Wednesday, April 27, 2011

Bekalan Hidup Dari Rumah

Bahasa menunjukkan bangsa. Seseorang individu dinilai tentang masa lampaunya. Masa sewaktu ia melalui fasa-fasa hidupnya sejak dari lahir hinggalah kini. Tentu sahaja sebagai insan normal dia melalui zaman bayi, kanak-kanak kecil, kanak-kanak sekolah, awal remaja, remaja, menjadi dewasa dan akhirnya menjadi warga emas bagi yang panjang usianya. Bagi yang mendapat rezeki kesihatan yang membahagiakan. Tiada gangguan dalam melayari kehidupan yang penuh cabarannya ini. Melalui ujian demi ujian hidup sementara fana itu hilang. Menunggu nanti baqa itu datang kekal abadan abada.

Siapa bangsa? Peribahasa yang timbul dalam sesuatu kelompok manusia yang tertutup. Terpencil dari dunia luar. Belum lagi datang penjajah yang namanya Feringgi. Orang putih yang silih berganti. Memfaraid yang bukan hak nenek moyang mereka. Yang meminggirkan pemilik berhak seperti kita. Bukan juga etnik yang kita tahu asal keturunannya. Dari mana mereka datang.  Bangsa yang kita perkatakan ialah individu itu sendiri. Keluarganya. Susur galur keturunannya. Individu yang baik datang dari susur galur yang baik. Dilihat dan dapat diteladani kebaikannya. Boleh berguru dengannya.

Barangkali itu cerita dahulu. Cerita ketika anak-anak banyak patuhnya. Akur dengan pendapat orang tua. Sementelah pula orang tua yang peka dengan alam dan persekitarannya. Yang selalu menyatu dengan yang seadanya. Mereka belajar. Mereka menyerap iktibar yang banyak. Yang panjang. Yang menusuk ke hati. Mengerti alamat dan tanda-tanda yang mesti dijadikan panduan hidup. Mereka berfalsafah dengannya. Memberi erti dalam pengalaman samar berbalam suram dalam hidup yang selalunya damai. Gangguan perasaan, emosi, psikologi hampir tidak ada. Persekitaran dan manusia yang ada di dalamnya menjanjikan ramalan pasti bahawa itulah kehidupan yang dilestarikan berabad-abad lamanya. Tiada perubahan. Tiada pertukaran. Anjakan paradigma yang mungkin berlaku. Ia di dalam. Minda yang mencari arah baru. Pengertian baru. Tafsiran-tafsiran yang memberikan lebih makna.

Suasana di rumah adalah kunci segala-galanya. Anak-anak kita yang melangkah keluar dari rumahnya membawa bersamanya apa yang telah diserap sebati dari rumahnya. Bahasanya, pemikirannya, akalnya, tingkahlakunya, pendapatnya, tindakannya dan apa sahaja yang ada pada dirinya adalah lambang-lambang yang dibawa dari rumah. Benar. Tetapi tidak semuanya benar. Pengecualian kadang-kadang terjelma. Banyak produk yang tidak mengikut acuan. Rakan sebaya hatta orang dewasa banyak pengaruhnya kepada seseorang individu. Sesuatu yang tidak dibawa dari rumah dikutip dari merata-rata tempat. Rakan sebaya yang banyak menitipkan hal-hal yang di luar jangkaaan ibu bapa. Di luar jangkauan ibu bapa.  Media elektronik seolah-olah megesahkan apa yang dilihat oleh kanak-kanak. Mereka melihat dengan mata kasar. Tidak ada nilaian.

Pada tahun 1968 dahulu saya di Institut Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Sahabat saya yang seorang ini memberikan pengalaman yang sukar saya mengerti. Suatu hari dia mencarut dalam bas institut. Kami sedang dalam perjalanan untuk menghadiri suatu acara di Kuala Lumpur. Bas itu penuh dengan rakan pelajar yang lain. Lelaki dan perempuan. Saya yang mendengar carutnya jadi penasaran. Tersipu-sipu sendiri. Terasa ganjil di hadapan pelajar perempuan yang ramai itu.  Saya tidak meninjau pendapat mereka. Tentu banyak kontranya dari yang selari.

Rakan saya bukan calang-calang lelaki. Orangnya ranggi. Kulitnya putih kuning. Rambut ketak-ketak. Saya kira ramai pelajar perempuan yang  menaruh minat. Dia anak guru pula. Ibunya guru. Itu yang saya tahu. Yang saya selidiki latar belakangnya.  Ungkapannya itu mengandungi kelucahan yang amat sangat. Sangat kerana ia bakal guru. Guru pelatih. Bakal pendidik. Jika yang bercakap itu orang-orang bergelandangan di jalanan tentu saya tidak terasa apa-apa. Pengakuannya agak memeranjatkan saya. Di hadapan khalayak yang ramai itu dia mengambil kesempatan untuk menjadi dirinya. Untuk melahirkan apa yang terbuku di dalam. Bukan marah. Tetapi hanya untuk melepaskan perasaan. Di rumah dia tidak mendapat kesempatan itu. Didikan ibunya tidak memungkinkan dia mendapat kesempatan untuk mencarut begitu. Tidak mungkin di rumah. Tidak mungkin didengar oleh ibunya.  Atau didengar oleh adik beradik yang lain. Atau didengar oleh jiran tetangga.

Dia serius. Dia bukan main-main. Dia ada niat untuk sengaja melakukannya. Ada niat untuk menyatakan apa yang ingin diluahkan. Untuk menjadi dirinya yang sebenarnya. Split personality? Saya tidak pasti. Mungkin sifat itu ada pada diri kita semua. Sifat-sifat amarah. Sifat-sifat yang merendahkan martabat manusia. Sifat-sifat yang mencairkan sifat-sifat kemanusiaan yang ada pada kita. Bezanya ialah ada orang yang berkeupayaan mengawalnya. Yang lain pula tidak peduli implikasinya. Could not care less. Yang hendak keluar dibiarkan keluar. Dijana keluar. Dijolok-jolok supaya keluar deras. Begitulah pendidikan mestilah mengertikan. Didikan mestilah membijaksanakan. Asuhan membestarikan. Bimbingan menegakkan yang hak dan benar. Yang kita inginkan ialah manusia yang terdidik (educated), bijaklaksana (learned), bijak bestari (wisdom), bertamadun (civilized), berhemah (cultured), terbentuk baik (nurtured). Tentu sahaja kita inginkan yang berakhlak mulia. Tuntutannya ialah kriteria al-Quran dan al-Sunnah.

Siapa anak kita sebenarnya bergantung kepada usaha kita membentuknya. Apa yang dipasakkan dalam mindanya. Kemahiran mengawal emosinya. Menjadikan mereka manusia-manusia yang memenuhi kriteria kemanusiaan. Anak-anak yang kita lepaskan keluar dari rumah mestilah seorang manusia kerdil yang ada tekad pada langkah-langkahnya. Yang kejap azamnya seperti kejapnya langakh-langkahnya menghentak tanah. Ingin segera kerana kehidupan tidak lama. Segera menjadi pandai. Segera membesar untuk menyumbang kepada agama, bangsa dan negaranya.

Bangsa mencerminkan siapa anak-anak kita. Yang ingin kita lihat ialah anak-anak yang menyumbang kepada kedua orang tuanya, kepada saudara maranya, kepada jiran tetangganya, kepada yang lain mengikut keperluan dan kepentingannya. Menjadi tanggungjawab ibu bapa menyediakan bekal kemausiaan kepada anak-anak mereka supaya mereka keluar dengan pengalaman sosial demi survivalnya. Akhirnya anak-anak kita terlonta-lonta seorang diri. Pengalaman dan didikan dalam zaman awal kanak-kanaknya pasti membantu. Latihlah anak-anak untuk memiliki kebijaksanaan. Hidup ini perlu dilalui dengan penuh kemahiran. Tujuh tahun pertama yang perlu diisi dalam diri kanak-kanak. Anak-anak kita. Anak-anak alam yang akan memakmurkan lagi warisan yang kita tinggalkan nanti.

No comments:

Post a Comment