Wednesday, September 15, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Ketiga Puluh Tiga

Dari politeknik saya kembali ke sekolah. 1 Oktober 1993 berhijrah saya ke Sekolah Menengah Teknik (SMT) Johor Bahru. Sebelum dipindahkan ke sekolah saya merayu kepada Datuk Syukur, Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasiosnal waktu itu supaya saya kekal di Pusat Latihan Staf Poiteknik (PLSP). Wala bagaimanapun katanya, saya lebih baik berada di sekolah. Lagipun katanya mungkin saya sudah sampai ketika untuk naik pangkat. Sayapun bukan jenis yang suka mendesak sangat. Mungkin benar katanya. Maka berhijrahlah saya ke Johor Bahru (JB).



Saya tidak pernah tinggal di JB. Banyak kejutan yang saya alami. Saya rasa sukar hendak mencari barang keperluan rumahtangga. Makanan tidak menjadi masalah. Cuma yang saya rasa mahal ialah ikan. Pada tahun 1993 ikan kembung berharga kira-kira RM9.00. Di Batu Pahat sekitar RM6.00. Di Ipoh pula kira-kira RM4.50. Rupanya semakin ke selatan semakin mahal pula. Kejutan paling besar sebenarnya berlaku di Batu Pahat pada hari raya tahun 1991. Cili merah berharga RM20.00 sekilo. Gila saya kata. Di Ipoh pada tahun sebelumnya hanya kira-kira RM4.00 sekilo. Al-maklumlah Ipoh berhampiran dengan Cameroon Highlands. Tentu lebih dekat dan lebih murah. Kos penghantaran lebih murah.



Di JB saya berbelanja di pasar Larkin. Jarang pula saya ke pasar besar. Sesekali pergilah juga jika ada keperluan. Walau bagaimanapun saya tidak begitu selesa di JB. Banyak kekangan yang sukar dihuraikan. Pakaian pula saya tetap beli di Batu Pahat atau Parit Sulong. Banyak kemudahannya. Di JB kedai kain payah sedikit. Seperti terhad jadinya. Pasarraya ada tetapi belum besar dan banyak seperti sekarang. Banyak benar susahnya. Bagi orang JB, mereka tetap selesa. Pendatang seperti saya yang merasa sukarnya. Belum biasa agaknya. Atau mungkin mereka masih ke Singapura untuk mendapatkan keperluan mereka. Entahlah. Bila banyak merantau saya tidak dapat mengelak dari membuat perbandingan. Rasanya Ipoh antara tempat paling menarik bagi saya. Pengamataan dna pengalaman tinggal di Kuala Terengganu, Batu pahat, JB, Ipoh dan Kuala Lumpur. Kuala Lumpur barangkali berada dalam kategorinya yang tersendiri. Segala-galanya ada tetapi kekalutannya yang membuatkan saya rimas.



Di SMT saya menjadi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid atau ringkasnya GPK (HEM). Lebih dikenali sebagai HEM sahaja. Pada dasarnya tugas HEM nampak biasa sahaja. Bila diteliti barulah terrasa beban yang perlu ditanggung. Serba serbi mengenai murih saya yang bertanggungjawab. Maka berlalulah suatu siri pengalaman yang kadang-kadang indah dan ada masanya perit juga. Alhamdulillah pengalaman mengendalikan pelajar di PUO dulu banyak membantu. Semua pengalaman lama diaplikasi semula. Banyak juga pengalaman baru yang ditempoh. Sekolah berbeza dengan politeknik. Di sekolah saya berurusan dengan set pentadbir yang berbeza. Staf akademik yang berbeza. Pekerja yang berbeza. Umur pelajar yang berbeza. Etika dan peraturan yang berbeza. Persekitaran berbeza. cara bekerja berbeza.



Saya juga secara tidak langsung menjadi ketua waden. Maka 24 jam saya bertugas. Urusan pelajar tidak pernah bertemu dengan titik noktah. Pada hari persekolahan 24 jam itu perlu ditunaikan. Tidur tetap tidur. Tetapi boleh dijekjutkan pada bila-bila masa. Masalah pelajar tidak pernah berhentinya. Yang sakit jangan dikira. Yang nakal tidak pula diabaikan. Yang ada masalah kelurga tidak boleh dibilang banyaknya. Jika pagi hari Sabtu ada sahaja permohonan untuk keluar dari sekolah atau balik kampung kerana berbagai-bagai urusan. Saya jarang menyekat. Jika ada bukti dan alasan yang menasabah, saya memberi keizinan. Alhamdulillah, tiada yang memberi masalah kepada saya. 11 bulan di SMT tiada yang mengganggu tugs hakiki saya.



Di asrama banyak juga urusannya. Selain dari bilik, katil dan bilik air, saya perlu mengawasi penyediaan makanan. Setiap pagi saya baca laporan tentang menu dan hidangan. Ada yang tak cukup. Ada yang kurang. Cukup bulan semuanya perlu diselaraskan. Pemotongan bayaran di sana sini. Perlu ada kebijaksanaan untuk membuat perundingan dengan kontraktor. Jika silap, keadaaan menjadi tegang. Jika lancar, pelajar yang menikmati manfaatnya. Pertemuan bulanan dengan pembekal makanan di asrama mesti diadakan. Ya mesti. Dalam pertemuan itu semuanya mesti dibereskan. Dakwaan pelajar mesti disahkan oleh pembekal. Berapa nilan yang saya hendak tolak, pembekal tiada bantahan. Adalah suatu perlanggaran kontrak kerana membekalkan makanan dengan jumlah yang tidak mencukupi. Hak pelajar tidak ditunaikan. Saya bagi pihak sekolah menjadi pemegang amanah. Jalankan tugas seperlunya. Saya pula tidaklah zalim. Saya tidak mendenda pembekal dengan jumlah yang tidak masuk akal. Saya tolak bayaran bulan pembekal sekitar RM1,000 hingga RM3,000 bergantung kepada jurang bekalan yang disediakan. Bergantung kepada nilai dan kualiti makanan yang sepetutnya dibekalkan. Seperti pernah saya ceritakan, wang yang terkumpul sekolah belanjakan semula untuk mengenyangkan pelajar yang mengambil SPM pada hujung setiap tahun. Pada hari-hari sehingga tamat peperiksaan pelajar dijamu dengan berbagai makanan tambahan selepas waktu belajar setiap malam. Bertukar-tukar menu dari sate, roti canai, mee goreng, murtabak, nasi ayam, mee rebus, rojak dan sebagainya. Perut pelajar kenyang. Hati mereka senang. Kepurtusan SPM ramai yang cemerlang.



Saya tidak berapa selesa dengan keadaan di asrama sebenanrnya. Di mana sekolah sekalipun kedaannya hampir sama. Kebersihan tidak pernah tip-top. Keceriaan biasanya ala kadar sahaja. Hiasan taman atau lanskap terabai. Hiasan dalamannya memang mana ada. Di sekolah asrama penuh sekalipun keadaan yang serupa dapat kita lihat. Semacam ada sesuatu yang tidak kena. Cuma yang baiknya, semua pelajar adalah pilihan belaka. Mereka memang sudah teruji rajin belajar. Memiliki kebijaksanaan. Atau bestari kata orang sekarang.



Sekolah berasrama kekurangan bajet untuk keceriaan dan kecantikan. Semangat kondusif itu tidak perlu difikirkan sangat. Yang penting ialah kualiti pengajaran dan kualiti pelajar yang dilahirkan. Namun begitu pelajar-pelajar yang tidak terdidik dengan kekemasan dan keceriaan ini mendewasa sebagai manusia yang kosong dari segi seni dan estetika. Tidak pandai untuk memperbagaikan keadaan. Tidak pandai membina ruang. Tidak cekap membina kesepaduan dengan keadaan sekelilingnya. Akhirnya terbina sikap tidak apa. Sikap malas memikirkan. Malas untuk menjadi ceria. Hidup menjadi kaku dan jumud. Idea baru tidak pernah di tunggu atau dilahirkan. Mengikut arus sahaja.



Paling daif selalunya ialah bilik air. Lazim sangat pintunya sudah tidak ada. Temboknya berkulat dan menggerutu. Tandas pula comot dan berkarat. Secara teori kita mendidik murid-murid supaya menjaga dan mengurus kebersihan. Yang kita pamerkan adalah sebaliknya. Paradox. Tiada beza dengan keadaan yang ada di rumah mereka. Seolah-olah guru adalah orang biasa-biasa yang tidak ada bezanya dengan ibu bapa murid. Guru barangkali tidak berjaya menzahirkan yang terbaik untuk mendidik murid-muridnya. Ibu bapa murid. Pentarbiahan ini jarang terlaksana. Maka berulanglah kebiasaan tidak bersih selamanya. Di rumah, di pejabat, di jalan raya, di sekolah, di pasarraya, di masjid dan di mana-mana sahaja ada manusia Malaysia. Orang Islam i.e. orang Melayu sangat diragui keupayaannya dari segi kebersihan.


Bayangkan berada dalam bilik air tanpa pintu. bagaimana mereka mandi? Tanpa mengira lelaki atau perempuan? Maka tidak menjadi suatu yang menghairankan apabila pelajar mandi dalam keadaan tidak berlapik. Mereka tidak terdaya membawa kain basahan mandi. Tidak diajar menggunakannya. Di mana pula nanti hendak disidai. Barangkali, ya barangkali Pengetua dan warga sekolah yang lain cuba-cubalah berada dalam bilik air pelajar sewaktu mereka mandi. Lihat secara live. Unplugged lagi. barulah nanti ada sedikit tindakan yang waqras untuk memperbaiki keadaan. Di Barat perlakuan itu memang benar. Mereka bukan sahaja tidak membina akhlak bahkan juga tiada moral. Lagipun apalah yang hendak difikirkan sangat. Mereka bersama mereka sendiri. Sama jantina. Tidak ada segan dan silu. Jila perasaan itu terlalu kuat mereka tentu tidak boleh mandi selama berada di asrama. Suatu keadaan yang tidak mewajarkan dari segi etika, moral dan syariat.

Saya jadi keliru bila memikirkan hal tersebut. Berapalah sebenarnya kos menyediakan pintu bilik air yang standard, berkualiti dan heavy duty. Ironis kerana sekolah membina pagar sekolah yang berbentuk tembok mengelilingi sekolah. canggih dan cantik. Pintu bilik air terabai tanpa berpintu. Perpustakaan kekurangan bahan bacaan. Kadang-kadang keutamaan tidak menjadi fokus yang terbaik. Kurikulum dn akademik serta yang menyokong ke arah itu secara langsung diabaikan. Pagar dan tembuk itu penting dari segi keselamatan. Tetapi melebihkan akademik dan keperluannya tentulah lebih pentingnya. Sekolah ingin membina kecemerlangan pelajar. Lalu sumber secara langsung harus diutamakan.

No comments:

Post a Comment