Monday, February 28, 2011

Kecindan Itu Apa?


Selalu saya katakan kepada peajar-pelajar saya bahwa guru adalah pelakon-pelakon yang layak menerima award. Mereka selayaknya menerima award itu kerana lakonan-lakonan yang berkesan di khayak audien mereka iaitu pelajar-pelajar. Setiap hari guru merencanakan skrip terbaik untuk lakonan hari esok. Sementelahan pula esok belum tentu kiamatnya. Begitulah untuk jangkamasa yang lama guru akan terus dengan lakonannya. Suatu hal yang barangkali jarang kita sedari ialah seorang guru boleh melakonkan apa sahaja watak yang diperlukan skripnya. Watak guru itu hanya pada ketika-ketika tertentu. Selainnya adalah watak-watak di luar dunia sekolah.

Jika bercerita kalah Tok Selampit. Jika mengajar Geografi kalah pelancong yang sudah mengembara di seratus buah negara. Jika mengajar sejarah seolah-olah dia datang dari zaman prasejarah. Jika mengajar Metematik kalah Al-Khawarithmi. Mengajar Sains kalah Albert Enstien. Bila membimbing pementasan drama kalah pengarah yang menang di Cannes. Bila berpuisi kalah Uthman Awang. Bila melukis kalah Leornado Da Vinci. Bila bercakap dia menjadi pemidato terbilang. Motivasinya kalah Dato' Dr. Mohamad Fadhilah Kamsah. Cakapnya memukau. Intonasi suaranya berirama. Bahasa tubuhnya memberi isyarat-isyarat yang dimengerti marahnya. Sukanya. Terhiburnya. Sedehnya. Kecewanya. Bangga dan keterbukaannya. Seluruh jiwa dan raganya untuk membangun modal insan yang diamanahkan kepadanya.

Jadualnya sentiasa berubah. Ada pagi. Ada selepas waktu rehat. Ada sebelah tengahari. Malah kadang-kadang pada waktu petang. Guru yang hebat tentu guru yang selalu ditunggu oleh pelajar-pelajarnya. Mereka selalu rindukan kehadirannya. Mereka damai menatap wajahnya. Ceria kelas kendaliannya. Bicaranya menusuk ke sanubari. Banyak belajar dan mensia-siakan waktu. Hadirnya membantu. Ketiadaannya  memberi sumber inspirasi. Ada sahaja yang memberi nilai tambah. Kealpaan tidak terjadi. Lupa selalu diingat. Jadualnya pada kelas akan datang sentiasa ditanda. Pastinya dalam hati pelajar ada keserasaian. Ada kimia yang terjelma.

Mengajar selalunya beban. Namun bagi guru yang memang guru, mengajar itu ibarat berbulan madu. Sentiasa indah belaka. Paginya indah. Siangnya indah. Tengaharinya indah. Petangnya indah. Malamnya indah. Tidak pernah difikirkan caca cela yang ada.  Cacat cela tidak dijadikan penghalang. Bukan cabaran. Bukan kekangan. Ianya hanya sesuatu yang lumrah. Pelajar-pelajarnya bukan anak-anak yang sempurna. Itulah tugasnya. Membimbing. Mengasuh. Membetulkan keadaan. Menghasilkan hasrat falsafah pendidikan negaranya. Harapannya yang menggunung tinggi ialah suatu hari nanti anak didiknya menjadi orang-orang yang berguna. Mewarisi kepimpinan. Mewarisi legasi bangsanya. Agamanya.

Waktu pagi memang waktu yang damai. Walaupun begitu sejuk pagi boleh melangsungkan rasa mengantuk. Sementelahan pula jika guru bersuara mendatar. Tiada intonasi. Tiada irama. Tiada tenaga pada suaranya. Vokalnya lemah. Suaranya menjadi penggalak rasa mengantuk. Selepas rehat tentulah lebih besar cabarannya kepada guru. Selepas makan pagi, perut pelajar penuh kekenyangan. Makanan dan minuman yang dalam proses penghadaman tentu menimbulkan rasa mengantuk. Jika suara guru seperti bunyi yang tidak memberi erti tentu sahaja mengundang mengantuk. Apatah lagi jika guru tiada keletah.  Tiada kudrat untuk melakonkan watak-watak dalam skrip hariannya. Sebelah tengahari tentu menyeksakan pelajar jika tutur kata guru juga gagal menampilkan yang terbaik untuk dirinya. Ia mestilah melakonkan watak-watak yang lebih menyerlah kerana tuntutan audien yang semakin hilang staminanya. Tenaganya semakin terhakis. Sebelah petang adalah tugas yang menggunung besar dan beratnya. Waktu santai dan rehat tentulah menyeksakan. Pelajar bukan sahaja berat perut, mereka juga berat mata. Segala-galanya menjadi berat. Tugas guru untuk meringankannya.

Tugas guru adalah untuk membahagiakan pelajar-pelajarnya. Jika guru itu merasakan bahawa mengajar itu sama indahnya seperti berbulan madu maka guru itu merasakan segala-galanya adalah mudah. Ringan. Santai. Suka. Ria. Ceria. Sikap ini membuatkan guru sentiasa cergas dan siaga. Semua yang dilihat adalah hiburan. Yang didengar adalah hiburan. Yang dirasa adalah hiburan. Yang disentuh adalah hiburan. Maksud saya bukan hedonism. Hiburan dengan erti kata mengajar itu menyeronokkan. Natijahnya  ialah guru itu memindahkan suasana diri dan hatinya kepada pelajar-pelajarnya. Kimia antara mereka mencipta suatu suasana yang santai. Iklimnya santai. Kelas itu menjadi santai. Dalam keadaan santai itulah guru boleh menjadi kecindan. Dia boleh melawak. Dia boleh berjenaka. Dai boleh beseloroh. Dia boleh mengusik sana dan mengusik sini. Semua orang berlapang dada. Yang pentingnya emosi terkawal. Stress terhindar. Guru tidak stress. Pelajar tidak stress.

Lihatlah sesuatu itu dengan rasa senang. Suka. Berminat. Ingin tahu. Kaitkan dengan suasana yang lucu. Yang dilihat menghibur. Pilih kata-kata yang  bunyinya lucu. Atau yang didengar lucu. Sebutannya didengar lucu. Begitulah juga ayat yang dibina, dibaca atau didengar lucu. Sebab itu guru mestilah orang yang  fasih berbahsa. Kosa katanya bertimbun-timbun. Berminat dengan bahasa peringkat tinggi. Istilah-istilah yang memberi impak. Tetapi tajuknya mestilah difahami. Konteksnya difahami. Bual bicaranya bertajuk. Ada isu yang berbangkit darinya. Itulah sebabnya suara menjadi senjata paling ampuh kepada guru. Mata pula seperti alat kawalan jauh. Mendisiplinkan pelajar dengan mata. Buka dan katupnya memberi erti. Jelingnya memberi makna. Renungannya menajam. Besar matanya mengundang pertanyaan. Kecil matanya memberi isyarat-isyarat tertentu.

Menjadi kecindan mestilah dari dalam. Kita suka. Jadikan orag lain suka. Cuma ingatan saya jangan sentuh hal-hal yang sensitif. Agama jangan diguraukan. Keturunan dan kaun jangan disentuh. Hal-hal politik pula hendaklah ditinggalkan di pintu pagar sekolah. Nanti bila balik diambil semula. Begitulah kesantunan seorang guru. Ada adab dan tata kelakuan yang mesti dipatuhi. Batas-batas yang mesti dipelihara. Dalam apa keadaan sekalipun guru tidak pernah terlepas dari kecenderungan yang membawa ke jurang bahaya itu. Sensitivity itu mesti dipelihara. Dijaga. Diagungkan. Kita dambakan keamanan. Padamu guru anak bangsamu diharap boleh digarap menjadi manusia yang tahap manusiawinya sangat tinggi. Kemanusiaan yang mengangkat kemanusiaannya.

Berlatihlah untuk membina kemahiran berkecindan. Latihan keras yang diperlukan. Santaikan diri. Kendurkan otot. Lentokkan leher. Banyakkan senyum. Lembutkan hati dan perasaan. Lihat sekeliling. Mungkin banyak idea yang mendatang. Mungkin banyak cerita yang boleh didendangkan. Ilham-ilham yang mengudang kecindan. Cubalah. Jika gagal, cuba lagi. InsyaAllah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

No comments:

Post a Comment