Thursday, March 11, 2010

Melepaskan Anak-Anak Mencari Tapak Kehidupan

Selepas 39 tahu berumahtangga, selepas mendapat 9 orang anak, semalam 11 Mac 2010 tamatlah episod urusan sekolah anak-anak. Tarikh 11 Mac 2010 terakam sebagai tamatnya debaran kesembilan dalam sejarah memandai dan memanusiakan anak-anak. Alhamdulillah, Nur Zahin Rifhan, anak kesembilan saya, anak bongsu yang bayak menyerupai wajah kakak sulongnya cuba menjejaki kakak-kakak dan abang-abangnya. Tarikh itu mengesahkan tahap akademiknya dengan mendapat 2 A+ (bahasa Malaysia dan Matematik Moden), 2A (Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab), 5A- (Fizik, matematik Tambahan, Sejarah, Al-Quran dan Al-Sunnah, Syariah), 1B (Biologi) dan 1C+ (Kimia).


Menyorot semula sejarah, anak sulong mendapat 6 agregat, yang kedua 7 agregat, ketiga 13 agregat, keempat 6 agregat, kelima 6 agregat, keenam 11A, ketujuh 6A, kelapan 10A dan yang terakhir kesembilan 9A+ 1B + 1C+. Perjalanan akademik mereka berbagai.


Anak sulong ke USA tajaan JPA

Kedua ke USA tajaan JPA

Kegtiga ke UTHM tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia

Keempat ke UTP tajaan Petronas

Kelima ke UIAM tajaan JPA

Keenam ke UK tajaan JPA

ketujuh ke UiTM pinjaman PTPTN

Kelapan ke al-Azhar, Mesir tajaan Yayasan Restu di bawah naungan Amanah Raya Berhad


Saya amat bersyukur kepada Allah. Saya dianugerahkan anak-anak yang baik akademiknya. Saya hanya menyediakan minda dan persekitaran mereka dengan dunia ilmiah. Banyak mana sekalipun hiasan dalam rumah, banyak manapun perbelanjaan untuk berhibur, banyak manapun kos untuk keperluan-keperluan lain, keperluan akademik anak-anak tidak boleh diabaikan. Dalam rumah wajib dipenuhi dengan ruang yang kondusif dengan kemudahan belajar, sumber ilmu. Buku, majalah dan bahan-bahan rujukan mesti disediakan. Semasa kanak-kanak mereka hendaklah dipenuhi dengan rihlah ilmu. Bawalah merek ke muzium, zoo, pantai, hotel, kampung, pusat sains dan ke mana sahaja yang dapat membuka minda dan mata mereka supaya sentiasa boleh menerima pendidikan.


Dari sejak mereka dilahirkan, ibu bapa hendaklah fokus dalam hal ini. Seawal umur 2 tahun wajib diajar untuk mengaji al-Quran, membaca rumi, jawi dan Inggeris. Didik mereka dengan segala hal yang perlu sebagai anak-anak. Sebagai ibu bapa kita hendaklah menunjukkan sari teladan yang memang sepatutnya dilakukan sebagai orang Islam yang mendokong Islam sebagai perjuangannya. Perlihatkan, pamerkan, tunjukkan dan ajaklah anak-anak untuk melakukan yang baik, yang medatangkan kebaikan, mendatangkan pahala, yang menjamin redha Allah.


Makan dan minum anak hendaklah pastikan yang halal, suci, berkhasiat. Pastikan sumbernya halal, penyediaannya suci dan bersih, penjualannya tidak menimbulkan keraguan, digunakan dengan teratur.


Sebagai ibu bapa, kita tidak cukup hanya menyediakan yang perlu sahaja. Ibu bapa seharusnya menyediakan yang terbaik untuk anak-anak. Memanglah zaman saya dulu payah belaka. Itu zaman yang sudah berlalu. Dalam era ini, ibu bapa harus bersedia lebih awal merencanakan pembentukan keluarganya. Anak ramai atau sedikit bukan isunya. Perancangan ibu bapa mestilah mantap untuk kesinambungan keturunannya.


Untuk berumahtangga tidak menjadi kesusahan. Siapa sahaja boleh bernikah kahwin. Episod sukar akan bermula apabila sesuatu pasangan mendapat anak. Semakin anak bertambah maka bergandalah masalahnya. Persekolahan dan pendidikan adalah antara aspek yang sangat merumitkan. Barangkali perlu diadakan kursus-kursus keibubapaan khusus dalam pengurusan sekolah anak-anak. Dari tadika (umur 5 tahun) hingga tingkatan 5 (18 tahun) adalah suatu jangkamasa yang panjang. Itu satu pusingan untuk seorang anak. Saya ada 9 orang anak. Kenalah melalui 9 pusingan itu. Jika lebih ramai anak, maka berputarlah masa silih berganti seperti tidak habis-habis urusn anak-anak.


Semasa bertugas, saya pastikan bahawa saya menjalankannya dengan penuh keikhlasan, dedikasi, tulus, amanah dan jujur kepada diri sendiri. Semuanya mestilah kerana Allah. Saya tidak pernah mengajar sembilan orang anak saya secara formal. Mereka semua diajar oleh orang lain, guru mereka. Saya hanya menziarahi sekolah sesekali, bertanyakan berita, merisik khabar, mendengar cerita (bait-bait lagu Salam Terakhir allahyarham Sudirman). Pertama kunjungan menghormati guru yang mengajar anak. Kedua motivasi kepada anak. Kita perihatin terhadap mereka. Ketiga hubungan antara ibu bapa dan guru tentu ada sinerginya. Gabungan keduanya memantapkan lagi langkah anak-anak menuju pulau harapan mereka. Doa saya semoga Allah balaskan usaha saya. Saya mendidik anak orang, Allah pilih guru lain untuk mendidik anak saya. Begitulah timbal balas yang Allah rancangkan untuk kita.


Kejayaan cemerlang anak-anak banyak manfaatnya. Pertamanya sumber kegembiraan keluarga. Pengiktirafan terhadap usaha anak-anak yang dibantu oleh ibu bapa dan guru-guru mereka. Kedua, melonjakkan motivasi anak-anak. Mereka ada bakat dan mereka ada peluang. Ketiga, peluang memasuki IPT sentiasa tersedia. Kelayakannya tidak ada keraguan. Keempat, peluang mendapat tajaan terbentang luas dengan syarat anak-anak memiliki ciri-ciri dan kualiti yang dikehendaki. Kelima, peluangnya untuk menamatkan pengajian, mendapat ijazah adalah lebih luas.


Bimbinglah anak-anak supaya memiliki ciri-ciri yang dikehendaki oleh bakal majikan. Ajarlah mereka supaya pandai bercakap, berhujjah, menjawab, menyoal, menganalisis, menyusun kata-kata, menyenaraikan idea dan mengemukakan cadangan dan pandangan. Didik mereka menggunakan perkataan, istilah yang betul. Didik mereka membina ayat-ayat yang cantik, padat tetapi ringkas. Direct to the point.


Jangan abaikan hal-hal yang berkaitan dengan pakaian mereka. Mereka diajar supaya sentiasa mempamerkan yang terbaik tentang diri mereka. Pemilihan fesyen, warna, rekabentuk, corak dan sebagainya. Banyak panduan yang perlu dipatuhi untuk menjadi manusia yang pelbagai fungsi.


Pastikan pemakanan mereka seimbang. Pastikan mereka tidak obese atau terlalu kurus. Majikan tidak mahu orang-orang yang bermasalah kesihatan berada dalam syarikat mereka. Sedari kecil lagi perkara ini mesti diawasi, dipantau, dibuat susulan dan diambil tindakan-tindakan yang seperlunya. Jangan terpedaya bahawa yang obese itu baik dan sihat. Sebenarnya keadaan itu mengundang masalah kesihatan.

Tingkah laku anak-anak hendaklah dipantau selalu. Pastikan rakan taulan mereka adalah yang baik-baik, keluarga rakan-rakannya baik. Ke mana mereka pergi dan berada dan apa yang mereka buat mestilah dalam pengetahuan ibu bapa. Dengan cara itu ibu bapa boleh membuat tindakan-tindakan wajar untuk membantu anak-anak ke arah yang lebih baik dan betul.


Kelulusan yang baik dalam SPM adalah landasan terbaik untuk menuju dan meraih kejayaan yang lebih tinggi dan lebih mudah pada masa hadapan. InsyaAllah, tajaan, dalam bentuk biasiswa atau pinjaman tidak akan menjadi masalah. Pembinaan kerjaya anak-anak bukan bermula selepas mendapat keputusan SPMnya. Rancangkan kerjaya mereka semasa di tadika lagi. Ibu Bapa hendaklah membuka mata, melihat tingkah laku, perangai, kekuatan dan kelemahan, semangat, kesungguhan, komitmen, dan sebagainya. Buat analisis supaya ibu bapa mengenal siapa anak-anak mereka dari aspek yang disebut tadi.


Mintalah bantuan orang yang pakar seperti guru, psikologis, pakar motivasi dan sebagainya. Yang penting minta nasihat. Carilah orang-orang yang anak-anaknya berjaya. Minta pengalamannya. Jadikan rujukan.


Anak-anak ibarat pokok. Tidak cukup hanya ditanam. Perlu disiram, dibaja, dibelai, dilihat, dipantau, diberi ubat, dirawat penyakitnya, dibiakkan, dicantikkan bentuknya, ditongkat, dibubuh junjung dan apa sahaja yang menjadikan pokok itu menyenangkan tuannya. Apa yang anak-anak berikan kepada kita adalah hasil didikan kita. Jangan salahkan guru kerana guru tidak sempat mengawasi anak kita sepanjang masa. Tetapi anak kita di rumah melebihi 16 jam. Nisbah itu sudah menunjukkan tugas ibu bapa jauh lebih besar berbanding guru.

Sama-samalah kita berusaha melestarikan zuriat yang banyak manfaatnya kepada agama. Cari keredhaan Allah dan RasulNya. Banyakkan usaha dan doa. InsyaAllah. Amin.

4 comments:

  1. Tahniah Tn.Haji..panduan yang Tn.Haji sorotkan akan menjadi guide kepada ibubapa muda dalam mendidik anak2...ya benar, saya juga seorang guru..setiap kali saya mengajar saya mahukan yang terbaik kepada anak murid saya. Saya mahu mereka jadi manusia, mendoakan mereka. Kadang2 sampai terlupa bahagian didikan untuk anak sendiri..Saya berserah kepada Allah, krn setiap kali ktk melangkah keluar saya berniat apa yang aku lakukan hari ini adalah kerana Allah...Munkin inilah kenapa kebanyakkan anak2 guru biasanya menjadi org yang berjaya..Semoga apa yang dilalui oleh Tn.Haji akan berlaku jua keatas diri saya...amin

    ReplyDelete
  2. Salam...

    Terima kasih Tuan Hj. kerana berkongsi panduan bagaimana mahu mendapat anak2 yang baik dan berjaya dalam hidup...

    Di sini... saya ingin berkongsi satu petua... Ada anak bekas majikan saya memeberitahu petuanya bagaimana mendapat anak yang cerdik dan pintar selepas saya mengajukan pertanyaan... Keputusan SPM anak perempuannya, baru2 ini mendapat 11A... (bersekolah di salah sebuah sekolah bestari di Subang)... manakala anak ke-2 nya juga seorang perempuan mendapat 9A... sungguh menakjubkan... mata pelajaran yang diambil oleh anak sulungnya itu merangkumi subjek teras Sains, Bahasa Arab Pengajian Tinggi dan subjek2 wajib yang lain... manakala anak yang kedua bersekolah di aliran Arab di Perak...

    Petua bekas majikan saya ini ialah, menurutnya... setiap kali sewaktu anaknya sedang menjawab kertas peperiksaan, beliau akan membaca surah Yasin... manakala sebelum anaknya menduduki kertas tersebut, anak beliau akan menghubungi beliau untuk memohon restu ibunya serta mendengar ibunya berselawat kepadanya di telinga menerusi telefon... lihatlah kesannya doa seorang ibu terhadap anak2nya...

    Maka, di sini dapatlah kita simpulkan bahawa ironinya tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia...

    Wallahua'lam...

    ReplyDelete
  3. Ibu bapa yang anak-anaknya berjaya memiliki petua dan strategi tertentu. Cuba himpunkan petua dan strategi itu supaya boleh dipindah-pindahkan kepada ibu bapa lain. Dengan sedikit pengubahsuaian di sana sini, hal-hal tersebut boleh membantu.

    Pilihlah yang sesuai. Ibu bapa kena banyak melihat, memerhati, bertanya, membaca, berkursus dan sebagainya. Menjaid ibu bukan setakat mengandung dan melahirkan. Menjadi bapa bukan hanya dibin dan dibintikan. Banyak lagi tanggungjawab yang besar dalam urusan mengenai anak-anak. Silakan belajar lagi menjadi ibu bapa yang wawsannya ke hadapan, jauh melampaui masa-masa yang sayup nun jauh di balik harapan.

    ReplyDelete