Saturday, September 6, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Legenda Cleoptra


Pada pandangan mata kasar lorong ini tiada warnanya. Alhamdulillah lensa kamera merakamkan sesuatu yang luarbiasa. Lorong ini membelok ke kiri dan kemudiannya ke kanan. Dari hujungnya air menderu masuk bersama ombak dan alun. Memang nampak selesa berendam di sini. Air datang dan pergi pada masa air surut. Pada masa air pasang ianya tepu dengan air. Di lorong sempit ini Cleopetra dan Mark Anthony memadu kasih. Penulis izinkan pembaca berimajinasi sendiri tanpa panduan dan gangguan. 


Lorong ini memang sempit. Tidak boleh berselisih. Maknanya masuk beriring dan keluar juga beriring. Panjangkan imajinasi anda.



Dari luar ianya hanya bongkah batu. Dj dalamnya banyak rahsia zaman dan rahsia sejarah.


Kelihatan dari jarak jauh. 

Di bahagian dalam. Ruang yang sederhana lebarnya.


Sewaktu filem mengenai Cleoptra lakonan Elizabeth Taylor dan Richard Burton heboh ditayangkan penulis hanya sempat membaca synopsisnya. Ketika itu penulis beranggapan bahawa Cleopetra adalah dari salasilah Firaun yang dianggap zalim. Membaca catatan orang lain yang bukan dari sumbernya banyak yang tersasar. Di Matruh barulah penulis mendapat gambaran yang lebih jelas bahawa Cleopetra bukan orang Mesir. Bukan orang Qibti. Bukan orang Berber yang ramai menghuni di kawasan utara Afrika. Cleopetra adalah orang Greek. Kelangsungan empayar Greek masih ada di Mesir ketika itu. Walaupun era Alexander The Great lebih awal dari Cleopetra namun lagenda dan metos mengenai Cleopetra banyak dikaitkan dengan empayar Rom pula. Tidak cukup dengan Julius Ceasar yang menggilai dan mengahwininya malah rakan karib Ceasar iaitu Mark Anthony turut menggilai dan mengahwini Cleopetra. Kisah itu diabadikan dalam sejarah Greek dan Roman. Menjadi percintaan yang epiknya merentas zaman. Di Mesir banyak imej Cleopetra di mana-mana. Barang hiasan. Kain baju. Lukisan. Seramik dan sebagainya.

Sejarah menjejak Cleopetra dari Iskandariah (Alexandria – dibina dan mengambil sempena nama Alexander The Great) hingga sepanjang pantai Laut Mediterranean. Matruh berada hampir dengan sempadan Libya-Mesir. Kira-kira 260 kilometer dari Iskandariah. Namun begitu di sekitar Matruh ada tempat yang dinisbahkan kepada Cleopetra. Mungkin sebagai maharani, Cleopetra banyak mengembara dari satu jajahan ke satu jajahannya yang lain hinggalah ke Matruh. Bukan itu sahaja dia merentas padang pasir yang kering kontang untuk sampai di Siwa. Kira-kira 220 kilometer dari Matruh. (InsyaAllah ceriteranya dalam episod lain). Orang Greek dan Roman mencatat sejarah mereka. Terutamanya perjalanan dan kembara pemerintah dan keluarga diraja dan orang besar mereka. Kerana itu pencinta sejarah tidak pernah kering maklumat mengenai sejarah bangsa Greek dan Rom. Di Ijlun, Jordan banyak gelanggang pertarungan pahlawan-pahlawan mereka tetapi di Mesir banyak tempat yang dikaitkan dengan Cleopetra. Alexander The Great tidak banyak diceritakan kecuali perjalanannya ke Siwa dan kemudiannya membina Alexendaria (Iskandariah) dan jasadnya disemadikan di situ.

Terdapat sebuah tempat lapang yang tohor airnya pada masa air surut. Sebuah gua yang unik dikatakan tempat Cleopetra mandi bersama kekasihnya, Mark Anthony. Di dalamnya terdapat sebuah kawasan lapang yang terbuka tanpa bumbung. Sebuah rorong semulajadi atau mungkin buatan menuju ke arah keluar. Di hadapan lorong itu pula terdapat selapis batu yang menghalang ombak besar. Yang masuk ke dalam lorong hanya deruan air yang separas pinggang pada masa air pasang. Pada masa air surut deruannya separas lutut. Bagi pasangan yang sedang intim memang mengasyikkan berada di lorong sempit itu. Sangat romantik. Terlindung pula dari pandangan orang. Bagi Cleopetra dan Mark Anthony mereka berdua  dikawal oleh tentera yang ramai dan setia. Berdua-duaan tiada siapa yang mengganggu. Penulis yang berada seketika di ruang itu teruja juga membayangkan senario masa yang sudha ribuan tahun itu. kebetulan senja menjelang tiba. Suasana menjadi terlalu romantik. 


Terakam detik-detik matahari melabuhkan diri. Terdapat imejnya yang memaparkan antara pantai, matahari, laut dan wanita yang bersendirian. Sayu seketika melihat keindahannya. Subhanallah. Kesempatan yang bukan sebarangan datang menerpa. Jika di Bukit Tursina penulis melihat matahari timbul, di Matruh penulis melihat matahari melabuhkan dirinya. Nanti ada cerita bagaimana orang Greek cuba memahami adanya matahari pada waktu siang dan bagaimana matahari bergerak pada waktu pagi dalam bentuk bayi yang baru lahir.  

Laluan menuju ke Hamam Cleopetra (Tempat Cleopetra Mandi)

Kepada mereka yang pertama kali berada di sini, tidak dapat meneka apa sebenarnya istimewanya tempat ini. Dari jauh hanya pantai dan batu.

Dua bongkah batu yang bersebelahan. Yang di kanan seolah-olahnya mengawasi yang di kiri.

Bongkah batu bak kepala. Tegak setia di tepi pantai. Mengadap Laut Mediterranean yang terbentang luas.

Tanpa rakaman sejarah pantai ini hanya batu dan air. Landai menganjur ke laut. Air pasang dan surut silih berganti.


Antara dua zaman yang terakam. Kita hanya pengembara sementara. Lelahnya di sini. Zaman itu telah berakhir lama. Bersama siang dan malamnya hari.

Friday, September 5, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Menjejak Cleopetra di Marsa Matruh

Keajaiban pantai ini ciptaan Allah. Airnya berlapis warna. Pada ketika-ketikanya terdapat tujuh lapis warna dari tebing pantai hingga biru laut di bahagian yang dalam. Ianya menjadi keajaiban kepada orang Mesir dan pelancong yang datang.


Bumi anbia Mesir penuh sejarahnya. Pernah dijajah bangsa Greek dan Roman pada zaman silam. Pernah diduduki oleh Perancis dan British pada kurun ke-20.  Sejarahnya berlapis lapik untuk dijejak. Alexander The Great pernah berada di bumi ini. Julius Ceasar dan rakannya Mark Anthony pernah di sini. Sepanjang pantai Laut Mediterranean adalah sejarahnya yang tersendiri kepada Mesir. Bangsa Greek lebih awal membina empayar besar di sekeliling laut Mediterranean ini. Tapak mereka bukan di Greece. Tetapi di bumi anbia seperti di Mesir, Jordan dan di bumi Palestin. Bumi Syam pada umumnya. Penulis temui tingalan Greek di Umu Quis, Irbid, Jordan. Kali ini penulis menemui lagi jejak Greek di bumi Mesir. Begitulah bangsa yang besar meninggalkan jejaknya. Meinggalkan sejarahnya. Diingat dan dicari bekasnya.

Pagi Jumaat 29 Ogos 2014. Kami seramai 35 orang bertolak ke Marsa Matruh arah ke barat dari Kaherah. Suatu perjalanan dengan bas yang jauhnya kira-kira 450 kilometer. Kira-kira tujuh jam perjalanan. Perjalanan yang bermula pada pukul 3.00 pagi itu membawa beberapa orang warga emas, pelajar-pelajar dan empat orang kanak-kanak. Kesemuanya rakyat Malaysia kecuali tiga peserta Arab dan seorang lagi sudah tentu pemandunya. Perjalanan malam menyembunikan keindahan panorama padang pasir yang kosong dan sunyi. Malam itu hanya indah untuk tidur tanpa diulit mimpi. Dalam minda membayang indahnya Pantai Ajaib (disebut Agiba) dalam loghat Mesir. Bagaimana nantinya yang dinamakan hamam Cleopetra.  Tempat Cleopetra mandi air laut. Itu belum lagi lawatan ke Siwa. Sebuah wadi atau oasis di tengah padang pasir tetapi menghidupkan suatu tamadun dan ekonomi yang besar kepada Mesir hingga kini.

Biasalah dalam perjalanan yang jauh. Pastinya dirancang tempat sesuai untuk berehat. Merehatkan otot kaki yang kejang. Mencari udara segar di luar bas. Pada alam yang luas. Tentunya melepaskan hajat jasad yang penuh dengan air membuak. Ada yang kehausan. Teh dan nescafe dipesan untuk memanaskan badan. Sejuk pendingin hawa hendak dibuang sebentar sebelum sejuk semula apabila perjalanan diteruskan sebentar lagi. Malam itu kami berehat di R & R yang dinamakan Café Umar Mukhtar. Ironi juga kerana Umar Mukhtar berjuang di bumi Algeria dan bukan Mesir. Mungkin semangat juangnya merentasi utara Afrika hingga ke Mesir. Untuk menyelamatkan sebuah bangsa dan negara Umar Mukhtar mengorbankan nyawanya di tangan penjajah Italy. Di cafe ini minda penulis melayang mengenangkan bangsa Arab yang banyak malangnya hingga sekarang.

R & R di Mesir tidak seperti di Malaysia. R & R di negara kita lengkap, banyak dan pilihan tersedia. Kekemasan dan kebersihan jauh lebih terpelihara. Masalah kotor menjijikkan hampir tidak pernah berlaku. Tempat yang dijangka kotor selalu dipantau dengan rapi. Ada pihak berwajib yang menguruskannya. Di Mesir perkara seperti itu tidak wujud. Seorang pengusaha melakukan yang sebaiknya mengikut budaya setempat. Jika bersih, bersihlah. Jika tidak terpaksa kita hadapi seadanya. Kita hanya boleh merungut dalam diam. Selagi taraf ilmu belum tinggi selagi itulah duduknya di bawah. Selagi taraf berfikir belum tinggi maka banyak yang terabai dari jangkauan fikir itu sendiri. Selagi taraf hidup belum tinggi maka harapan masih jauh untuk digapai. Barangkali padang pasir tidak memungkinkan kita terlalu mengharap yang terbaik. Namun begitu kemahuan dan usaha boleh dilakukan untuk mengubah ke arah kebaikan.

Beruntung juga mengikuti rombongan sesama Muslim. Waktu solat dijaga. Solat jama’ dan berjamaah dicari kesesuaiannya. Selagi boleh peluang itu diambilkira. Perjalanan untuk menyaksikan kebesaran ciptaan Allah perlu melalui sesi penat dan letih. Perjalanan selama tujuh atau lapan jam bukan calang-calang perjalanan. Perjalanan itu sendiri adalah pengalaman mahal yang tidak semua orang dapat mengalaminya. Apatah lagi di sekeliling hanya padang pasir malam yang sunyi. Jarang sekali berpapasan dengan kenderaan lain sama ada yang sama arah atau yang bertentangan arah. Maknanya kenderaan yang digunakan mestilah yang sudah diservis. Sudah teruji. Jika berlaku sesuatu, bantuan hanya boleh datang dalam masa lebih tiga atau empat jam. Tanpa bekalan air yang cukup semakin banyak masalah yang lebih besar. Memang perlu banyak berdoa. Banyak mengharap rahmat Allah.


Setiap perjalanan sampai akhirnya di destinasi. Bandar Matruh yang cantik di tepian pantai Laut Mediterranean memukau mata yang keletihan. Laut Putih kata orang Mesir. Airnya membiru. Memancar dalam cahaya musim panas. Kebetulan di Mesir masih musim cuti sekolah. Di akhir musim panas. Maka ramailah pelancong tempatan berada di Matruh. Pelancong asing dari Eropah masih belum ramai. Namun begitu pantainya meriah dengan pengunjung. Hotel dan apartmen penuh dengan manusia silih berganti. Mereka menikmati musim cuti panjang. Keduanya menikmati musim panas yang datang sekali setiap tahun. Minggu-minggu mendatang ini suhu sudah mula menurun. Falling dalam istilah di Amerika Utara. Fall is coming. Musim luruh (fall) di Mesir tidak terasa dan tidak kelihatan tanda-tandanya yang nyata kecuali suhunya yang rendah. Daun berguguran seperti di Toronta, Canada dahulu tidak ada. Tidak juga seperti di Pittsburgh, USA dahulu. Lain padang lain belalangnya. Begitulah ketentuan yang Allah berikan kepada kita. Tiga hari ini penulis di Matruh. Whatsapp dan facebook sahaja yang menghubung sahabat dan keluarga. 

Keindahan yang sukar ditemui. 

Ciptaan Allah menjadi nikmat yang tidak terhingga. Mata dan perasaan menjadi syahdu.

Terbentang menjadi santapan rohani. Hanya dengan kun fayakun Allah hamparkan kecantikan yang tiada tolok bandingnya.

Pelancong dari dalam dan luar tidak putus-putus sepanjang masa.

Sesiapapun teringin berada di sini. 

Suatu detik masa yang terakam abadi. Kebiruan yang menggamit rindu.

Berada di sini adalah suatu sejarah yang tersendiri. Detik itu di tempat itu abadi dalam kenangan.

Kebiruan yang memungkinkan kenangan mengusik jiwa.

Begitulah keindahan yang dicipta Allah. Warna-warna air yang seolah-olahnya panca warna sedangkan apabila didekati di mana bahagianpun warnanya adalah sama. Kedalaman air yang membezakan warna air itu.

Pagar ini bukan penghalang keindahan. Keselamatan untuk yang terlalu ghairah terutama kanak-kanak yang selalunya mudah terabai.

Masing-masing mengabadikan sesuatu yang langka dan nadir. Hanya di sini satu-satunya.

Tidak cukup dari atas dan dari jauh. Ramai yang ingin turun melihat dari dekat air yang banyak warnanya. 

Di gigi air ramai yang berkampung. Berpayung di bawah terik matahari musim panas. Ramai juga yang berendam dan berenang. Angin pula bertiup nyaman. Bak dibuai mimpi indah.

Hamparan batu di tebing pantai memberikan warna kekuningan. Alunan ombak memukul pantai. Kocak air yang mendesir perlahan.

Melihat tidak cukup tanpa masuk ke dalam air. Berenang dan merasa masin airnya. Mungkin hanya sekali dalam seumur hidup berada di sini.

Warna biru muda yang beralun airnya. Indahnya hanya kepada mata yang melihat. Yang bersabung dengan apa yang ada.

Di tepi pantai ada juga yang berniaga kuda. Bukan untuk dijual tetapi untuk disewakan duduk di palananya. 

Dari jauh hanya warna kebiruan Laut Mediterranean.

Selamat tinggal Pantai Ajaib. Agiba Beach. 

Friday, August 22, 2014

Siri Tiga Puluh Satu: Kilat Dapur Susun Rapinya



Gambar 1

Asalnya kuali alluminium ini putih melepak. Kerana diabaikan kebersihannya terlalu lama maka wajahnya menjadi seperti di atas. Biasa rasanya kita melihat kuali seperti ini. Ada yang menganggapnya sebagai lumrah. Hitam legam di luarnya. Di dalamnya mungkin comot tidak tentu hala. Kata peribahasa, periuk mengatakan belanga hitam. Kepada orang dahulu, periuk, belanga dan kuali tiada yang tidak hitam. Mereka memasak dengan menggunakan kayu api. Tiada pula teknologi untuk membersihkan kehitamannya. Sekarang ini jika kita menemui periuk dan kuali yang hitam begini rasanya di luar kebiasaan. Out of context.  Di kedai makan biasanya beginilah rupa kuali dan periuknya. Kita dilarang menjenguk ke dapur. Apabila terjenguk patah selera jadinya. Kuali hitam seperti dalam gambar ini sudah terlalu tebal hitamnya. Jika perlu dibersihkan perlu dikikis dengan pisau. Berjam-jam lamanya. Cukuplah dalamnya sahaja dibersihkan untuk menghilangkan rasa loya dan mual melihatnya. Tolonglah bersihkan mana-mana yang hitam sepertinya. Hajjah Aminah yang berusia 90 tahun takut melihat kuali atau periuk atau cerek yang sebegitu hitamnya. Maruah pada diri.



Gambar 2

Periuk alluminium ini kelihatan bersih, cantik dan berkilat. Dijaga rapi. Digosok menggunakan berus periuk dari keluli dan sabun buku (jenama Kapak atau Buruh) atau sabun mandi (buku). Perlu dilakukan setiap kali selepas digunakan. Dilap dengan tuala bersih dan dikeringkan. Dipandang cantik. Sejuk mata memandang. Siapa sahaja pasti tertawan. Apabila sudah berkilat sebegini, teruskan dengan menyenggaranya sahaja. 



Gambar 3

Yang ini periuk keluli. Sifatnya kilat. Lebih senang membersihkannya. Tapi lebih sukar menjaganya. Yang cantik  tentu banyak olahnya.



Gambar 4

Perlu pula teliti untuk membersihkan dan mengelapnya. Jangan ternampak bekas jari. Kusam nantinya.



Gambar 5

Yang ini periuk kalis lekat  Non stick. Minta maaf. Tolong gunakan sudip, senduk atau sudu plastik dan kayu sahaja. Sahaja dan hanya itu sahaja. Itupun tidak boleh terlalu ganas. Hilang funfsinya apabila tercalar atau terkupas lapisan kalis lekatnya.



Periuk, kuali atau apa sahaja perkakas memasak perlu sentiasa dibersihkan. Digilap sewajarnya. Dilap dengan tuala yang paling bersih. Elakkan menggunakan tuala yang digunakan untuk mengelap tangan umpamanya. Jauhkan dari percikan air atau dipegang oleh anak-anak kecil. Gunakan semula  dengan cermat. Ulang proses untuk membersih dan menggilapnya setelah digunakan. Sekiranya penjagaan kebersihan ini terabai maka natijahnya ialah periuk, kuali, cerek dan lain-lain peralatan memasak yang lain menjadi hitam seperti gambar di atas. Tentu sahaja kurang menarik untuk memandangnya. Hajjah Aminah tidak memiliki periuk keluli (stainless steel) atau periuk kalis lekat. Gambar hiasan ini sekadar perbandingan. Namun begitu jika kesemuanya tidak dijaga tahap kebersihannya dengan sewajarnya akan terjadilah seperti dalam Gambar 1.


Gambar 6

Di dapur, kita kena ada sense of beauty. Kecenderungan mencantikkan suasana. Apa-apa yang diletak dibariskan dengan teratur. Ambil kira saiz, tinggi dan rendahnya. Untuk lebih cantik pastikan jenama atau labelnya berada di hadapan. Selari dan sekata. Tidak mungkin ada yang menafikan kecantikannya.

 
 
 
 
Gambar 7

Cerek elektrik. Selepas digunakan ditutup dengan tuala atau selayaknya. Menghalang debu atau unsur asing dari masuk atau terjatuh ke dalamnya. Begitu juga jak atau bekas minuman. Jangan biarkan terdedah.



Gambar 8

Apabila semua hal diambilkira, gambar menceritakan segala-galanya. Alah bisa tegal biasa. Semuanya menjadi mudah jika sudah dibiasakan. Sudah mendarah daging. Yang penting ialah untuk memulakannya. Cubalah.



Gambar 9

Susunan apapun perlu dirapikan. Dapur bukan tempat sebarangan. Lebih rapi lebih seronok berada dan melakukan aktiviti memasak dengan tenang, santai dan menyeronokkan. Jika ada tetamu, tentu meliar mata mereka memandang keliling. Mungkin hilang selera mereka kerana terkedu melihat susunan dan kerapian di dapur.  

 
 
 
 
Gambar 10

Ini adalah stok pinggan mangkuk. Disusun rapi dalam kabinet. Biarlah letaknya di kawasan dapur. Senang diambil. Senang disusun. Hajjah Aminah menghesot sambil duduk untuk merapikan susunan sebegini di rumahnya. Asyik dia melakukannya. Berminat dan cenderung untuk dilihat kemas dan rapi.



Gambar 11

Kain dan sabun pencuci pinggan. Lebih cantik dan lebih baik dipandang mata. Kain yang digunakan biarlah menasabah besar dan bersihnya. Nylon seperti dalam gambar ini lebih baik. Jangan dibubuh air di dalamnya. Apa sahaja peralatan makan seperti pinggan, mangkuk, besen, sudu, garpu, senduk dan sudip hendaklah dibuang minyaknya terlebih dahulu sebelum disabun. Buang minyaknya dengan tangan, dengan jari atau dengan tisu. Curahkan sabun seperlunya ke atas kain. Sapulah peralatan yang hendak dibasuh tadi berperingkat-peringkat. Setelah beberapa basuhan kain yang digunakan hendaklah dibasuh dahulu untuk membuang minyak yang melekat. Jika tidak peralatan yang dibasuh nampak bersih. Namun apabila dipegang masih teras berminyak. Tidak elok untuk peralatan yang berjenama mahal kerana apabila disimpan akan mendatangkan bau yang tidak enak. Atau rupanya tidak menyinar. Kusam dan kelam. Bekas sabun dan kainnya hendaklah dibasuh selalu setelah digunakan.  Sebelum tidur bersihkan dari sebarang kotoran dan jika boleh bebas dari sabun. Demi mengelakkannya berbau busuk pada pagi esoknya.



Gambar 12

Cawan, koleh atau gelas yang dibasuh dituskan dengan teratur. Dalam kabinet semasa menyimpannya juga perlu dilakukan hal yang sama. Tangkainya menghala ke satu arah sahaja. Jangan simpang-siur. 



Gambar 13

Begitu juga pinggan, mangkuk dan apa sahaja peralatan lain yang digunakan. Disusun mengikut saiz. Biar nampak rapi serapinya. 



Gambar 14 

Papan pemotong seperti ini digunakan untuk jangkawaktu yang lama. Perlukah ianya hitam, comot, selekeh dan menjijikkan? Tentu tidak. Bersihkan selalu dengan sabun pembersih. Atau alat pembersih yang lain selayaknya. Biar dilihat seperti baru setiap masa. Mungkin ada orang yang berasa hairan. Untuk pameran atau selalu digunakan? Jika digunakan masakan tidak kotor? Begitulah bezanya antara yang mengetahui cara membersihkannya dengan yang tidak mengetahuinya. Semuanya di minda dan di hati. Cenderungkan hati ke arahnya. Anda pasti mampu mengubahnya.





Kepada orang dahulu mungkin benar. Orang perempuan duduknya di dapur. Sewaktu penjajah giat mendidik anak bangsa, anak-anak perempuan agak tercicir kerana ramai ibu-bapa berpendapat bahawa pelajaran tidak memberi manfaat besar kepada anak-anak perempuan. Mereka akan bersuami dan akhirnya duduk di dapur sahaja. Pelajaran tidak dapat dimanfaatkan. Begitulah apa yang baru dimulakan banyak skeptismnya. Negatif yang banyak. Kerana itu ramai antara mereka yang berusia melebihi 70 tahun tidak berpeluang menjejak kaki ke sekolah. Walau bagaimanapun sekolah hanya suatu medium yang dianggap paling unggul untuk memberi pelajaran dan pendidikan. Banyak lagi medium lain yang digunakan oleh ahli masyarakat untuk mendidik. Mungkin tidak sekomprehensif sekolah. Mereka belajar dari pengalaman. Belajar dari alam. Belajar dari persekitaran. Ekologi dan iklim menjadi guru yang juga banyak didikannya. Itulah kedudukan Hajjah Aminah. Tidak berkesempatan untuk tahu tulis baca seperti yang dimadahkan oleh Allahyarham Usman Awang.


 Keluarga Hajjah Aminah tinggal di Parit Mustafa, Parit Sulung, Batu Pahat. Sebenarnya orang tua Hajjah Aminah berasal dari Pulau Pinang. Hingga sekarang masih ramai keluarganya di Sungai Burung, Parit Buntar, Perak. Rasanya seperti sudah terputus hubungan. Sudah tidak tahu siapa yang masih ada di sana. Yang tua-tua mungkin sudah tidak ada lagi. Tidak mengapalah. Izinkan Hajjah Aminah dipanggil mamak oleh anak-anaknya. Di Parit Mustafa, Hajjah Aminah bertiga beradik. Ketika adiknya yang ketiga masih lagi kecil kedua-dua orang tuanya meninggal dunia. Lalu Hajjah Aminah bertiga beradik dipelihara oleh nenek dan bapa saudaranya di Parit Maimun, Parit Sulung, Batu Pahat. Selang dua kampung dari Parit Mustafa.


 Zaman sunti dan daranya Hajjah Aminah tinggal di Parit Maimun. Dia bergaul dengan ramai sepupunya iaitu anak-anak bapa saudaranya. Di Parit Maimun ramai bapa saudara dan sepupu-sepupunya. Sebagai anak perempuan yang menumpang dia dilatih untuk banyak di dapur. Sementelahan pada waktu itu anak dara menjadi pingitan. Tidak bebas keluar rumah. Keluarnyapun berselubung dengan kain. Nampak sosok tubuh sahaja. Kemahiran untuk orang perempuan dipelajarinya. Memasak, membersih, mengemas dan mejahit adalah kemahiran biasa. Ia boleh menoreh, membuat sagu, mencucuk atap rembia (membuat atap dari daun rembia/sagu) dan berbagai lagi kemahiran orang kampung pada masa itu. Masa yang telah berlalu tentu banyak kenangannya. Pada usianya 90 tahun Hajjah Aminah masih berkemahiran memasak walaupun tidak dalam kuantiti yang banyak. Cukup untuknya dengan Haji Abas sahaja. Berkemas dan susun-menyusun masih dilakukannya sambil duduk dan menghesot. Menjahit sudah agak sukar. Mungkin sedikit-sedikit mengikut keperluannya.


 Dapur rumahnya sentiasa kemas. Haji Abas sangat perihatin dengan sampah. Walaupun Hajjah Aminah yang banyak di dapur, apabila ia ke dapur Haji Abas memerhati keliling. Apabila ada cebisan sampah dimasukkannya ke dalam bakul sampah. Bakul sampah sentiasa diurus untuk dibuang ke tong sampah. Civic Haji Abas tentang kebersihan sangat tinggi. Hajjah Aminah pula sentiasa mempastikan periuk belanga dalam keadaan berkilat. Disusun di tempatnya dengan rapi. Stok pinggan mangkuknya pula disusun rapi dalam kabinet. Malah apabila berada rumah anak-anak dia berusaha menyusun pinggan mangkuk yang ada jika diketahui tempat menyimpannya. Akan disusun dengan serapinya. Teliti menjaga harta miliknya. Di dapur rumahnya boleh diperhatikan:


     1                   Sabun pencuci pinggan yang dijaga rapi.

2                   Pinggan mangkuk basah yang tersusun.

3                   Sudu dan garpu di tempatnya.

4                   Periuk, kuali dan cerek digilap sekilatnya.

5                   Alatan makan minum dalam kabinet tersusun rapi.

6                   Lantai rumahnya bersih.

7                   Semua barang dan alat berada di tempatnya yang khusus.


 Didikan dari nenek dan ibu-ibu saudaranya menjadikan Hajjah Aminah sentiasa peka dengan dapur rumahnya. Ada sahaja yang dibuatnya. Dalam usianya sekaramg dia tidak pula ingin berehat panjang. Apa-apa sahaja yang boleh dilakukan akan diusahakan untuk dilakukannya. Walaupun sekarang ini ada pembantu rumah sambilan, Hajjah Aminah masih tetap mahu melakukan banyak aktiviti yang biasa dilakukannya. Alah biasa tegal biasa. Setelah usianya mencapai 90 tahun keupayaan Hajjah Aminah banyak berkurangnya. Semangatnya yang masih tinggi. Rasanya orang lain yang sebayanya tentu sahaja sudah tidak berminat lagi dengan kerja bersih-membersih dan susun-menyusun. Tidak bagi Hajjah Aminah. Ia gelisah melihat sepah dan selerak. Tidak tenteram hatinya jika ada bahagian rumah atau alat-alat kehidupan berumahtangga yang tidak diurus dengan baik.



Dalam soal bersih-membersih Haji Abas dan Hajjah Aminah sepakat bersama. Antara mereka lengkap-melengkapi. Mereka berdua saling membantu dalam soal kebersihan. Baik di dalam mahupun di luar rumah. Haji Abas lebih berminat tentang kebersihan di luar rumah. Banyak yang boleh dilakukan. Pada usianya sekarang minatnya masih ada tetapi tidak lagi seperti dahulu. Bukan sudah jemu tetapi kudratnya sudah banyak berkurangan. Dia melakukannya untuk mengeluarkan peluh. Meregang otot-ototnya. Namun begitu dia dan isterinya masih tidak mengabaikan kebersihan pada keseluruhannya. Mana yang terdaya mereka lakukan sendiri. Apabila anak-anak datang menziarahi mereka, anak-anak yang mengambilalih tugas membersihkan rumah. Merehatkan mereka berdua. Masa yang beredar membawa bersamanya kebiasaan yang tidak boleh lekang dari diri mereka. Dari muda hingga ke tua mereka tetap menjaga kebersihan di semua bahagian rumah mereka. Amalan yang baik begini baik untuk dicontohi. Persekitaran yang bersih menyegarkan minda dan perasaan. Dari segi psikologi ianya  melapangkan fikiran. 

Thursday, August 14, 2014

Siri Tiga Puluh: Katil Bila Tidur Bantalnya

Selepas bangkit dari tidur katil ini dikemas secantiknya supaya malam nanti gamitannya mengujakan. 

Jadikan katil seolah-olah di bilik pameran perabot. Rapi dan teratur sentiasa.

Katil yang dirapikan sebegini tentu perlu dihormati. Dijaga kerapiannya. Semoga sesiapa yang melihatnya ingin mencontohinya. Jadikan amalan sepanjang hayat.


Katil  sangat sinonim kepada kehidupan waktu malam manusia. Apabila tubuh badan terasa tepu keletihan maka katillah tempat istirehat yang tiada tolok bandingnya. Berjam-jam tidur di atasnya hingga kenyang mata. Hilang kantuk. Segar tenaga kerana pulih selepas dicas dengan tidur dan rehat. Menjadi kelaziman bahawa katil adalah tempat istimewa untuk aktiviti tidur. Walaupun ada yang mentafsirkan bahawa tidur tidak semestinya hanya pada waktu malam sahaja namun pada hakikatnya 99.99% manusia memilih bahawa katil memang untuk aktiviti tidur pada waktu malam. Kerana itu Haji Abas berprinsip bahawa katil perlu bebas guna apabila bangkit dari tidur pada waktu pagi sebelum solat Subuh. Ia digunakan semula selepas solat Isya’. Sepanjang hari katil itu telah dikemas. Dirapikan. Disusun bantal di atasnya. Bersih sebersihnya. Sebelum tidur malam pula digalakkan supaya permukaan katil itu dibersihkan dari debu atau gangguan lain jika ada. Tidur di atasnya seharusnya bebas dari apa sahaja yang mengganggu tidur. Pada waktu siang katil adalah kawasan larangan. Jika boleh larangan itu 100%. Bukan untuk tidur. Bukan untuk tempat anak-anak atau cucu bermain. Bukan untuk dipijak-pijak. Katil perlu dihormati dan disayangi sebagai tempat beradu yang paling indah dan enak sekali. Santai dan selesa hingga ke pagi dalam lena yang panjang dan menyegarkan. Bangkit awal sebelum Subuh untuk qiam al-lail.

Sebagai lambang keindahan pada waktu malam katil memancarkan kegemerlapannya yang tersendiri.  Apabila solat Isya’ telah disempurnakan eloklah berehat. Tempat tumpuan tentulah katil. Ketika itu kita sangat rindukan katil tersebut. Pertamanya kerana sepanjang hari kita tidak bersamanya. Keduanya kerana mata kita sangat memerlukan untuk dipejam. Bagi yang sudah berumahtangga, ada cerita yang hendak dikongsi bersama. Jauh dari pendengaran anak-anak, menantu atau cucu. Mungkin merancang masa hadapan untuk kebahagiaan bersama. Merancangkan masa hadapan anak-anak. Muasabah diri. Masalah yang perlu dikongsi. Nasihat dan rujukan antara satu sama lain. Atau pujuk-memujuk antara keduanya. Ini bermakna apabila tubuh kita dilabuhkan di katil kita inginkan katil yang siap sedia untuk tempat berlabuh pada waktu malam. Keadaannya kemas dan teratur. Bersih dan tersusun. Rata dan cantik. Sedikit harum dan meyegarkan. Sejuk mata dan perasaan. Merangsang kerinduan terhadapnya. Ke manapun kita pergi katil itu dirindui.

Keindahan dan kerapian katil adalah suatu keberadaannya yang menyambut tetamunya yang utama. Kita atau pasangan suami isteri yang selayaknya. Kita rindukan tempat kita beradu. Sebaliknya katil itu menyambut kita dengan keterbukaannya. Siap sedia untuk kita. Bayangkan, alangkah tidak selesanya kita apabila masuk ke bilik keadaannya berselerak seperti kapal pecah. Seperti tongkang karam. Seperti baru berlaku puting beliung. Seperti selepas banjir besar. Tidak tahu ke mana kaki hendak dipijakkan. Tidak tahu bahagian mana paling selesa untuk melabuhkan tubuh badan yang keletihan. Di atas katil pula ada pakaian yang baru diangkat dari sidaian. Belum lagi dilipat kemas dan disusun rapi. Ada pakaian terpakai yang berlonggok. Ada mainan anak-anak. Tidak kemas. Tidak rata. Terasa banyak debu dan sampah. Hati tidak berkata-kata? Fikiran tidak berbicara? Perasaan tidak berencana? Aduhai! Haji Abas tidak pernah menginap di hotel lima bintang. Atau empat bintang. Pengurusan katil dan bilik tidur seharusnya seperti di hotel. Bawa suasana hotel itu ke rumah kita. Jangan dihairankan suasana hotel. Kita biasakan untuk menghotelkan rumah kita sendiri. 

Katil terletak di sebuah bilik. Tempat berehat pada waktu malam. Maka bilik itu sendiri perlu menjadi persekitaran yang kondusif. Yang melambangkan keindahannya yang tersendiri. Sejak mudanya Haji Abas dan Hajjah Aminah tidak bertoleransi tentang bilik dan katil. Ianya taman larangan pada waktu siang. Lagipun apabila kita berada di bilik tidur pada waktu siang, rumah seperti tidak berseri dengan penghuninya. Tiada cerita. Tiada lawak. Tiada ketawa. Pada waktu siang  suasana ramainya rumah adalah di luar bilik. Masing-masing ada di hadapan mata. Sebab itu bilik tidur dan katilnya dibebaskan dari sebarang gangguan yang menyebabkannya tidak terurus. Seperti tiada keupayaan orang yang menggunakannya. Seperti kecenderungan mengemas diri begitulah juga seperlunya kita cenderung mengemas bilik dan katil.  Begitulah ilmu yang diturunkan oleh Haji Abas kepada anak-anaknya. Mudah-mudahan cucu dan cicit Haji Abas mengambil iktibar darinya.

Banyak yang perlu dilakukan untuk menghormati katil. Ianya perlukan latihan yang menjadi kebiasaan. Dalam hati diselitkan keinginan untuk menampilkan yang terbaik. Mengamalkan sesuatu yang baik dan boleh menjadi contoh teladan kepada orang lain. Mendidik anak-anak supaya berdisiplin dengan kekemasan dan kebersihan. Bagi mereka yang ada pembantu rumah, kemahiran mengemas rumah adalah jaminan untuk mempastikan pembantu rumah boleh melakukan yang terbaik dengan tunjuk ajar tuan rumah. Mereka tidak datang dengan kemahiran yang tersedia. Perlu di didik dengan kemahiran yang seperlunya seperti selera tuan rumah. Bantal untuk katil jangan dijadikan bantal publik. Maknanya bantal yang sama digunapakai oleh semua orang dalam rumah. Bantal untuk katil bilik A kekal di bilik A. Bantal bilik B kekal di bilik B dan begitulah seterusnya. Bantal bilik A untuk penghuni di bilik A sahaja. Untuk tetamu kita sediakan bantal tambahan. Setiap kali ada tetamu gunakan sarung bantal baru. Biar nampak baru, wangi bau sabun dan wangi kerana mungkin wangian.

Bantal juga banyak menyimpan maruah. Banyak cerita. Usah dikotorkan dengan air liur. Kotoran makanan. Baunya jangan busuk, hapak dan hangit. Bantal hanya untuk tidur. Khusus untuk tidur. Diganti pembalutnya dari masa ke semasa. Diganti sarungnya mengikut jadual sekerap mungkin. Untuk menggunakannya perlu di tempat yang bersih. Di atas tikar atau permaidani yang bersih. Tidak dicampak sesuka hati. Tidak digomol tanpa had. Seberapa yang boleh laranglah dengan tegas anak-anak dari duduk di atas bantal. Apatah lagi jika mereka memijak bantal. Malang bantal itu. Dari menerima muka dan kepala, kaki pula yang diinjakkan ke atasnya. Bantal tempat meletak kepala dan bahagian muka kita. Bukan punggung. Bayangkan anak-anak yang terkencing atau berhadas yang lain. Bantal itu juga untuk tidur? Untuk tetamu?  Tentu tidak mungkin begitu. Hormatilah bantal kerana ianya bantal.  Untuk tidur dengannya dalam keadaan wangi dan bersih. Suci dari sebarang najis. Bantal yang tidak sesuai keberadaanya tentu menyulitkan mereka yang tidur di atasnya. Kembang kempis hidungnya. Hendak mengiring ke kanan atau ke kiri terasa tidak tergamak. Menahan bau sepanjang malam. Hendak memandang bantal itupun terasa takut. Apabila pagi berkejar ke bilik air. Mandi sepuas-puasnya. Ingin membersihkan apa yang kita rasa pada bantal yang kita gunakan. Kesian tetamu. Kerana itu pemilik bantal hendaklah perihatin akan nasib mereka yang akan tidur di atas bantal itu.

Orang Melayu lazimnya bertandangan ke rumah saudara-mara. Mungkin sahabat handai yang rapat berbuat hal yang sama. Terdapat kecenderungan antara kita yang ingin untuk menziarahi keseluruhan rumah yang kita datangi. Setelah minum dan makan, minta izin untuk melawat rumah. Jenguk bilik sana. Jenguk bilik sini. Jenguk dapur. Akhirnya masuk ke bilik air. Kebanyakan antara kita memiliki perasaan aib. Segan. Imej dan maruah diri. Ketika lawatan itu berlangsung tentulah terasa aib apabila rumah tidak dalam keadaan seperti yang diharap. Tidak dalam keadaan sepertinya. Orang tidak berkata. Orang tidak bertanya. Orang hanya memandang. Kenapa orang membuat lawatan?

1                 Ingin menisbahkan antara penghuni rumah itu dengan keseluruhan keadaan   rumahnya. Rumahnya cantik secantik orangnya. Rumahnya kemas sekemas orangnya.
2                 Ingin mempelajari sesuatu mengenai rumah orang lain seperti susunan, kekemasan, kebersihan dan sebagainya.
3                 Ingin mencontohi keunikan yang ditemui semasa lawatan itu.

Andainya yang dilihat jauh dari jangkaan tentu terselinap dalam minda mereka  sesuatu yang tidak selari dengan tanggapan mereka terhadap diri kita. Rumah yang tidak teratur mungkin dilihat sebagai kekangan masa. Belum sempat diurus. Tetapi katil  menceritakan sesuatu yang lebih tragik. Lebih parah. Fatal. Apa-apa keindahan yang terdapat pada rumah dan tuan rumah terbatal kerana katil yang tidak terurus. Satu pertanyaan cepu emas yang mungkin dilontarkan.

Bagaimana suami tuan rumah boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang jurutera boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang doktor boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang guru boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang ustaz/ustazah boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang pensyarah boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang pengurus boleh tidur di atas katil seperti itu?
Bagaimana seorang pegawai tinggi boleh tidur di atas katil seperti itu?
Dan bagaimana ……
Dan bagaimana ……


Walau bagaimanpun, kegagalan mengurus bilik tidur dan katilnya bukan sesuatu yang menjadi kebiasaan kebanyakan antara kita. Ramai yang mengambil berat untuk mempersembahkan yang terbaik. Menjaganya dengan wajar. Sesekali mungkin terlepas pandang. Cuma jika boleh jadikanlah ia suatu kebiasaan klasik. Diberi nilai tambahan yang selayaknya.  Sesuai dengan sifatnya yang eksklusif.

Selalunya yang lebih aib ialah isteri. Orang menisbahkan kebersihan, kekemasan, tertib susunan kepada isteri. Walau bagaimana sekalipun suami pula tidak pula boleh lepas tangan. Isteri yang tidak berapa perihatin tentang hal itu menempelak aib suami juga. Yang terkesan namanya ialah nama suami. Tentulah disebut isteri kepada si suami. Kerana itu orang seperti Haji Abas membantu Hajjah Aminah untuk menjadikan rumah sebagai tempat yang membahagiakan. Kemas teratur, tersusun rapi, bersih dan persekitarannya kondusif dan menyenang serta menyegarkan. Katil umpamanya menjadi lambang kebahagiaan rumahtangga. Keperihatinan antara suami dan isteri. Kasih dan sayang yang dilambangkan dengan katil itu sendiri. Katil bukan sekadar katil yag bisu dan kaku. Ia berkata-kata dengan lambang-lambang keberadaannya. Katil dinisbahkan kepada pemiliknya.

Kerana itu katil seharusnya menjadi antara tempat yang paling diberi perhatian.

1                 Kemas apabila bangkit dari tidur. Sekemas-kemasnya. Teratur, tertib dan rapi.
2                 Bebaskan bilik dari sepah dan selerak. Bilik tidur adalah titik tolak kebersihan bilik dan ruang-ruang lain dalam rumah.
3                 Latih dan biasakan anak-anak mengemas katil dari tidak berapa kemas hingga sangat kemas. Tidak kira anak lelaki atau anak perempuan. Beri tunjuk ajar yang sama.
4                Anak-anak kita menjadi lambang standard keluarga. Yang lelaki membimbing isteri dan anak-anaknya. Yang perempuan membimbing suami dan anak-anaknya.
5                Tidak digalakkan tidur terlalu lama pada waktu siang tanpa sebab yang menasabah. Tidur sekadar beberapa minit sebagai amalan sunnah. Apatah lagi jika tidur di atas katil yang sudah dikemas. Jika perlu tidur, jaga kekemasannya. Kemas serapinya selepas puas tidur.


Haji Abas banyak prinsipnya dalam mengendalikan kehidupan berumahtangga. Kebersihan adalah kunci keindahannya. Dalam usianya 100 tahun Haji Abas masih boleh menyapu halaman rumah. Mengemas pokok bunga yang ditanamnya. Membetulkan apa-apa kerosakan di sekeliling rumah. Menyusun barang-barang yang perlu disimpan. Hajjah Aminah yang sudah tidak berapa berdaya untuk berjalan, masih berupaya menyapu dalam rumah. Membersihkan dapur, menyusun pinggan dan mangkuk. Memasak seadanya mengikut selera kesukaan Haji Abas. Menyusun peti ais. Kedua mereka memainkan peranan yang perlu untuk sesama mereka. Menjamin kebersihan rumah. Kebiasaan yang sudah menjadi darah daging menjadi mudah tanpa mengira masa. Tanpa mengira usia. Banyak manfaatnya apabila yang dilakukan memang banyak kebaikannya.


Haji Abas dan Hajjah Aminah bersama anak bongsu dari anak keempat mereka sempena hari raya 1435H/2014M




Alhamdulillah masih sihat dalam usia 100 tahun. Banyak cerita dari dahulu hingga sekarang. Namun begitu cerita merdeka pada tahun 1957 adalah yang paling manis baginya. Almarhum Tengku Abdul Rahman Putra sentiasa dalam ingatannya sejak pertemuan pertama pada tahun 1955.