Saturday, March 19, 2011

Mengapa Ada Jualan Gudang?



Sesebuah negara  yang sudah dikira bertamadun mencipta berbagai sistemnya sendiri. Sistem itu telah di selidiki. Telah diuji. Telah dibuktikan mantap untuk dilaksanakan. Yang penting ialah rakyatnya yakin dengan sistem itu. Mereka mendokongnya. Arif  tentang permasalahannya. Maka sistem itu berkembang maju dan menjadi ikutan atau ikon kepada negara lain. Kepada tamadun lain. Ramai yang selesa mengamalkannya. Di kira ada benarnya. Ada kebaikannya. Itu menjadi tamadun mereka. Menyerlah dan menjadi penanda aras kemajuan.

Sewaktu saya mengikuti Sarjana Muda Ekonomi dengan pengkhususan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Malaya dahulu, saya mempercayai apa yang dirujuk melalui pembacaan saya. Buku ekonomi, pemasaran, pengurusan dan berbagai lagi yang seperlunya. Pada ketika itu saya yakin bahawa semua yang saya baca adalah benar belaka. Saya terbang ke US dengan keyakinan itu. Di belakang minda saya maklumat yang saya ada seolah-olah saya mengetahui serba serbi tentang negara yang bakal  saya huni sementara itu. Yakin benar dengan apa yang ada. Sedikit rasa bangga. Mendahului masa. USA here I come.

Melihat sendiri secara live itu lebih jelas. Tiada filter yang menyaring pandangan kita. Saya boleh ulang pandang untuk meyakinkan pandangan. Untuk mengesahkan apa sebenarnya yang saya pandang. Memandang dari dekat tentu lebih jelas. Pandangan primer itu lebih meyakinkan berbanding dengan pandangan sekunder. Pandangan melalui orang lain. Persepsi manusia berbeza. Keutamaan pandangan juga berbeza. Terjemahan dan interpretasi juga berlainan. Walhasilnya ialah kita tidak boleh membina keyakinan hanya dengan menggunakan mata orang lain.  Mata kita juga yang akhirnya menentukan keyakinan yang kita perlukan. Dari mata juga yang akhirnya jatuh ke hati.

Banyak kejutan yang saya alami. Ada jualan gudang saban bulan. Ada jualan kilang. Ada pula konsep money back guarantee. Semuanya tidak ada di Malaysia. Di negara yang saya cintai ini. Kita ingin maju. Kita ingin membangun. Kita ingin menjadi juara. Kita ingin berada di depan.  Kita ingin mengungguli orang lain. Hakikatnya tidak dapat kita nafikan. Bayangkan dalam tiga perkara di atas kita tertinggal selama berpuluh tahun. Saya mengalaminya 26 tahun yang lalu. Bayangnya bahawa ia akan berada di negara tercinta ini belum nampak kelibatnya lagi. Itu baru sesuatu yang sangat simple sahaja. Kita belum bincangkan hal-hal yang sejagat bentuknya. Kita mesti bekerja lebih keras untuk menjayakan agenda ekonomi negara. Kita tidak boleh hanya bercakap. Tidak boleh hanya menunjukkan pelan tindakan. Kita ingin melihat hasilnya. Kehebatan ekonomi yang real. Bukan omongan.

Jualan gudang sudah saya ceritakan. Namun proses terjadinya masih belum termaklum. Hanya mereka yang berada di sana lebih mengetahuinya. Itupun jika mereka memerhati dan mepelajarinya. Gedung-gedung besar membina dasar dan strategi perniagaan  mereka. Saya dapati sistem yang mereka anuti serupa di mana-mana. Gedung-gedung ini mempunyai hubungan yang rapat dengan pembekal dan pada masa yang sama selalu mendekati pelanggan. Dekat dengan pelanggan. Consumers are sovereign. Kedua-dua pihak ini diberi keutamaan dalam konsep win-win. Barang-barang bekalan tidak dibeli apabila perlu. Sebaliknya suatu kontrak jangkapanjang ditandatangani. Pembekal mestilah menghantar consignment pada hari-hari yang tertentu. Mungkin pada minggu-minggu yang tertentu. Mungkin pada bulan-bulan yang tertentu. Semuanya bergantung kepada jenis barang. Barang mudah rosak – perishable – lebih kerap penghantarannya. Telur umpamanya dihantar seminggu sekali. Pakaian mungkin sebulan sekali. Pinggan mangkuk mungkin setiap suku tahun.

Setiap barang ada tarikh dan masa penghantaran. Perjanjian itu mesti dipatuhi. Jika tidak tentu sahaja pembekal dikenakan penalti. Sesuatu yang lumrah demi menjaga kelancaran bekalan. Kelancaran perniagaan. Kelancaran pusingan modal dan wang. Jika telur mesti dihantar pada pukul 2.00 hari Jumaat, maka pada waktu dan hari itu consignment telur mesti sampai. Ketika itu bekalan telur di gedung itu mungkin sudah habis beberapa jam yang lalu. Atau mungkin masih ada sedikit lagi. Ini bermakna bekalan telur tidak boleh terputus sama sekali. Kenapa?

Kita mungkin memandang remeh perkara tersebut.  Tanggungjawab peniaga ialah menyediakan bekalan terus kepada pengguna. Itu bukan hak peniaga. Itu adalah hak pengguna. Peniaga wujud untuk memenuhi keperluan pengguna. Bukan sebaliknya. Pada masa yang sama peniaga bertanggungjawab menyampaikan produk pembekal kepada pengguna. Itu hak pembekal. Bukan hak peniaga. Bila peniaga mengambil tanggungjawab itu maka peniaga tidak boleh mengundur dari melaksanakan tanggungjawabnya. Jika enggan peniaga itu hendaklah tinggalkan profesionnya. Berikan kepada orang lain.

Oleh kerana barang dihantar mengikut jadual maka pihak gedung perniagaan hendaklah menerimanya tanpa syarat. Bila sampai sahaja hendaklah dipunggah turun. Pihak gedung bertanggungjawab menyediakan ruang dan rak untuk menempatkan produk itu di dalam gedungnya. Apa berlaku jika bekalan yang terdahulu belum habis? Tentu sahaja tidak boleh dibuang. Jika dibiarkan di tempat atau di kaunternya, bagaimana dengan yang baru? Di sinilah letaknya inovasi perniagaan itu. Produk yang lama hendaklah dilepaskan dengan cara terhormat. Tidak boleh dibuang. Pembaziran namanya. Maka jualan gudang adalah jalannya. Boleh melepaskan barang lama dengan jumlah yang besar dan banyak. Saya pernah tulis dahulu bahawa Amerika adalah land of plenty. Barang-barang dikira murah berbanding dengan pendapatan purata rakyatnya. Seorang drebar bas mungkin mendapat USD2,500 sebulan atau USD30,000 setahun. Saya dapati ramai drebar bas adalah wanita. Tetapi USD2,500 itu hanya layak untuk wanita kulit hitam. Bagi wanita kulit putih pendapatan mereka melebihi tahap itu. Barang-barang dan bahan-bahan mentah dikira sangat murah. Barang-barang siap memang mahal. Upah mahal. Cukai  mahal. Service charge mahal.  Sales tax memang sudah lama dikenakan di sana.

Untuk mempastikan julan gudang itu berjaya, maklumannya diiklankan di surat khabar.  Ditampal di gedung perniagaan miliknya. Bas disediakan untuk membawa pembeli ke gudang. Mungkin sejam perjalanan jauh di luar bandar. Gudang itu mungkin seluas padang bola. Jenuh berjalan. Gudang itu besar kerana di sesuatu kawasan itu terdapat beberapa cawangan. Yang di tengah bandar mungkin ibu pejabatnya. Cawangan-cawangannya bertabur di mall-mall yang ada di mukim (county) itu.  Pembeli tidak pergi ke semua kawasan dalam gudang itu. Bukan semua kategori barang. Saya sendiri hanya pergi ke kawasan tuala mandi, alas meja, peralatan tidur, pinggan mangkuk dan sedikit yang lain-lain. Itupun  terpilih-pilih. Bajet sana bajet sini. Bila saya pandang orang putih terkejut saya. Untuk membeli tuala mereka mengangkut seluas kedua tangan mereka. Masukkan dalam troli. Pergi ke tempat yang agak lengang. Pilih mengikut warna, corak, jenis dan sebagainya. Selebihnya orang lain pula yang memilih. Sekali beli mungkin sepuluh. USD39 untuk sepuluh helai tuala tidak memberi bekas kepada pendapatan mereka.

Begitulah di negara yang penuh kemewahan. Kemewahan itu dilihat di mana-mana. Selaut mata memandang. Toleh ke manapun kita melihat kemewahan. Rumah mereka besar-besar. Kereta mereka besar-besar. Orangnya juga besar-besar. Allah memberi mereka rezeki yang melimpah ruah. Saya yang bertandang sekejap tempias dengan kemewahan  itu. Terasa benar nikmatnya.  Dengan biasiswa yang sedikit berbaki itu masih berkesempatan membeli itu dan ini. Alhamdulillah. Namun di sebalik kemewahan itu ada juga suara-suara yang tidak senang. Nantikan ulasannya. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment