Friday, May 6, 2022
Gembiranya Mutlak Bersama Keluarga
Saturday, August 21, 2021
Pokok Atas dan Pokok Bawah
Pernahkah
anda urus pokok? Pokok kecil dan pokok besar? Jika anda pernah mengalaminya
tentu banyak ibrah dari alam sekitar ini. Pokok kecil senang diurus. Tidak
tinggi dan tidak semak. Apatah pula jika tangan mudah mencapai apa sahaja yang
hendak dibuat. Memotong ranting atau dahan kecil, menggembur tanah, membubuh
baja, membersihkan daun kering, menukar tanah, membiak benih dan menyiram air.
Pokok itu boleh diurus dengan mudah dari berbagai sudut. Tidak pula perlu
sehingga memanjat tangga untuk memotong bahagian atas pokok itu. Berbeza benar
dengan mengurus pokok besar. Lebih besar lebih berbeza cara mengurusnya.
Dari
pangkal pokok kita berkira apa yang hendak dilakukan. Memotong dahan dari sisi
yang berbeza. Memotong ranting panjang dan pendek ikut perkiraan minda kita
yang melihat dari bawah. Kita juga melihat dedaun kering dan daun yang
menguning. Ada daun kering yang tersangkut di celah ranting dan dahan. Dari
bawah sangat jelas apa yang tidak kena, yang tidak cantik yang perlu diurus.
Namun begitu apabila kita berada di atas pokok sesuatu yang berbeza berlaku.
Bukan cerita gayat. Bukan cerita banyak kerja yang hendak dibuat. Rupanya
apabila berada di atas kita terpesona melihat kecantikan sekeliling. Pandangan
kita meluas dan menjauh. Kita alpa dengan pesona kita. Lupa kepada matlamat
asal memanjat pokok.
Di atas dan
di bawah sangat jauh bezanya. Dari bawah kita nampak yang di atas. Apabila
berada di atas kita hanya melihat yang di atas dan yang di sekeliling kita di
atas sana. Kita melihat dedaun pokok yang kita panjat tetapi kita tidak dapat
melihat dahan dan ranting. Tidakk dapat melihat bunga yang kuntum dan mekar.
Tidak dapat melihat batang pokok. Tidak dapat melihat perdu pokok. Malah tidak
dapat melihat dedaun menguning dan kering. Tidak dapat melihat daun kering yang
tersangkut di celah dedaun hijau dan ranting yang berada terlindung di bawah
dedaun hijau. Orang di bawah mudah menuding jari sana dan sini untuk membuang
dedaun menguning, daun kering dan reranting kecil yang kering.
Saya
jadikan pokok itu sebagai analogi bagaimana bezanya rakyat dan pemimpin.
Khususnya Perdana Menteri yang di atas dan rakyat yang di bawah. Rakyat di
bawah melihat segala keburukan pemimpin di atas atau Semua keburukan yang
berada di sekeliling pemimpin yang teratas. Apatah lagi jika keburukan itu
memang terjadi sama ada sengaja atau tidak sengaja. Secara langsung atau secara
tidak langsung. Rakyat di bawah melihat kesemuanya. Pandang sahaja ke atas,
pasti terlihat segala yang tidak cantik. Segala yang tidak baik. Soalnya
mengapa? Begitulah sukarnya mengurus rakyat dan “mengurus” pemimpin. Pemimpin
seorang sahaja. Rakyat pula terlalu ramai. Berbagai maslahnya. Terlalu banyak.
Rakyat di
bawah melihat keburukan di atas tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.
1
Yang
di atas terlalu tinggi dan tidak tergarap tangan.
2
Banyak
halangan dan cabaran untuk mengurus yang di atas.
3
Banyak
red-tape dan protokol yang perlu dilalui.
4
Yang
di atas mungkin tidak mendengar apa yang disebut dari bawah.
5
Yang
di atas mungkin tidka faham apa yang disebut.
6
Atau
mungkin yang di atas sudah mabuk di atas kayangan.
Bagaimanakah
hendak mengharmonikan dua ekstrim atas-bawah ini?
1
Jika
yang di atas itu pemimpin maka eloklah buat catatan awal terlebih dahulu
sebelum naik ke atas. Alami perasaan sewaktu di bawah.
2
Senaraikan
perkara-perkara buruk yang perlu diperbetulkan. Yang perlu dikemaskini.
3
Minta
bantuan orang di bawah untuk menunjukkan kelemahan yang mereka lihat untuk
diperbetulkan.
4
Betulkan
dari atas perlahan-lahan, setahap ke setahap.
5
Turun
ke bawah untuk betulkan ke bawah dan semakin ke bawah.
6
Turun
ke bawah sekerap mungkin untuk melihat sendiri apa yang telah diperbetulkan dan
apa yang belum diperbetulkan.
7
Naik
ke atas semula untuk memperbetulkan lagi apa yang belum diperbetulkan.
8
Betulkan
apa yang belum disempurnakan.
9
Ulang
lagi turun dan naik.
10
Pemimpin
perlu selalu turun dari kayangan untuk melihat sendiri dengan pandangan realiti
dan hakiki.
11
Pemimpin
tidak boleh berharap kepada pemimpin bawah dan kepada ahli di bawah. Berkomunikasi
dan berinteraksi terus dengan rakyat di bawah.
12
Jangan
percaya sepenuhnya kepada laporan. Kebanyakannya di makeup. Verify dan validate
kesahihannya.
13
Turunlah
ke bawah, lihat keliling, catatkan apa yang perlu diperbetulkan.
14
Buat
pembetulan, penambahbaikan, perancangan yang lebih lestari.
15
Tinggalkan
legasi kepimpinan yang berdaya saing, berdaya maju, cerdas agama, cerdas
teknologi, cerdas sosial dan cerdas dalam segala hal.
16
Tinggalkan
negara ini untuk generasi kemudian dalam keadaan sejahtera.
Tepuk dada
tanya apakah yang sewajarnya pemimpin lakukan untuk memenuhi aspirasi rakyat.
Yang Allah redhai dan Rahmati. Rakyat pula tepuk dada untuk menyumbang kepada
memudahkan pemimpin. 2 x 5 bukan 10. Biarlah jadi 20 atau 1001. In syaa Allah
jika ada political will yang benar-benar ikhlas.
Thursday, August 19, 2021
Menanti Seorang PM
Beberapa hari ini kita tidak mempunyai kerajaan dan tidak mempunyai kabinet yang menentukan dasar-dasar negara, menentukan bajet tahunan dan hubungan antarabangsa. Secara realitinya, pentadbiran kerajaan tetap kekal beroperasi. Rakyat tetap menjalani kehidupan seperti biasa mengikut keadaannya dan mengikut ketentuan Allah. Kita masih setia menunggu bakal PM baru yang diharap galas di bahunya menyelesaikan berbagai kemelut semasa dalam negara. Masalah kesihatan, masalah ekonomi, masalah pelaburan antarabangsa, masalah kewangan, masalah good governance, masalah sosial dan berbagai masalah lain. Semoga Allah menghadirkan seseorang yang membawa kita ke arah kebahagiaan , kesejahteraan dan ketenangan.
Monday, August 2, 2021
Merentas Alaf Membelah Kurun
10 hari selepas tarikh
lahir yang ke-25, penulis menerima nikahnya isteri kesayangan Maznah binti
Abas. Gadis sekampung yang hanya beberapa buah rumah jaraknya. 10 hari lalu genap usia penulis 75 tahun. Allah
izinkan menyambut usia jubli intan. Hari ini, 2 Ogos 2021 genap pula ulang tahun
‘aku terima nakahnya’ yang ke-50. Jubli emas. Penulis tidak mendapat pingat
emas di Olimpik 2020 di Tokyo sekarang. Cukuplah emas dalam usia perkahwinan. Hajat
hati ingin bersana anak-anak, menantu dan cucu. Pandemik Covid 19 sekarang
tidak menizinkan hajat itu. Cukuplah makan berdua di rumah sambil merakam
detik-detik sejarah dalam perkahwinan ini. Detik penuh makna selama-lamanya.
50 tahun yang
sangat lama. Merentasi dua alaf. 50 tahun yang dikira setengah kurun. 29 orang
cucu, besar dan kecil. Menanti seorang lagi cucu yang akan menggenapkan angka
cucu ke-30. Tentulah banyak istimewanya angka 50. Anak sulong sudah berusia 49
tahun. Setahun lagi setengah kurun usianya. Dari kampung di pedalaman yang hanya
boleh diakses dengan motorboat dan basikal, Allah izinkan penulis mengembara
melihat kebesaranNya di luar negara. Alhamdulillah telah dijejak USA, Canada,
Britain, bumi Jerman, Palestin, Jordan, Arab Saudi, Oman, Kuwait, Bahrain,
Jepun, Hong Kong, Taiwan, Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Emeiriah Arab
Bersatu dan Mesir. Kesemua itu melengkapkan kitara 50 tahun ualang tahun kami. Benar-benar
emas yang berkilauan.
Dengan izin Alah penulis
telah berada di Laut Mati yang kedudukannya 400 meter di bawah aras laut. Telah
juga mendaki Bukit Tursina untuk menjejak laluan Nabi Musa a.s. ketika menerima
kitab Taurahnya. Berada di Palestin khususnya Masjid al-Aqsa sangat mengujakan.
Di situlah diramalkan akan berlakunya perang besar akhir zaman (malhamah kubro).
Menjejak realiti Bait al-Maqdis tentunya mengharukan. Itu belum tinggalan
sejarah di ‘Ijlun, Irbid, Karak dan Amman yang merentas zaman. Belum lagi Petra,
sebuah kota di celah gunung yang luarbiasa sebinanya. Sebuah negara di celah
gunung yang gah berzaman.
Tinggal di Mesir
selama hampir dua tahun, memahat indahnya agama Islam menyebar ke serata dunia.
Bandaraya Kaherah sahaja sudah terlalu besar untuk dijelajah. Sempat ke
Universiti al-Azhar. Anak lelaki kedua (anak ke-8) menikah di Masjid al-Azhar. Perjalanan
ke Iskandariah nostalgik. Cerita tentang Laut Mediterranean telah lama dibaca
sejak kecil lagi. Selalu disebut sebagai Laut Tengah. Juga disebut Laut Qalzum.
Di sekolah menengah baru mengenal namanya yang sebenar dalam Bahasa Inggeris. Lintasan
ke Siswa di sempadan Libya menjejak kisah silam Cleopetra, wanita Greek yang
digilai Julius Ceasar dan Mark Antony.
Begitulah perjalanan
ke timur Iskandariah. Perjalanan yang menemukan pertanian jberbagai iklim. Beras
dari iklim tropika, gandum dari iklimk sederhana, kurma dari iklim padang pasir.
Menjenak Dumyat yang banyak kerangnya. Besar-besar saiznya seperti sekepal
tangan manusia. Orang Malaysia sahaja yang memakannya. Orang Mesir tidak
menjamahnya kerana mazhab mereka tidak mengizinkan. Sempat juga berada di Muara
Pelabuhan Suez. Menyeberang ke Pelabuhan
Fuad. Kedudukannya di seberang muara Terusan Suez. Sempat juga ke Fayoum. Kincir
ciptaan Nabi Yusuf a.s. masih utuh dipelihara. Fayoum adalah pusat pertanian. Di
situlah terdapat anggur, delima, mangga, bawang, kentang, oren, kantelop, dan segala
bagai tanaman yang lain sama ada buah-buahan atau sayur-sayuran.
Berada di negara
Arab sebenarnya mencipta kelainan yang tersendiri. Ia mengharmonikan kefahaman
tentang agama yang berlatarkan negara Arab, Bahasa Arab, budaya Arab dan
kaitannya dengan apa sahaja yang dikaitkan dengan Arab. Berada di Arab Saudi untuk
menunaikan umrah dan haji adalah kemuncak erti kehidupan yang hakiki. Menyempurnakan
rukun Islam yang ke-5 itu menyedarkan bahawa di dalamnya terhimpun rukun Islam
yang lain. Di situlah syahadah, solat, zakat dan puasa. Kerana itu sesiapa yang
pernah ke sana pasti rindu lagi dan rindu lagi. Tetap rindu walaupun beberapa kali
ke sana.
Berada bersama anak-anak
di Pittsburgh, USA melengkpkan kembara
keluarga. Merasa ertinya summer, fall, winter dan spring. Ianya pergantian
musim dari sejuk ke panas dan sebaliknya. Ramai rakan-rakan dari negara yang
tidak mengetahui Malaysia, berasa hairan kerana di negara kita tiada winter dan
musim-musim yang lain. Alhamdulillah kerana kita mempelajari Geografi maka kita
mengetahui negara mana yang ada summer dan winter. Mereka di Kargystan,Uzbekistan
dan Kazaktan umpamanya memang tidak
mengetahui di mana Malaysia. Mereka menganggap semua negara sama sahaja iklimnya.
Ada summer dan ada winter.
50 tahun yang penuh
kembara. Kembara fizikal, kembara emosi dan kembara psikologi. Bahtera ini kami
layari bersama untuk bersemadi di pantai bahagia. Allah mengurniakan kami
segala yang indah. Ombak dan alun adalah biasa. Itulah mainan laut dan bahtera.
Andainya kapal itu cukup besar dan kuat dan laluannya selalu terarah maka
pelabuhan destinasi itu akan Allah izinkan untuk dilabuhi. Kembara rumahtangga,
kembara zaman, kembara ilmu, kembara agama dan kembara menyaksikan kebesaran
Allah tergabung dalam 50 tahun yang kami rentasi.
Alhamdulillah baki
usia yang tinggal kami manfaatkan untuk keluarga, masyarakat dan agama. Tiada apa
lagi yang lebih besar dari mengabdikan diri kepada Allah. Berbuat amal soleh
untuk mencari redhanya. Kami kongsikan semua yang telah berlalu. Segala kebaikannya
kami turunkan. Mudah-mudahan ada kebaikannya kepada yang menerimanya. KepadaMu
aku berserah ya Allah.
Tuesday, April 27, 2021
Huru Hara Apakah Ini?
Suatu Subuh imam membaca surah ‘Abasa.
Apabila tiba pada ayat ayat 34 hingga ayat 37 Allah menggambarkan huru hara
hari kiamat. Hari kehancuran dan kemusnahan pada hakikatnya.
“Pada hari itu manusia lari daripada saudaranya.
Dan daripada ibu dan bapanya. Dan daripada isteri/suami dan anak-anaknya.
Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang tidak
berhenti.”
Itu gambaran menjelang kiamat. Manusia
memikirkan urusan dirinya nafsi-nafsi. Masing-masing memikirkan nasib diri
kerana pasti akan mati. Setiap yang hidup akan pasti mati. Pasti akan mengadap
Allah. Pasti diadili dengan seadil-adilnya. Pasti akan menerima pembalasan
sesuai dengan amalan yang dilakukannya semasa hidup.
Dalam keadaan sekarang ini kita sedang
menghadapi raptai huru hara itu. Covid 19 memisahkan ibu dan ayah. Ada yang
terpisah dengan isteri dan suami. Terpisah dengan anak cucu. Terpisah dengan
adik beradik. Terpisah dengan saudara mara. Terpisah dengan sahabat handai.
Sebelum berlakunya pandemic Covid 19, tiada siapa terfikir ketentuan Allah akan
datangnya. Berapa ramai antara kita yang menyibukkan diri dengan dunia
masing-masing. Ramai yang sibuk hingga lupa menjengah ibu dan bapa. Menziarahi
adik beradik dan saudara mara.
Sekarang baru terasa betapa jarak
benar-benar terpisah jauh. Masa tersangat mahal herganya. Peluang tidak datang
berkali-kali. Kesempatan perlu ditunggu dengan hiba hati. Kita terlalu ambil
mudah dengan keadaan. Qada’ dan Qadar’ Allah terlalu mudah kita fikirkan. Kita
tenggelam dalam dunia kita sendiri. Dunia yang kita bina sendiri. Terasing
jauh. Terasing lama. Melengahkan peluang. Tidak merancang mendekatkan diri
kepada ibu dan bapa. Tidak rapat dengan keluarga.
Sekarang kita merasa banyak kehilangan.
Sukar bertemu. Merentas negeri tidak diizinkan. Yang kita rasa kezaliman
pemerintah. Kesemuanya kita salahkan manusia di sekeliling kita. Mari kita
renung dalam-dalam. Bukankah ini
ketentuan Allah? Peringatan demi peringatan telah diberikan. Panduan demi
panduan telah digariskan. Nasihat berulang kali Allah berikan dalam al-Quran.
Didikan Allah dan RasulNya terlalulah banyak. Kita ambil mudah dan pada
kebanyakan masa kita abaikan.
Kini sampai masanya Allah menurunkan ujian
huru-hara demi huru-hara. Jika sakit tiada
lagi peluang diziarahi. Tiada peluang menziarahi. Yang meninggal di hospital
tidak dapat dilihat lagi wajah dan jasadnya. Tidak dapat menghampiri kuburnya.
Tidak dapat memandikan. Tidak dapat mengkapankan. Tidak dapat mensolatkan.
Tidak dapat menguburkannya. Tidak cucupkah ini menjadi sesuatu yang
menginsafkan?
Selama ini kerap mana kita menatap wajah
ibu dan bapa.
Berapa kerapa bercerita dan bersembang.
Berapa kerapa makan sedulang atau semeja.
Berapa lama berhimpun bersama.
Apabila pandemik ini berlaku kesemuanya
tidak mudah lagi. Bukan hal keluarga sahaja yang menghadapi ujian. Ramai yang
hilang pekerjaan. Yang hilang pendapatan. Yang jadi gelandangan. Yang jadi
muflis. Yang hilang perniagaan. Yang hilang rumah, kenderaan dan tanah lading.
Hilang peluang menyuap makanan enak di meja dan di restoran. Hilang nikmat
melancong yang banyak tersekat kerana sekatan pergerakan atau sekatan ekonomi
keluarga atau sekatan kerana rasa takutkan pandemik ini. Hanya dengan makhluk yang amat seni, Allah uji kita semua dengan
amat seru.
Bila kali terakhir kira ziarahi ibu dan bapa kita. Bila kali terakhir kita
berkumpul dengan adik-beradik. Dengan anak-cucu. Dengan sahabat-handai. Tentu
terasa kehilangan semua itu. Masing-masing terpisah jauh apabila duduk berlainan
negeri. Malah yang berlainan daerah
mungkin juga tidak dapat bertemu. Mungkin hanya sekejap sahaja. Tidak boleh
berlama-lama. Itu pun menjaga SOP yang tidak boleh dipandang sepi. Dipatuhi
sebagai cegahan dan kawalan. Yang difikirkan lebih baik dari merawat yang
tentunya meyukarkan.
Mari kita menginsafi diri bahawa ujian
Allah pasti datang pada bila-bila masa.
Ujian keimanan kita ini sangat berat. Kita
perlu semak diri kita setiap masa.
Banyak berdoa untuk mendapat keampunan dan
keringan daripada Allah.
Banyak berdoa supaya ujian Allah ini tidak
lebih berat lagi.
Tambahkan amal kebajikan dan tinggalkan
maksiat dalam bentuk apa sekalipun.
Allahumma aamin. Ya Allah kami serahkan
diri kami, hidup kami dan mati kami kepadaMu ya Allah.
Tuesday, March 2, 2021
Di Mana Bebasnya Manusia?
Lazimnya manusia
perlukan kebebasan. Ramai yang inginkan kebebasan mutlak. Tetapi tentunya tidak
mungkin kerana manusia buklan makhluk bebas. Penciptaan manusia ada batas dan
garis sempadan yang perlu dipatuhi.
Garis dan
sempadan yang Allah tentukan sejak azali.
Garis dan
sempdan yang Rasulullah tentukan dengan bimbingannya.
Garis sempadan
protokol antarabangsa.
Garis sempadan
pemerintah dan negara.
Garis sempadan
negeri dan raja.
Garis
sempadan daerah.
Garis sempadan
mukim, kampung dan taman.
Garis sempadan
keluarga.
Garis sempadan
agama.
Garis sempadan
sosial.
Garis sempadan
adat resam dan kebiasaan.
Dan berbagai
garis yang lain.
Di mana
bebasnya manusia? Tiada? Jika adapun dalam lingkungan yang sangat terbatas. Ambillah
maklum bahawa kita sebagai manusia sangat terbatas dalam serba serbi.
Terbatas saiz
dan ukuran.
Terbatas tenaga
dan kekuatan.
Terbatas cara
berfikir.
Terbatas tindakan.
Terbatas impak
sebagai manusia (kecuali Rasul-Rasul).
Hanya mereka
yang beriman, wajib mengikut panduan Allah yang tercatat melalui firmanNya di
dalam al-Quran. Bimbingan Rasulullah melalui hadithnya. Begitu juga panduan
para ulama’ yang menjadi pewaris anbia’. Maka yang beriman, memperbanyak amal
soleh, selalu ingatkan hari akhirat, menginfaqkan sebahagaian dari rezekinya
dan menunggu pertemuan pasti dengan Allah. Manusia menjalani kehidupan yang
berbagai sebagai ujian. Akan dikira pada akhirnya siapa yang berjaya menjalani
garis yang Allah tentukan. Kita ingin berjaya. Ingin mendapat rahmat Allah. Ingin
kembali ke syurgaNya.
“Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah pada
hal kamu dahulunya mati, kemudian Ia menghidupkan kamu, setelah itu Ia
mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula; akhirnya kamu dikembalikan
kepadaNya.” Al-Baqarah 2:28.
Kita bebas
sebagai manusia asalkan berada dalam
garis yang Allah tentukan. Hidup kita dan mati kita dalam garis itu. Dari
beriman kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, kiamat dan qada’ dan qadar. Dari
syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Banyak lagi yang wajib diperbuat. Banyak
yang dilarang daripada melakukannya. Namun apa yang diizinkan Allah kepada kita
sangat banyak. Sangat-sangat banyak. Dari
kita lahir hingga akhir ajal kita terlalu banyak nikmat. Dari kita celik mata
di subuh hari hingga kita melelapkan mata, banyak lagi nikmtnya. Ketika tidurpun
banyak nikmat juga. Mimpi yang mengulit lena. Kita mengembara dalam mimpi. Menikmati
apa yang Allah hidang dan gambarkan dalam mimpi.
Kebebasan apa
yang kita cari di dunia? Kebebasan hakiki hanyalah di syurga. Kekalkan berada
di garisan yang Allah tentukan. Batas-batas itu akan terbuka di syurga nanti. Kita
belajar ikhlas. Kita belajar sabar. Kita belajar tabah. Kita belajar qanaah. Kita
belajar taat. Kita belajar menjadi hamba yang sedar kekerdilan diri. Lemah
serba-serbi. Akan kembali ke dalam bumi akhirnya. Kembali menjadi tanah semula
sebelum dibangkitkan nanti bila tiba masanya. Sifat asal kita hina. Menjadi mulia
dan tinggi darjatnya andai mengikut perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
Batasilah cara
berfikir. Batasilah kehendak hati yang tiada tepinya. Batasilah tindakan yang
kita ambil supaya berada dalam redho Allah. Jika itu dapat kita lalui maka kita
merasa bebas untuk dekat dengan Allah. Untuk berada di bawah naunganNya. Untuk sentiasa
di bawah lindunganNya. RahmatNya sangat kita dambakan. Nikmat apa lagi yang kita
dustakan. 31 kali Allah ulang dalam surah Al-Rahman. 31 kali. Kita ulang dan
ulang dan ulang. 31 kali yang sewajarnya terpasak dalam minda kita. Tiada yang
lebih nikmat selain berada di bawah lindungan Allah. Allahuakbar.
Sunday, February 28, 2021
Menunggu Syurga
Alhamdulillah,
hari ini Allah anugerahkan lagi seorang cucu.
Yang ke-28. Seorang
perempuan yang ke-10. Menunggu dua lagi. In sya Allah hingga hujung tahun 2021
ini akan genap 30.
11 orang
daripadanya sudah melepasi 12 tahun. 16 orang lagi di bawah 12 tahun.
4 orang
melepasi ijazah pertama mereka. Seorang masih di IPT. 3 orang lagi hafiz. 2 lelaki dan seorang perempuan.
Esok bermula
satu episode lagi. Seorang cucu lelaki akan memulakan sekolah kebangsaan. 10
orang lagi belum bersekolah.
Riang juga
memikirkan ramai cucu. Alhamdulillah masih ingat turutannya dan nama
masing-masing.
Apakah tandanya
sudah tua apabila ramai cucu? Mungkin juga begitu kerana usia susut ditelan
masa. Kita melangkah semakin jauh. Masa berlalu sangat pantas. Telah melalui
beberapa zaman yang tidak semua orang melaluinya.
Asalnya berjalan
kaki.
Melalui zaman
berbasikal.
Zaman menggnakan
motorboat dan sampan.
Zaman keretapi
dan bas henti-henti.
Zaman bas
ekspres.
Bermotorsikal.
Berkereta.
Terbang merentas
benua dan dunia.
Zaman gadget
dan teknologi.
Ke mana lagi
hendak dituju? Masa semakin hampir sudahnya. Tidak juga berada jauh. Setia di
sini sahaja. Pi mai pi mai tang tu juga. Kita tidak menampilkan apa-apa yang istimewa.
Sekadar mampu melaksanakan mengikut kudrat yang ada. Pada diri tidak terasa
apa-apa. Dari dulu hingga sekarang dirasa serupa sahaja. Tetapi bak kata almarhum
guru saya, tulang-temulang di dalam terasa
reputnya. Tenaga sangat surut. Semangat tinggal di hujung usia.
Langkah tetap
diteruskan selagi belum sampai noktahnya. Banyak agenda diri dan keluarga. Namun
banyak juga menyorot ke belakang. Mengingat lagi di mana perhentian yang
terakhir. Ke mana perhentian yang akan menjadi destinasi baru. Pusing keliling,
ramai sahabat yang telah pergi dahulu. Paling memberi kesan ialah perginya
ramai ulamak, waris para anbia’. Tanda-tanda ilmu Allah angkat. Yang tinggal sisa-sisanya. Baki
bekal untuk generasi terkemudian. Melestarikan generasi ketiga banyak juga ruang
lingkupnya. Cucu-cucu masih kenal datuk dan neneknya. Mudah-mudahan dapat melihat
generasi keempat.
Zaman covid
19 ini mengingatkan surah ‘Abasa ayat ke-34-37 (80:34-37). Ketika pandemik covid
19 diisytiharkan masing-masing mencari perlindungan diri.
Terpisah
dari ibu dan ayah.
Terpisah dari
suami dan isteri.
Terpisah dari
adik-beradik.
Terpisah
dari sahabat taulan.
Beberapa ketika
kita lupa mereka semua. Sekarang kita mula merindui orang-orang yang dekat di
hati. Tetapi PKP menghalang pergerakan. Darurat melarang banyak rentasan. Tiada
rentasan daerah. Tiada rentasan negeri. Jauh sekali rentasan negara. Namun kita
tetap merentas masa melalui media. Masih dapat melihat wajah-wajah tersayang. Melihat
tawa dan senyum mereka. Melihat bangun tubuh mereka. Sudah berbulan-bulan tidak
menyentuh wajah-wajah itu. Tidak dapat memeluk dan mendakap mereka. Tidak dapat
mencium mereka. Tidak dapat mendokong mereka. Rindu dan rindu sahaja yang ada.
Semuanya seperti
raptai hari kiamat. Huru hara yang haru biru. Tiada siapa yang kita ingat
kecuali sibuk dengan urusan diri yang tidak menentu. Ia akan berpanjangan dari
sangkakala pertama , sangkakala kedua, padang mahsyar, hisab, titian sirat dan
in sya Allah ke syurga dengan rahmat Allah. Kesemuanya masa yang sangat lama
ini, kita lalui bersendirian. Hanya di syurga nanti baru kita mencari
orang-orang yang kita sayang. Setelah kita tenang, aman dan tenteram. Setelah merasa
damai, baru kita teringat kembali semua yang kita sayangi dahulu di dunia.
Pandemik ini
peringatan. Covid ini amaran. Ujian ini ingatan dari Allah. Bahawa kita akan
melalui lebih banyak ujian pada masa hadapan. Lebih banyak dan lebih berat. Pastinya
berskala besar dan dahsyat. Oleh itu bersegeralah kita melakukan yang terbaik
untuk meraih redha Allah. Usia hidup kita semakin singkat dan akan terus
singkat. Hanya tinggal esok atau lusa. Belum tentu kita sampai tulat atau
langkat. Pekan terasa sangat lama dari saat ini. Oleh itu:
Berbuatlah amal
yang paling banyak dan paling baik.
Selalu menginsafi
diri bahawa kita akan pasti kembali kepada pencipta kita, Allah SWT.
Masa semakin
suntuk dan semkin dekat penamatnya.
Banyakkan belajar
kerana kita banyak tidak tahu.
Banyak memberi
kerana itulah yang akan menunggu kita di sana. Kirimkan dahulu ke akhirat. Banyakkan
infaq.
Antara datuk
dan cucu hanya berbeza usia. Bertemu sebentar mengenal dan bersapa. Kita akan
berpisah jua bila sampai masanya yang Allah tentukan. Dunia ini fana dan tidak
ada yang kekalnya. Di sana nanti kita akan berkampung dan kekal abadi bersama .
In sya Allah dengan izin Allah dan dengan rahmatNya. Kita Kembali ke kampung
asal kita yang bernama syurga.