Sunday, February 27, 2011

Sampah Kita Sampah Dia



Cerita sampah banyak sangat isunya. Di Malaysia cerita pelupusan sampah tidak ada penghujungnya. Pembinaan incinerator juga banyak bantahannya kerana lokasinya yang selalu berhampiran dengan tempat tinggal penduduk. Ironinya sampah adalah buatan manusia. Ia bukan natural. Kerana itu sampah tidak boleh lupus sendiri. Perlu diurus dengan cekap supaya kesan buruknya tidak kembali menyusahkan manusia. Dedaun yang gugur. Ranting dan dahan yang berpatahan. Pokok yang tumbang. Debu yang berterbangan. Bunga yang layu dan gugur. Kesemuanya  tidak pernah dianggap sebagai sampah. Kehadirannya boleh pupus dengan sendirinya. Kembali menyatu dengan alam yang menjadikannya. Dari tanah ia tumbuh. Ke tanah juga tempat kembali. Tetapi tidak dengan sampah. Kembali ke tanah tetapi tidak menyatu dengannya. Bukan fitrahnya. Sampah tetap sampah.

Di negara maju sampah diusahakan supaya diurus dengan baik. Pengalaman mereka menunjukkan sampah adalah antara penyebab pencemaran yang sukar diurus. Dibiarkan mereput mengakibatkan pencemaran udara. Dibakar apatah lagi. Asap yang keluar mengandungi pollutant. Akan kekal di udara untuk suatu  jangkamasa yang lama. Mengalir di longkang, lalu ke sungai dan tasik pasti mencemarkan air. Kebijksanaan dalam mengurus sampah ini diperlukan supaya kotoran buangan manusia ini tidak mengakibatkan kesusahan yang lebih besar.   Kita diajar bahawa kebersihan itu antara tanda-tanda orang beriman. Malangnya, tiada siapa yang memperincikan prosedur untuk melaksanakan keperluan tuntutan kebersihan. Konsep dan tanggapan serta persepsinya tidak sampai ke minda orang Islam. Tidak sampai ke minda orang-orang yang tidak berpendidikan tinggi. Tidak sampai kepada minda orang-orang yang malas berfikir.

Akibatnya sungai tercemar. Kawasan tempat tinggal tercemar. Keindahan kehidupan diluputkan nikmatnya. Kanak-kanak sekarang tidak menerima warisan nenek moyang mereka. Pembangunan dan kemajuan menghapuskan pesaka zaman. Asset penting alam telah lama dibunuh. Ditiadakan kerana mengejar sesuatu yang semakin menekan kehidupan. Manusia terhimpit antara celah-celah kemewahan yang semakin sukar dihambat. Kita tercari-cari formula untuk menghindar dari kesusahan. Namun sikap dan sifat tidak memberatkan.  Menjadikan kita sesat dalam kemajuan yang kita sendiri membinanya. Jalan keluarnya semakin parah. Memayahkan untuk ditemui.

Orang Jepun sanggup menyapu debu di lapanganterbang mereka. Sampah itu juga termasuk dalam konsep zero-defect di Jepun. Bagaimana pula sikap bangsa lain di negara lain yang jauh lebih unggul dari kita dalam aspek mengurus sampah. Kita membuang sampah kerana pada kita itu adalah sampah. Kita tidak pernah memikirkan kesan komulatifnya. Kesan longgokan samapah yang pada persepsi kita sedikit itu. Bila didarab dengan orang yang ramai tentulah sampah itu menimbun-nimbun jadinya. Kotor, jijik, hapak, busuk, haring, hamis, menyucuk hidung, memeningkan kepala, menghantuai perasaan. Lalu timbul pula penyakit gatal, kurap, kayap, hawar, dengue, cirit birit, asma, batuk dan sebagainya. Sampah buatan manusia bukan sahaja meenyusah dan memualkan bahkan juga merantaikan lagi permasalahan yang berkait-kaitan. Memanjang jika tidak dihentikan. Kita perlu mengubah mentaliti. Mengubah paradigma. Mengubah psikologi diri. Pendekatan baru mesti diketengahkan. Undang-undang baru digubal. Strategi baru difikirkan.

Di US sampah tidak dibuang sesuka hati. Pihak berwajib tidak mengangkutnya setiap hari. Seminggu hanya sekali. Di Oakland tempat saya tinggal, sampah dikutip pada pagi Isnin. Hanya pada malam sebelumnya sahaja sampah dibenarkan dibuang. Maknanya antara waktu membuang sampah dengan sampah itu dikutip tidak sampai 12 jam. Sampah tidak sempat diserakkan anjing atau kucing. Tidak sempat berbau busuk. Jika dibuang melebihi jangkamasa tersebut, pembuangnya pasti dikenakan hukuman. Keengkaran itu merosakkan sistem pelupusan sampah yang menjadi budaya mereka. Kita seharusnya makkum bahawa membuang sampah itu nampaknya bukan sekadar membuang sampah. Jika diperhalusi ianya adalah budaya. Rupa bangsa. Jati diri bangsa. Sifat bangsa. Sikap bangsa. Harga diri bangsa. Sebab itu kita mesti melihat jauh ke dalam diri kita. Hanya bangsa yang memiliki kehalusan diri sahaja yang mengerti pentingnya mengurus sampah. Ianya bermula dari diri kita secara individu. Dimanifestasikan melalui ahli keluarga. Nanti pasti melimpah kepada masyarakat.
Ada pengajaran besar apabila sampah dibuang sekali dalam seminggu. Ada manfaat besar apabila sampah dipungut sekali dalam seminggu. Secara automatik tidak ada orang menyimpan benda-benda busuk dalam rumah. Busuk itu tidak boleh dibuang. Kena simpan dalam rumah juga sehingga sampai jadual membuang sampah. Maka tidak boleh membeli barang-barang yang berkemungkinan menjadi busuk. Keduanya semua ahli keluarga tidak sewenang-wenangnya membuat sampah supaya tidak sewenang-wenangnya membuang sampah. Kawal diri supaya sampah itu diminimumkan. Bukan dimaksimumkan. Hanya kerana ada orang yang memungut. Hanya kerana ada orang melupuskannya. Kita tida\k mengambil arif bahawa untuk mengurus sampah itu kosnya berjuta-juta ringgit.  Sampah itu pembaziran. Kos melupuskannya pula menambahkan pembaziran itu.

Ikuti insiden berikut ni. Suatu pagi sekumpulan orang Malaysia hendak pergi ke jualan gudang sebuah psaraya. Saya bersama mereka. Dalam masa kami menunggu bas syarikat untuk membawa kami ke gudangnya kami duduk bersembang di tempat menunggu bas. Tiada pondok. Tiada bangku. Sekadar terdapat sebuah tiang yang menunjukkan jadual ketibaan bas. Itu sahaja. Maka kami semua berdiri di tepi jalan itu. Kebetulan di tepi jalanraya berdiri seorang wanita Amerika berkulit putih berusia emas. Dia memegang air kopi panas. Minum sambil mengunggu kenderaan. Kebetulan tisu yang dipegangnya terjatuh ke tanah. Dia pula seperti tidak berminat untuk mengambilnya semula. Mungkin dianggap sudah kotor. Cemar.

Lalu di situ seorang wanita muda Amerika berkulit putih. Wanita itu meminta wanita tua  tadi memungut tisunya yang jatuh. “Maam, can you pick up that tisu!” Wanita tua tadi tidak mengendahkan saranan yang diberikan. Wanita tua itu merasakan tidak perlu menurut cadangannya kerana dia melihat wanita muda tadi terus berlalu dengan pantas. Mungkin ada yang perlu diselesaikan segera di tempat lain. Kemudian lalu pula seorang lelaki Amerika berkulit putih. Dia melihat tisu itu. Keperihatinannya sama standardnya dengan wanita muda yang berlalu tadi. Kami dengar dialog yang berulang, “Maam, can you pick that tisu up!”. Intonasi suaranya berlainan sedikit. Lelaki tadi berlalu juga. Maka pada hemat saya, wanita tua itu merasakan tidak perlu berbuat apa-apa. Tetap dengan sikap malasnya. Kekal dengan sikap degilnya. Tidak lama kemudian lalu pula seorang wanita berkulit putih yang lebih berumur daripada wanita dan lelaki tadi. Wanita itu berhenti  berhampiran wanita tua sambil berkata, “Maam! Why don’t you pick up that tisu?” Dia tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Oleh kerana wanita tua itu kelihatan tidak berminat, wanita berumur tadi melanjutkan bicara, “If that’s money, I’m sure you’ve pick it up already!” Suaranya sedikit tinggi. Terkandung di dalamnya sindiran yang tajam.

Wanita tua tadi terpaksalah membongkonkkan diri. Sudah tentu tercabar egonya. Dikutipnya tisu yang telah terjatuh sekian lama. Tiga orang telah mengambil perihatin. Tiga orang memberi arahan. Tiga orang memberi nilai yang tinggi terhadap sikap kebersihan. Tiga orang yang menegakkan budaya. Tiga orang yang menjadi pengawal alam sekitar. Tiga orang yang memperlihatkan jati diri bangsanya. Kami orang Malaysia menjadi saksi pada pagi itu. Kami menjadi pemerhati. Mata kami fokus kepada peristiwa penting pagi itu. Kami ditunjuk dengan sikap mulia supaya tidak membuang sampah. Supaya tidak membiarkan sampah. Supaya melupuskan sampah. Supaya tidak meringan-ringankan sampah. Sampah mejadi lambang kepada “sampah” yang ada dalam minda kita. Itulah diri kita yang sebenarnya. Sampah atau bukan sampah.

Saya tidak tahu berapa ramai orang Malaysia yang menjadi saksi pada pagi itu mengambil iktibar. Yang mengambil pengajaran. Yang belajar bahawa sampah itu maruah bangsa. Nama baik bangsa. Harga diri bangsa. Yang dilihat ialah wanita tua yang membongkok mengutip tisu. Muka mencuka kerana dimarahi di hadapan sekumpulan manusia asing yang belum pernah dilihatnya. Dia tahu kami memerhatikannya dari awal peristiwa hingga ke akhirnya. Suatu episod penuh erti. Mudah-mudah pembaca memahami apa yang tersirat di hati saya. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment