Pelajar-pelajar di luar negara datang dalam waktu yang berlainan. Ada yang awal dan ada yang lewat. Kadang-kadang berselisih semester. Ada masanya sewaktu hendak pulang seorang sahabat baru sahaja sampai. Walau bagaimanapun kebersamaan yang kadang-kadang hanya sebentar itu sangat indah pula bila dikenang. Di tanahair bertahun-tahun tidak berjumpa. Di tempat orang bertemu. Di kampung orang dapat bersama. Begituah adat hidup. Bukankah bertemu dan berpisah adat manusia biasa? Tetapi bertemu dan berpisah di tempat orang berlainan dari kebiasaan. Kelainannya banyak. Bila ingatan saya menerawang ke saat-saat itu ada rasa sayu juga rupanya.
Ada agenda tersendiri bagi rakan-rakan yang pulang ke tanahair. Berminggu-minggu lamanya ada agenda dari teman-teman rapat. Malam yang berlainan rakan itu dijemput untuk makan malam bersama keluarganya. Adat ke? Bukan. Bayangkan. Bila ada teman hendak berangkat pulang tentu dia sudah penat berkemas. Banyak barang yang dibawa pulang. Bukan banyak duit. Semua barang yang dibeli telah saya ceritakan dahulu. Membeli sewaktu diskaunnya menjunam hingga 80% atau mungkin 90%. Barang-barangnya tetap class. Saya kira tidak ada yang tidak membeli Correlle atau Corning. Kebangaan Amerika. Semasa tawaran murah kami membelinya seberapa yang mungkin. Untuk sendiri. Ada juga untuk hadiah adik beradik. Alhamdulillah sesudah 26 tahun saya masih menggunakannya hingga sekarang. Masih cantik. Masih sayang. Masih memancar kilauannya. Saya rajin membasuhnya. Saya gilap. Tentang menyusun kembali isteri saya yang lebih arif. Letak dan susunsturnya dia yang arif.
Keluarga yang hendak kembali terlalu penat berkemas. Tenaganya habis. Rakan-rakan yang lain memberi timbang rasa. Membantu meringankan bebannya. Waktu siang dia mungkin makan ala kadar. Waktu malam teman-teman yang lain menyediakan hidangan. Lagipun lazimnya pinggan mangkunnya sudah dibungkus. Periuk belanga sudah dalam kotak. Sudu garpu tentu sudah diselit di celah-celah kotak. Menunggu masa hendak dihantar ke forwarding agent. InsyaAllah dari pintu ke pintu servisnya. Tunggu sahaja kira-kira tiga bulan. Pasti sampai dalam keadaan intact. Good as new. Itu kerja forwarding. Kepastian bahawa barang yang dihantar selamat dari kerosakan semasa diangkut. Masanhya pula amat lama. Jenuh juga menunggunya.
Maksudnya bagi rakan-rakan yang akan pulang ada peluang untuk mencuba berbagai resepi. Dari rumah ke rumah ada hidangan yang berlainan. Al-maklumlah pelajar datang dari berbagai negeri. Kari Kelantan tentu berbeza dengan kari Pulau Pinang. Penangan mamak. Kari Johor lain pula. Ada kaitan dengan orang Jawa. Cerita gulaipun berlainan. Gulai Negeri Sembilan tentu ada cili api. Gulai Perak mungkin ada tempoyak. Gulai Johor santan kosong sahaja. Satu lagi gulai Negeri semblan yang saya ingat ialah gulai santan yang bercampur lada kering. Jika pekatnya menjadi adoi! Menjilat jari. Menambah pinggan bila makan. Susah hendak disuruh berhenti. Selera menjadi-jadi. Ketika itu muda-muda belaka. Tidak pernah patah selera. Semuanya sedap belaka.
Kadang-kadang hendak gelakpun ada. Jika ke rumah anak-anak muda ala kadar sahaja hidangannya tetapi meriah. Jangan terkejut anak-anak muda yang lelaki galak juga menjamu pelajar-pelajar yang yang hendak pulang ke Malaysia. Yang dijamu sudah berkeljuarga. Isteri masing-masing pakar masak belaka. Sekurang-kurangnya untuk memenuhi selera suami masing-masing. Ada masanya masakan mereka anak-anak yang muda belia sedap juag dirasa. Kalah calang-calang anak dara yang ada. Bila mendapat jamuan begitu memang kenyang sekenyangnya. Hatipun senang kerana terlepas dari seksa membeli makanan yang sukar memenuhi selera. Mungkin akhirnya sandwich juga yang dimakan. Atau roti. Boleh disapu butter atau majerin. Atau apa sahaja yang halal. Ada masanya sapu dengan aiskrimpun jadi. Sedap dimakan. Cicah air kopi atau teh memang biasa.
Tidak dilupakan ialah hadiah. Cenderamata. Beli apa sahaja yang made in USA boleh dijadikan hadiah. Terlalu banyak pilihannya di sana. Namun begitu kena hati-hati juga. Ada masanya terbeli juga barang yang bukan buatan USA. Seorang teman hendak pulang ke Malaysia. Dia membeli sebuah jam dinding untuk ibu bapanya. Semasa hendak dimasukkan ke dalam kotak terpegun dia sebentar. Sewaktu membelek-membelek jam itu baru terperasan bahawa jam itu buatan Malaysia. Tetapi oleh kerana tidak pernah terlintas bahawa ada kilang membuat jam di Malaysia dibawa juga jam itu. Itulah dasar ekonomi. Ada kilang yang semata-mata untuk eksport. Tiada barangnya dalam pasaran tempatan. Hairankan? Di luar negara kita menemui berbagai barang buatan Malaysia yang tidak terdapat di sini. Semata-mata untuk eksport.
Sewaktu rakan-rakan hendak berangkat pulang berhimpulah teman-teman yang lain. Penuh persekitaran dengan himpunan teman taulan. Ada yang membantu mengisi barang ke dalam kereta. Ada yang bersembang. Sampai masanya masuk ke dalam kereta mulalah datang kesayuan yang mendalam. Rasa sedih yang menyilang. Berpisah juga rupanya. Bersama hanya sementara. Hidup mesti diteruskan. Banyak agenda hidup yang perlu disempurnakan. Agenda negara. Agenda keluarga. Agenda peribadi. Yang pastinaya masing-masing mengejar cita-cita. Membina kerjaya. Menyempurnakan tugasan-tugasan yang diperuntukkan. Datang kerana tugas negara. Pulang juga ke pengkuan negara. Jasa yang selalu ditagih. Bakti yang selalu diminta.
Mengalirlah air mata di pipi. Jatuhlah setitik dua di bumi orang. Di negara yang pernah dihuni. Di situ pernah bermain. Pernah bersama. Pernah menyaksikan keindahannya. Putaran musim yang selalu mengimbau-imbau. Musim dingin dengan salji yang memutih bak kapas. Gebu dan mengeras. Musim bunga yang meriah. Mewangi dan riuh dengan kicauan beburung. Yang membungakan hati-hati yang lara. Simbol pertemuan dua hati yang jatuh merasa cinta. Lalu datangnya kehijauan musim panas. Buah yang ranum dan masak. Nikmat musim panas yang mengenyangkan. Disimpan sebagai bekalan untuk musim-musiam yang mendatang. Berakhir musim dengan luruhnya dedaun. Kehijauan musim panas hanya seketika. Datang musimnya menguningkan daun. Bertukar pula menjadi jingga dan merah. Melerailah hati-hati yang hiba. Gugurlah dedaun. Melarah di perdunya. Seperti itulah musim luruh tiba bila ada teman yang kembali ke tanahair. Luruh hati bersamanya. Menitis airmata sayu dan sedih.
Peluk cium bukan lagi asing. Kehangatan berkawan sementara. Yang sekejap adanya. Turut sama mengharungi kehidupan yang asing di negara yang berlainan dari negara sendiri. Belajar menangkap budaya. Belajar mengisi masa. Belajar menemui hati masing-masing. Hampir semua orang terlibat dengan susah dan senang. Saling membantu antara satu sama lain. Mana mungkin hal-hal seperti itu dilupakan. Cuma bila sudah kembali ke tanahair masing-masing sibuk dengan diri dan kerjaya masing-masing. Tinggalnyapun entah di mana. Ada kebetulan-kebetulan yang menemukan antara sesama sendiri. Barulah dapat bertanya khabar. Yang ada hilang begitu sahaja. Beritanya memang terus tidak ada. Terus sunyi dan sepi.
Bila kereta bergerak ke lapanganterbang kebanyakannya hanya mampu menoleh ke belakang. Hanya lambaian-lambaian lemah. Diangkat di sana, diangkat di sini. Lalu menyeka air mata. Derasnya bak air terjun. Tinggallah Oakland. Tinggallah University of Pittsburgh. Tinggallah Schenley Park. Tingallah Cathedral of Learning. Tinggallah Fifth Avenue. Tinggallah Rite Aid. Tinggallah Monroville. Tinggallah Point Park. Tinggallah Pittsburgh. Hanya cantiknya diingat. Hanya indahnya dikenang. Hanya sibuknya dalam minda yang terang. Bermain di mata. Berlegar di kepala. Waktu bukan pemisah. Yang terpahat kuat kekal abadi terkenang selalu. Tempat bermain. Tempat belajar. Tempat mencipta kemanusiaan. Tempat mengatur langkah-langkah ke hadapan untuk membina harapan.
Luncuran kereta ke lapanganterbang memakan masa setengah jam. Jauh juga. Standardnya jangkawaktu selama itu ialah 30 batu. Atau 48 km. Bungkam perjalanan sejauh itu. Layanan perasaan yang entah di mana. Antara Pittsburgh dan Malaysia. Kampung halaman yang dulu jauh di mata. Yang sekarang semakin hampir tibanya. Esok tentu kaki menjejak bumi Malaysia. Bumi tercinta. Akan dipijak tanah tumpah darah. Akan dilangkah kaki yang dulunya telah terbang di awan biru. Yang telah merentas benua dan lautan biru. Yang melayang jauh untuk tetap rindu. Tetap sayu kerana yang ditinggalkan jauh lebih rindunya. Nantilah emak. Nantilah abah. Nantilah abang dan kakak. Nantilah. Kita pasti bertemu jua. InsyaAllah.
Saat-saat terakhir bersama cukup singkat. Mungkin paling lama sejam dua. Cuma di US kita boleh duduk di tempat menunggu yang hampir dengan pintu memasuki kapalterbang. Tidak terlalu jauh seperti kita di Malaysia. Di KLIA tempat menghnatar dan tempat berlepas terlalu jauh. Bila berjalan ke balai berlepas terpisahlah jadinya. Di sana bila hendak masuk ke kapalterbang baru terpisah. Tidaklah terasa sangat kesayuannya. Berakhirlah suatu episod kehadiran sesama pelajar. Datang dan pulang adalah hal sendiri-sendiri. Hanya kebetulan datang bersama dan pulang bersama. Mungkin itu ketentuan Allah. Masing-masing diberi pengalaman tersendiri. Untuk diambil iktibar. Memaklumi kebesaran Allah yang ada di mana-mana. Memberi keinsafan yang menusuk qalbu. Subhanallah. Allahuakbar.
No comments:
Post a Comment