Monday, November 22, 2010

Pagi Ini Segalanya Bermula

Assalamualaikum. Selamat pagi cikgu. Pagi ini seperti tidak percaya. Mimpi bukan. Jagapun bukan. Benarlah, hari ini hari kedua menjadi guru. Di sini akhirnya aku berlabuh. Akan ku huni sekolah ini untuk suatu jangkamasa yang lama. Tengoklah nanti. Jika menikah, mintalah pindah kerana ikut suami. Jika tidak berlama-lamalah di sini. Kena biasakan diri. Kena belajar menyatu dengan suasana.

Sebagai orang baru ada beberapa perkara yang perlu kau ketahui. Pertamanya, peraturan, undang-undang dan etika. Keduanya adat resam dan pantang larang tempatan. Ke manapun kau pergi kau akan temui hal-hal itu. Walaupun duduk satu Malaysia, perbezaan-perbezaan negeri, wilayah, daerah, resam dan adatnya mestilah diakui. Jika tidak dipatuhi sekalupun, kau hormati. Hati manusia banyak yang perlu dijaga.

Paling sukar barangkali ialah makanan. Seminggu dua ini banyak yang sukar diterima tekak. Orang Johor barangkali sukar menerima yang manis-manis. Orang Pantai Timur barangkali sukar mencari makanan manis. Orang Utara entahlah. Semua boleh kot. Please, jika tidak suka diam sahaja. Mulut jangan komen. Takut ada yang dendam. Di tempat orang banyak sangat yang kau tidak tahu. Jika tidak sedap senyum ajalah. Tolak dan telan perlahan-lahan. Belajarlah mengawal lidahmu dari mencela makanan. Belajarlah mengawal tekakmu dari menolak makanan. Belajarlah mengawal perutmu dari meragam. Sebulan dua nanti mungkin jadi ketagih sudahnya. Datang nikmat memakan dan meminum.

Di sekolah lebih banyak hati yang perlu dijaga. Pengetua dengan wibawanya. GPK dengan arahnya. Guru panatia dengan jadualnya. Itu belum ketua bengkel. Guru makmal. Guru sebelah meja. Jiran di kanan meja. Di kiri meja. Di depan meja. Guru lama. Guru baru. Sehari dua ini belum terasa sangat. Kalutnya tentulah sudah bertimpa-timpa. Jadual mungkin belum sempurna. Masih berperang antara tugas dengan tuntutan untuk mendapat subjek yang senang. Kelas yang senang. Tempat yang baik. Aduh. Politik guru sudah mula nampak berbayang. Belajarlah nanti kau juga akan berperanan menentukan segala yang kau lihat.

Silibus? Sukatan pelajaran? Hari ini kau melihatnya dengan mata berpinar. Semuanya perlu disiapkan sebelum sekolah bermula. Duduklah. Duduklah. Buatlah dengan bersungguh-sungguh. Lihat contoh dari guru-guru yang ada. Tapi pastikan dari guru yang rasa-rasanya boleh diminta bantuan. Yang nanti tidak mengungkit kerana memberi budi. Guru yang berlainan jantina jangan dibuka ruang dahulu. Takut-takut ada mata yang menjeling. Ada rasa yang tidak selesa. Apatah lagi jika kau ada rupa. Ada gaya. Yang lama di situ melerek marah dan mendengus geram.

Jangan terlalu banyak bertanya. Takut nanti ditempelak. Bukankah cikgu sudah terlatih? Macam mana ni masih tidak tahu apa yang perlu dibuat? Tidak cukup latihan ke? Dulu LM macam mana? Tidak cukup lagikah? Berat kan? Itu sindiran-sindiran awal sebelum kenal, sebelum cinta, sebelum berkawan. Jika tidak bertanya susah juga jadinya. Memandai-mandai. Itulah kalau tak hendak nak bertanya? Itu jadinya. Aduhai. Yang mana nak diikut ni. Tanya salah. Tak tanya lagilah salah. Oleh itu tanyalah pada yang berhak. Diam juga kerana hak.

Belajarlah mengurus diri. Mengurus jadual. Mengurus sistem. Jika dulu sewaktu LM kau diperah untuk menulis rancangan mengajar (RM) dengan sempurna. Sekarang semua itu menjadi sejarah. Tidak diperlukan lagi. Namun jika boleh membuatnya dialu-alukan. Sementelah kau belum menjadi pakar, RM boleh menjadi panduan setiap kali mengajar. Amalan yang baik masih boleh diteruskan.

Peraturan di sekolah hendaklah dipatuhi. Penting untuk laporan prestasi terbaik di hujung tahun. Pakaianmu. Tugas-tugas yang diberikan kepadamu. Pergaulanmu. Tindakan-tindakanmu. Kesemuanya mestilah berpandukan Perintah-perintah Am (General Orders). GO ringkasnya. Sebuah perundangan. Bukunya tebal. Belilah di kedai untuk simpanan dan rujukan. Bab A adalah mengenai perlantikanmu. Bab D adalah hal-hal yang berkaitan dengan disiplin. Antara Bab B dan C ada kaitan dengan kursus, tugas dan naik pangkat. Bacalah dan fahami supaya nanti banyak perkara kau ketahui. Panduan-panduan untuk menjadi guru yang sesuai untuk negara. Memberi bakti tetapi pada masa yang sama menjaga kebajikan diri.

Jangan lupa. Banyak etika yang tidak bertulis. Tidak tersurat. Bagi guru perempuan, bolehkah memakai seluar? Jean? Lihat keliling. Sekarang musim cuti. Ada tak guru yang berpakaian begitu? Jika ada perhatikan bentuknya. Fesyennya. Mesti ada garispanduan yang perlu difahami. Guru lelaki, bolehkah memakai jean? Pakaian hendaklah dijaga. Kau ikutan. Kau model. Kau teladan. Kau adalah contoh terbaik untuk diikuti pelajar-pelajarmau.

Jangan ghairah mengajar subjek yang bukan teknikal. Kenapa ya? Ada subjek yang dikira kritikal. Bukan tenat tetapi sangat-sangat diperlukan dalam sistem pendidikan kita. Guru-guru yang terlibat dengan subjek teknikal akan mendapat elaun kritikal. Tidak banyak tetapi beratus juga setiap bulan. Jika selama bertahun-tahun, tentu nanti boleh membeli kebun. Bendang serelung dua. Getah dan kelapa sawit. Atau berternak ikan dan ayam. Bagi yang ke Sabah dan Sarawak lebih besar lagi elaunnya. Elaun wilayah mencecah 17% gaji pokok. Rumah percuma. Tambang pergi balik percuma setiap dua tahun. Percuma itu termasuk isteri/suami dan anak-anak. Boleh simpan duit.

Apapun. Santaikan diri. Take stock. Plan your future, starting from today. Tiada siapa yang boleh mengganggumu kecuali kau rela diganggu. Perancangan masa hadapanmu kau sendiri penentu dengan izin Allah. Buatlah perancangan tiga atau lima tahunan. Capai tahap demi tahap hingga kau gapai awan. Kau mengangkasa dirimu.

No comments:

Post a Comment