Thursday, September 15, 2011

Bapa Burik Yang Anaknya Tidak Rintik


Orang-orang dahulu mungkin benar. Bapa burik anaknya rintik. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa sangat dipatuhi anak-anak. Hati anak-anak bersih. Hatinya basah dengan doa ibu bapa. Tidak pernah kering dan kaku. Beku. Kata ibu adalah perintah. Kata bapa adalah noktah. Bukan bermakna ibu dan bapa menjadi autoktarik hingga pendapatnya tidak boleh disanggah. Kebijaksanaan ibu bapa yang penuh pengalaman menjanjikan banyak kesejahteraan kepada anak-anak. Jodoh pertemuan ditentukan oleh ibu bapa. Ibu paling kritis memilih menantu. Tentunya yang pandai berkemas rumah. Dapur dan bilik. Pandai memasak. Masin, masam dan manisnya mencukupi rasa. Kain baju dijahit sendiri. Kelimannya rapi. Jahitannya halus menawan. Tutur katanya lemah lembut. Menawan telinga yang mendengar. Jalannya lembut tidak didengar bunyi. Lambang isteri yang patuh taat kepada suami. Wanita solehah yang dijanjikan syurga.

Anak lelaki gagah usaha. Sejak kecil pandai diajar untuk menangani hidup. Survivalnya tinggi. Usia muda menjadi dewasa dengan pengalaman hidup berdikari. Makan minum berbudi dengan tanah. Rumah dari kayu yang dibalak sendiri dengan kudrat tenaga yang ada. Berumahtangga pandai mengatur hidup selesa. Anak-anak dididik untuk hidup bersederhana. Ilmu agama pasti menjadi teras hidup beragama. Islam sentiasa di hati, di telinga, di mata dan dalam minda. Orang kampung kesepakatannya bersepadu. Gotong royongnya melebihi keperluan. Semua ahli menyumbang untuk mensejahterakan sesama mereka. Itulah lelaki dahulu. Itulah wanita dahulu. Hidupnya sangat simple. Terhindar semua yang menggoda. Bebas dari melakukan yang tidak wajar. Segalanya berkecukupan. Bahagia dalam alam sekitar yang sentiasa damai.

Era zaman ini sudah berubah. Acuan keluarga bukan lagi penentu. Kadang-kadang ibu bapa tidak dapat menjangka apa yang akan ada. Bapa tidak lagi merintikkan anak. Warna-warna bapa tidak lagi diturunkan kepada anak. Warisan hanya DNA sahaja yang ada. Rupa paras mungkin serupa. Pemikiran mungkin ada iras-irasnya. Tetapi tingkah laku bukan lagi ditentukan oleh ibu bapa. Persekitaran memainkan peranan gila mencorakkan anak-anak hingga tiada lagi mirip keluarga. Acuan yang tersedia sudah tiada lagi gunanya. Media menutup segala peranan ibu bapa. Orang-orang tua durjana di luar sana merosakkan benih dan bibit anak bangsa. Mereka mempunah dan memusnahkan semua yang dibina. Menjengah keluarga bukan lagi menentukan warisan mereka diturunkan kepada anak-anak. Kuih bukan lagi mengikut acuannya. Anak-anak bukan lagi dibentuk oleh ibu  bapa.

Memilih pasangan selalu dirujuk bangsanya. Ibu bapanya. Keturunannya. Anak cucunya. Penyakitnya. Tingkah lakunya. Nasab keturunannya. Sah taraf atau tidaknya. Mungkin itu dahulu. Mungkin itu sewaktu segala-galanya mengikut acuan. Sekarang tidak lagi. Terlalu banyak yang berubah dan diubah. Anak-anak bukan lagi duduk di bawah ketiak ibu dan bapa. Boleh lagi ditunjuk arah. Dunia di luar sana terlalu menggamit anak-anak ke alam yang jauh berubah. Ibu bapa hanya mampu melahirkan. Membesarkan seketika. Waktu kritikal inilah yang menentukan fitrah tingkah laku anak-anak. Jika gagal kawalan peringkat awal ini pasti anak-anak meliar seolah-olahnya di luar sana segala-galanya. Malangnya mereka tidak cukup bekal untuk melawan anjakan-anjakan durjana segala macam kemaksiatan yang di depan mata. Ramai yang kecundang. Terlalu ramai yang roboh benteng imannya. Yang lemas dalam asakannya. Yang hancur kerananya.

Bapa burik hanya peribahasa lama yang benar pada zamannya. Orang sekarang gagal memanfaatkan falsafah hidup orang-orang dahulu. Mereka merasakan yang dahulu hanya retorik masa. Mereka membina falsafah baru yang kacau. Yang tidak pernah terbukti benar. Tidak teruji. Mereka hanya teruja dengan momokan gila yang dilihat seperti benar. Lagilah anak-anak teknologi yang melihat benar apa yang maujud. Sayangnya yang maujud itu hanya bayang-bayang jauh yang diluar jangkauan. Mereka di dunia lain yang entah dimensi ke kerapa. Segalanya menjadi tidak bertapak di bumi nyata. Di bumi Islam. Di Bumi agama. Sudah lama anak-anak teknologi mengnyahkan adat. Resamnya sudah tiada. Sopannya sudah terbang. Santunnya sudah terbuang. Mereka gila dengan teknologi yang lebih banyak maya. Dikawal oleh sesuatu yang bukan fitrah.

Ibu bapa sekarang lemas dalam cahaya. Mereka nampak kecacatan masa dan ruang. Tetapi mereka banyak tertinggal dari segi paradigma. Mereka tertinggal jauh dari arus perdana. Yang mereka nampak hanyalah bahagian kecil dari cebisan ketidak selarian hidup dahulu dan sekarang. Hendak mengikut arus tidak terdaya.  Tidak mengikut arus bermakna tertinggal antara jurang masa. Akhirnya ibu bapa terkapai-kapai antara percaya dengan tidak. Anak-anak mereka menjadi bebanan yang tidak terhingga melukakan hati. Di luar sana tiada siapa yang peka. Hidup ini seolah-olah tiada matlamatnya. Tiada destinasinya. Jauh dari wawasan. Jauh dari visi. Jauh dari hal-hal yang meyakinkan positifnya. Yang selalu dikejar ialah umpan dunia yang tidak ada sudahnya. Dikejar semakin menjauh. Dipegang tiada.

Bapa burik yang baik tidak berupaya lagi untuk semestinya melahirkan anak-anak yang cukup rintiknya. Hanya cebisan rintik yang terlalu kecil sahaja yang ada. Yang menjadi. Terlalu banyak cacat celanya. Amat mengecewakan. Harapan yang tinggal harapan. Warisan keluarga mungkin hanya pada paras rupa. Mungkin hanya pada pigmen kulit. Hanya pada hidung dan mata. Dagu dan kening. Tinggi dan timbangan berat. Yang lainnya terserah kepada persekitaran yang sukar dikawal. Anak-anak banyak di luar dari di rumah. Banyak bersama kawan dari adik beradik. Kita tidak tahu siapa rakan taulan mereka. Jenis apa mereka semua. Sekali mereka terlepas seluruh hidup kita menyesali apa yang telah tersilap segala-galanya. Kawalan itu sepatutnya dari mula. Dari rebung yang sangat lembut. Itupun jika kita tahu dan kenal rebung. Tahu cara melenturnya. Tahu untuk apa dilentur.

Nothing can be taken for granted. Nothing is simple. Semuanya mesti dilihat dengan mata kasar dan mata hati. Ibu bapa mesti menyediakan lorong-lorong yang boleh dipilih secara positif. Terowong gelap tanpa cahaya mestilah dielakkan kerana di dalamnya banyak perangkap maut.  Perangkap membinasakan. Yang susahnya ialah ibu bapa juga yang akhirnya menanggung kesemua kesilapan dan kekhilapan aanak-anak. Kembali kepada bangsa. Keturunan. Keluarga. Sebab itu tanggungjawab menjadi ibu dan bapa tidak pernah ada hentinya. Check and balancenya ada sepanjang usia. Anak-anak tetap amanah hingga roh tiada. Malah nanti di alam barzah kita masih ditanya. Di akhirat masih ditanya. Bagaimanakah didikan kita terhadap anak-anak. Bagi yang masih muda ambillah iktibar. Mungkin masih ada harapan untuk membina anak-anak yang menjadi soleh dan solehah. Semuanya ada di tangan kita. Pohonlah kepada Allah agar anak-anak kita menjadi yang terbaik. Menjadi imam dalam kategorinya. Dalam lingkungannya. Dalam zamannya.

Dunia sudah semakin sempit. Semakin pendek. Putarannya semakin laju. Kitarannya juga laju. Jika tidak berpijak dengan asas agama dan Islam yang kukuh maka kita akan terpelanting jauh terawang-awanng tanpa berjejak di bumi nyata. Khayal dan kemabukan semata-mata. Ya Allah! Selamatkanlah diriku dan diri keluargaku. Hidupkanlah kami dalam Islam dan matikan kami dalam Islam. Hanya kepadaMu juga kami mohon keampunan dan pertolongan. Sesungguhnya Kaulah Yang Amat Memberi Keampunan. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

2 comments:

  1. Cikgu, entri kali ni membawa maksud yang dalam. Akan saya jadikan pedoman, dalam menghadapi kehidupan mendatang. Agar bapa burik anak rintik, bukan sekadar peribahasa sahaja. InsyaAllah.

    Semoga Cikgu dan keluarga sentiasa sejahtera dalam rahmat kasih Ilahi.

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah. memang begitu yang dihajatkan. mudah-mudahan bahasa yang saya gunakan sampai maksudnya.

    ReplyDelete