Pakaian merupakan bahagian penting sewaktu saya di darjah enam. Walaupun masih kecil, sudah pandai bergaya. Ada tanda-tanda hendak mula melaram. Itu di darjah enam. Bila saya surut ke belakang, keadaannya tidak begitu indah. Waktu awal persekolahan, pakaian tidka begitu memberi makna kecuali untuk menutup bahagian tubuh yang penting. Lagipun pakaian seragam hanya memenuhi keperluan peraturan sekolah. Baju putih berlengan pendek dan berseluar hitam tetapi pendek setengah lutut.
Anak-anak kampung bila mula bersekolah, pakaiannya kira apa yang ada sahaja. Pada dasarnya baju pendek putih dan berseluar hitam. Seluar itu seluar pendek pula. Memang kurang sopan. Pusat ditutup, paha tunjuk pada orang. Kalau cantik, putih ke boleh tahan juga. Ini kurus. Hitam pula. Alhamdulillah tidak berkudis. Kalau tidak, malu sekarang. Dulu memang tak malu. Kalaulah ada gambar masa dulu-dulu, malu juga dilihat orang sekarang.
Ibu saya selalu belikan baju dan seluar yang bersaiz besar. Maksudnya ibu saya berwawasan. Tahun hadapan boleh pakai lagi jika panjang umur. Bayangkan. Baju besar. Memggeleber keliling pinggang. Seluar besar apa perlu buat? Tali pinggang tidak diperlukan. Ada dijual di pekan Parit Sulong dan di bandar Batu Pahat. Payah, mahal dan jauh. Jadi macam mana untuk mengetatkan seluar. Orang kampung kreatif tentang perkara ini.
Ada dua pilihan. Kedua-duanya kreatif. Saya gunakan tali guni sebagai tali pinggang. Ya. Tali guni. Betul. Tali guni. Kesian kan? Orang sekarang tali guni mungkin tidak tahu. Tali apa agaknya. Masa dulu-dulu, beras dipek dalam guni. Guni dibuat dari pokok jut (kenap macam yang ditanam di Kelantan sekarang). Tali guni digunakan untuk mengikat guni, mengikat barang, bungkusan dan sebagainya. Tali ini sudah tidak kelihatan lagi. Suatu waktu, tali guni digantikan dengan batang pisang. Sekarang semuanya plastik. Tali guni yang berwarna kuning-cokelat kadang-kadang memberi masalah juga. Jika longgar ikatannya, seluar akan melorot. Jika ketat pinggang terasa perit dan berbekas. Kedua-dua keadaan memberikan masalah. Itu tali pinggang pertama. Berserabut. Berbulu. Perlu diganti selalu kerana bila terlalu ditarik akan mudah putusnya. Allah, payahnya hidup waktu itu. Begitu rupanya anak orang kampung yang dunianya kampung.
Pilihan kedua ialah tali yang diperbuat dari kain. Agak lebih canggih. Masalahnya sama dengan tali guni tadi. Lebih malang lagi, kain perca yang perlu disiat, kadang-kadang agak pendek. Tali itu perlu disambung. Akan ada bahagian berbuku yang nantinya menyulitkan. Jika buku itu di perut, alhamdulillah. Tetapi jika di bahagian yang setentang dengan tulang, awas, bila tertekan atau tertolak kawan. Aduh! Bisanya hingga terkeluar air mata. Biji mata boleh terjojol keluar. Terbeliak jangan cakaplah. yang geram kawan hanya ketawakan kita. Kering sungguh hati mereka.
Sesuatu yang menghairankan ialah tentang ruang tali pinggang pada seluar anak-anak sekolah. Tali pinggang tidak ada tetapi lubang tali pada seluar besar-besar belaka. Sesuai untuk tali pinggang cowboy. Saya rasa tidak berkenan langsung dengan seluar seperti itu. Lalu saya lipat supaya nampak kecil sedikit. Saya jahit sendiri. Tidak mahu mengganggu ibu saya. Hingga sekarangpun apabila saya membeli seluar, lipatan kakinya saya potong sendiri dan jahit sendiri. Sudah ada kemahiran menjahit. Tolong. Jangan hantar kain untuk saya jahitkan. Untuk sendiri sahaja. Belum mampu ambil upah.
Bila Hari Raya saya pujuk ibu untuk belikan tali pinggang. Melaramlah saya dengan tali pinggang dan seluar pendek itu. Perasan. Melawar sendiri. Ialah, walaupun masih kecil perasan sudah bermula terutama apabila sampai di darjah enam. Berpuiti-putik jugalah. tapi orang kampung macam saya tidak sempat bercinta monyet. Semua monyet tinggi-tinggi belaka. Ada juga yang berminat tetapi belum pandai melayan. Belum terjana perasan halus itu.
Itu juga mungkin petunjuk Allah bahawa suatu hari nanti apabila dewasa saya suka berpakaian cantik dan ranggi. Saya sudah pandai berlatih berpakaian cantik sejak tahun-tahaun 50an dahulu. Lamanya. Pada tahun 1991 saya mengikuti kursus Asas Protokol dan Etiket di INTAN Kluang. Selepas itu banyak juga saya berceramah mengenai hal itu. Di politeknik, sekolah, perkumpulan wanita dn pelajar. Sekarang tidak lagi. Belum ada kesempatan kerana sibuk dengan mengisi masa usia emas. Tinggalkan dulu perak dan suasanya. Nampaknya anak lelaki saya yang kedua, ada bakat seperti bapanya. Kalau berpakaian tidak boleh lebih kurang. Mesti hendakkan yang lebih lebih. Yang abangnya pula tidak begitu kisah. Pakai apa yang ada sahaja. Cuma gaya berpakaian adalah nampaknya.
Zaman payah berpakaian itu sudah lama saya tinggalkan. Bila sekarang saya bergaya, saya masih ingat seluar longgar itu. Baju longgar itu. Kaki ayam itu. Saya sudah bina dunia lain. Anak-anak sayapun baru tahu cerita lama-lama yang saya paparkan. Itu belum habis. Baru sebahagian kecil. Panjang usia insyaAllah. Sampai juga nanti kisahnya. Seorang rakan saya menanti cerita saya di Kuala Terengganu. Sudah 36 tahun saya tinggalkan. InsyaAllah. Nantilah bila tiba masanya. Kuala Terengganu akan ku imbau bersamamu. Akan saya ziarahi air terjun Sekayu, Pulau Kapas, Pulau redang, Sungai Terengganu, Stadium, masjid pasir Panjang, Kuala Berang, kampung Cina, jalan Tok Lam, Panggung Rex dan Cathay, Sekolah Ibrahim Fikri, Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin. Kuala Terengganu, tunggu. Aku akan ziarahimu nanti. InsyaAllah.
Pakaian adalah sesuatu yang fizikal. Mereka yang mahir berpakaian akan kelihatan hebat. Faktor kualiti, fesyen, corak, warna, rekabentuk dan kesesuaian masa dan tempat boleh menyerlahkan pemakainya. Namun begitu kemahiran memakainya juga penting. Padanan warna antara seluar, baju, kasut dan talileher menambah serlah pemakainya. Tudung, baju, kain dan kasut perlu diambil kira oleh wanita, terutamanya bagi yang berkerjaya. Jangan menjadi tua sebelum tua hanya kerana tidak pandai berpakaian dan urusan pemakaiannya.
Penjawat awam lebih diperlukan lagi supaya hebat berpakaian. Pelanggan anda akan lebih hormat dan lebih bersedia menerima khidmat jika pegawai yang dihadapinya nampak hebat. Nanti, tambahlah dengan kemahiran seni berkomunikasi (soft skill) supaya menjadi seseorang yang boleh meninggalkan nama yang disegani dan dihormati. InsyaAllah.
Ada empat pengalaman yang saya kira ada kaitan dengan cara saya berpakaian. Pada tahun 1991 saya ada mesyuarat di Langkawi dalam perancangan pembinaan politeknik-politeknik Shah Alam, Johor Bahru, Seberang Perai dan Dungun. Dalam perjalanan pulang ramai rakan-rakan yang menukar pakaian untuk lebih ringkas dan mudah. Ramailah yang memakai jean dan kemeja-T sahaja. Apabila sampai untuk pemeriksaan Kastam, jenuhlah beg mereka di selongkar.
Saya mengikut barisan seperti orang lain juga. Apabila sampai di hadapan seorang pegawai, saya tunduk untuk membuka beg. Pegawai itu kata, "Tak apa encik. Silakan". Saya senyum. pakaian saya yang berkemeja lengan panjang tanpa berlipat lengan dan berseluar panjang serta berkasut kulit hitam mengena rupanya. Orang hormatkan pakaian saya. Bukan saya kot.
Kali kedua sewaktu saya pulang dari Kanada pada thun 1990 dahulu. Di Subang (KLIA belum dibina) saya mengikut barisan seperti biasa. Saya sudah menyangka beg saya akan kena selongkar. Dua buah beg besar. Macam-macam isinya. Pinggan mangkukpun ada. Untuk isteri dan anak-anak. Sampai pada seorang pegawai kastam saya unjukkan pasport saya. Dia membelek-belek. "Selamagt pulang ke Malaysia encik." "Terima kasih." Jawab saya. "Lama di Kanada?" "Adalah tiga bulan." "Banyak beli barang?" "Adalah untuk hadiah keluarga. Nak buka beg encik?" "Tak apa. Tak payah. Silakan." Bayangkan. kalau kena cukai tentu RM100 atau RM200. Dengan kemeja berlengan panjang, seluar slack, kasut kulit hitam dan blazer saya mendapat penghormatan itu. Pegawai itu menghormati pakaian saya dan mungkin kepegawaian saya.
Kali ketiga berlaku di Dungun. Hampir dengan Politeknik Dungun. Di selekoh yang bergarisan dua. Saya terpotong kereta di hadapan saya. Saya tidak pasti. Mungkin tahun 2004. Selepas selekoh, tercegat seorang polis trafik. Bendera merahnya melambai supaya kenderaan saya berhenti ke tepi. Saya buka cermin menunggu dia datang. "Minta lesen encik. Tadi memotong double line." Katanya. Dalam kegugupan itu saya hulurkan kad pengenalan saya. "Encik tunggu sini kejap. Nanti saya datang."
Lima minit kemudian dia datang. Saya minta maaf kerana terberi kad pengenalan. Saya unjukkan lesen memandu saya. "Tak apa encik. Saya nak lepaskan kereta-kereta yang kat belakang encik tadi. Encik dari mana?" "Dari Kuala Terengganu nak balik ke Batu Pahat." "Kerja ke?" "Ya. Tengok pelajar saya di Kuala Terengganu." "Encik kerja di mana?" "Kolej Universit Tun Hussein Onn, Batu Pahat." "Ok encik, selamat jalan." "Terima kasih encik, terima kasih."
Sekali lagi pakaian saya menyelamatkan saya dengan izin Allah. Kemeja berlengan panjang, seluar slack dan kasut kulit berwarna hitam. Baju dan seluar yang lain bergantungan dalam kereta. Pada perkiraan pegawai polis itu tentu saya orang besar. Rasa hormatnya datang ketika itu.
Kali keempat berlaku di bandar Segamat. Saya mengekori sebuah treler panjang dan besar. Pandangan hadapan saya terhalang. Apabila lori itu melanggar lampu kuning, saya terlanggar lampu merah. Tiba-tiba bendera merah memberi isyarat menyuruh saya berhenti ke tepi. "Lesen encik. Encik langgar lampu merah tadi. Tak ada maaf encik." "Maaflah. Terlindung lori tadi." "Encik tunggu sekejap."
Seperti di Dungun, lima kemudian pegwai itu datang lagi. "Encik dari mana?" "Dari Kota Bharu nak ke Batu Pahat." "Kerja ke?" "Menemuduga pelajar" "Ok encik, sila jalan." Allah memudahkan saya, melalui pakaian saya. Baju kemeja berlengan panjang, seluar slack dan berkasut kulit berwarma hitam. Dalam kereta bergantungan baju dan seluar. Mungkin stiker KUiTTHO juga menjadi penyelamat.
Pesan saya, jangan abaikan pakaian. Tidak kira atas urusan apapun, jaga pakaian. Bila kita memberatkan pakaian, orang akan memberi perhatian yang lebih berat. Apabila kita meringan-ringan pakaian, orang akan melayan hendak tak hendak sahaja. Pakain boleh jadi penentu.
Berilah perhatian kepada pakaian anda. Mungkin suatu ketika nanti ia membantu anda mendapat penghormatan yang tidak diduga. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment