Berapa kali kita melihat cermin dalam sehari? Pernahkah kita melihat ke dalam cermin? Wajah siapa sebenarnya yang kita lihat? Seorang Muslim yang kukuh imannya? Yang jempol akidahnya. Yang dibanggakan malaikat yang menjaganya. Yang Allah redha dengannya. Atau wajah yang tidak kita kenal. Dilihat tetapi tidak dapat mengecamnya. Dipandang tetapi hanya iras-irasnya yang kita perasaan. Direnung tetapi bukan kita yang kita kenal. Banyak bezanya. Banyak lainnya. Banyak yang berlawanan dengan diri kita yang kita cintai. Apakah kita hanya melihat cermin sekadar jadual. Rutin yang berulang memanjang. Tugas tidak pasti yang selalu dilaksanakan tetapi tidak tahu mengapa.
Hari ini lihatlah kembali. Lihat dalam-dalam. Lihat dengan mata kepala. Lalu pergi ke mata hati. Lihat dengan deria rasa. Seni yang menghalusi budi. Jangan hanya dilihat bayang. Bukan fatamorgana. Bukan ilusi. Yang kita lihat ialah diri kita. Realiti sebuah tubuh insan yang dicipta untuk berguna memakmurkan orang-orang yang di sekeliling dan persekitarannya. Jasad yang dicipta dari tanah. Dari benih Adam. Dari turunan manusia yang diciptakan untuk memakmurkan alam. Janganlah hanya melihat anggota-anggota yang terpisah. Mata hanya sebahagiannya. Tidak ada gunanya mata cantik jika tidak ada pancagunanya. Melihat dan menghayati kebesaran Allah. Mengambil iktibar akan tanda-tanda kebesaran Allah. KeagunganNya. Maha BesarNya.
Apalah rambut yang hitam. Atau yang putih. Atau yang dwi warna. Letaknya di atas tetapi jarang pula dihormati. Aurat yang dikenal sebagai hukum. Amalnya masih jauh dari benar. Tutup tidak sempurna. Didedah menjadi haram kepada yang bukan mahram. Apalah hidung yang hidunya entah wangi entah masam. Mancungnya tidak tetapi banyak tersorong-sorong. Plastik juga yang dicari bagi mengubah ciptaan Allah. Tidak redha mancungnya yang tidak seberapa. Apalah bibir merah bergincu jika bukan untuk berzikir. Jika dua bibir itu bukan untuk mengajar. Bukan untuk menasihat. Bukan untuk berdakwah. Bukan untuk membesarkan Allah. Bukan untuk memuji RasulNya. Bukan untuk ingat mengingat.
Banyak mana isi yang kita tusukkan ke jiwa kita. Jiwa kosong yang selalu kering. Jiwa kecil yang selalu takut tidak menentu. Takut yang semestinya hanya untuk Allah tetapi dialih takutkan manusia yang tidak punya apa-apa kuasa. Kuasa sedikit yang dibesar-besar. Tidak sekelumitpun berbanding kuasa Allah menghidup dan memati. Kemudian menghidup untuk selama-lamanya. Yang menurunkan hujan, embun dan madu. Yang membunga dan membuah pokok. Yang menghijaukan dedaun untuk manusia makan atau guna seperlunya. Yang melatakan haiwan yang dipelihara dan liar. Yang mengada-adakan seluruh keperluan manusia. Tiada satupun yang sia-sia. Manusia boleh hidup di mana-mana tanpa kesukaran yang tidak dapat diatasi.
Atau kita melihat cermin hanya melihat luaran diri yang kita sukai sahaja? Yang cantik lawar. Yang nampaknya bahagia sejahtera. Yang lincah ligat. Bagaimana dalamnya? Ada yang cacat cela? Yang cacatnya itu melumpuhkan seluruh sistem kebaikan yang ada. Roh yang kosong. Roh yang lompong. Dalamnya masih banyak kesangsian tentang agama. Tentang Allah. Tentang agama yang memimpinnya. Tentang hari pembalasan yang dengannya kita dikembalikan kepada Allah. Untuk diadili. Untuk dianugerah. Untuk kekal selama-lamanya di dalam syurga dengan izinNya. Dengan kurniaNya. Dengan rahmahNya. Dengan rahman dan rahimNya. Payahkah membuang hasad dengki yang sudah bekurun-kurun diwarisi. Pesaka tentulah bagi yang baik sahaja. Kita tidak mewarisi keburukan.
Siapa sebenarnya dalam cermin yang kita lihat saban kali kita memandang cermin itu? Siapa kita dalam spektrum kemanusiaan? Kitakah yang nanti mengangkat bangsa? Mengangkat darjat? Mentarbiah ummahnya? Pada sosok tubuh itu adakah isi yang murni. Yang jernih. Yang indah. Yang telus. Yang memperkuat. Yang dipancarkan melalui akhlak mulia. Yang peka untuk membesarkan Allah. Yang menyayangi ummahnya. Yang dalam dirinya ada bibit sayang cinta. Ingin membantu. Memperbanyak ulama’. Menggegar alam semesta. Di hadapan penuh juadah pahala. Balasan baik yang selalu digandakan Allah. Yang sentiasa menanti kebaikan perbuatan kita.
Cermin tidak pernah berkata-kata. Namun cermin memberikan kita petunjuk. Memberikan kita gambaran-gambaran realiti siapa kita. Acuan apakah yang menjadikan kita? Yang membesarkan kita? Yang mendewasakan kita? Yang mematangkan kita? Yang mendapat kemampuan-kemampuan sebegini rupa? Apalah hanya jasad kosong yang kita lihat? Yang kita bawa ke mana-mana? Cuba cari di mana pandainya? Kebijaksanaannya? Kebestariannya? Ketinggian inteleknya? Kehalusan budi pekertinya? Jika ditemui semua itu, Alhamdulillah. Jika tidak maka jasad yang masih ampuh itu sebenarnya kosong bak belon yang ditiupkan angin dan penuh dengan udara. Kosong dan mengosongkan. Hampa menghampakan. Jika dicederakan ia akan kecut mengecut. Kempis menipis. Kerangka dan binaannya habis begitu sahaja. Menjadi angin dan udara yang tidak berjisim. Tidak juga bendalir. Sudah tentu bukan pepejal yang kekal lama.
Penuhkanlah cermin itu dengan imej yang terisi. Ilmu dan maklumat yang dalam mendasari. Iqra’ yang dipraktis. Membentuk fikiran kritis. Bahasa indah yang puitis. Ingatan yang bukan sahaja nostalgik tetapi futuristik. Kesihatan dan tenaga berpanjangan. Stamina yang mengungguli kelesuan. Bukan megejar tetapi mengisi kekosongan yang kian melebar. Langkah-langkah zaman berpindah dan mengarah tinggi. Naik ke tahap mercunya. Kita perlu melihat cermin supaya ada perancangan besar untuk ummah. Ada wawasan besar untuk digapai digarap gagah. Ada lebuhraya warisan zaman untuk tinggalan kita nanti. Untuk dilestarikan berzaman-zaman lagi.
Manusia dalam cermin itu harus menyempurnakan tugas dan peranan kemanusiaannya. Untuk memakmurkan alamnya. Untuk mentarbiahkan saudaranya. Untuk membawa bekal-bekal ke alam yang kekal abadi. Abadan abada. Maka wajiblah memperguna masa seemasanya. Membina jadual untuk melaksanakan tugas kemanusiaan itu. Untuk membangun umat agung seperti disaran agama. Seperti telah digariskan Allah. Kriteria yang telah disenaraikan. Umat terdahulu telah teruji dengan sebaiknya. Telah berjaya membina tamadun yang ditiru dan diperkembangkan di Barat. Dengannya juga kita diasak leka hingga tidak mengetahui bahawa pakaian kehebatannya telah dipakai oleh sarjana-sarjana Barat. Keindahan beragama diambil oleh orang Barat. Dikembalikan kepada kita keburukan-keburukan yang mereka cipta. Kita jadi leka tidak menentu. Lena dengan mimpi-mimpi yang tidak membina. Alpa dan alpa. Terpana dengan dunia imaginasi yang disogokkan kepada kita. Di mana Al-Quran dan Al-Sunnah? Kembalilah kepadanya. Mudah-mudahan sesat kita kembali ke pangkal jalan. Kembali mencari lubuk. Mencari tampuk. Mencari lumpur. Mencari belakang kerbau. Mencari gagang. Mencari tepaknya. Bangunlah bangsaku. Tidurmu terlalu lama. Jagamu ditagih. Banyak sagu yang ruyungnya perlu dipecah.
No comments:
Post a Comment