Sceptism di kalangan pelajar dan warga PLSP. Itulah persepsi saya sewaktu mula tiba di PLSP pada 1 Oktober 1994. Tugas saya menjadi Ketua Bahagian HEP. Jaga pelajar dan kebajikannya. Saya bukan orang yang pertama. Ada sebelum saya. Pinjaman dari politeknik. Tidak lama. Ia kembali ke politeknik. Suasana universiti dan politeknik berbeza. Iklimnya terlalu jauh. Badan berkanun dan memiliki autonomi memberikan ruang yang luas kepada universiti untuk bergerak. Mereka yang datang dari luar sistem ini terasa banyak kejutan. Kejutan pentadbiran dan kejutan budaya. Pada peringkat awal memang sukar. Banyak lagu dan tari yang kena belajar. Barangkali saya beruntung. Pengalaman mengendalikan pelajar di Politeknik Ungku Omar (PUO) dan SMT Johor Bahru membantu meringankan tugs saya. Sedikit sebanyak dapat saya kendalikan karenah pelajar. Bukan sedikit. Mereka pula graduan politeknik sama ada sijil atau diploma. Sudah matang dan berada dalam usia dewasa. Ramai yang sudah berumahtangga.
Pelajar yang namanya pelajar di mana-manapun banyak yang tidak difahami. Waktu saya di PUO dulu banyak juga hal-hal pentadbiran yang tidak saya ketahui. Lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan bajet dan keutamaaan pentadbiran. Pegawai rendah lazimnya tidak didedahkan tentang bajet dan peruntukan atau geran kewangan yang diterima dari pihak berwajib. Saya jadi keliru. Banyak kelirunya. Pada waktu tertentu datang makluman bahawa telefon terpaksa disekat penggunaannya kerana vot yang berkenaan sudah habis atau hampir habis. Pada masa yang sama, pihak pentadbiran membeli berbagai-bagai pokok bunga. Melanskap kawasan dengan belanja yang besar. Tanpa pengalaman mengurus kewangan saya menjadi bingung seketika. Banyak sangat paradoxnya.
16 Disember 1990, saya berpindah ke Politeknik Batu Pahat (PBP). Kampus asal UTHM sekarang. Bbarulah saya mempelajari peruntukan-peruntukan yang diberikan kepada PBP. Peruntukan itu dalam bentuk vot yang berbeza kerana untuk kegunaan yang berbeza. Tiada silangan penggunaannya. Satu vot untuk satu kegunaan sahaja. Bagi HEP PLSP ketika itu adalah peruntukan aktiviti pelajar yang jumlahnya sekitar RM150,000 setahun. Dengan peruntukan itulah aktiviti pelajar dijalankan. Berjalanlah aktiviti kembara, agama, sukan dan aktiviti sosial yang lain. Persatuan dan MPP galak menjalankan aktiviti.
Aktiviti pelajar tidak banyak masalahnya. Bila hendak membuat aktiviti, pelajar hendaklah membuat kertas kerja. Berbagai perincian diperlukan. Khususnya tentang bajet. Jika terdapat kesalahan, kertaskerja itu dipulangkan kepada pelajar untuk pembetulan. Pelajar merasakan payah untuk berulang alik ke pejabat HEP hanya kerana membuat pembetulan. Di sinilah masalah timbul. Pelajar merasakan kesilapan-kesilapan itu boleh dibetulkan oleh HEP sendiri. Malangnya andaian itu tidak seperti disangka. Pembetulan hendaklah dibuat oleh pelajar. Mereka adalah owner program yang dirancang. Pihak lain tidak boleh mengubah sesuka hati. Nothing should be imposed. Everything must be at acceptable level. Pemilik kertaskerja dan program itu bertanggungjawab penuh akan apa yang hendak dijalankan. Tanggungjawab itu yang perlu dipikul. Tanggungjawab akhir tetap HEP dan Universiti.
Beberapa bulan awal saya di PLSP, masalah besar yang dihadapi pelajar ialah biasiswa mereka yang selalu lambat. Al-maklum, pelajar matang biasanya banyak komitmen. Mungkin untuk ibu bapa. Mungkin untuk isteri dan anak-anak. Lambat sehari dua boleh tahan. Seminggu dua masih boleh bersabar. Tetapi jika sebulan atau dua bulan belum ada beritanya, mereka became agitated. Kegelisahan yang melampau. Banyak perkara menjadi tidak kena. Maka HEP menjadi sasaran. Ketua Bahagian HEP menjadi tempat melepas geram. Kepada pelajar, HEP yang sengaja melengah-lengahkan bayaran. Jenuh diterangkan, payah juga untuk faham.
Suatu hari ditampal memorandum yang intipatinya ialah 'pelajar hilang kepercayaan kepada Ketua Bahagian HEP'. Sayalah tu. MPP ketika itu penganjurnya. Kebetulan Presiden, timbalannya dan sebahagian besar AJKnya menjadi staf UTHM sekarang. Saya hanya tersenyum membaca memorandum itu. Pelajar memandang saya satu macam sahaja. Jika mereka tunjukkan memorandum itu kepada saya sebelum ditampal merata-rata, saya pasti menandatanganinya. Saya tidak ada masalah. Untuk menampal hendaklah ada keizinan HEP. Oleh kerana tampalan-tampalan itu tiada keizinan HEP maka saya arahkan pegawai-pegawai HEP untk menurunkan memorandum itu. Bantahan itu tidak sahih dari segi legalnya. Pihak pentadbiran tiada masalah dengan saya. Pengarah dan timbalannya ketika itu tidak pernah bertanya atau menyebut tentang memorandum itu. Dalam mesyuarat pengurusan tidak ada juga agenda untuk membincangkannya.
Sitiuasinya sangat jelas. Selagi geran biasiswa dari Kementarian Pendidikan tidak diterima, bayaran kepada pelajar memang tidak dapat dilakukan. Geran itu pasti melalui Pengarah dan bendahari. Mereka maklum terlebih dahulu. Jika HEP yang lewat tentulah mereka maklum akan hal itu. PLSP ada tarikh-tarikh tertentu. Ada dateline tertentu. Noktah. Fullstop. No argument. No discussion. Saya hanya mampu menghubungi kementerian. Bertanya khabar. Bertanya bisiswa. Jika sedang diurus, saya tunggulah. Pelajar tentu tidak sabar menunggu. PLSP ketika itu tiada dana untuk membantu pelajar sebabnya kesemua pelajar menerima biasiswa. Mungkin pelajar tidak mahir menggunakannya. Atau memang tidak cukup. Biasiswa memenag bukan dalam jumlah yang mewah. Hanya sekadar secukupnya. Budgeting penting jika ingin sentiasa cukup.
Kedudukan perkara hanya terbongkar beberapa bulan kemudian. Ini bermakna lebih setahun selepas pelajar kohort pertama mendaftar di PLSP. Dalam satu majlis di PLSP, pegawai biasiswa dari kementerian bertanya saya kenapa pelajar PLSP kohort yang pertama masuk lewat dari universiti lain. pelajar universiti lain mendaftar pada bulan Disember tetapi pelajar PLSP mendaftar pada bulan Januari. Allahuakbar. Ini rupanya punca masalah. Saya menafikan fakta itu.
Alhamdulillah saya terlibat sejak dari mula penubuhan PLSP. Dari mendraf Letter of Intent hingga majlis perasmian tertubunhya PLSP. Saya hadir dalam perasmiannya oleh Al-marhum Dato' Dr Sulaiman Daud, Menteri Pendidikan ketika itu. Kebetulan saya sedang memangku jawatan Pengetua PBP selepas pengetuanya kembali ke rahmatullah. Perasmian PLSP pada 16 September 1993 (Hari Malaysia sekarang). I Oktober saya dipindahkan ke SMT Johor Bahru. Pelajar pertama sepatutnya mendaftar pada hujung tahun 1993 sama seperti universiti yang lain. Sama seperti UTM yang mengendalikan PLSP. Oleh kerana ada hal-hal teknikal yang tidak beres, maka pengambilan pelajar bermula pada awal tahun 1994. Implikasinya ialah PLSP terkeluar dari arus perdana pengambilan pelajar semua universiti di Malaysia ketika itu. Jadinya, biasiswa pelajar tidak diurus serentak dengan biasiswa untuk pelajar IPT yang lain. Bila kesemuanya selesai barulah biasiswa pelajar PLSP diuruskan. Tetapi tidak pula disegerakan. Mereka lewatkan pula sebulan dua selaras dengan lewatnya mereka mendaftar dahulu. Awal tahun 1994. Dengan maklumat itu barulah bahagian biasiswa Kementerian pendidikan mengambil maklum.
Mulai saat itu biasiswa pelajar mula agak cepat. Biasanya bila geran sampai, kerani HEP mengambil masa antara tiga hingga lima hari untuk menyempurnakan semua perkiraan yang diperlukan. Templatenya sudah ada. Isi mana yang berubah sahaja. Jumlahnya dan potongan-potongan yang perlu sudah dimasukkan angkanya. Dengan pengesahan bendahari dan pengarah, wang itu dimasukkan ke akaun pelajar sesegera yang mungkin. Selesailah satu episod. Menyusul nanti episod masalah kelewatan yang lain pada semester berikutnya.
Ada rahsia yang tidak pernah saya ceritakan kepada umum. Ada satu fakta yang membantu saya untuk mempercepatkan geran biasiswa dari kementarian. Kebetulan seorang adik ipar saya bertugas di bahagian komputer di kementerian. Noriah namanya. Sebagai pegawai rendah dia biasalah bergaul dan rapat dengan staf rendah yang lain. Saya tahulah bahawa yang menguruskan biasiswa bukan pegawai tinggi. Kerani-kerani yang ada di pejabat. Mereka ikut prosedur seperti digariskan ketua-ketua mereka. Di sini advantage saya. Bila biasiswa tidak sampai pada tarikh dijangka, saya hubungi Noriah. Dia pula pandai mereka-reka cerita. Kemudiannya dia hubungi kerani biasiswa kononnya pelajar PLSP sudah tak betul makan minumnya kerana biasiswa lambat. Ramai yang berlapar. Kerani itulah yang selalu membantu saya mempercepatkan biasiswa pelajar PLSP. Sayapun tidak tahu namanya. Noriah tidak pernah memberitahu saya. Noriah, abang ucapkan jutaan terima kasih kerana membantu abang dulu. Terima kasih. Sampaikan terima kasih abang kepada kawan yang bantu dulu. Mudah-mudahan murah rezeki kau orang berdua.
Untuk bekas pelajar PLSP, ITTHO, KuiTTHO. Untuk alumni UTHM. Itulah sedikit usaha yang saya lakukan untuk selalu mempercepatkan biasiswa anda. Peluang inilah saya maklumkan kedudukan perkara. Saya percaya ramai yang akan membacanya. Ramai antara anda sudah menjadi pensyarah di UTHM sendiri. Ramai yang berada di Politeknik. Ada yang di kementerian. Ada yang Kolej Komuniti. Saya tidak suka berdalih sewaktu menjadi Ketua Bahagian HEP. Jika ada saya katakan ada. Jika tiada saya katakan tiada. Itu bukan wang saya. Bukan juga wang PLSP. Lambat atau cepat bergantung kepada kementerian. HEP dan PLSP hanya mampu menunggu. Hanya mampu bertanya. Saya tiada kuasa memerintah dan mengarah. Not anybody from PLSP. Kami dari dua dunia yang berbeza. Birokrasinya jelas. Masing-masing ada bidang tugas yang berbeza.
Sekarang anda semua sudah bekerja. Ramai yang sudah menjadi pentadbir. Didiklah orang-orang di bawah anda untuk belajar memahami keadaan. Berilah faham kepada pelajar anda supaya mintanya mengikut landasan. Supaya hikmah dan berhemah. Bila meminta bukan mesti menuntut yang hak. Kadang-kadang hak itu bukan keistimewaan. Not a privilage. Kadang-kadang ianya suatu anugerah yang mesti disyukuri. Tanpanya mungkin anda semua bukan berada pada kedudukan dan tahap sekarang. Di sepanjang perjalanan hidup dan kejayaan anda ada tangan-tangan yang menghulur. Ada orang-orang yang membantu. Dalam kejayaan siapapun pasti di belakangnya ada tangan-tangan kecil yang membantu. Menyelamatkan suasana-suasana kalut yang tidak menentu. Tolehlah ke belakang. Mereka semuanya tetap berada di tempat itu. Mereka hanya membantu. Mereka tidak pernah menumpang kejayaan orang lain. Nama mereka tidak pernah terpahat di mana-mana. Selamat berjaya dalam kehidupan dan kerjaya anda semua.
No comments:
Post a Comment