Politeknik Ungku Omar (PUO) membentuk sejarah profesional saya. Pengalaman di PUO selama 12 tahun menjadi bekal terbaik saya semasa mengendalikan Hal Ehwal Pelajar di PLSP, ITTHO dan KUiTThO. Malah sebelum itu hidup saya banyak mengendalikan pelajar di PUO.
Saya tidak pernah bersekolah di sekolah berasrama. Selepas tingkatan tiga dahulu (1963) ramai teman-teman sekelas yang ke STAR dan ke SDAR. Teringin juga untuk bersama teman-teman tersebut. Apakan daya keperluan dan persediaannya cukup menakutkan arwah ibu saya. Barangkali ada kesilapan di mana-mana. Sekolah berasrama penuh asalnya untuk mereka yang berpendapatan rendah. Yang duduk di luar bandar. Tetapi bagi pelajar baru mereka diminta bersedia dengan pakaian baru, perkakas baru. Kosnya mencecah ratusan ringgit. Pada tahun 60an puluhan ringgitpun sukar diperolehi. Inikan pula ratusan ringgit. Maka terlepaslah peluang saya untuk menggapai yang lebih baik. Sekarang kosnya lebih gila lagi. Mungkin mencecah empat angka. Tetapi kerana sekarang ringgit mudah diperolehi, empat angka masih ramai yang menggagahinya juga.
Sekolah berasrama penuh merupakan suatu janji yang indah. Mereka yang lulus dengan baik darinya dijanjikan dengan harapan-harapan yang muluk-muluk belaka. Kebanyakannya ke luar negara. United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Canada. Negara-negara idaman pelajar ketika itu. Yang lebih indah ialah mereka pergi berbekalkan keptusan peperiksaan percubaan dan bukan keputusan peperiksaan SPM yang sebenar. Begitulah yakinnya agensi kerajaan yang terlibat dengan sistem pendidikan di sekolah berasrama penuh. Pelajar-pelajarnya seolah-olah dijamin lulus. Bukan itu sahaja, mereka dijamin lulus dengan sekurang-kurangnya kepujian. Hakikatnya ramai yang cemerlang kerana mereka adalah pelajar-pelajar pilihan. Sudah teruji dari segi kurikulum dan kokurikulum.
Kesemuanya itu hanyalah kenangan. Asrama penuh yang pernah saya huni hanyalah Institut Bahasa Kuala Lumpur semasa mengikuti kursus sijil perguruan dahulu. Rupanya sekolah berasrama penuh ini menyapa semula saya setelah beranak pinak. Alhamdulillah kesemua anak-anak saya lulusan sekolah berasrama. Cuma yang ketujuh setakat Tingkatan 2 sahaja. Yang bongsu pula di sekolah asrama harian. Setelah dia keluar, barulah sekolahnya dinaiktaraf menjadi sekolah berasrama penuh.
Tidak mengapalah. Saya meredakan diri dan perasaan. Mungkin bukan rezeki saya. Jalan saya menuju puncak melalui rentasan yang lebih jauh. Saya kena terima hakikat itu. Tidak semua peluang terbaik dapat saya gapai. Hak saya hanya cebisan dari apa yang orang lain dapat. Namun begitu rezeki tidak ke mana. Allah menentukan kesemuanya. Qada' dan qadar itu milikNya. Kesemuanya dengan keizinanNya. Jika sudah ketentuanNya begitu, redha sahaja yang boleh. Bersyukur kerana anugerahNya walau bagaimana sekalipun bentuknya. Ia tetap rezeki. Allah yang beri. Pernah saya ceritakan penglibatan saya dengan disiplin pelajar sewaktu saya di Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin Kuala Terangganu. Saya kerap menjalankan tugas disiplin walaupun saya bukan guru disiplin yang sebenarnya. Minat saya ialah meletakkan pelajar supaya mematuhi peraturan. Saya lemas jika ada orang yang melampaui garis-garis pemisah antara boleh dengan tidak boleh. Hak dengan batil. Benar dengan salah. Ya dengan tidak.
Disiplin bukan untuk menghukum pelajar. Ia adalah maslahah umum yang perlu dijaga. Apabila seorang pelajar tidak memakai setokin, kita tidak nampak kesannya. Tetapi bila ramai yang terlibat, keadaan sudah menjadi sukar dikawal. Pengetua menjadi pening kepala. Dalam teori pengurusan, apabila seseorang bersungut tentang sesuatu, pengurusan hendaklah mengambil berat untuk membetulkan keadaan. Jika 90% ahli organisasi membuat tuntutan, pengurusan menjadi tidak berdaya untuk memenuhi tuntutan itu. Oleh itu perkara kecil jangan diabaikan. Ada signifikannya. Takut apabila ia jadi merebak dan membesar. Sukar untuk dibendung.
Disiplin harus dilaksanakan dengan berhemah. Pendidik mengetahui hal ini. Disiplin adalah untuk mendidik, mengasuh, membimbing dan menunjuk jalan. Cuma lazimnya keadaan menjadi kacau. Disiplin dijadikan alasan untuk menghukum. Hati muda yang mentah masih belum memahami apa sebenarnya disiplin. Di rumah keadaan itu mungkin tidak wujud. Peraturan di sekolah diterapkan dengan ugutan dan ancaman. Bukan lagi dengan kasih sayang seperti ibu bapa di rumah. Guru jadi seperti ibu dan bapa tiri zaman dahulu kala. Pengamatan saya menakutkan saya. Sukar mencari guru yang tidak marah-marah kepada anak didik mereka. Semuanya dilihat salah belaka. Kadang-kadang pelajar tidak memahami apa yang guru marahkan.
Saya tidak dapat menggambarkan bosannya pelajar bila menjelang pagi Isnin. Saya yang pernah menjadi guru di sekolah, terasa bosan mendengar leteran demi leteran. Tidak cukup dengan pengetua. Yang lain-lain juga serupa. Baik GPK, baik guru disiplin. Menjadi rutin mingguan. Mereka pasti dimarahi pada pagi itu. Bukan kerana mereka bersalah tetapi kerana mereka berada di sekolah. Kerana mereka berada di perhimpunan mingguan. Kerana mereka memiliki sepasang telinga yang boleh mendengar. Secara psikologi, tidak ada siapa yang bersedia dimarahi oleh orang lain. Malangnya dalam sistem persekolahan di Malaysia di sekolah rendah sahaja pelajar mendengar leteran sebanyak 240 kali. Setahun 40 kali. Di sekolah menengah pula leteran itu bersambung. Lebih canggih leteran yang mereka dengar. Selama 5 tahun mungkin mereka mendengar sebanyak 200 kali.
Sesuatu yang tidak kita sukai tetapi dipasakkan ke telinga kita setiap minggu, maka hendak tidak hendak cara, budaya, sifat dan sikap guru diserap oleh pelajar. Bila mereka dewasa mereka menjadi orang-orang yang sadis, pemarah, bengis dan ganas terhadap orang-orang yang mereka sayangi. Sama seperti guru mereka memarahi anak-anak didik mereka yang sepatutnya dikasihi. Apatah lagi di sekeliling kita dipenuhi dengan orang-orang yang pemarah. Kadang-kadang sukar mencari drebar yang tidak marah-marah sewaktu di jalan raya. Dalam drama di TV, marah-marah menjadi trade mark pelakon-pelakonnya. Anak-anak kita dikelilingi oleh manusia yang marah-marah. Mereka menjadi dewasa dengan hati yang marah-marah. Entahlah, mungkin igauan saya. Sekarang ini terlalu ramai warga kita yang ganas. Mereka mewarisi dendam dan mencari pembalasan agaknya. Pengajaran yang terlalu lama kita berikan kepada mereka. Barangkali pengamatan saya ini perlu kajian untuk substiantiate isi dan faktanya. Saya ngeri dengan apa yang saya rasa. The future will get worse.
Saya selalu menganjurkan bahawa sesuatu perubahan perlu dilakukan oleh mereka yang mendapat idea untuk merubahnya. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk melaksanakannya. Orang tidak akan faham apa yang kita cadangkan. Menongkah arus tentulah menyukarkan pemikiran oran lain untuk menerimanya. Perubahan hanya milik orang yang ingin melakukannya. Orang lain mungkin sukar memahaminya. Hanya mereka yang setara dapat menyelam kehendak orang lain. Yang lain boleh membaca tetapi tidak terdaya mengikut rentak.
Cuma, tidak semua orang memiliki kekuatan untuk membuat perubahan. Bakat-bakat yang boleh membantu perubahan perlu dijana. Perlu dirangsang. Perlu disapa. Jika dirisik idea mereka, mungkin terhambur nanti saranan dan hipotesis indah untuk merubah keadaan. Alam sekeliling kita penuh dengan ruang-ruang kelabu yang perlu dicerahkan. Yang perlu diterangkan. Yang perlu dilihat dengan minda terbuka. Minda yang boleh membelah ruang-ruang sempit yang perlu dilebarkan. Yang perlukan perhatian. Yang menjadi pemangkin untuk melakukan perubahan.
Pesan saya, jangan suruh orang lain untuk berubah. Kita mulakan perubahan yang mungkin tidak digemari oleh orang lain. Yang penting ada kewarasan. Ada rationale untuk merubah sesuatu. Mungkin academic exercise. Selain dari itu mungkian suatu neccesity. Lakukanlah jika ada urgency untuk itu.
No comments:
Post a Comment