Tuesday, January 14, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Puncak Gunung Yang Mengindah Lereng dan Kakinya



Pernah membaca kisah Umar Abdul Aziz? Belum? Dapatkan buku mengenai kisahnya dengan segera. Terutamanya pemimpin. Contohi peribadinya. Seorang Khalifah Maawiyah. Menjadi khalifah kira-kira selama lebih sedikit tiga tahun. Namun wilayah Islam ketika itu sangat makmur menjadi baldatun toyyibatun ghafur. Umar bukan sahaja dihormati manusia. Bahkan serigala tidak memakan kambing. Serigala yang terkenal dengan ganas dan liarnya tunduk hormat kepada Umar Abdul Aziz. Pembaca bersama penulis? Apa iktibarnya? Seorang pemimpin adalah seorang ketua. Juga seorang imam. Nah imam. Bukan sahaja dalam solat tetapi dalam semua aspek kehidupan. Apa lebihnya imam? Biasakan. Tetapi dalam solat, imam yang berada di hadapan dan memimpin jamaah masih boleh ditegur apabila melakukan kesalahan. Melanggar rukun solat yang perlu ditegur. Salah bacaan al-Qurannya. Salah rukun qauli. Salah rukun fi’linya. Makmum boleh menegur imam dengan berhemah. Dengan adab bersolat.

Imam bukan boss. Imam adalah pemimpin. Berada di hadapan pada kebanyakan masa. Beriringan sebelah menyebelah dengan mereka yang dipimpinnya pada waktu yang lain. Imam berkebolehan melebihi orang lain yang dipimpinnya. Dalam semua hal. Bukan ekonomi sahaja. Bukan kejuruteraan sahaja. Bukan sastera sahaja. Bukan perubatan sahaja. Bahkan imam diletakkan di hadapan kerana ilmunya yang melebihi orang lain. Sukar hendak mencari pengganti Umar Abdul Aziz. Pada zamannya tiada orang yang bersedia menerima zakat. Masing-masing memiliki kelebihan untuk dizakatkan. Maka perbendaharaan negara melimpah ruah kerana bajet yang berbentuk kurangan. Bukan lebihan. Pendapatan melebihi bajet. Tiada pemborosan. Tiada ketirisan. Tiada yang menuntut yang bukan-bukan haknya. Hasil negara bertimbun tanpa ada yang terliur untuk menghabiskannya. Peribada Umar sangat kukuh tanpa boleh diambil mudah.

Malangnya matinya dalam keadaan terseksa. Racun yang diminumnya hingga membawa maut. Bukan orang lain tetapi ahli keluarganya sendiri. Sebagai imam yang hebat dia mengetahui siapa yang meracuninya. Dengan senang hati dia memaafkannya. Memaafkan musuhnya sendiri. Hatinya sangat besar. Dunia ini sementara sahaja untuknya. Akhirat yang lebih hakiki itulah yang diingininya. Bersama Rabbnya itulah hakiki perjalanan sebuah kehidupan. Untuk selama-lamanya di sana. Sebagai pemimpin ia dilantik. Sebelum itu dibujuk berkali-kali. Jiwanya takut untuk memimpin. Tanggungjawabnya besar. Akauntabilitinya memberat di bahu. Bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat nanti akan ditanya selengkapnya.  Tanpa ada dusta seperti di dunia. Tanpa ada selindung. Tanpa ada helah untuk beralasan. Umar menerima jawatan kahlifah dengan berat hati. Ia berjaya tetapi hatinya selalu khuatir akan kemurkaan Allah.

Jika kita beranalogi, andaikan Umar sebagai puncak gunung yang tinggi. Menghijau ditinjau dari jauh. Cantik merimbun. Berbunga dan berbuah sepanjang masa. Manusia, haiwan dan unggas harmoni di puncak itu. Apabila ditinjau ke bawah, lereng gunung itu juga menghijau. Ekologinya menyatu dengan kindahan. Dengan kedamaian. Tiada yang kelaparan. Tiada yang tamak haloba. Tiada yang gelojoh dengan rezeki yang melimpah. Udaranya bersih. Oksigenya memenuhi segala ruang. Mewangi dan menyegarkan. Menghidupkan. Begitulah juga di kakinya. Segala tumbuhan subur menjadi. Persekitaran yang kita nikmati ialah kelangsungan sebuah kehidupan yang tersangat indah. Menjamin iman. Menyinar alam serinya. Seri Umar Abdul Aziz.

Kenapa tidak ramai antara kita yang mengingat tokoh besar yang dianggap khalifah kelima mengikut senarainya. Sebaris dengan Abu Bakar, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali Abi Talib. Antara sumbangannya yang besar ialah menghimpunkan hadith dalam bentuk tulisan. Didokumenkan. Dibukukan.
Umar sendiri diriwayatkan menghafal kira-kira sejuta hadith. 1,000,000 hadith. Benar ada angka 1 tetapi ada enam angka 0 selepasnya. Sebuah hadith bukan pendek matannya. Berjela-jela dari satu keturunan hingga ke keturunan lain di atasnya. Bertemulah sanadnya hingga Rasulallah. Ia benar kerana dilihat sendiri. Didengar sendiri. Ataupun mereka bersama Rasulallah pada sesuatu ketika. Cuba baca buku-buku pengenalan hadith untuk memahami proses mentakhrij, proses mentarjih. Itu belum lagi mengistinbat hukum.

Umar Abdul Aziz adalah seorang Muslim yang sangat hebat. Malah ada mereka yang bukan Islam mengkaguminya. Memperakui kehebatannya. Ingin meneladaninya. Pemimpin adalah bak puncak gunung yang tinggi. Dari puncak itu ia melihat sekeliling dan ke bawah. Ia menuruni gunung itu untuk melihat realiti di bawah. Ia naik ke atas untuk mempastikan puncak gunung itu mengawal keadaan. Puncak yang subur tentu menjadikan lereng dan kakinya subur. Maka dari puncak itu hingga ke kakinya terhasillah buah dan benih yang subur. Tidak pernah terputus kelangsungan sebuah kehidupan. Di puncak pepohonnya merimbun. Di lerengnya melempai. Di kakinya menaungi segala yang perlu dinaungi. Seperti moyangnya Umar al-Khattab, Umar Abdul Aziz sangat peka terhadap permasalahan rakyat. Bukan menunggu laporan. Bukan menunggu kertaskerja. Bukan menunggu komen. Bukan menunggu soalselidik. Ia ke lapangan untuk mendapatkan sendiri data primer yang belum diolah. Yang belum dihias. Yang belum ada kosmetiknya. Data mentah yang benar dan penuh kebenaran.

Masih adakah lagi pemimpin yang mencontohi Umar Abdul Aziz. Pada akhir zaman ini kita banyak dipimpin oleh orang-orang yang jauh peribadinya dari Umar Abdul aziz. Mungkin seorang professional tetapi tidak arif tentang agama. Tentang keperluan beragama. Tidak mengetahui proses menyelamatkan dirinya dari kemurkaan Allah. Tidak dapat pula membantu orang-orang yang dipimpinnya. Malah dalam sebuah hadith Rasulallah bersabda yang mafhumnya, akan sampai suatu zaman apabila Allah mematikan ulamak dan mengangkat ilmu ke langit. Yang tinggal adalah mereka yang sesat dalam ilmu dan menyesatkan pula orang lain. Pandanglah keliling. Mungkin zaman itu ialah sekarang. Kini. Sekarang ini. Zaman kita hidup ini.


Sampai masanya kita mencari perlindungan dari musibah yang lebih besar kerana kita dipimpin oleh orang-orang yang terkebelakang dalam aspek agama. Ibarat dalam solat, apabila imam melakukan kesilapan yang melanggar rukun umpamanya, sebagai makmum kita berhak mufaraqah. Bukan bencikan imam tetapi kita ingin solat kita diterima. Sebab itu makmum juga wajib mendalami ilmu agama. Jika tidak memimpin sekalipun jadilah makmum yang berilmu. Tahu perlunya berjamaah. Pada masa yang sama tahu bila perlu mufaraqah. Keluar dari jemaah. Mungkin kita menyelamatkan agama secara berjamaah. Ada masanya bersendirian apabila yang lain tidak arif mengenainya. Benarlah belajar itu dari buaian hingg ke liang lahad. Mudah-mudahan kita bukan mereka yang belajar ketika ditalqinkan sahaja. Talqinlah diri sebelum ajal menjemput kita. InsyaAllah Allah membanu kita semua. Melindungi kita dan Allah redha dengan hidup dan mati kita.

Monday, January 13, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Rehlah Syarie


Mencari yang islamik bukan sesusah mana. Kita sahaja yang tidak mencari jalan keluar. Tidak patuh syariah. Jika produk ada yang perlu patuh syariah. Syarikat juga perlu patuh syariah. Cara hidup kita masih banyak perlu diubah supaya patuh syariah. Malangnya sistem sekular di negara kita terlalu mencengkam sehingga umat Islam tidak lagi mengenal yang mana satu yang hak dan yang mana yang batil. Yang syarie selalu disalah mengerti. Ramai yang berusaha untuk patuh syarie. Dalam majlis walimatulurus umpamanya ada tuan rumah yang berusaha memisahkan antara tetamu lelaki dan tetamu wanita. Malangnya usaha ini selalu tidak dipatuhi oleh tetamu. Apabila datang tetamu berkeluarga mereka beranggapan tidak mengapa. Mereka lupa di meja sebelah adalah mereka yang berlainan gender. Mereka pula bukan mahram. Tuan rumah membuat tindakan yang betul. Tetamu pula lain yang difahaminya. Walau bagaimanapun tuan rumah telah berbuat yang terbaik dapat dilakukannya. Alhamdulillah. Ada usaha ke arah syarie.

Di luar sana masih banyak yang perlu dilakukan. Sewajarnya hal ini dididik dari sekolah kebangsaan lagi. Apabila mereka di sekolah menengah mereka sudah agak terbiasa. Di IPT mereka sudah memahami yang syarie. Kita masih kental dengan fahaman bahawa kanak-kanak tidak mengapa bercampur antara gender. Mereka masih kecil. Kita pula selalu lupa bahawa segala-galanya perlu bermula pada usia kanak-kanak tujuh tahun. Mula bersolat dan mula memulakan kehidupan yang patuh syarie. Ke sekolah berseluar panjang. Tidak bercampur antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Didikan awal inilah yang menentukan pemikiran yang islamik. Semoga apabila membesar minda mereka dapat memisahkan antara yang hak dengan yang batil. Yang islamik dengan yang bukan islamik. Ianya tanggungjawab ibu bapa Islam. Tanggungjawab guru-guru Islam. Tanggungjawab pemimpin Islam. Islam tidak dibina hanya apabila seseorang itu dewasa. Ianya melalui didikan yang prosesnya panjang dan lama. Perlu bimbingan. Perlu pemantauan. Perlu istiqamah.

Begitulah di sesetengah negara pemisahan gender sangat dipatuhi. Baik di rumah atau di luar rumah. Pada hari Selasa 7 Januari 2014 penulis menyertai perkelahan yang dikendalikan oleh Markaz Nil. Ramailah pelajar yang turut serta. Perkelahan itu memudik Sungai Nil. Mudik mengambil masa sejam setengah. Menghilir pulang juga sejam setengah. Peserta kira-kira 60 orang. Mereka dari berbagai negara seperti Turki, Kagarzstan, Qirghistan, Russia, Cina, Afghanistan, Malaysia, USA, dan lain-lain. Saudara seislam. Berbagai rupa tetapi jiwanya Islam. Kesemuanya lelaki. Terdapat du orang perempuan tetapi masih kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun. Begitulah sewajarnya dilakukan. Lelaki dan wanita dipisahkan. Bukan segregasi. Bukan diskriminasi. Mematuhi perintah agama. Yang dilarang dipatuhi. Dingin bulan Januari menggirangkan hati kerana di sepanjang mudik dan hilir itu terlihat berbagai pemandangan yang menyegarkan. Musim dingin di Mesir berbeza dengan musim yang sama di negara lain. Ada pokok yang tidka terjejas dengan suhu sejuk. Ada yang dedaunnya baru hendak gugur. Terlihat dedaun yang mula menguning. Di tanah bertaburan dedaun kering. Tidak secantik musim luruh di USA atau Canada. Namun cukup untuk memahami perubahan suhu dan impaknya kepada kehidupan lain.

Di atas kapal peserta mengikuti aktivi yang disediakan. Tiada nyanyian. Tiada dansa. Tiada muzik. Disediakan soalan-soalan kuiz yang meliputi sejarah Islam, para sahabat, ibadah, al-Quran dan berbagai lagi. Di akhir aktiviti seorang wakil setiap negara memperdengarkan bacaan al-Quran. Syahdu. Peserta yang terakhir dari USA. Dia bertaranum. Aduh. Terkedu sebentar. Andainya aktiviti sebegitu digalakkan di negara kita pastinya ramai anak-anak kita kenal Rasul mereka. Nama-nama malaikat. Sejarah solat. Ulum al-Quran. Sejarah perjalanan agama. Sirah nabi. Dan berbagai lagi aspek yang boleh diperkembangkan. Umpamanya dalam solat apakah perintah menukar qiblat? Tidak ramai anak-anak yang mengetahui bahawa qiblat yang pertama ialah Bait al-Maqdis, di Palestin. Di sebuah bandar purba yang dinamakan al-Quds. Itulah ibu negara Palestin. Bangsa Yahudi menghina umat Islam ketika itu kerana berqiblatkan ke Bait al-Maqdis. Sewaktu wahyu diturunkan mengenai perubahan Qiblat, Rasulallah dan para sahabat berada di Masjid Qiblatain. Masjid dua qiblat. Solat Asar ketika itu. Bergeraklah Rasulallah dan makmumnya ke arah Masjid al-Haram.


Melentur buluh tentu dari rebungnya. Agama diterapkan sejak anak-anak masih sangat kecil. Terbuka menerima pengajaran. Mudah menerima input segar mengenai agama anutannya. Kanak-kanak adalah sumber inspirasi agama. Kepada mereka disandarkan harapan masa hadapan agama. Didiklah mereka secara syarie. Menjaga solat mereka. Menjaga adab mereka. Menjaga akhlak mereka. Kita sudah lama kehilangan jati diri sebagai Muslim berakhlak mulia. Perlu menghormati yang lebih tua. Membantu yang kepayahan dalam banyak hal. Kita yang dewasalah yang merencanakan yang terbaik untuk anak-anak kita. Anak-anak didik kita. Tanggungjawab ini berat tetapi bukan terlalu sukar. Mulakan dari yang mudah. Bukan muzik. Bukan puisi. Bukan nyanyian. Bukan joget. Bukan merebut kerusi. Perkelahan syarie menambahkan tebal iman. Menambahkan sayang kepada agama. Lebih mengenal Allah dan RasulNya.

Gambar-gambar berikut adalah pemandangan di kanan dan kiri Sungai Nil. Termasuk gambar-gambar lain sebelum dan semasa perkelahan.






Antara bangunan lama
































Pulau di tengah sungai






Ladang pisang


















Kuda sedang dimandikan


Masing-masing memperdengarkan bacaan al-Quran






Remang senja




Kapal layar




Memancing


Pokok kobis bersama pokok pisang



Menunggang kaldai di ladang pisang


Pencemaran diesel di Sungai Nil