Sunday, March 14, 2010

Hati Seorang Warga Tua











Seorang tua pernah muda. Pernah melalui zaman suka duka. Hidupnya dulu pernah ceria dan gembira. Hiruk pikuk anak-anak yang membesar merangsang semangatnya untuk memberikan yang terbaik untuk mereka. Pada masa yang sama ia belajar menghadapi karenah mereka yang kadang-kadang memberikan keindahan menjadi bapa, merimas dan membimbangkan akan keselamatan dan kesejahteraan mereka. Namun di dalam hati dan kata-katanya, selalu penuh harapan, penuh doa, penuh syahdu bahawa anak-anak itulah harapannya pada masa akan datang.

Harapan yang selalu didambakan bahawa hidup masa tuanya tidak susah, tidak melarat, tidak disisih, tidak dipinggirkan, tidak diberi keutamaan. Tidak pernah terfikir bahawa ia harus mengemis harapan. Sewaktu kukitnya kering tanpa daging segar untuk diberi perhatian, di selaput kulitnya yang kering, yang hanya membalut tulang, sel-sel kulit yang lebih banyak mati dari yang hidup, ia lebih mati sebelum mati. Anak-anak selalu membunuh nafsunya untuk hidup, untuk meneruskan harapannya.


Semasa mudanya, semasa susah dan senangnya, semassa waktu sibuk dan waktu senggangnya, semasa berada dan waktu kesempitannya, waktu sihat dan waktu sakitnya, seluruh kehidupannya hanya untuk anak-anak. Darah daging, keturunan, warisan dan kelestarian keturunannya. Harapannya menggunung bahawa anak-anaknya akan berjaya memuncak gunung, menggapai awan, menjulang harapan.


Usia meningkat. Keadaan berubah. Anak-anak membesar dan mendewasa. Mereka bekerja, berumahtangga. Lalu mereka menjarak dan menjauh. Hilanglah mereka dari mata. Yang tinggal hanya kenangan dan wajah-wajah yang bermain di mata, yang dekat di hati.


Usia itu bertukar angka. Jumlahnya makin berganda. Lalu semuanya dimamah usia. Kenapa dalam perubahan musim dan usia ini, anak-anak tidak menoleh ke belakang. Melihat ibu bapa yang ditinggalkan. Melihat dua orang insan yang memungkinkannya lahir dan hidup. Yang telah berusaha untuk membesar dan memanusiakannya. Mengapa ibu bapa yang dulu dimanja, diharap segala, dinanti jasa, diminta bantu, tetapi sekarang bak tongkat, bila sampai di seberang dilempar jauh, dibuang ke tepi, dicampak bagai tidak akan berguna lagi?


Apakah restu mereka, akur mereka, redha mereka tidak ada nilai? Syurga seseorang laki, seorang suami d bawah tapak kaki ibunya. Apakah itu bukan rangsangan, bukan motivasi untuk mendapatkannya dari ibu bapa?


Dalam usia tuanya ibu bapa masih menggagahi diri mereka untuk hidup seperti insan biasa. Masih menggagahi dirinya untuk mengemas rumah, makan, minum, berjalan, membuat kerja ringan. Mereka tetap hidup walaupun pada hakikatnya jiwa mereka sudah patah, sudah berkecai, sudah pecah, sudah bersepai. Sedarlah ia bahawa dia sekarang sendirian, membawa dirinya untuk terus dimamah usia.

Hakikat usiagunakan sudah lama berlalu. Ia sudah tidak bernilai lagi. Sinaran hidupnya sudah pudar. Dalam usia tuanya dia harus hidup sendiri. Fahamlah ia bahawa anak-anak itu berharga dan bererti sewaktu dirinya dulu muda dan boleh diharap. Sekarang muda sudah tiada, guna juga sudah tiada.


Dia hanya mampu merenung jauh. Melihat pada matanya sendiri. Hanya bayang-bayang yang tinggal. Rupanya anak-anak sukar diharap lagi. Dulu dia mengerti ragam dan karenah anak-anak. Sekarang anak-anak tidak lagi boleh memahami ragam dan kerenahnya. Anak-anak membuat andaian yang mudah bahawa dia masih boleh hidup walaupun pada hakikatnya mengurus kehidupan itu sudah semakin sangat payah.


Ia hanya mampu merenung jauh, renungan kosong yang hanya mengimbau derasnya air mata, sayunya perasaan, sebaknya dada. Hanya jiwanya yang boleh merintih sayu.



Di manakah kau anak-anakku yang dulu kumanjakan dan kudambakan harapan?
Di manakah cucuku yang dulunya memeriahkan suasana?
Di mana sapamu?
Di mana hadirmu?
Siapakah yang mengerti kesunyianku?
Di mana harapanku dahulu?
Di mana, di mana dan di mana?


Dia merintih bertanyakan anak-anaknya. Dia mengemis kehadiran mereka. Sakit fizikalnya bertukar menjadi penyakit psikologi, penyakit kemurungan. Patah tulangnya hanya fizikal. Patah hatinya lebih bisa lagi. Apalah dayanya. Usia tuanya hanya sisa-sisa yang berbaki. Dia hanya mampu melihat di kejauhan, memandang pintu jika ada yang muncul menjengah. Menanti kelibat anak dan cucu yang tidak hadir beiring-iring. Di mana kau semua? Jangan biarkan aku di sini. Sendirian tanpa kehadiranmu. Ramaimu terlalu jauh untuk meriakan hati ini.


Suatu hari nanti akan sampai giliran. Anak-anak akan sampai usia tua dan kembali ke dalam pusingan orang tua yang terabai. Kita pula yang akan merintih mengemis simpati dan empati anak-nak. Untuk mengelakkannya, beri perhatian kepada ibu bapa kita. Pamerkan yang terbaik untuk mereka. Itulah didikan supaya anak-anak kita akan mengulanginya kepada kita.


Hentikan episod ini. Kita yang masih mampu, tukarlah senario ini. Mulakan sesuatu yang menjamin kehidupan ibu bapa kita sentiasa dalam kebajikan dan kesejahteraan. Selalulah berada di samping mereka. Sebuah hadith mafhumnya, memandang muka ibu bapa serupa pahalanya dengan memandang Kaabah. Kaabah itu ada di depan mata. Kaabah itu masih terpacak untuk dipeluk dan dicium sepuas hati. Kembalilah menziarahinya untuk mendapatkan redha dan restunya. Dambakanlah doa restunya. Sayangilah mereka supaya Allah mengasihimu.

Dia memang tua, tetapi dia mengharap kehadiranmu. Bukan wang ringgitmu, bukan hartamu, bukan senangmu. Ia memerlukan kehadiranmu. Kembalilah kepadanya. Ubatilah rindunya. Bahagiakanlah hatinya. Ia sudah tidak punya apa-apa. Hanya harapan, jika itu masih ada.

2 comments:

  1. Salam...

    Syurga seorang anak (terutamanya anak lelaki yang telah berumahtangga)terletak di bawah telapak kaki ibunya...

    Manakala, syurga seorang isteri terletak di tangan suaminya...

    Kita berada di antara kedua-duanya...

    Wassalam...

    ReplyDelete
  2. Begitulah bagi yang mengerti. Terima kasih.

    ReplyDelete