ada bangsa yang tidak lagi mampu memikul amanah Allah maka Allah gantikan dnegan bangsa lain. Begitulah fitrahnya kehidupan di muka bumi yang fana ini. InsyaAllah kita tidak membuang yang tua. Yang lama. Banyak cerita di sebaliknya. Cerita lama yang tiada pada yang muda.


Saya simpulkan segala-galanya sebagai spectacular. Awsome. Yang lama dan tua jika digilap dan dilihat dengan mata kasih pasti masih menyinar. Masih mengujakan. Menjadi luar biasa.