Tuesday, October 11, 2011

Berbelanja Bila Ada Wang. Merancang Bila Dijangka Ada.

Wang dilihat dari berbagai perspektif. Ada baik dan ada buruknya. Baik jika berhemah sewaktu menggunakannya. Cukupkan mana yang ada. Simpan untuk hal-hal di luar jangka. Labur untuk harapan di hari muka. Sedekah untuk yang perlu. Derma kepada yang meminta. Zakat bila tiba haul dan hisabnya. Kerana itu wang bukan digunakan kerana sifatnya sebagai wang. Tetapi dilihat sebagai apa yang dapat diterjemahkan dari wang. Sebab itu wang yang di tangan berbeza dengan wang yang disimpan. Berbeza dengan wang yang dilabur. Berbeza dengan wang yang diinfakkan untuk kemaslahatan umum. Untuk saudara-saudara kita sesama Islam. Sesama umat. Sesama manusia. Maka nilai agama hendaklah didahulukan. Nilai kemanusiaan pula diutamakan. Kita hanya pemegang amanah. Milik kita hanya sedikit sahaja. Terlalu sedikit. Wang dicari. Wang diguna. Ada baki disimpan. Diinfakkan untuk kebaikan. Untuk kebajikan. Nikmat menjadi manusia dermawan. Tidak banyak berharta tetapi kaya dengan kemurahan. Senang dan tenang. Bahagia selalu. Redha berkongsi apa sahaja.

Memiliki harta lazimnya bukan untuk dinikmati sendiri. Ramai yang berharta tetapi untuk ditinggalkan. Maknanya harta itu bukan untuk manfaat dirinya. Ditinggalkan untuk semua susur galur keturunannya yang ada dan yang akan datang. Andainya konsep berharta itu mengikut landasan Islam maka selamatlah rohnya di alam barzah dan akhirat nanti. Jika tidak maka petaka besar menanti di sana. Tempat yang tidak lagi dapat menyelamatkan kita. Segala-galanya sudah terlambat. Oleh itu anak cucu mestilah dididik supaya menjadi Muslim yang sebenar. Ingat hidup dan mati kerana Allah. Sesungguhnya dunia semakin hampir ke pengakhirnya. Bahawa alam akhirat semakin hampir tibanya. Harta bukan penyelamat. Penggunaannya yang selari dengan kehendak agama yang membantu pemiliknya.

Biasalah. Bila ada wang maka berbelanjalah sekehendaknya. Apatah lagi jika wang itu bukan kita yang cari. Apabila wang itu dicurah di depan mata. Menimbun banyaknya. Berbelanjalah sehingga terlupa mengira. Hingga terlupa menghemah diri. Bahawa yang hak perlu dipertimbangkan. Hak berbelanja tidak menafikan hak kepada siapa wang itu dibelanjakan. Bahawa hak itu akan menuntut haknya nanti pada hari pembalasan. Hak berbelanja bukan mutlak. Bukan qat’i. Ada  sistemnya. Ada prosedurnya. Ada prosesnya. Ada tatacaranya. Ada sekatan dan had-hadnya. Waima, berbelanja bukan untuk memuaskan kehendak orang yang berbelanja. Yang perlu disempurnakan ialah bahawa perbelanjaan itu untuk memenuhi mereka yang perlu dipenuhi haknya.

Memang mudah berbelanja. Boleh ketawa sesuka hati. Boleh membuka mulut menganga sebesar mana. Senyum dari telinga ke telinga. Wang banyak di depan mata. Terlalu leka berbelanja sehingga terlupa bahawa yang disimpan juga diguna. Yang dijangka juga dibelanjakan. Berbelanjalah sehingga wang berlonggok di depan mata tidak lagi mencukupi. Ada bukit membeli gunung. Ada tasik membeli lautan. Ada belukar membeli hutan. Yang kelihatan akhirnya adalah perbelanjaan yang manfaatnya tiada. Terlalu banyak pembaziran di sana sini. Longgokan sampah nafsu semata-mata. Sampah pembaziran. Mereka yang kenyang bukan dengan halalan toyyibah. Banyak api yang masuk ke dalam perut. Banyak racun yang menjalar di dalam urat saraf. Banyak sakit dari sihatnya. Fizikalnya sakit. Mindanya sakit. Rohnya sakit. Psikologinya sakit. Bahagia tidak pernah singgah dalam hati. Jiwa menjadi tidak pernah tenang. Semakin rakus dan rakus.

Kadang-kadang kita dijanjikan sesuatu oleh orang-orang yang kelihatan banyak wangnya. Yang diberi amanah untk mengagihkan wang. Janjinya manis-manis belaka. Bila diamati kita rasa curiga. Cukupkan wang yang hendak diagihkan. Cukupkah wang yang ada. Cukupkan wang yang dijangka ada. Ada masanya kita menjadi sangat bimbang bahawa wang yang dijanjikan itu sebenarnya tiada. Ianya akan ada bila sampai masanya ada. Jangan ditanya dari mana. Jangan tanya siapa yang menyediakannya. Big daddy selalu sedia memberi.  Anak-anak yang tidak pernah menyoal benar atau salah hanya menganga minta disuap. Apa yang disuapkan tidak disemak baik atau buruknya. Asalkan kenyang santak ke dada memadai. Biar perut gendut dan boroi. Kenyang yang diambilkira. Kebenaran tidak pernah diberi bicara.

Ramai orang yang mewah wang ketawa melihat gelagat orang yang tidak ada wang. Orang yang tidak ada wang merancang untuk menggunakan wang secara terancang. Belajar dari kemiskinan dan kepapaan. Dari kekurangan yang selalu berpanjangan. Berkurun  dengan usaha teguh mencari kebaikan. Mencari kelebihan. Biasalah emas dipandang orang. Wang yang dijeling-jeling. Kemewahan yang diidam-idamkan. Tangan-tangan yang menawarkan yang terbaik ditadah di bawahnya. Tangan-tangan baik yang suci dan bersih dinyah ke tepi. Tiada harapan. Tidak diberi peluang sedikit pun. Yang dikejar hanyalah keindahan untuk bermewah-mewahan. Tidak ada siapa yang insaf bahawa yang akan dibawa hanyalah kain kafan yang tebalnya tiada. Yang kualitinya tiada. Yang standardnya tiada.

Bila dunia disayangi segala yang ada di dalamnya dicintai. Semuanya digilai melampau batas. Kecintaan yang mengkelabui hak yang mesti dipertahankan. Hilang kecintaan sebenar mengenai alam akhirat. Alam abadi yang infiniti. Kekal selama-lamanya. Tiada sebaiknya. Tiada yang seindahnya. Tiada yang sesempurnanya. Keindahannya tiada tandingan. Tiada minda yang dapat membayangkan. Tetapi manusia tidak endah. Mereka leka mencari yang palsu. Yang sementara. Yang hanya persinggahan. Yang kekal terabai. Yang indah tersilau. Biarlah senang kerana senang. Biarlah susah kerana susah. Semuanya kerana Allah. Ketentuan Allah. Kepada Allah kita berserah. Kita pasti kembali kepadanya. Tanpa keraguan. Itu ketetapan. Itu fikrahnya. Mudah-mudahan mendung mega berarak pergi. Segala cakrawala akan menyinar bumi yang haus dengan keindahannya yang tersendiri. Tanah bertuah ini. Malaysia yang tercinta.

Tuesday, October 4, 2011

Guru – Profesion Yang Selalu Dilupakan

Puisi Usman Awang: Guru oh Guru!
Guru oh Guru!
Usman Awang

Berburu ke Padang Datar
dapat rusa belang kaki
berguru kepalang ajar
ibarat bunga kembang tak jadi

Jika hari ini
Seorang perdana menteri berkuasa

Jika hari ini
Seorang raja menaiki takhta

Jika hari ini
Seorang Ulama' yang mulia

Jika hari ini
Seorang peguam menang bicara

Jika hari ini
Seorang penulis terkemuka

Jika hari ini
Siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut sabarnya
mengajar tulis baca .

Pernah menghayati pusi yang sangat puitis ini? Nukilan simple yang menusuk qalbu. Garapan seorang yang sensitif dengan alam di sekelilingnya. Seorang sasterawan negara. Yang namanya masih gah walaupun jasadnya sudah tiada. Walaupun kelibatnya sudah menghilang lama. Melihat putaran dan kitaran dunia yang berkisar dalam kehidupan seorang insan yang bernama manusia. Sejarahnya panjang. Berlatarkan sejarah diri itu adanya seorang guru berjasa. Beberapa orang guru yang menuntunnya ke alam celik. Bermula dari tahu tulis baca. Menjadi dewasa. Memungkinkan dirinya menjadi warganegara yang menginsafi diri. Bahawa dirinya bukan hak dirinya seorang. Bukan hak orang-orang yang tersayang secara eksklusif. Bukan hak keluarga yang membesarkannya. Bukan komunitinya. Bukan hak keturunannya. Bukan hak negara sekalipun. Ia menjadi hak manusia yang lain. Tugasnya adalah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tugas yang selari dengan tujuan Allah menjadikan manusia. Mafhum firman Allah, manusia (Islam) adalah sebaik-baik umat di kalangan manusia.   

Sebagai guru saya rasa bertuah. Seandainya saya memilih kerjaya lain mungkin lain juga jadinya. Guru bukan sebarang orang. Bukan sebarang kerja dan tugasnya. Bukan sebarang kerjaya. Memanglah berbanding dengan kerjaya lain siapalah guru. Tidak ramai orang yang memandang dengan sebelah mata. Bukan tidak ada mata tetapi banyak yang lain yang lebih senang dipandang. Yang lebih menyejukkan. Dalam zaman orang mahukan hidup senang yang nampak dipandang ialah rumah besar bak istana. Kereta besar yang menjalar. Pakaian yang berjenama gah. Melancong ke luar negara. Gaya hidup yang mewah. Rumah di kawasan elit. Rakan taulannya gagah-gagah belaka. Itu yang dipandang orang. Apalah ada pada budi. Emas tempawan juga dinilai orang. Guru dilihat terlalu kecil. Ada baik, tidak ada mungkin baik juga. Guru yang tidak lagi dipandang sebagai seseorang yang tinggi duduknya. Berdirinya cukup rendah hingga hilang dari pandangan.

Kasihan guru. Bila berbaris di belakang letaknya. Bila duduk tidak dapat dilihat. Bila berjalan selalu tertinggal. Bila bercakap orang tidak mendengarnya. Pakailah bagai hendak gila, siapapun tidak memandang. Di depan ditolak orang. Di belakang ditinggal orang. Di sisi dipinggir-pinggirkan. Akhirnya guru terperosok dalam alamnya sendiri. Terkeluar dari arus perdana. Dari arus masyarakat yang terlalu pantas bergerak kerana mengejar kemajuan. Maaflah. Guru akhirnya menjadi gembala bakal generasi akan datang. Tuan gembala itu lebih tahu apa mahunya. Jangan banyak soal. Guru tiada suara keramat. Tiada suara halilintar untuk meminta diberi perhatian. Tenggelam dalam bilangan yang banyak. Hilang dalam bilangan yang sedikit. Tidak menonjol dan tidak diberi pengiktirafan. Alangkah manisnya kata-kata puitis Usman Awang. Hanya guru yang perasan. Yang membacanya juga guru. Mungkin kanak-kanak sekolah. Mungkin bakal guru yang semangatnya belum reda. Orang dewasa hanya menjeling baris dan bait puisi itu. Kepada mereka guru bukan ikon lagi. Itu dahulu semasa mereka belum tahu tulis baca. Sebelum mereka tahu apa-apa. Sekarang guru berada di bawah tapak kaki mereka. Mereka selalu berada di atas.

Menyesal menjadi guru? Tidak perlu. Saya tahu. Tuan tahu. Puan tahu. Siapa kita bukan penting dipolimikkan. Kita tahu tugas kita. Kita tahu kerjaya kita. Kita tahu objektif kita. Kita tahu rupa bangsa yang kita bina sekarang untuk zaman mereka nanti. Untuk masa hadapan yang kita tentukan.  Selama ini kita bahagia. Damai. Wang dan harta tidak seberapa. Tetapi kita masih berupaya menjengah dada bahawa orang-orang di luar sana dulunya pernah kita didik. Mereka menjadi penjana kehebatan negara. Siapalah kita. Namun ada hasil tangan kita yang berpanjangan jariahnya. Berpanjangan ilmu yang berguna. Mereka menjadi anak-anak didik yang soleh dan solehah. Alanhkah. Bukankah mereka menjadi bekalan yang akan kita bawa ke alam barzah nanti? Saham kita berpanjangan kerana jariah, ilmu dan sifat soleh itu pasti dipanjang-panjangkan. Diturunkan kepada generasi ke generasi. Yang baik itu abadi. Sahamnya kita yang punya. Rasanya tidak ada profesion yang serupa guru. Dari anak didik tidak tahu tulis baca hinggalah mereka melestarikan generasi yang mengikut mereka. Silih berganti zaman berzaman. Itulah harta kita. Itulah kekayaan kita. Itulah mudah-mudahan kemewaha kita di alam barzah dan diakhirat nanti. InsyaAllah.

Hari ini mereka menyambut hari guru sedunia. Biarlah sambutan itu orang yang beri. Kita tetap begini. Fokus kita ke hadapan. Banyak tugas yang belum selesai. Agenda negara yang pastinya selalu didahulukan. Di bahu kita terletak tanggungjawab membina  negara. Membina warganegaranya. Membina anak bangsa. Membina negara bangsa. Membina kelangsungannya. Sebenarnya kita tidak perlu berada di hadapan. Boleh sahaja berada di belakang tabir. Orang tahu siapa kita. Tanpa guru tiada apa-apa kepada siapapun. Cuma harganya terlalu mahal. Berat dan beban yang bukan ringan. Senyum dan tawa sahaja yang mampu selalu dihadiahkan. Tangis dan sendu hanya di dalam. Bukan menangisi diri. Menangisi anak watan yang tercicir. Yang kecundang. Yang terkandas. Yang terhalang. Yang bantut perjalanan mereka ke tahap yang lebih tinggi. Memacu minda membina negara ke tahap yang lebih menjulang. Bak kata Usman Awang, kita hanya guru biasa.   Bukan memimpin. Bukan yang di atas yang duduk di kerusi empuk merancang masa hadapan. Cukup sekadar memberi yang terbaik. Terbaik dalam keterbatasan kudrat yang ada. Peluang dan ruang yang ada.

Tolehlah ke belakang. Tolehlah ke hadapan. Di sekelilimng kita yang bernama guru, terlalu ramai yang telah kita lepaskan ke alam buana untuk membina kehidupan diri. Kehidupan keluarga. Kehidupan negara. Malah mungkin ada seorang dua yang menyumbang kepada warga dunia. Tangannya menggapai lebih panjang. Kakinya lebih melangkaui jurang besar. Mindanya menggapai awan. Lapangannya luas. Medannya terhampar melaut luas. Tiada batas kepada mereka. Itulah hasil titik peluh kita yang sedikit. Memanusiakan anak-anak didik yang dikembalikan kemanusiaannya. Untuk manfaat manusia lain yang memerlukannya. Kita boleh duduk bersandar dan bersantai. Pejam mata. Yang tergambar sebagai imej-imej besar yang memberi ria. Mendamaikan sukma. Bahawa sebagai guru kita bukan sia-sia. Siapapun kita tetap ada jasanya. Apalah ada pada yang sedikit jika itu memberi impak besar kepada warga hadapan negara.

Bagi yang masih bertugas setia, bebaskanlah diri dari belenggu yang membelenggu. Bebaskan minda dari kejumudan. Berubahlah untuk mengubah paradigma. Maju ke hadapan tanpa meninggalkan yang di belakang. Keluar dari kepompong kecil yang sudah terbina lama. Lihatlah alam luas ini sebagi pentas beraksi dan berirama. Menjulang tekad dan azam mencipta nama. Sekadar diingat oleh anak-anak didik yang masih ada. Mudah-mudahan diingat lama. Dikenang berzaman. Kitalah guru yang mengajar tulis baca. Guru biasa yang tidak punya nama. Sekadar kekuatan semangat. Diwajakan dengan ikhlas niat. Jalan ke hadapan yang sangat luas.

Sambutlah harimu hari ini. Santaikan minda. Santaikan fizikalmu. Hari ini hanya hari-hari biasa. Tiada apa-apa yang berbeza. Akan ku bina bumi bertuah ini.

Monday, October 3, 2011

Menopause - Gangguan Emosi Yang Tidak Pernah Mistri

Wanita adalah bintang hati lelaki. Teman terbaik. Kekasih abadi. Pasangan hidup dan mati. Membahagiakan di dunia dan di akhirat. Dari mereka lahir keturunan manusia. Begitulah anak-anak Adam Allah ciptakan dari rahim mereka. Membiaklah manusia untuk memakmurkan dunia ini. Melestarikan keturunan manusia. Kesinambungannya yang akan memanjang hingga hari terakhir alam. Hanya qiamat sahaja yang menghentikan sumber lahirnya anak-anak. Memutuskan aliran datangnya mansuia. Terhenti semuanya kerana masanya sudah sampai. Penamat segala yang wujud di dunia. Persediaan awal untuk menuju alam akhirat. Hanya Allah yang tahu. Wanita dalam usia apapun masih tetap wanita. Kedut kulit bukan isu. Rabun mata bukan isu. Tidak mendengar bukan isu. Gugur rambut bukan isu. Uban bukan isu. Botak bukan isu. Gendut dan boroi bukan isu. Wanita tetap wanita. Pasangan untuk lelaki.

Sejak dari Hawa di samping Adam, wanita berada di sisi lelaki yang bernama suami. Kebanyakan wanita difitrahkan subur. Dari mereka lahir anak-anak pengarang jantung. Jantung hati. Penyejuk mata.  Intan payung yang menyegar dan menyerikan sebuah rumahtangga. Yang menghiburkan hati setiap pasangan. Melegakan kerisauan ibu dan ayah. Ada matlamat hidup ini. Banyak agenda untuk anak hingga mereka berdikari kerana usia dewasa dan berumahtangga. Berpuluh tahun wanita melalui evolusi diri mereka. Secara biologinya mereka melalui berbagai proses untuk menjadikan mereka wanita sebenarnya. Dari saat mereka baligh hinggalah suatu ketika mereka diisytiharkan menopause. Sehingga tarikh itu didatangkan di depan mata tiada wanita yang ambil kisah. Tiada antara mereka melintaskan dalam minda mereka implikasi menopause.  Bagi mereka masanya lambat lagi. Jauh lagi. Belum  nampak bayangnya lagi. Minda belum memberi tanda bahawa menopause itu perlu diambilkira. Tinggalkan dulu sehingga waktunya sampai. Pasti ia akan sampai.

Apa sebenarnya yang ada dalam minda wanita?  Bagaimana rupanya mereka yang menopause? Ada apa-apakah implikasi negatif  yang mengiringi menopause? Hanya yang sudah mengalaminya sahaja yang mengetahui. Pengalaman adalah guru dalam kebanyakan hal. Guru yang paling baik.  Guru harapan untuk memandaikan diri menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang dihadapi. Di sinilah berbagai persepsi salah menghantaui wanita. Wanita Melayu yang paling parah apabila mencapai usia menopause. Ramai beranggapan bahawa menopause adalah pengakhir segala yang namanya nikmat. Yang namanya keindahan. Yang namanya kebahagiaan. Yang selalu diidamkan. Dirindu dan didendam. Akan berakhir suatu kedamaian. Betapa salahnya tanggapan serupa itu. Jauh sangat menyimpang dari norma wanita yang sihat. Yang biasa. Yang normal. Menopause bukan penamat segala-galanya. Masih banyak harapan indah yang sebelum ini tidak tertunai. Yang selalu dinafikan. Yang selalu ditakuti. Yang selalu  menghantui.

Sesesungguhnya menopause itu tetap datang. Suatu fitrah usia untuk wanita. Fitrah biologi untuk mereka. Sebagai rakan kita ada pernanan membantu. Sebagai lelaki kitalah yang menjadi bahu tempat bersandar. Mungkin ramai antara kita yang perlu banyak mencari maklumat. Mencari bahan. Merujuk di mana ada. Banyak bertanya. Pastikan mendapat fakta yang sahih. Memahami fenomena sebenar yang namanya menopause. Yang hanya khusus untuk wanita. Tidak pernah untuk lelaki. Selalu dijenakakan, “Men no pause.” Maaf. Hanya untuk yang berkenaan sahaja. Bagi yang sudah melaluinya sangat memahami. Bagi yang hampir tiba di garisan itu, buatlah persediaan. Bagi yang muda bersedialah kerana ia pasti sampai. Biar tahu. Persediaan yang akan dibuat biarlah yang mantap. Mengukuhkan suatu penghadapan yang pasti. Tentu sekali bila waktunya sampai.

Menopause hanyalah suatu episod dalam kehidupan wanita. Sampai masanya edaran dan proses biologi tubuh badannya menghentikan proses yang biasa. Saat itu tidak datang tiba-tiba. Ada isyarat. Ada tanda. Ada alamatnya.  Evolusi wanita mengalami gangguan jadual. Haidnya tidak lagi menentu waktunya. Bukan lagi setiap bulan. Bukan lagi setiap 28 hari. Bukan lagi boleh ditunggu dengan setia. Mungkin sampai masanya haid hanya datang sekali dalam dua bulan atau tiga bulan. Bukan sahaja kekerapannya semakin menjarang, kuantitinya juga sangat berkurangan. Masanya semakin pendek. Jika dahulu tujuh hari adalah biasa, sekarang mungkin hanya tiga hari. Jika dahulu bebarapa kali menukar bersih sekarang hanya sekali sehari. Akhirnya aliran itu terhenti. Tiada lagi. Seperti sesuatu yang tidak dinanti. Tiba juga menjengah. Maka sahlah sesuatu yang pasti itu datang juga. Sampai juga. Tiba juga. Hadir juga. Satu dunia baru yang jika tidak difahami menjadi mistri tidak diketahui. Tetapi yang malang ialah ramai wanita menjadi menyendiri kerana salah tanggap bahawa segalanya sudah berakhir. Dirinya sudah tidak berguna lagi. Tiada siapa lagi yang sudi menyentuhnya. Sangat menakutkan jika suami beralih angin. Mencari lapangan baru yang menyegarkan. Nanti dulu! Banyak sangat yang tidak benar. Semuanya tidak benar. Jangan hanya berprsangka.

Menopause hanya mengakhiri proses hamil. Tiada lagi tanggungan untuk membesarkan janin. Tiada lagi menanti pecahnya tuban. Tiada lagi sakit yang menyeksakan. Tiada lagi saat antara mati dan hidup. Tiada lagi proses menyusukan bayi. Tiada lagi berjaga malam. Tiada lagi mengasuh anak-anak kecil. Kesemuanya sudah berakhir. Semuanya sudah berhenti. Tiada lagi. Semuanaya menjadi sejarah diri. Pengalaman sebagai seorang isteri. Menjadi wanita yang telah menyempurnakan suatu peranan yang difitrahkan. Bukan sudah tidak berguna. Bukan. Mereka menjadi wanita penuh pengalaman. Menopause menjadi medan yang penuh terbuka. Tiada lagi sekatan. Apa-apa sekatan sekalipun. Tiada lagi cuti solat. Tiada cuti puasa. Tiada lagi risau dan bimbang jika tawaf semasa umrah atau haji. Ibadat yang perlukan wuduk sudah tiada halangan lagi.  Semuanya menjadi bebas.

Wanita selalu takut bahawa menopause akan menjauhkan suami. Sebelum itu berlaku, lebih baik mereka menjauhkan diri. Lebih akrab kepada anak dan cucu. Sebenarnya salah tanggap inilah yang menjadi self prophecy. Akhirnya yang ditakuti memang menjadi. Terjadi kerana sudah dijangka begitu. Minda sudah ke situ. Akibat salah tanggap ini ramai lelaki yang bernama suami kehausan kasih sayang isteri. Kehilangan sebahagian dari diri mereka. Terbang semua yang dulunya sangat dekat dengan diri mereka. Ramai suami yang ditinggalkan seorang diri di rumah kerana sang nenek lebih dekat dengan cucu. Tidak cukup dengan anak, mereka berada dengan cucu-cucu. Mendekatkan diri dengan cicit-cicit yang mula ada. Hanya simpati saya kepada datuk-datuk yang keseorangan. Sepi dan sunyi. Sendirian walaupun berteman. Seorang dalam berdua. Ketika inilah sesuatu yang di luar dugaan selalu terjadi. Pada suatu ekstrim ramai lelaki “tua” ini akan bernikah lagi. Pada ekstrim yang lain mereka bercerai berai. Benarlah kata John Gray, men are from Mars, women are from Venus. Banyak yang tidak difahami antara satu sama lain. Mereka kembali ke dunia mereka sendiri.

Hakikatnya menopause bukan begitu. Sewajarnya pasangan menjadi lebih intim. Tiada yang menghalang mereka supaya menjadi lebih dekat. Ikatan kasih sayang yang lebih menebal. Sayang yang semakin terangkat tinggi. Kehadiran yang rindu merindui. Selalu dekat di hati. Menopause tidak pernah menghentikan peranan wanita untuk suaminya. Ia masih perlu aktif untuk suaminya. Ia tetap mampu aktif untuk kekasih hidupnya itu. Tiada yang kurang. Tiada yang lebih. Tiada yang perlu terhakis. Ia tetap memainkan fitrah wanitanya. Percayalah, menopause bukan pengakhir seorang wanita. Lihatlah wanita Barat, usia tidak pernah menghentikan diri dari berperanan sebagai wanita. Masih berkahwin tanpa mengira usia. Tanpa menghadkan usia suaminya. Pada mereka hidup bersuami isteri perlu sihat. Singkaplah salah persepsi itu. Wanita tetap bertambah manfaat dirinya. Menopause hanya titik masa. Bukan berakhirnya segala yang indah sebagai pasangan yang berumahtangga.

Saturday, October 1, 2011

Bersediakah Kita Merangkak Tua Menginjak Masa


Rezeki diri jika hingga panjang usia. Hingga menjadi warga emas. Menjadi tua. Melepasi usia guna seorang warganegara. Melalui pengalaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan akhirnya tua. Cuba pandang pasangan-pasangan yang mencapai usia begitu. Bila sama-sama tua banyak benar yang tidak selari. Banyak perbezaan pendapat. Kerukunan semasa muda hilang berkecai kerana usia tua mengubah banyak perkara. Pendengaran semakin menjauh. Penglihatan semakin pudar. Sensitiviti semakin tiada. Perasaan tidak lagi peka kepada pasangan.  Walaupun makan dan minum masih terjadual. Kekerapan bersama di meja makan semakin berkurangan. Selera masing-msing semakin nampak kelainannya. Kenyang dan lapar tidak menentu. Menantu dan cucu yang bertandang mungkin membuka sedikit kembang di hati. Sinar gembira yang datang sementara.

Dari kecil kita dididik untuk menjadi manusia istimewa. Manusia baik. Banyak aspek kehidupan dan diri kita yang diatur. Setengahnya dimodifikasi kerana ketidakselariannya dengan pembentukan umum. Dari norma kebiasaan. Kesihatan tubuh badan tidak banyak cacat celanya. Bangun tubuh  bukan masalah kepada kebayakan orang. Selalunya yang sukar dibentuk ialah sikap dan pembawaan diri. Keceluparan berkata-kata. Hemah yang tidak dijaga. Intonasi suara yang menyinggung. Hujjah yang tidak memikirkan sensitiviti orang lain. Tingkah laku lepas bebas tanpa batas-batas mensabah. Soft skill yang punah. Lemah kemahiran insaniah.  Ragam diri yang dilebih-lebih. Orang-orang yang dekat menjadi gusar kerana pergeseran kata-kata yang entah kenapa berlainan setiap masa. Banyak lupa dari ingat.  

Ramai benar pasangan warga emas yang hilang sentuhan kasih sayang. Apatah lagi apabila masing-masing mula kehilangan nikmat anggota tubuh badan yang selalu setia berfungsi. Bila seorang hilang deria dengar maka pasangan banyak meninggikan suara. Kesabaran selalu hilang kerana lain diucap lain didengar. Lain  yang difaham. Lain pula  tindakan. Pasangan yang dulunya intim menjadi banyak tingkah suaranya. Terpaksa banyak menjerit. Itupun berulang kali. Kemahiran berkomunikasi sukar diubah. Sukar ditukar. Sukar menerapkan konsep baru yang berubah. Norm yang dulunya dianggap biasa sudah bukan kebiasaan lagi. Ketiadaaan  kemahiran menghadapi hari-hari tua tentu sahaja menggusarkan. Mengakibatkan ketegangan semata. Stressful. Yang mendengar lebih banyak terperanjat dengan kata-kata kasar dan terlalu serunya.  

Kita semua akan menghadapi hari-hari sebegitu. Pagi ini kita melihat cermin. Pipi masih tembam. Kulit masih tegang. Stamina masih boleh bertahan. Rambut masih putih. Gigi masih penuh. Telinga, mata, hidung dan anggota yang lain tetap berfungsi seperti fitrahnya. Demi masa perlahan-lahan nanti akan banyak yang hilang nikmatnya. Tanpa disedari segala-galanya pudar. Terhakis dari keindahan bertubuh sasa. Kulit gebu dan tegang yang menyusut menjadi kecut dan berkedut. Berkerumut. Anak muda dan cucu cicit mungkin geli bersentuhan. Orang tua yang lebih kulit dari daging. Tulang temulang yang menunjukkan fizikalnya. Cengkamannya yang semakin melemah. Gapaian yang tidak lagi menjadi. Kekuatan semasa muda dahulu ditarik habis. Masanya sudah sampai dia perlu insaf bahawa masanya sudah hampir tiba. Yang dibawa nanti hanya amal ibadat, amal jariah dan segala kebaikan dirinya sebagai seorang Islam.

Pendengarannya menjadi susut. Nikmat berkomunikasi lenyap ditelan masa. Ditelan usia. Interaksi yang selalu disalah erti. Makna dan maksud sukar sampainya. Hanya yang banyak bersabar sahaja betah berhadapan. Yang lain menjadi takut. Ada pula yang payah hendak ambil peduli. Bercakap kuat bukan semestinya didengar. Dijerit bukan pula caranya. Berbahasa isyarat masing-masing tidak tahu. Mulut sahaja yang bergerak bibir. Mudah-mudahan ada yang membaca geraknya. Mudah sedikit mengerti apa dibicara. Itupun jika berhadapan bersemuka. Ada yang difahami. Jika dari belakang atau sisi maka interaksi dan komunikasi memang tidak menjadi.

Mata semakin pudar. Yang jelas dilihat menjadi samar. Banyak yang perlu dilihat dekat. Kacamata menjadi tebal kantanya. Selaput dan kecacatan retina menghambat usia. Semakin tua semakin kabur. Nikmat melihat yang ditarik hilang. Lidah dan tekak seperti tersumbat. Sempit. Loya. Banyak karenahnya. Ada sahaja idam dan mintanya. Bila ada kesemuanya ditolak kerana tidak mahu masuk ke kerongkongan. Maka banyak laparnya. Maka banyak pula penyakitnya. Maka semakin banyak ragamnya. Tidur tidak menjadi. Berjalan tidak lagi larat. Memandang hilang fokus. Mendengar hanya antara ada dengan tiada. Segalanya hanya menjadi rutin yang tidak biasa. Canggung selalu dirasa. Kekok setiap masa. Masa dulu-dulu yang hilang kesemuanya.

Orang-orang muda seperti kita perlu belajar untuk menjadi tua. Belajar bahawa suatu hari nanti kita pasti tua. Yang tidak mahu kita lakukan ialah mengulangi tingkah laku ibu bapa kita yang tidak indah. Tingkah laku orang-orang tua yang terlalu asing. Kebiasaan yang merungsingkan. Lari dari norm yang biasa. Banyak perkara yang perlu dipelajari. Kebiasaan kita perlu dibangunkan supaya yang menasabah sahaja. Bersederhana dalam banyak hal. Jika ada kelainan sekalipun biarlah yang tidak signifikan. Yang tidak dirasa. Orang mungkin tidak perasan. Belajarlah untuk melentur suara sejak dari muda. Sejak semasa berkasih sayang dengan pasangan. Lembutkan intonasinya. Variasikan pengucapannya. Biarlah yang romantik. Yang melegakan. Mendamaikan. Menyejukkan.  Dalam banyak hal orang tua tewas kerana suaranya tidak dikawal. Nilainya merudum kerana gagal mengawal suara. Didengar kasar. Keras. Pentingkan diri. Kelihatan seperti riak dan ujub. Ego yang menyelaputi tuanya.

Kebanyakan orang tua banyak ragamnya. Tetapi jika dikawal sejak dari muda barangkali ragamnya berpada-pada. Mengikut tempat dan masa. Ada rasional yang sepadan dengan ragamnhya itu. Ragam yang boleh diterima akal. Ada kewajarannya. Bukan setiap masa dan tempat. Seorang lelaki banyak cerewetnya sejak dia diserang angih ahmar. Masih boleh berjalan tetapi mulutnya menyakitkan hati isterinya. Suatu hari isterinya meluiahkan rasa terkilannya. You sakit mulut you tak pernah sakit. Yang you cakap menyakitkan hati I aje! Kalau you boleh banyak bersabar I akan lebih syaangkan you.” Sejak itu si suami banyak mengurangkan ragam. Hinggalah ajalnya tiba kira-kira dua tahun kemudiannya. Kebanyakan pasangan suka melabel pasangannya masing-masing. Tidak puas hati denga layanan pasangan. Rasanya semua layanan terbaik telah diberi. Terima kasih tidak dibiasakan. Redha di hati tidak pernah dilakukan. Yang melayan tenggelam punca.

Biasakanlah bersabar. Orang tua banyak nikmat yang Allah tarik. Hilang kemudaan. Hilang kegagahan. Hilang kewarasan. Kembali bertapak di alam nyata. Bahawa pada usia tua banyak bezanya dengan semasa muda. Yang dulu menjadi pengajaran. Yang sekarang untuk membina sempadan. Yang akan datang diburu supaya memberi ruang terbentang untuk kita mendapat dada berlapang. Bersikap lemah lembut bukan minta dipijak kepala. Lemah lembut yang memesrakan perhubungan. Ikatan kasih sayang yang berpanajangan. Menyenangkan orang yang melayan karenah kita. Sifat suka marah hendakah dibuang. Takut-takut bila tua itu sahaja yang kita tahu. Marah dan marah. Penyelesaian tidak ada. Sukar difikir. Sukar berfikir. Meragam sahaja.

Banyak idea tidak mengapa. Namun jangan paksa orang lain supaya menerima idea kita itu. Jangan suka mengarah nanti orang tidak tahu yang mana keutamaan yang perlu dilaksanakan. Kesabaran mestilah dibentuk. Orang  yang sabar banyak faedahnya. Orang di sekeliling tidak ramai yang akan gusar. Pendiam lebih banyak. Gantikan dengan membaca al-Quran, hadith atau membaca buku. Atau berwirid. Bertasbih. Banyak yang boleh dilakukan. Yang pentingnya minda kekal segar. Terbaru. Masih tajam pemikiran. Masih kuat ingatan. Usia tua adalah manifestasi muda kita. Apapun yang tersembunyi semasa muda kemungkinannya diserlahkan semasa tua. Takut benar jika yang dipendam menjadi igauan kerana semasa tua igauan itu menjadi benar. Sama-samalah kita membina sahsiah orang baik-baik. Baik dari muda hingga tua. Menjadi antara mereka yang selalu dikeang baiknya.

Jika semasa mudanya banyak minta maka tuanya lebih banyak pula mintanya. Lebih banyak yang akan diminta. Oleh itu banyak memberi. Kurangkan meminta. Kurangkan marah. Banyakkan sabar. Banyakkan menanti dan menunggu. Banyakkan diam dan kurnagkan banyak bercakap.

Bila menjadi tua, anak-anak hendak berbakti. Jika dicela baktinya, mereka lari. Menantu ingin dekat. Bila dihambat tentu lambat datangnya. Cucu-cucu yang masih kecil menanti penuh harap seorang datuk yang perihatin. Bukan yang sentiasa tidak puas hati. Yang hanya tahu dirinaya sahaja yang perlu diberi perhatian.

Thursday, September 29, 2011

Mencari Bidadari Di Hati Wanita

Seorang wanita menikah. Seorang lelaki menikah. Alasannya berbeza. Walaupun ada persamaannya namun dalam jangkapanjang berlaku devian dari segi tanggungjawab. Dari segi perlakuan masing-masing. Dari segi kesetiaan. Cinta kepada lelaki berbeza ertinya dengan cinta yang dilarakan seorang wanita. Ramai wanita menangis semasa bercinta. Hampir tiap malam bantalnya basah. Rembesen airmatanya sukar ditahan-tahan. Tiada bendungan untuk menyekatnya. Gelisah di pembaringan. Tidurnya memang selalu tidak lena. Pusingnya entah berapa kali. Teringat pantun rang tua barangkali:
Kalau nak gugur, gururlah nangka,
Jangan menimpa si pohon pauh;
Kalau nak tidur, tidurlah mata,
Jangan di kenang orang yang jauh.

Tetapi itulah yang fitrahnya. Rindu yang sendu. Sayu yang membayu. Semuanya ingin dikirimkan di angin lalu. Cinta orang dahulu. Kini teknologi sudah lama berubah. Namun cerita cinta tidak pernah berubah. Tambatan dua hati. Tautannya mencengkam qalbu. Menusuk ke dalam. Ingatan selalu padanya. Kenangan selalu dalam minda. Gambarannya ada di mana-mana. Mimpi untuk berjumpa di alam maya. Siangnya bertentang mata. Imej diri silih berganti berkirim-kiriman. Selagi ijab dan qabul belum terlaksana rasa kerinduan tetap menjelma. Apatah lagi yang belum ada kepastian. Yang berpacaran belum ada pengikatnya. Yang sudah diikat masih belum ditentukan jangkamasanya. Yang berjanji waktu menghitung hari. Yang mendekat mengira saatnya. Yang bercinta sama ceriteranya walau di mana mereka berada. Di utara atau di selatan, sama sahaja. Cinta dan bercinta. Cerita lara hati kerana rindu yang belum tentu ada penentunya.

Kali pertama bersama lelaki yang bernama suami segalanya terlerai. Seorang wanita tetap juga menangis. Dulu kekasih jauh di mata. Yang malamnya diimbau dan diimpi. Sesudah suami di depan mata masih tetap tangisnya menderaikan air mata. Bercucuran membasahi pipi. Air mata gembira yang bukan kepalang hendak dikata. Tiada bahasa yang cukup layak untuk diungkapkan. Hanya air mata yang memanifestasikan rasa di dalam. Luahan hati yang sudah lama dibendung. Jika dulu empangan air mata merembas bantal, kini empangan  air mata membasahi pangkuan suami. Penantian yang sekian lama. Bertahun-tahun yang ditunggu dengan penuh kesabaran. Menangkis segala dugaan dan godaan. Demi kesetiaan suatu cinta. Rindu dalam tangisan. Bertemu dan bersama juga dalam tangisan.

Masa berlalu pantas. Hari berganti minggu. Melewati bulan dan tahun. Masa mengubah pandangan dan keselesaan. Cinta tetap sejati. Sayang tetap di hati.  Tetapi banyak perubahan dalam mengotakan  cinta dan sayang itu. Jika dahulu hatinya hanya untuk suami, kini hatinya banyak berbelahnya. Anak mungkin sudah berderet. Kerjaya semakin memberat. Suami bukan lagi the only focal point. Cabang-cabang tanggungjawab bercapah. Liku-liku kehidupan menuntut kebijaksanaan mengatur jadual. Meligatkan diri antara suami dan rumah. Anak dan kerjaya. Sahabat dan masyarakat. Mana lagi negara yang perlu dijunjung. Sumbangan yang dilonggokkan menggunung. Kelangsungan seorang warganegara  berguna. Semuanya perlu dilaksana. Apapun kudrat yang ada. Ruang yang cuma sedikit. Masa yang selalu sempit. Peluang yang hanya secuit. Seorang wanita menjadi gah kerana hatinya sudah memiliki value added sebagai penyumbang bakti.  Suami adalah puncak hatinya. Hanya dakiannya tidak pernah hanya ke puncak itu. Banyak lagi urusan hidup yang perlu sempurna. Suami mungkin payah memahami.

Usia semakin meningkat. Kebestarian membahagi masa semakin banyak pertimbangannya. Pertimbangan yang menuntut keadilan seorang wanita yang bernama isteri. Sama ada dia menjadi a gem of a lady atau menjadi wanita biasa-biasa sahaja.  Bukan ada beza antara lelaki dan wanita kecuali gendernya. Allah menghitung tahap taqwa mereka.  Bukan gender. Lelaki selalunya tinggi egonya. Mempertahankan martabat kelelakiannya. Imam yang mesti diikut. Dipatuhi. Namun selalu juga lelaki tidak dapat turun hinggap di tanah menilai diri. Muasabah diri. Wanita yang di hadapannya adalah isterinya. Kekasihnya. Bintang kesayangannya. Intan payungnya. Buah hatinya. Pengarang jantungnya. Ramai lelaki melupakan hakikat itu. Yang dilihat ialah wanita yang terlalu biasa di mata. Selalu didengar suaranya. Yang dikenal baunya. Sudah dimaklumi kehadirannya. Suami terlepas pandang kerana terlalu biasa. Lupa melihat kehebatannya. Wanita berusia yang semakin menyerlah tinggi bijaksananya. Full of wisdom.

Saat lelaki memalingkan mukanya ia terlihat mereka yang bukan hak. Yang bukan lagi boleh digapai sebarangan. Ia lupa untuk kembali merenung ke dalam hadirnya sang isteri yang jauh lebih setianya. Lebih sayangnya. Kuat keterikatannya. Yang senang dan susahnya telah lama teruji. Telah lama bersama. Sudah tidak lagi perlu membelah dada. Sudah tidak perlu bersusah payah merenangi lautan api. Jika yang dilihat ialah wajah yang sudah kusam maka tiada lagi kelihatan wajah ayu yang ada di sebaliknya. Yang telah luntur kerana kesetiaannya. Tetapi masih berkilau kasih sayangnya. Yang telah menghakisnya dengan kasih sayang. Lihatlah hatinya. Lihatlah ke dalam jiwanya. Ia tetap sama. Yang dulu juga. Tetap hangat cintanya. Syaratnya sambut cintanya. Gapai kasihnya. Timang sayangnya. Kunci kesetiaannya. Dia akan sama selama-lamanya.

Cuma wanita yang sudah berumur hatinya bercapah. Waktunya bukan semata-mata untuk suami. Perlakuan cintanya bukan melangkolik lagi. Bukan sentimental. Ia berpijak di bumi nyata. Banyak yang perlu dibereskan. Bahasa tubuhnya bukan lagi perlu dilembutkan. Suami hanya sebahagian penting urusannya. Anak-anaknya selalu difikirkan. Cucu-cucunya selalu merisaukan. Sayangnya tangannya tidak panjang untuk menggapai semua. Ia mungkin berjaya memandaikan anak-anaknya. Memanusiakan mereka. Menjadikan mereka orang-orang yang boleh hidup sendiri tanpa lagi bimbingannya. Namun apabila melihat cucu-cucunya hatinya  bergejolak lagi. Ingin kembali memutar masa mendidik untuk mengorangkan mereka. Memberi mereka acuan yang membina  kualiti. Standard yang lebih tinggi. ISO keluarga dan jalur keturunan.

Kerana itu wanita semakin terikat kepada suaminya. Keterikatan yang bukan perlu dipamer. Bukan perlu diterbukakan. Ia di dalam. Kukuh di hati. Setia yang dimeteri bersama cinta abadi. Siapapun suaminya, bagi wanita sama sahaja. Dia lelaki pilihannya. Yang diyakini memberikannya yang terbaik. Yang memberikannya suatu keindahan bersuami. Kepada wanita semangat senang dan susah bersama adalah kuat tersemat. Yang mengikat dirinya sekuat kudrat yang ada. Wanita yang setianya meninggi begitu menzahirkan bidadari yang sukar dicari. Tawa dan tangisnya untuk suami tersayang. Kasihnya tertumpah selalu. Ayunan naik dan turun iklim rumahtangga dihadapi penuh bahagia.

Lelaki perlukan isteri kerana sebab lain. Keperluan bialoginya sangat tinggi. Di sinilah yang selalu menimbulkan malang bagi lelaki. Banyak yang tewas di hari tua. Kawalan diri tidak lagi dapat dibatasi dengan kewarasan. Ragamnya menjadi-jadi. Karenahnya memutar keperluan. Tuanya menukar watak. Kehendaknya yang bukan-bukan. Terlalu memilih. Biasnya sukar dimengerti. Maunya bersama selalu. Mengulit sepanjang masa. Tetapi itulah sisa-sisa kasih sayang yang ada. Cinta yang dahulu bukan lagi isu. Sudah tidak perlu lagi difikirkan. Selagi kasih sayang masih ada masih kukuhlah hidup bersama. Cuma kadang-kadang wanita tidak betah diulit selalu. Wanita lebih kerap menjauh. Sibuk dengan hal-hal yang tidak perlu. Mengisi masa yang berlalu. Cinta seorang wanita. Ada bidadari di hatinya. Carilah. Wahai suami, bidadari itu di hadapanmu. Selalu di dalam dakapanmu. Hadirnya bersamamu. Kiranya kau tahu pasti kau tidak akan pernah keliru.

Tuesday, September 27, 2011

Lelaki Bukan Lelaki Jika Tanggungjawab Tidak Ditanggung

Lelaki adalah suami. Ada rezeki dia menjadi bapa. Peranannya menjadi bertambah. Dulu dia anak. Bila layak dia menjadi suami. Semakin bertambah usia peranannya bertambah menjadi bapa pula. Masihkah ingat Allah berdialog dengan malaikat,
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhny Aku hendak menajdikan seorang khalifah di  bumi. (Al-Baqarah 2:30).

Allah mengesahkan bahawa manusia adalah khalifah. Ketua. Pemimpin. Orang yang di hadapan. Imam. Yang dituntut melindungi. Mengurus keadaan. Banyak perkara tertanggung di atas bahunya. Menjadi tanggungjawabnya. Lelaki bukan sekadar jantina. Gender. Suami bukan sekadar beristeri. Bapa bukan sekadar kerana berbinkan dia. Berbintikan dia. Sebagai pemimpin besar yang dilantik Allah yang namanya anak lelaki besar tanggungjwabnya untuk membahagiakan ibu bapanya. Sebagai suami lelaki dipertanggungjawabkan untuk membahagiakan isterinya. Mungkin isteri-isterinya. Sebagai bapa lelaki diamanahkan untuk membina insan berguna hingga anak-anaknya berupaya menjadi imam. Pemimpin-pemimpin besar untuk umatnya. Pemimpin akan datang. Zamannya.

Tidak ada yang mudah untuk menjadi anak. Lebih sukar menjadi suami kerana ada dua wanita yang perlu dibahagiakan. Lebih khusus seorang ibu yang perlu dibahagiakan selamanya. Seorang wanita lain yang bernama isteri yang perlukan perlindungan. Yang mendambakan kebahagiaan. Yang bergantung hidup kepadanya di dunia dan insyaAllah akan bersama memadu bahagia di akhirat. Hidup bersama dan matinya bersama. Bahagia di dunia dan bahagia di akhirat. Betapa indahnya hidup yang dibahagiakan oleh orang yang bernama suami. Lelaki harapan yang namanya khalifah. Pemimpin yang secara lumrahnya bernama imam. Di hadapan dan selalu didahulukan. Tempat bergantung harap untuk meneruskan segala keindahan hidup berumahtangga. Membina mawaddah.

Menjadi anak selalunya diajar dari buaian hinggalah boleh berdikari. Disuap dan dipimpin. Ditatih dan ditatang. Diagah dan ditimang. Rangkaknya dinanti. Jalannya diperhati. Larinya dilatih tubi. Besarnya diharap-harap menjadi. Manusia pilihan yang menjanjikan segala pengertian. Hidupnya bebas dari menyusahkan. Menebarkan kesejahteraan kepada mereka yang dikasihi. Yang berada di sekelilingnya. Dengan pendidikan dan pelajaran mindanya berkembang. Belajar untuk mengerti. Memahami apa yang perlu. Kerana hidup banyak liku dan persimpangannya, anak lelaki kecil itu membesar untuk pandai memilih yang mana baik dan yang mana tidak. Yang hak dan yang batil. Yang benar dan yang salah. Pilihan itu sepatutnya lumrah bagi yang telah belajar. Yang telah diiktiraf pandai. Yang telah diuji dan dinilai tinggi. Bila dia cukup besar ibu bapa melepaskannya perlahan-lahan meneroka alam luas. Menerobos ruang-ruang hidup untuk mengenal dunia yang penuh pancaroba. Perlahan-lahan menapak untuk mengerti erti hidup. Menjalani hidup tanpa lagi tali dan tangan ibu bapa. Telah dibebaskan untuk menjadi anak lelaki. Supaya jauh langkahnya. Supaya panjang akalnya. Supaya jauh terbangnya. Merantau minda. Merantau akalnya.

Menjadi suami meletakkan lelaki berada di tahap kedua. Tahap yang lebih tinggi tentulah menuntut sesuatu yang lebih besar. Yang lebih gah. Yang lebih mengangkat martabat lelaki itu. Bahawa pada bahunya ada sesuatu yang wajib digalas. Yang wajib disempurnakan tanpa kecuali. Tanpa syarat. Suami itu telah menerima tanggungjawab secara syara’. Mengikut syariat. Kerana Allah yang menciptakan. AnugerahNya yang sentiasa merahmati. Sebagai suami bukan tugas kosong tanpa penanggungjawapan. Isteri bukan untuk dikuasai. Di bahu suami ada tanggungjawab nafkah zahir dan batin. Makan minum yang selayaknya. Yang berkhasiat dan bermanfaat. Halalan toyyibah. Bukan sebarangan. Bukan asal kenyang. Kualitinya menasabah. Kauntitinya mencukupi. Tidak pernah terputus. Mengenyangkan dan menyihatkan. Memberi tenaga untuk meneruskan hidup. Dari tubuh isteri yang sihat nanti lahir anak-anak yang menjadi imam. Zuriat yang panjang salsilahnya. Semuanya memberi impak positif.

Isteri perlukan perlindungan dari panas dan hujan. Dari angin dan asap. Dari debu dan kotoran. Isteri perlukan tempat tinggal yang menasabah. Yang mendamaikan. Yang membahagiakan. Cukup besar dan selesa untuk meluaskan minda dan pemikiran. Melenyapkan kejumudan minda. Pakaian yang selesa dan menyegarkan minda. Warna dan warni yang mengamit kasih. Yang memberikan ketenangan. Ketika itu suami bukan lagi anak kecil. Sakunya perlu diisi sendiri. Makannya perlu diusahakan sendiri. Tangan ibu bapanya tidak perlu menghulur lagi. Dayuslah jika sesudah menjadi suami masih bergantung kepada ibu bapa. Masih merengek meminta wang saku. Dewasa yang tidak mematangkan diri. Ibu bapa yang sepatutnya yang sudah boleh bergantung harap kepada anak.  Yang membahagiakan ibu bapa. Memikul tanggungjawab yang bukan mudah. Yang sentiasa berat dan sarat. Dari Timur ke Barat semuanya perlukan kudrat. Tidak boleh ditolak kerana itu telah ditentukan Allah. Fitrahnya lelaki menjadi suami. Menjadi bapa.

Bila beristeri hendaklah memahami tanggungjawab wajibnya. Jangan sekali terlepas pandang. Wajib dilaksanakan yang hak. Dosa dan murka Allah jika gagal menyempurnakannya. Menjadi khalifah mestilah dengan peranan dan tanggungjawabnya. Bukan ganjarannya di dunia sahaja. Ingat implikasi akhiratnya. Jika baru hendak menjadi bapa bersedialah dengan rezeki yang sepatutnya bertambah. Keperluan keluarga yang sepatutnya bertambah. Tugas yang semakin bertambah. Sikap santai sudah sepatutnya lama dibuang. Maju ke hadapan untuk mengejar kecemerlangan. Keindahan menjadi bapa akan berkilau memancar. Belajar mengurus perubahan yang datang dari tahap ke tahap. Tidak boleh leka dengan khayalan-khayalan lama. Yang ada di hadapan ialah realiti yang pasti terjadi dengan izin Allah. Jika tidak bersedia maka semuanya akan tertanggung ke atas bahu pasangan. Tugas berdua yang dibebankan kepada seorang sahaja. Keadilan yang dipincangkan jadinya.

Suami bukan sekadar title. Bukan label. Bukan pangkat. Bukan nama. Bukan dan bukan. Suami adalah ketua  keluarga. Imam waktu solat dan pemimpin sewaktu di luar solat. Dalam tugas rasmi. Dalam hal-hal harian. Dalam masyarakat. Tanggungjawab itu disertai dengan hal-hal lain yang berkaitan. Di sinilah lelaki yang menjadi suami kena belajar. Mencari ilmu. Memantapkan diri. Selain input agama yang memang hak, mantapkanlah ekonomi. Bekerja yang setaraf dengan kelayakan. Untuk memberi nafkah yang selayaknya kepada isteri atau pasangan yang lain. Memberi nafkah itu wajib. Tanggungjawab asas. Ukuran hidup bermasyarakat. Wajah-wajah kejayaan diukur dari segi ekonomi. Supaya dapat menyumbang dalam bentuk nafkah. Dalam bentuk zakat. Sedekah. Derma. Sumbangan. Kemampuan seperti itu menjana umat yang cemerlang. Setiap orang menyumbang. Sedikit atau banyak bukan isu. Rezeki masing-masing yang diusahakan. Bukan yang ditunggu-tunggu sahaja. Tidak mungkin ada rezeki tanpa usaha. Perkara asas yang perlu diketahui. Semakin dijangka bahawa keperluan akan meningkat semakin ligatlah berfikir dan berusaha. Mencari lebihan. Mengumpul dana. Bersedia untuk kemungkinan yang sudah pasti tiba.

Anak, baktimu sebagai lelaki dinanti ibu bapamu. Suami, tanggungjwabmu ditunggu oleh isteri. Bapa, anak-anakmu menagih janji kehidupan yang membahagiakan. Ketiak ibumu sudah lama terkatup. Ketiak isterimu bukan tempat berlindung. Pandanglah isterimu yang berada di sampingmu. Dia adalah segala-galanya untukmu. Maka berikanlah yang terbaik untuknya. Nanti anakmu akan menagih layanan darimu. Tunjuk ajarmu. Kekuatan mu sebagai lelaki menjadi crucial. Keutamaan seorang lelaki yang sifatnya melindungi. Memberi yang terbaik. Memalihara keturunan. Menjamin kelangsungan hidup berkeluarga. Nanti akan ada soalan yang menjawab kepada apakah yang kau lakukan sebagai pemimpin. Sebagai kahalifah. Sebagai imam. Jika usahamu berganda orang hanya melihat biasa. Itulah lelaki. Itulah suami. Itulah bapa. Itulah lambang kekuatan ummah. Kekuatan Islam.  Agama yang selalu menuntut kecemerlangan dalam semua bidang yang selari dengan syara’. InsyaAllah. Amin

Sunday, September 25, 2011

At A Theme Park – Iktibar Dari Taman Tema Marineland


Disneyland telah lama wujud di Amerika. Darinya berbagai industri hiliran dijana. Antaranya filem dan hiburan lain. Cawangannya ada di Paris dan Tokyo. Pengunjungnya dari seluruh dunia. Di dalamnya terdapat dunia fantasi yang melupakan manusia dari realiti sebenar. Melapangkan fikiran. Cuma bila berada di tempat-tempat seperti itu kita kena ada sekatan fikiran. Tidak semua yang kita lihat dan dengar adalah realiti. Kesemuanya adalah fantasi. Sesuatu yang jadikan sebagai suatu kemungkinan. Ada logik dari segi akal. Namun kesemuanya mungkin hanya sesuatu yang mustahil boleh berlaku berdasarkan logik akal sebenar dari segi agama. Pemikiran semasa. Namun demikian ada yang tidak boleh ditolak sama sekali kerana penyelidikan sains akhirnya membuktikan bahawa fantasi itu adalah memang sebenarnya benar. Sekadar contoh, kejayaan menjejakkan kaki di bulan telah diilhamkan lama dahulu oleh seorang pengarang.  Bintang Marikh hanya nama yang diketahui tetapi sekarang ada robot yang menghuninya. Membuat penyelidikan. Menghantar data setiap masa ke bumi.

Taman-taman tema di Amerika Utara sangat lumrah. Di situ dihimpunkan semua yang ingin dilihat mausia pengunjungnya. Ada badut di sana sini. Ada haiwan yang terkurung dan yang dilepaskan bebas untuk dipegang, disentuh, diusap bulunya. Ada ikan yang dilihat aksinya. Melompat, berenang dan menyelam. Melakukan aksi-aksi yang telah dilatih. Tidak ada yang menghairankan. Jika haiwan boleh dilatih tanpa berfikir kadang-kadang kita keliru kenapa manusia yang berakal tidak boleh belajar. Susah diajar. Akalnya tidak dikembangkan. Tidak dibangunkan. Tidak diberi ruang untuk membesar. Membestari. Menjadi bijaksana. Ikan lumba-lumba menjadi tarikan yang menyenangkan di Marineland, Niagara, Canada. Beberapa ekor yang diberi peranan menghibur pengunjung. Setiap tamat aksi ikan-ikan itu diberi tepukan. Diberi ganjaran makan ikan. Ikan-ikan itu pula membalas dengan menepukkan siripnya. Ada aksi tersenyum hormat. Kenapa ya? Ingin tahu?

Dalam ilmu psikologi ramai yang mengetahui siapa Pavlov, Skinner, Freud dan ramai lagi. Teori stimulus-response cukup dimengerti oleh guru khususnya. Belum lagi teori operant. Termasuk juga ilmu humanistic. Orang Barat menyelidik. Mencipta ilmu. Menterjemahkannya dalam bentuk seuatu yang dinikmati oleh orang banyak walaupun mereka tidak tahu teori apa sebenarnya yang menjadi asas. Sarkas-sarkas penuh dengan penonton. Pengendali-pengendali setiap rancangan seolah-olah boleh berkomunikasi dengan haiwan yang dikawalnya. Teori-teori di ataslah yang menjadi asasnya. Yang digunakan untuk mengubah tingkahlaku haiwan-haiwan tersebut. Teori itu dinamakan teori modifikasi tingkahlaku. Hebatkan? Itulah persepsi kita. Cuma kita banyak lupanya. Kita lupa memindahkan teori itu kepada manusia. Kepada anak-anak didik. Padahal ilmu itu adalah teori pendidikan. Yang perlu diterapkan dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Kepada sesiapa sahaja yang berperanan sebagai guru hendaklah melaksanakan teori ini pada tahap-tahap tertentu. Amalan yang dikehendaki berulangan menerapkan kaedah ini. Ajarlah solat sewaktu anak-anak berumur tujuh tahun. Sewaktu umurnya 10 tahun pukullah jika mereka culas untuk solat. Islam memberi tempoh tiga tahun untuk menerapkan kemahiran, sikap, kebiasaan yang boleh dijadaikan amaln. Tiga tahun seelum mereka boleh dihukum. Tetapi haiwan mugkin tidak perlukan masa selama tiga tahun untuk dimahirkan. Orang-orang yang fokusnya komersil tidak mampu menunggu lama untuk mendapatkan hasil pelaburan mereka. Semuanya perlu disegerakan. Dalam konteks sarkas mereka sangat berjaya menerapkan teori Pavlov dan Skinner. Dalam pendidikan teori ini selalu tidak dapat dilaksanakan oleh guru dengan bijaksana. Banyak kekangan yang tiada relevannya dengan ilmu pendidikan. Pentadbiran menjadi kekangan. Pengurusan kelas menjadi kekangan. Banyak lagi dan banyak lagi.

Jika ramai guru menjadikan teori ini sebagai panduan, rasanya tidak ramai pelajar yang gagal membaca dan menulis. Tidak ramai pelajar yang gagal dalam pendidikannya. Tidak ramai yang gagal dalam kehidupannya. Latih tubi adalah seuatu  yang perlu. Tanpa latihan sebagai asas banyak aspek lain dalam pendidikan yang akan terabai. Dalam pendidikan al-Quran umpamanya membaca dan menghafal adalah proses pertama. Diulang-ulang hingga ianya berada di hati dan di bibir. Kekal dalam minda. Minda akan activate secara automatik. Tidak perlu senggang masa. Hafalan itu diulang-ulang lagi hingga benar-benar kekal. Melekat hingga akhir usia. Jika lupa mungkin kerana faktor usia. Semakin tua semakin banyak lupanya. Sesudah dihafal barulah ditulis. Dibukukan dalam berbagai bentuk. Diterapkan dalam banyak keadaan untuk bacaan. Akhirnya ianya dijadikan rujukan. Mereka yang tidak hafal boleh membaca al-Quran yang sudah tertulis dalam mashaf. Maka terhubunglah wahyu itu dari didengar, dihafal, ditulis dan dibaca. Memanglah al-Quran itu untuk dibaca. Melaluinya difahami isinya yang tersurat dan tersirat.

Di Marineland itu tergabung berbagai aspek ilmu. Ikan lumba-lumba yang dilatih khas. Rusa yang dilepaskan bebas seperti di safari layaknya. Permainan menghiburkan seperti ayunan. Sudah tentu ada roller-coaster yang melaksanakan teori moment dan momentum. Kepada orang biasa roller-coaster itu defying logic. Kepada yang memahami fizik ia hanyalah penetrjemahan dan aplikasi ilmu. Begitulah perbezaannya antara orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Yang tiada ilmu hanya hairan. Yang berilmu melihatnya dengan nilaian lain. Ingin menyempurnakannya supaya penterjemahan ilmu itu tidak mendatangkan mudarat dari segi akidah. Dari segi keselamatan fizikal. Dari segi kemantapan mental dan psikologi. Di US peranan ibu bapa sangat penting dalam memperkembangkan minda anak-anak. Bukan main-main atau dianggap sebagai biasa. Segala-galanya tentang anak hendaklah diangap sebagai luarbiasa. It needs mamoth effort. Concerted effort. Synchronised system. Pedidikan anak-anak adalah agenda ibu bapa. Agenda keluarga. Agenda komuniti. Agenda negara. Agenda agama.

Melihat seuatu yang hebat perlukan penjelasan. Melihat yang di luar logik kanak-kanak perlukan penerangan yang very intricate.  Kanak-kanak tidak menerima logik ibu bapa. Mereka hanya menerima logik mereka sendiri. Tahap mereka. Dalam hal ini tidak ramai ibu bapa yang memiliki kemahiran. Kita hanya mengikut arus. Ikut amalan ibu bapa kita dahulu. Kerana itu ramai kita yang gagal membangunkan anak-anak mengikut trend masa. Yang kita terapkan ialah masa lalu. Bukan masa hadapan yang perlu. Tanpa wawasan kita akan selalu gagal menerobos masa hadapan yang selalunya jauh, samar dan berbalam sahaja. Anak-anak yang dibawa untuk memahami dan menerapkan dengan hal-hal semasa pasti boleh dibawa untuk meneroka masa hadapan. Premisnya selalu sama. Banyak hal yang tidak berubah dalam jangka panjang. Putaran dan kitarannya sama sepanjang masa. Mungkin ada sedikit variabelnya yang berubah. Variabel yang selalu diketahui dan difahami. Bukan yang asing dan menyusahkan. Bukankah paksi dalam pendidikan Islam ialah menyediakan Muslim dan Muslimah  untuk zaman mereka di suatu masa di hadapan.  Masa kini untuk masa hadapan. Dalm hal al-Quran tidak berubah, hal-hal kehidupan kita berubah. Dalam hal hadith tidak berubah, banyak hal lain yang berubah. Dalam hal hukum hakam Islam tidak berubah, banyak hal lain yang berubah. Dalam hal galaksi dan planet yang tidak berubah edaran dan putarannya, banyak hal-hal lain yang berubah.

Menjadi orang dewasa bukan sekadar menambahkan bilangan dan kiraan umur. Ada yang lebih besar sebagai agenda umat. Agenda agama. Agenda pendidikan. Agenda politik. Agenda ekonomi. Agenda soaial. Berbagai lagi yang pada penilaian semasa sudah ada gambaran titik besarnya pada masa hadapan. Dalam jamgkapanjang ada kemungkinannya menjadi besar dan signifikan. Memberi impak besar yang merubah lanskap semua hal yang disebut di atas. Melihat semua perkara sebagai semasa bermakna kita menjangkakan suatu masa hadapan yang berlainan. Yang berubah hingga perlu diramal dan dijangka perubahannya. Supaya kita tahu apa yang sepatutnya diketahui. Supaya kita tahu tindakan yang sewajarnya danyang sepatutnya diambil. Segala-galanya untuk menangani sesuatu yag mungkin di luar jangka. Sebagai orang yang berilmu kita sudah ada persediaan ke arah itu. Kita cari ilmu yang perlu. Melengkapkan diri untuk lebih tahu. Pencarian selalunya tidak pernah berhenti. Titik penamat noktahnya belum ditemui. Selagi garisnya belum dilintasi.