Tuesday, March 2, 2010

Ahlul Bait - Ziarah Ketiga

Hari ini Isnin 1 Mac 2010 bukan rezeki saya. Saya tidak dapat menemui Habib Ali yang saya rindui selama seminggu. Saya sampai kira-kira pukul 6.00 petang. Ramai tetamu beradsa di luar rumah. Sibuk bergambar. Ada beberapa orang Arab. Saya beranikan diri untuk bertanya.

Min aina?

Jiddah. Waanta?

Ana, min Batu Pahat. Huna?

Batu Pahat? Huna?

Naam

MasyaAllah!


Allahu Akbar. Jauhnya mereka datang. Dari Jiddah mereka transit di Singapura. dari Singapura mereka berkereta ke Batu Pahat. Suatu perjalanan penuh barakah. Nilaikan berapa kos penerbangan, penginapan, pengangkutan, makan dan hal-hal yang berkaitan dengan orang-orang yang musafir. Semuanya dilakukan hanya untuk bertemu dengan seorang insan istimewa. Jumpanya beberapa minit. Tidak mungkin melebihi sejam. Habib Ali tidak betah duduk lama. Jika kesihatannya mengizinkan, lamalah ia duduk. Berhalaqahlah jemaah yang datang.
Kedua mereka datang dari Jiddah. Bergambar dan bersantai dengan wajah yang puas. Mereka santai di hadapan rumah. Gambar yang mereka ambil tentu jadi kenangan keluarga dan tatapan ahli keluarga dan rakan taulan yang tidak berkesempatan untuk datang. Tentu mereka iri dan berazam untuk datang juga pada kesempatan yang lain. Yang sudah datang tidak akan puas jika tidak mengulangi lagi untuk hadir bersama Habib Ali.

Yang berkopiah putih itu (mengadap kamera) adalah cucu Habib Ali. Ibrahim namanya. Mudah-mudahan saya tidak silap mendengar. Yang dulu saya temui adalah abangnya bernama Jaafar. Wajah Ibrahim ada iras Habib Ali. Tingginya dan mancung hidungnya. Nampak kelembutan pada tutur katanya. Seronok saudara dari Jiddah menyatakan kegembiraannya dapat bertemu Ibrahim.
Pembaca budiman, bila sampai waktunya Habib Ali tiada nanti, cucu-cucu seperti Ibrahim inilah yang menjadi waris keturunan Rasulullah. Bersyukur saya sudah mengenalinya. Mungkin akan berpanjangan lagi pertemuan saya dengannya.



Rombongan dari Jiddah seramai lima orang. Ada pula rombongan dari Kuala Lumpur dan dari Singapura. Sebelum saya meninggalkan rumah itu, datang lagi serombongan lain.
Lambaian untuk meninggalkan Habib Ali. Pulang mereka dengan barakah yang mereka cari.
Sambil memandu pulang saya terkedu sendirian. Tiba-tiba dada saya sebak. Saya teringat Rasulullah. Di Madinah, saya hanya dapat melintasi makamnya. Begitulah sewaktu menunaikan haji pada tahun 1999. Manusia terlalu ramai untuk bersunyi-sunyi dengan Baginda.
Alhamdulillah semasa umrah pada tahun 2003 puas juga bertandang ke makam Baginda. Untuk merasa kebersamaan yang lebih lama. Jika dengan Rasulullah kita inginkan syafaatnya, mudah-mudahan dengan waris keturunannya kita mendapat barakahnya.
Cuma saya bertanya kepada diri saya. Kenapa orang Batu Pahat sendiri tidak dapat melihat sinaran cahaya sebutir permata yang ada di depan mata? Jika dari seluruh dunia orang lain dapat melihat dan mendapat sinaran cahayanya, mengapakah kita yang dekat hanya melihat kegelapan? Benar juga kata orang, jauhari juga yang mengenal manikam. Bagi mereka yang kenal Rasulnya, tentu kenal waris keturunannya. Syafaatnya, barakahnya. Kemanakah agaknya orang Batu Pahat, orang Johor dan orang Malaysia? Kenapa tidak diziarahi Habib Ali? Dalam usianya sekarang, tentu masanya semakin singkat. Carilah peluang untuk bersamanya sementara dia masih ada.
Hiba saya hingga ke rumah. Perjalanan selama 20 minit mendesah-desah dada saya. Bergenang-genang air mata di kelopaknya. Saya tahan supaya jangan gugur. Bagaimana nanti agaknya untuk dapat bersama manusia paling agung dalam sejarah kemanusiaan dan sejarah penciptaan alam ini. Insan yang menjadi penghulu semua manusia. Nabi yang paling dikasihi Allah.
InsyaAllah kita akan dapat bersamanya dan mendapat syafaatnya. InsyaAllah. Selawat dan salam untuk kekasih Allah. Ya Habibibullah. Ya Sofwatullah. Selawat dan salam kepada sahabat-sahabatmu. Selawat dan salam ke atas isteri-isteri, anak-anak dan seluruh keluargamu. Amin, amin ya Rabbal 'Alamin.

3 comments:

  1. Salam...
    bertuah sungguh Tuan Hj. dapat bersemuka dengan Tuan Habib Ali (waris keturunan Rasulullah)...
    ikhlas sesungguhnya, saya tidak mengetahui tentang Tuan Habib Ali ini...
    Alhamdulillah dengan adanya blog Tuan Hj. ini dapatlah saya berkongsi maklumat dengan pengalaman Tuan Hj...
    terima kasih Tuan Hj. kerana telah membuka mata telinga saya...

    ReplyDelete
  2. mudah-mudahan maklumat ini dipanjang-panjangkan. Rasulullah sudah tiada. waris keturunannya yang dapat kita jumpa. Alhamdulillah.

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah .....kekuatan untuk menziarahi nya sudah merupai ibadah menemui orang Alim yang Allah swt wujudkan di bumi Batu Pahat ini...Hanya ALlah swt tahu sahaja hati yang ingin mengenali nya.....Semoga Allah swt menemukan lagi tuan dengan nya

    ReplyDelete