Ramai orang yang beranggapan bahawa menjadi guru adalah senang. Persepsi mereka ialah kerja guru itu sangat santai. Berpakaian cantik. Tidak perlu kotor-kotor. Tidak pula terkejar ke sana dan terkejar ke sini. Tidak perlu mencari pelanggan. Tidak perlu promosi. Pelanggan yang mencari guru. Cukup masa kelas tersedia. Kerana itu profesion keguruan dikira tidak begitu mencabar. Masa hadapannya agak malap berbanding dengan profesion yang lain. Tidak dapat menandingi profesion seperti jurutera, arkitek, akauntan, peguam dan pegawai perubatan. Jauh sekali dari ahli politik. Usahawanpun kadang-kadang dikesampingkan sebagai profesion yang tidak begitu glamour.
Profesion lain dilihat sebagai mengungguli profesion keguruan. Kadang-kadang saya tercari-cari hakikat yang hakiki. Benarkah menjadi guru hanya profesion yang mudah. Siapa-siapa sahaja boleh menjadi guru. Mengimbas kembali sejarah diri, saya cuba melihat ke belakang. Menelusuri kembali zaman yang saya tinggalkan. Saya mendapat jawapan-jawapan yang indah. Bukan yang mewah. Menjadi guru kadang-kadang banyak ganjarannya. Namun ganjaran itu bukan berbentuk material. Lebih banyak berbentuk spiritual. Banyak mempengarui personaliti. Banyak masanya menyumbang kepada pembentukan diri. Membina psikologi. Memberi stamina. Menambah ketahanan diri.
Menjadi pendidik selama 42 tahun bukan calang-calang cabarannya. Ramai yang pudar azamnya di pertengahan jalan. Lalu mereka memilih untuk tidak berada di dalam kelas. Tidak berada di front line menghadapai karenah anak-anak didik yang semakin hari semakin sukar diajari. Mereka rela berada di belakang layar. Menjadi pengarah dan penolong pengarah. Yang penting tidak berada di hadapan pelajar. Tidak dicuit oleh ibu dan bapa. Tidak ditegur oleh mereka yang berkepentingan – stakeholder. Yang kekal menjadi guru berani mempertaruhkan nyawanya. Berani menghadapi kekangan dan cabaran yang bertali arus. Masalah-masalah kepimpinan sering berganti. Masalah birokrasi jarang mudah diatasi. Masalah kurikulum selalu pula diubahsuai. Masalah peruntukan yang tidak pernah cukup. Prestasi pelajar yang selalu dituntut sentiasa cemerlang.
Guru telah menyumbangkan seluruh jiwa dan raganya untuk nusa dan bangsa. Tidak pernah duduk diam merehatkan diri. Tidak santai hingga leka mengabaikan tugas dan tanggungjawab. Tidak melekakan diri hingga melupakan hasrat dan cita bangsanya. Cita-cita agamanya. Cita-cita besar yang diamanahkan kepadanya. Dalam serba kekurangan itu ia berlumba menabur bakti. Dalam kedaifan dirinya ia mengejar Key Performance Index (KPI) yang dituntut darinya. Pada akhir setiap tahun prestasi anak didiknya akan sinonim dengan dirinya. Ukurannya yang diberikan ialah sama ada dia telah bekerja atau tidak? Prestasi anak didiknya itu menggambarkan jawapan yang diminta. Keranannya seluruh jiwa raganya untuk profesionnya. Seluruh harapannnya untuk pelajar-pelajarnya. Seluruh dambaannya hanya untuk mempastikan kejayaan anak-anak yang untuk sementara waktu menjadi anak-anak tanggungannya. Di hahunya nanti diletakkan beban membina kemanusiaan yang luhur.
Orang selalu melihat senangnya. Melihat hasilnya. Melihat segala yang dicapai pelajar. Tidak ramai yang ambil tahu payahnya mendidik. Sukarnya mengasuh. Azabnya mentarbiahkan jiwa-jiwa yang bersih tetapi naïf. Yang kadang-kadang kosong minta diisi. Dengan banyak dan segera. Guru yang daif dari segi masa dan tenaga berkerah azam dan cita. Memenuhi segala impian mereka yang hampir dengannya. Pelajar yang menuntut cemerlang dalam peperiksaan. Ibu bapa yang menuntut anaknya pandai. Pentadbir yang menuntut bahawa setiap sen yang dibelanjakan mesti ada pulangan yang lumayan. Ahli politik yang menuntut bahawa segala peruntukan yang dicurahkan ke sekolah dikembalikan kepada pembayarnya.
Guru pada zahirnya manusia biasa. Ada kelebihan dan banyak daifnya. Ada kelebihan tetapi banyak kurangnya. Pandai tetapi banyak yang tidak diketahuinya. Hebat tetapi tidak ada siapa yang nampak. Orang-orang dalam profesion lain tidak memandang dengan sebelah mata sekalipun. Bakal ibu bapa mertua terpaksa memandang sinis kerana bakal menantunya tidak mungkin kaya berada jika terus menjadi guru. Tidak mungkin kaya hanya menjadi guru. Orang kampung tidak lagi merujuk kerana kejayaan ekonom menjadi tarikan kehebatan seseorang penjawat awam. Sedangkan guru bukan yang terkaya di sekelilingnya. Jiran tetangga tidak melihat guru sebagai yang terbaik untuk diteladani kerana guru bukan lagi wira yang menyelamat bangsa. Bukan penyelamat budaya. Bukan penyelamat agama. Bukan tunggak yang tegak di tengah masyarakat. Bukan idola dan ikon ternama. Tiada gahnya kecuali yang berjaya hanya tidak seberapa.
Guru hanya profesion yang biasa-biasa. Mencari makan sesuap dua. Berkhidmat sekadarnya kerana itu sahaja yang termampu dalam kekangan semasa. Jika dulu anak-anak didik diserah kepada guru untuk dipandaikan, sekarang anak-anak didik tidak lagi boleh disentuh kerana memberi hukuman. Dunia guru semakin terasing dan terpisah. Nikmat sentuhan yang dirasa pelajar sudah tidak dapat diberi lagi. Ibu bapa sudah membina tembok besar yang menghalang. Tembok tinggi yang menghilang rasa tanggunggjawab yang menjulang. Tamadun yang dibina mungkin bukan landasan yang terbaik. Hubungan pendidik dengan persekitarannya tidak lagi selari dan sepadan dengan hasrat yang terbilang.
Kendatipun begitu seorang guru kekal dengan kemuliaannya. Dia digarap indah dengan khidmat dan tugasnya. Hidup dan matinya dalam ingatan. Jaya dan gagalnya dalam kenangan. Jasa dan baktinya dalam perkiraan. Baik dan buruknya dalam timbangan. Khidmatnya sentiasa didambakan. Tunjuk ajarnya dinanti. Nasihatnya diminta. Pandangannya menunjuk jalan. Perhatiannya memberi jalan. Renungannya mencerah kebuntuan fikiran. Hidupnya menerangi. Matinya memberi bekal kekal abadi. Dalam dunia yang fana ini dirinya bergemerlapan. Nanti perginya memberikan kilauan.
Guru hanyalah manusia. Banyak keterbatasannya. Kurangnya mengosongkan ruang-ruang yang semakin kosong. Sumbangannya kecil. Namun apa yang diberikan tentulah yang sehabis ikhlas. Keterikatannya dengan profesiaonnya merupakan komitmen tertinggi. Penuh dedikasi yang memperhamba diri kerana mencari redha yang Maha Berkuasa. Pengalamannnya mengajar bahawa dia harus selalu keluar dari kepompongnya agar dirinya bermanfaat kepada orang-orang lain yang ada disekelilingnya. Perjalanannya banyak simpang dan stesen. Simpang-simpang itu penuh cabaran. Jauhari juga yang mengenal simpang yang paling dekat dan paling lurus. Destinasi itu memberi rasa kepuasan. Seorang guru hanya mencari kepuasan mendidik. Wang ringgit bukan hambatan hingga menyeksa diri. Ia sekadar untuk hidup. Penyambung kepada misi dan visi yang entah antara kabur dan jelas. Bukan guru yang menentukan. Hanya hanya yang menurut perintah. Kabur atau jelas hanya tugas yang diserah untuk digalas.
Banyak kekurangan guru yang perlu dibaiki dari masa ke semasa. Perlu ditambah dengan istiqamah. Perlu diganda dan digandakan. Proses upgrading yang semakin kompleks. Dirinya harus dibawa dengan arus zaman. Berganti dan silih berperanan. Maka pada diri guru itu ada aura dan karisma. Sandang pakainya menyejuk mata. Tingkah laku dan akhlaknya memukau qalbu. Tutur bicaranya mendamaikan. Idea dan hujjahnya membenarkan logik akal. Pada dirinya lengkap sempurna dengan pakej cantik menawan menyeri dan mewarna. Seorang manusia yang menjadi guru untuk digurui. Lincah dan tenaganya mempamer sihat sejahtera dan banyak afiatnya.
Guru tidak ramai yang kaya. Namun hidup senang kerana hati dan budinya yang luhur memberi makna dan rona. Anak-anak didik yang mendwasa dan medepani cabaran bangsa. Membentuk bangsa bermaruah yang masa depannya penuh dengan harapan tinggi memuncak jaya. Makan dan minumnya sempurna walaupun bukan yang berjemana mempinar mata. Rumahnya cukup besar untuk pasangan dan anak-anak bersarang damai. Sandang pakainya cukup sempurna walaupun bukan sutera lembut setiap masa. Tidurnya lena tanpa banyak hutang serabut hanya kerana hendak hidup selesa.
Melihat guru tentulah ada sesuatu yang perlu diambil iktibarnya. Melihat kelibatnya mendebarkan gejolak dada yang menunggu setia sekian lama untuk mendapatkan input-input pengalaman lamanya. Memandang senyumnya mendamaikan tenteram jiwa yang selalu dipenuhi rasa indah mendapat ilmu pengetahuan. Tangan-tangan yang menyentuh kemahiran berpanjangan merentas zaman. Hadirnya ditunggu selalu tanpa mengira waktu dan tempat. Perginya dilepaskan dengan berat hati kerana masih banyak yang ditagih darinya. Hilangnya dicari merata-rata takut-takut nanti tidak akan ketemu lagi untuk menduga akal bicara.
Guru telah memilih jalan ini. Telah memilih simpang ini. Telah memilih destinasi ini. Telah memilih wadah, wahana dan wacana yang penuh warna ini. Sumbangannya bukan besar secara peribadi. Sekadar cebisan jigsaw puzzle yang tidak sebesar mana. Kecil di mata. Kecil di hati. Kecil diwarna. Kecil hingga tiada siapa yang mahu melihatnya. Tetapi tetapi tetapi tanpanya jigsaw besar yang memang penuh puzzle itu tidak mungkin sempurna. Tidak mungkin terbina. Tidak mungkin menjadi seperti yang kita lihat sempurna. Menegak dan mencapah gagah membelah buana. Dulunya hanyalah sebuah cebisan puzzle. Kita yang bina cebisan puzzle itu. Hanya guru yang melihat itu. Yang empunya diri mungkin hilang perasannya. Sudah tidak perasan lagi. Ibu bapa sudah lama lupakan guru itu. Masyarakat memang tidak kenal lagi. Sudah lama tiada terfikir adanya guru.
Walau apapun selalulah in frame. Be part of the whole picture. Pergilah keluar sana untuk menjadi guru. Jadilah yang terbaik. Yang terbilang. Yang boleh menjadi galang ganti untuk genersai yang mendatang. Jasa dan baktimu tetap dinanti walau tidak sebesar mana sekalipun. Akan ada yang bertanya. Akan ada yang mencari. Akan ada yang sedikit mengenang. Percayalah profesionmu tidak sebesar mana. Namun damaikanlah hatimu bahawa sumbanganmu tetap memberi erti. Bak kata Usman Awang apabila seorang raja menaiki tahta ada guru yang memandaikannya. Apabila seorang peguam menang bicara ada guru yang membijaksnakannya. Apabila seorang hakim memutus bicara ada guru yang mengarifkannya. Siapapun manusia itu ada guru yang pernah diguruinya suatu masa dahulu. Mungkin lama dan terlalu lama hingga perlu dilupakan. Guru biasa yang tiada punya apa-apa. Yang ditinggalkan hanya sedikit warisan untuk bekal hari muka. Titipan rasa seorang yan telah memilih profesion tua. Untuk nanti bersama membelah jaya.
No comments:
Post a Comment