Tuesday, February 15, 2011

Mencari Makanan Halal

Masih terlalu awal di Pittsburgh. Terlalu banyak yang perlu dipelajari tentang selok beloknya. Pertamanya tentulah di mana hendak mendapatkan makanan halal. Orang Malaysia seperti saya terlalu cerewet tentang perkara ini. Sentiasa mencari yang dikendalikan oleh orang Islam. Kedai ayam dan daging Islam menjadi tumpuan. Di Oakland hanya ada satu sahaja kedai yang halal sebegitu. Milik seorang Arab dari Arab Saudi. Di situlah saya mendapatkan bekalan ayam dan daging. Kadang-kadang ragu juga tentang status halal yang didakwanya. Seperti maksud dan kehendak Shafi’e atau bukan? Seorang rakan berbaik-baik dengan pemiliknya. Suatu hari dia mengikut di mana pekedai itu mendapatkan bekalan daging dan ayam. Melaluinya saya mendapat pengesahan. Ayam, daging lembu dan daging kambing itu disembelih sendiri di ladangnya. Maka terjaminlah halalnya.

Saya menjadi musykil juga kerana orang Arab rata-taranya membeli makanan tersebut dari Giant Eagle. Pasaraya besar yang terletak di seberang jalan. Tepat di hadapan masjid Dar al-Salam. Satu-satunya bangunan masjid di Oakland. Dalam hati selalu berkata-kata. Kenapa orang Arab membeli yang tidak disembelih sedangkan yang disembelih dijual oleh orang Islam.  Begitu juga dengan orang Indonesia. Mereka membeli juga dari Giant Eagle. Saya kasihan pada diri saya sendiri. Ketika itu, pada tahun 1985, sewaktu usia saya 39 tahun saya masih terlalu daif tentang agama saya sendiri. Terlalu naïf. Hukum hakam tentang makanan halal ini masih terlalu kabur. Senang cakap, memang langsung tidak tahu.

Makanan yang halal saya tahu. Halal dalam konsep halal itu yang saya tidak tahu.  Seperti dalam entry saya sebelum ini, konsep halal itu luas pengertiannya. Yang disembelih oleh orang Islam memang halal. Yang disembelih kerana Allah adalah halal. Yang disembelih sebagai makanan memang halal. Secara mudahnya ada dua kategori. Yang disembelih oleh orang Islam dan memenuhi syarat dan rukunnya, tidak ada keraguan padanya. Secara hakikinya halal. Noktah di situ. Tiada perbincangan. Tidak perlu diperdebatkan. Tidak perlu ditanya lagi. Tidak perlu ada penyelidikan. Kategori yang kedua ialah haiwan halal yang disembelih oleh orang bukan Islam. Mereka pula saya ketegorikan kepada dua. Sembelihan ahli kitab golongan Kristian dan Yahudi boleh dimakan. Sembelihan selain daripada dua golongan ini dikira tidak halal.

Orang Kristian dan Yahudi memang bukan Islam. Sejarah menunjukkan bahawa mereka dulunya adalah Islam. Tentunya sebelum kedatangan Islam yang kita anuti sekarang. Nenek moyang mereka memang ahli kitab. Apabila Islam bimbingan Rasulullah datang, ada antara mereka tidak menukar kepada agama Islam. Kekal dengan pegangan yang asal. Sebagai ahli kitab, sembelihan mereka diiktiraf  halal. Kerana mereka ahli kitab. Tetapi ingatlah, ahli kitab yang dibincangkan adalah ahli kitab yang sedari asal keturunanya menjadi ahli kitab. Keyakinan saya tentang hal ini sangat baru. Hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Sebelum ini saya menolak halalnya daging sembelihan ahli kitab.

Orang Malaysia seperti saya gemar makan ikan. Di Pittsburgh ikan yang ada tentulah ikan beku. Ada juga ikan kembung dan ikan merah. Bukan dari Pulau Pinang. Bukan dari Pantai Timur. Ikan-ikan itu dari Thailand. Entahlah. Antara banyak negara-negara Asean rasanya Malaysia yang sukar didapati barangnya di Amerika Utara. Saya menemui durian dari Thailand. Cili api dari Thailand. Belacan dari Thailand. Nangka muda dari Thailand. Nangka masak dari Thailand. Kerepek pisang tanduk dari Filipina. Rebung muda dari Cina. Pisang tanduk dari Amerika Tengah. Ubi kayu dari Amerika Tengah. Hanya sagu rendang datang dari Malaysia. Lama kita bincangkan hal ini dalam seminar, dalam ucapan, dalam perdebatan. Barang buatan Malaysia tidak sampai ke negara-negara di Kutub Utara dan di Kutub Selatan. Tidak juga di Barat. Hasrat tinggal hasrat. Perancangan kekal on paper. Blueprintnya berdebu di sudut bilik operasi.

Saya makan lontong buatan isteri saya tidak ubah seperti berada di Malaysia. Kelapa segar ada. Nangka muda ada. Kacang panjang ada. Suun ada. Tauhu kering ada. Lada merah ada. Cili api ada. Sengkuang ada. Timun ada. Makan soto? Bukan masalah. Makan sup? Lagi bukan masalah. Isteri saya menjadi sangat inovatif dan kreatif. Selera ada. Adatnya di sana tiada. Maka menciptalah kaedah memuaskan selera. Nantilah dalam entry yang lain pula.

Dalam semester pertama berada di Pittsburgh, saya banyak mendengar. Banyak memerhati. Terpaksalah banyak bertanya. Pada minggu pertama itu, rakan-rakan yang lama di sana bercerita tentang warehouse sale. Ada pula yang ke flea market. Yang lain ke farmers’ market. Ada pula ke Penn Avenue kerana mencari buah, sayur dan ikan. Kerana masa itu musim sejuk, tidak banyak yang saya cuba. Pengalaman dibatas dahulu. Belajar masih terumbang ambing. Baru hendak belajar menari. Tingkahnya masih banyak yang sedang dipelajari. Gendangnya masih bertingkah-tingkah. Rentaknya masih sumbang selalu.

Pada semester kedua dan seterusnya kesemuanya menjadi biasa. Banyak ceruk yang saya pergi. Banyak tempat sebagai alternatif mencari bekalan makanan. Pittsburgh bukan tempat yang asing lagi. 18 bulan yang penuh dengan kepelbagaian. Menjejak banyak tempat yang mencipta sejarahnya. Persekitarannya yang mendamaikannya. Tahun 1985 itu Pittsburgh diisytihar sebagai the number  1 city in USA. The most liveable city. Sejarahnya panjang. Dari sebuah bandaraya yang gloomy and sooty dengan bijih besi dan arang batu ianya telah berubah menjadi bandaraya yang indah. Dari tempat yang selalu ditenggelami air, bandaraya ini berkembang indah.  Penyelidikan dan perancangan dilaksanakan hingga akhirnya bandaraya yang menakutkan dalam sejarahnya, menjadi bandaraya yang paling damai. Paling aman. Paling sesuai untuk bermukim di dalamnya. Saya bersyukur berada di sana. Mencari ilmu. Mencari pengalaman. Memartabatkan diri. Pada masa yang sama tidak pula hanyut. Kegiatan agama yang sentiasa berkembang. Masjid dan usrah adalah lumrah. Akhirat yang tidak pernah dilupa. Dunia ini hanya untuk transit sahaja. Tidak pernah ada manusia yang kekal menghuni di sini. Kita semua akan dikembalikan kepadaNya. DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali.

No comments:

Post a Comment