Wednesday, April 17, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Berumahtangga dan Bersemenda


Apabila anak-anak mendewasa tentu ibu bapa merasa getaran-getaran yang datang melamar keluarga. Sampai masanya anak-anak berumahtangga. Anak perempuan menunggu tangan dihulur. Anak lelaki kenalah menghulur tangan mereka. Kata sepakat bukan susah. Yang meruntun ibu bapa ialah harapannya yang terlalu tinggi. Siapa bakal pasangan anak-anak mereka. Di lereng mana kebahagiaan mereka. Di puncak mana tapak mereka. Bagaimana nanti jatuh dan bangunnya. Pasangan itu kufu atau tidak. Namun pasrah dan doa selalu bertingkah. Manusia tidak selalunya mendapat yang terbaik. Tidak juga yang terburuk. Ketentuan Allah tentulah ada hikmahnya.  Allah memberi yang terbaik untuk kita. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Maka anak-anak yang dibelai dan dibesarkan sampai masa mereka untuk dilepaskan. Dari seorang ke seorang yang lain. Selagi mereka masih belum berumahtangga maka tertunggu-tunggulah ibu bapa akan kuda putih datang bertambat. Rajawali datang hinggap. Doa dan harapan yang selalu digarap dalam jaga dan mimpi. Semoga anak-anaknya diambil oleh orang-orang yang cukup mustaidnya.
Menjadi wali hanya sebentar ucapnya. Aku nikahkan dikau dengan ...... . Tamatlah tugas syahdu itu seketika. Anaknya sudah menjadi isteri orang.  Sudah menjadi anak orang. Sudah menjadi menantu orang. Bakal menajdi ibu yang didoakan solehah. Lahir darinya cucu-cucu yang juga soleh dan solehah. Menjejak ibu dan bapanya. Menjejak datuk dan neneknya. Menjejak keturunan moyang-moyangnya. Melepaskan anak-anak perempuan bukan sesuatu seperti membuang kertas yang melayang entah ke mana ditiup angin. Sorot  kembali surat cinta zaman dahulu. Dilipat rapi. Diwangi harum. Disampaikan dalam sampul yang cantik indahnya. Semerbak bak hati yang kembang gembira.  Dubuka dengan debaran. Dibaca berulang kali. Dikucup tanda rindu. Disimpan tanda ingat selalu. Anak-anak seperti warakah yang disimpan rapi dalam ingatan ibu bapa. Dirindui akan untung nasibnya. Kebahagiaannya yang ingin selalu dilihat jelas. Hatinya yang selalu riang ingin selalu digalas mata memandang. Tentu bukan lagi sesuatu yang pasti melainkan ketentuan Allah jua. Apabila anak-anak berumahtangga yang dilepaskan hanya kehadirannya di hadapan mata. Keberadaannya tetap di hati yang sama. Anak tetap dirindui sepanjang masa. Apalagi usia semakin tua. Lanjut menunggu tibanya masa yang menentukan. Apatah lagi mereka yang terlalu lanjut usianya. Jalannya yang sudah berbapah. Duduknya yang sudah tidak boleh tegak lagi. Ingatannya yang sudah samar di kejauhan.
Kuda putih yang datang tentu ada penunggangnya. Rajawali yang hinggap tentu ada gembalanya. Menantu-menantu yang gagah datangnya diletak tinggi dengan harapan menjulang. Membahagiakan anak-anak perempuan yang menjadi isteri mereka. Mengambilalih tanggungjawab memelihara insan wanita yang dimuliakan Allah. Dimuliakan Rasulullah. Membawa mereka ke syurga terindah. Langkah mereka meninggalkan pintu rumah yang dahulunya dia dibesarkan tentu merembaskan airmata. Tentu menggenangkan aliran yang mungkin jatuh dan membasahi pipi. Tentu meruntun hati di dalam. Tentu menjadikan hati sebak kerana dia bukan lagi anak akan selalu bersama.  Datangnya hanya seketika. Kekerapannya dilihat kepada jadual keluarganya yang baru dibina. Gerak langkahnya juga tentu tertahan-tahan. Ada tarikan dan dorongan. Antara ibu bapa yang ditinggalkan dan suami yang bakal memberi perlindungan. Kembali kepada fitrah dan tanggungjawab. Ibu bapa hanya mendewasakan. Melengkapkannya untuk peranan yang lain. Suami juga yang akhirnya tempat bernaung. Tempat berteduh. Tempat bermanja dan menumpang kasih. Ke mana lagi tumpah rindu dan sayang jika bukan untuk suami. Kerna itu suaminya adalah sebaik-baik lelaki dan suami. Sebaik-baik pemimpin yang membawanya ke syurga fawana. Pengakhirnya ke syurga hakiki. tempat segala nikmat yang tiada tolok bandingnya. Tempat semadi abadan abada.
Begitu juga harapan tinggi ibu bapa. Jejaka-jejaka pilihan itu memberi yang terbaik kepada isteri-isteri mereka. Hakikatnya Allah menjadikan lelaki memimpin wanita isteri dan anak-anaknya. Menjaga ibu bapanya. Memberi yang terbaik untuk jiran tetangganya. Berkhidmat untuk masyarakatnya. Peranan besar itu perlu dilimpahkan kepada isteri dan keluarganya. Maka ibu bapa besar harapannya kepada mereka. Tempat berteduhnya cukup selesa dan membahagiakan. Sandang pakainya memenuhi status yang dibina. Makan minumnya bukan sahaja mengenyangkan. Bahkan juga berkhasiat. Persekitaran kehidupannya ceria, bersih dan mendamaikan. Jauh dari gangguan yang merungsingkan. Kadang-kadang hidup berkeluarga tidak mungkin statik. Tidak mungkin kekal seperti yang ada. Ada tangga yang perlu didaki. Ada tinggi yang perlu dijejak puncaknya. Ada makan yang lebih baik toyyibanya. Ada pakaian yang lebih selesa di badan. Tetapi ada yang lebih baik dari kesemuanya itu. Akhirnya yang didambakan ialah kesihatan dan kesejahteraan. Dan nilai-nilai kebajikan yang perlu diambilkira. Yang dicari manusia ialah kedamaian selamanya. Hal-hal yang membahagiakan mesti diusahakan. Dicari di mana adanya. Dicapai sepanjang tangan. Digarap setinggi awan.
 Lelaki seperlunya memberi yang terbaik untuk pasangannya. Membahagiakan pasangan tentulah secara material dan fizikal. Secara rohani dan emosi. Secara psikologi. Hanya memadankan dua jasad belum cukup tinggi natijahnya. Hanya menserasikan dua jiwa belum cukup memberikan kebahagiaan yang panjang ingatnya. Yang tinggi kasihnya. Yang murni hinggap di sanubari. Fikirkan kenyang dan sihat sejahtera. Gembira dan damai ceria. Dirasa dan dilihat bahagia. Mendamaikan hati. Alangkah indahnya membina baiti jannati. Rumah yang bagaikan syurga. Cukup besarnya. Selesa didiami. Indah hiasannya. Damai di dalamnya. Persekitaran yang hening dan bersih suci di dalamnya. Begitu juga di luarnya. Terhindar dari sebarang pencemaran. Asap dan kotor. Bau dan cemar. Sampah dan buangan. Persekitaran yang cemar memberikan impak yang meragam. Mengesankan kepada janin yang banyak kali tidak menjadi. Anak-anak yang tidak begitu sihatnya. Ada kesan warisan yang tidak menyihatkan. Andainya lelaki menyanyangi isteri dan anak-anaknya contohilah Rasulullah. Kasihnya kepada isteri terlalulah sayangnya. Tanggungjawab disempurnakan tanpa helah. Tanpa berbelahbagi. Bahawa isteri adalah pendamai segala-galanya. Tiada yang melebihinya. Bagi manusia biasa isteri itulah yang sebaiknya. Malang jika lelaki melakukan hal-hal yang memudaratkan isteri dan anak-anaknya secara langsung atau secara tidak langsung. Setiap perlakuan pastinya difikirkan akibat kesannya kepada keluarga. Sebatang rokok memberi kesan besar kepada diri. Seteguk arak memberi kesan besar kepada iman. Hal-hal yang lebih rendah dari harus atau mubah wajib dihindri. Banyakkan yang wajib dan sunat.
Persekitaran selalunya tidak banyak dipedulikan lelaki. Kebersihan yang tidak berapa rapi untuk keluarganya. Pencemaran yang ditokok tambah dengan hal-hal yang tidak diteliti. Membiakkan keturunan yang tinggi mahabbahnya perlu dirancang. Ada amalan yang  digariskan agama. Ada panduan yang disaran oleh orang bijak pandai. Seluruh tubuh lelaki adalah janjian kepimpinan kepada orang lain. Dari lelaki dia menjadi suami. Menjadi bapa. Menjadi imam. Di luar sana dia adalah pemimpin yang diharap besar memimpin agamanya. Bangsanya. Negaranya. Keluarganya. Tanggungjawab lelaki yang besar itu bermula dari kepimpinan dalam keluarganya. Memberikan kesejahteraan kepada isteri dan anak-anaknya. Kepada lelaki seperti itulah yang diharapkan oleh ibu bapa apabila anak-anaknya diletakkan di atas kuda putih seorang putra. Diterbangkan di atas sayap tinggi sang rajawali. Alangkah damainya menutup mata tanda puas dalam tidur dan matinya. Dalam jaga yang damai sentiasa.
Wahai lelaki, apabila kamu memilih seseorang sebagai pasanganmu, ingatlah janji yang perlu kau hulurkan. Uraikan segala kemaslahatan yang mendamaikan hati-hati mereka di sekeliling kamu. Padamu digalaskan harapan tinggi menggunung. Di bahumu ada gunung harapan yang besar. Di hatimu ada naluri indah untuk dilebarkan. Ingatlah di sampingmu ada insan yang tinggi nilai kasih sayang yang kau himpunkan. Hidupmu dan matimu mencari redha Allah. kepadaNya nanti mudah kau ungkapkan bahawa tanggungjawabmu telah kau laksanakan dengan sempurna. Semoga kau damai di dunia dan akhirat. Bersamamu keindahan abadi yang nanti berjumpa di syurga. InsyaAllah.  

Tuesday, April 16, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Nama Anak Mengasihi Hati


Saat-saat menanti kelahiran anak, bertingkah antara gembira dan bimbang. Zaman saya dahulu tidak ada peluang mengenalpasti janin dalam kandungan. Serahkan kepada Allah untuk menentukan ianya lelaki atau perempuan. Penantian yang cukup lama itu memberi ruang untuk ibu dan bapa mencari nama yang sesuai. Ramai orang berfikir bahwa nama bukan sesuatu yang penting diambilkira. Beri sahaja nama asalkan bunyinya sedap didengar. Asalkan bunyinya seperti memenuhi kalimah-kalimah yang terpilih. Jika kita tidak teliti berbagai kemungkinan berlaku pada masa hadapan. Ada nama-nama yang akhirnya dihindarkan kerana maknanya tidak selari dengan Islam. Orang dahulu umpamanya menamakan anaknya seperti Buang, Sampah, Pungut dan Buruk. Malah ada ketikanya nama-nama anak itu seperti lucah. Itu belum lagi yang sensitif dengan makna dalam bahasa Arab atau kaum-kaum lain yang hidup besama kita.  Kerana itu nama menjadi sangat penting kepada kedua ibu bapa. Kepada keluarga. Kepada agama. Yang sebaiknya nama anak adalah kalimah-kalimah doa yang selalu disebut berulang-ulang. Bersama sebutan itu terhulur kasih sayang ibu dan bapa. Dewasanya menjadi seperti yang hakiki namanya.
Memilih nama tidak boleh berdasarkan pengalaman sendiri. Harus ditanya kepada mereka yang arif dengan agama. Mereka yang dikira alim. Tahu bahasa Arab. Pernah bersama dengan mereka yang sukakan agama. Panduan kita ialah akhirnya kita ke akhirat. Dipertemukan dengan Allah. Nama-nama yang baik, baiklah natijahnya di sana. Tiada dakwa dakwi dari anak-anak kerana ibu bapa tidak menamakan mereka dengan nama-nama yang baik. Kerana itu carilah nama-nama yang cantik. Nama yang indah. Nama yang menyejukkan. Nama yang apabila disebut meluncur deras mencurahkan kebaikan kepada yang empunya diri. Kepada yang memberi nama. Kepada yang mendengarya. Kepada yang menulisnya. Kepada mereka yang berurusan dengannya. Banyak kali kita bersua dengan orang-orang yang namanya mengesankan kita. Mudah disebut. Mudah diingat. Mudah ditulis. Saya pasti ramai antara kita yang maklum tentang nama-nama orang Arab Islam. Nama-nama mereka selalunya ringkas. Yang panjang dan susah ialah nama keluarga mereka di akhir nama mereka. Nama-nama wanita Arab kebanyakannya empat huruf. Antaranya Hanin ( Ha nun ya nun - Rindu), Reem (Rusa Putih), Nada (Embun), Huda (Petunjuk) dan Ilham (dalam bahasa Arab Alif, lam, ha, mim). Tidak kurang juga yang tiga huruf seperti Nur (Cahaya) dan Ala.   Nama lelaki Arab mengambil sempena para sahabat. Betapa nama-nama hebat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Salman, Ubaidah, Khalid, Harithah dan banyak lagi. Ada pula yang menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama yang berbunyi hebat. Kesannya hebat. Pencapainnya hebat. Asad (Singa), Fahd (Harimau Kumbang) dan banyak lagi yang seumpamanya.
Ibu bapa muda yang tidak berlatarbelakangkan agama atau Islam mencari nama anak mengikut sedap sebutan. Ikut yang berkenan di hati sahaja. Maka jadilah nama-nama seperti tersebut di atas tadi. Ada pula yang mencantumkan nama bapa dan ibu atau sebagainya. Dalam kes lain ibu bapa menukar nama Islam anak-anak kepada nama Barat seperti Burn dari (Abu Bakar – nama sahabat Rasulullah), Cathy (Khadijah – isteri kesayangan Rasulullah), Jo (Yusof – antara nama Nabi ulul ‘azmi). Nama-nama mulia di sisi Islam ditukar kepada nama-nama yang tidak Islamik. Maaf, yang tiada nilai agama di sisi Islam. Kita mungkin merasakan nama-nama itu glamour di dunia orang Melayu. Nama-nama itu sebenarnya bukan ganjil di kalangan orang bukan Islam. Menyedihkan bahawa nama-nama itu tiada nilai di akhirat jika nama-nama tersebut tidak disertai dengan taqwa. Tidak disertai dengan iman dan akidah yang tinggi. Nama akan tinggal nama tanpa kerangka Islam yang indah. Kosong, berongga, lapang dan hanya berangin. Sebaliknya isilah dengan nama yang penuh makna.  Nama anak banyak memberi impak kepada agama, keluarga, bangsa dan masa hadapan anak itu sendiri.
Anak pertama dan kedua saya dalam kelompok ketika saya belum berapa tahu. Belajar agama sekadar secukupnya sahaja. Ketika itu kami berdua (saya dan isteri) berbincang untuk memberi nama yang terbaik mengikut persepsi kami seagai pasangan muda. Banyak yang tidak kami ketahui ketika itu. Anak sulong lazimnya menjadi ikutan adik-adik yang lain. Memimpin. Untuk menerangi keluarga. Maka kami pilih Diana dari kalimah Dian. Kebetulan ketika itu saya gemar membaca majalah Dian. Dian juga lilin yang menerangi. Kami ingin dia menjadi istimewa. Kami tambah namanya dengan Khairani. Inginkan dia memberikan yang terbaik. Alhamdulillah akademiknya membawa kejayaan. Berjaya ke sekolah pilihan. Ke universiti pilihan. Bertugas pada awalnya di sebuah syarikat elektronik. Kemudian berkerjaya sebagai pendidik mengikut jejak ayahnya. Selepas memiliki kelaykan IPT persekitaran kadang-kadang tidak membantu untuk seseorang itu berada dipuncak. Banyak cabaran sosial yang masih kurang membangun. Namun dia masih ingin menapak lebih tinggi. InsyaAllah pengajian sarjananya di UTM memberinya kepuasan. Jambatan ke peringkat yang lebih tinggi. Anak pertama dan kedua saya dilahirkan di Negeri Terengganu. Mereka anak Terengganu. Besarnya sahaja di negeri lain.
Anak kedua, kami namakan Dahlia Syahrani. Dahlia nama sejenis bunga. Kami ingin dia cantik dan harum jika boleh. Alhamdulillah lahirnya cantik. Biasalah adik yang mempunyai kakak manjanya melebihi keadaan. Peranan kakak pula mendamaikan. Dua anak pertama ini dekat usianya. Berbeza setahun dua bulan sahaja. Mereka rapat sejak dari kecil. Pada tahun 1973 Shah Iran dan Farah Diba, Syahraninya sedang memuncak di Iran. Sedang di puncaknya yang sedang gemilang. Maka Dahlia Syahrani terpaut pada nama anak saya. Kebetulan bila berumahtangga suaminya bernama Shahrizal. Besarnya ke sekolah pilihan juga. Di USA juga ke universiti pilihan.   Pernah bertugas di IKIP Pahang, institusi di bawah MARA dan akhirnya sekarang di MMU sebagai pengajar Bahasa Inggeris. Asalnya memiliki kelulusan dalam bidang Perniagaan  (Commerce) menukar bidang pengajian bahasa Inggeris sewaktu melanjutkan pengajiannya di UPM pada peringkat sarjana. Anak pertama dan kedua bermula dengan huruf D atau dal.
Nurul Najwa memulakan siri nama anak yang bermula dengan Nur. Diikuti dengan Nurin Naurah dan Nur Zatulitri. Ketika lahirnya tidak ramai orang perempuan bernama Najwa. Seingat saya ketika itu anak allahyarham Datuk Asri Muda – bekas menteri besar Kelantan – bernama Najwa. Jenuh mencari maknanya di dalam kamus yang kami ada. Kami percaya Najwa bermaksud penuh. Penuh harapan, penuh keyakinan dan penuh rungkaian hati bahawa besarnya nanti memberi yang terbaik. Sebenarnya Najwa lebih bermaksud keyakinan dan kasih sayang. Rambutnya menggerbang berkerinting. Berani semasa kecilnya. Ada sahaja yang dibuat. Kecilnya tidak begitu menyerlah dari segi akademik berbanding dengan dua kakaknya. Kuasa Allah menentukan bahawa dia yang pertama lulus pada peringkat sarjana.  Sekarang bertugas di Politeknik Merlimau Melaka. Nurin Naurah (keempat) dan Nur Zatulitri (kelima) istimewa tarikh lahirnya. 3 Disember. Selang dua tahun.  Naurah rupanya bunga yang sedang berkembang. Setiap tahun dia yang paling muda di kelas sebab lahir di hujung tahun. Paling muda rupanya memberi kelebihan kepadanya. Selalu di hadapan berbanding dengan rakan sekelasnya. Ke sekolah berasrama pilihan dan ke UTP di Perak. Sudah berbagai jawatan di berbagai syarikat. Masih mencari tapak yang lebih tinggi. Tentu untuk mendapatkan ganjaran yang lebih tinggi.
Minyak yang mewangi. Begitulah Zatulitri. Dieja dengan huruf Arab bermula dengan ain. Zatul’Itri. Cahaya yang memancarkan kewangian. Menjejaki kakaknya yang keempat. Bersekolah di sekolah berasrama plilihan. Ke UIAM untuk mendapatkan Ijazah Undang-Undang Sivil dan Syariah. Bertugas di beberapa firma guaman. Sekarang menguji diri memulakan perniagaannya sendiri. Mudah-mudahan kewangian dan keharumannya menyerlah dunia yang diceburinya. InsyaAllah. Anak keenam Rahimatul Lubna. Lahir sekembalinya saya dari USA. Kebetulan seorang teman isteri saya yang berasal dari Syria bernama Lubna. Lalu diambil nama itu. Rahimatul supaya dirinya penuh dengan rahmah. Memberi kebaikan kepada orang yang di sekelilingnya. Rambutnya kerinting seperti Nurul Najwa dan matanya bulat. Seperti anak Arab. Kecilnya pendiam. Banyak kali mendebarkan kerana sesak nafas. Beberapa kali ke hospital. Menyerlah di akhir remajanya. Ke Universiti Lancaster. Pernah bertugas di TV al-Hijrah. Sekarang Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Kesihatan. Semakin periang setelah berumahtangga. Agak becok bersama adik beradik yang lain. Begitu juga ketika bersama rakan-rakannya.
Setelah enam anak perempuan tidak ramai orang yang memberi harapan bahawa Allah akan menganugerahkan anak lelaki pula.  Begitulah datangnya Mohammad Ilmi Najhan. Diharapkan berilmu dan  berjaya dalam dunia dewasanya. Banyak mewarisi bapanya. Pendiamnya. Senyapnya. Namun pengasih dalam diam. Berkahwin dalam usia 24 tahun. Lulusan UITM dalam bidang komputer. Kecilnya agak kreatif tetapi mungkin persekitaran tidak membantunya untuk terus kreatif. Dalam kerjayanya ia diperlukan untuk lebih kreatif dalam bidang yang ia lebih mengetahui. Apabila Mohammad Izzat Naqib mengiringinya sebagai anak kelapan sekali lagi prosesnya berlaku. Jika anak pertama dan kedua bergandingan, anak ketujuh dan kelapan ini juga begandingan. Jika anak kedua ingin selalu melebihi kakaknya, anak kelapan ingin pula melebihi abangnya. Ada sahaja helah untuk mendapat lebih perhatian. Setiap anak ada keistimewaannya yang tersendiri. Ibu bapa yang seharusnya bijak melayan dan mentarbiahkan mereka.
Sebagai guru barangkali saya beruntung. Ilmu psikologi membantu secara terbaik membesarkan anak-anak. Berapa ramai anak sekalipun ibu bapa tidak seharusnya memperlihatkan sebarang perbezaan. Memang ramai orang banyak tertumpah kasihnya kepada anak sulong atau anak bongsu. Memperlihatkan perbezaan mencalar hati anak-anak. Kesemuanya dari aliran darah yang sama. Harus dikasihi seadilnya. Kesempatan kadang-kadang tidak membenarkan. Mungkin ada yang terlebih di sana dan ada yang terkurang di sini. Anak ketujuh umpamanya tidak banyak membuka hati dan mulut. Tidak memilih dan tidak meminta. Mudanya santai tidak banyak leka. Sebagai bapa saya adakan apa yang terdaya. Biar dia seperti anak muda lain. Adiknya pula ada gaya tersendiri. Ingin selalu ranggi. Di sini ada pembawaan saya yang selalu ingin lawar sejak dari kecil. Itulah anak-anak yang besarnya ditimang. Besarnya ditatang. Dewasanya tetap didalang. Yang namanya anak tetap di hati ibu bapa. Sesudah berumatangga, berkerjaya dan beranak pinak, anak-anak tetap anak kepada hati ibu dan bapa. Tetap dekat di mata dan di hati. Didoakan kesejahteraannya. Diingat seingatnya. Dijengah pada waktunya. Dinanti kehadirannya.
Anak kesembilan mejadi pelengkap keluarga. Yang sulong perempuan. Diakhiri dengan yang kesembilan. Anak perempuan juga. Anak bongsu beruntung kerana membesar dalam kedewasaan kakak-kakaknya. Dekat dengan abang-abangnya.  Dikelilingi oleh anak-anak buahnya. InsyaAllah apabila tamat pengajian ijazahnya di UIAM nanti meneruskan bidang ekonomi lulusan bapanya. Setiap tahun dia yang paling muda dalam kelasnya. Nur Zahin Rifhan dilahirkan pada awal pagi 31 Disember 1992. Jam 12.15 pagi menyaksikan kelahirannya di hospital Batu Pahat. Anak kedua lahir di Johor selepas kakaknya yang ketiga. Setelah semua kakak dan abangnya berumahtangga, hanya tinggal dia seorang sahaja lagi. InsyaAllah jodohnya akan sampai pada waktunya.  Melepaskan sembilan orang anak adalah suatu jangamasa yang panjang. Kehidupan yang dahulunya sibuk tetap sibuk dengan hal yang lain-lain. Melapangkan diri bukan opsyen yang terbaik. Pengisian waktu memperkayakan pengalaman. Menambah keberkatan usia yang Allah bakikan lagi. Manusia hanya kembara seusianya. Selagi kembara itu belum berakhir maka kembara itu bersambung dari satu perhentian ke satu perhentian yang lain.
Dunia ini tidak rata. Bulatnya juga tidak bundar seperti bola. Edaran dan putarannya memberikan cahaya siang dan gelap malam. Jaga dan tidur yang jadi mainan hidup. Beranak pinak adalah amanah. Menjadikan mereka dengan kemanusiaannya adalah tanggungjawab. Apa yang kembali kepada ibu bapa adalah ketentuan Allah jua. Dahulu kami sekolahkan mereka. Sekarang mereka sekolahkan kami. Syukur kepadaMu ya Allah. Rahmatilah kehidupan anak-anakku. JannahMu untuk mereka. Kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Begitulah nama. Untuk didoakan. Ada pengisian harapan di dalamnya. Disebut kasih. Diingat sayang. Alhamdulillah. Syukrulillah.

Saturday, April 6, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Pernikahan Yang Mengujakan


Saat-saat yang berbaki sebelum menjadi suami. Menamatkan zaman bebas seorang lelaki. Apabila hatinya sudah bulat pipihnya dilayangkan

Siapalah ibu jika tidak mengasihi anaknya. Tentu sahaja ada pesan-pesan terakhir
 sebelum anak bujangnya menjadi suami orang. Bukan senang melepaskan kekasih hati untuk dimiliki oleh orang lain yang menjadi menantunya.

Tentu besar impaknya. Nikah pertama dalam Bahasa Arab. Dibimbing oleh sheikhnya sendiri. Nikah kedua diterjemahkan dalam Bahasa Melayu oleh wali pengantin perempuan sendiri. Saudara mara yang hadir tidak ramai. Sahabat handai dan jemaah masjid sangatlah ramai. Seperti kenduri besar juga jadinya.

Saat bermulanya memikul tanggungjawab di bahu sendiri. Persediaan jasmani, rohani dan psikologi yang cukup memantapkan langkah panjang yang jauh ke hadapan. Jalannya jauh, likunya banyak, destinasinya tidak ada kepastian. Mudah-mudahan sampainya ke syurga.

Berguru hendaklah mengasihi guru. Kasih itu dikembali dan dikongsi bersama. Restu guru sangat besar impaknya kepada barakah ilmu yang diperolehi.

Sejarah diri berubah hanya dengan "Aku terima nikahnya...". Dari seorang menjadi berdua. Di sebelah kiri sudah ada orang bergantung kasih. Dekatnya damai. Jauhnya dirindui. Berkasih sayanglah hingga ke Syurga. InsyaAllah.

Mendirikan masjid di dalam masjid. Pernikahan adalah suatu peristiwa besar bagi pasangan pengantin. Semaunya menjadi mudah apabila mendapat sokongan ibu bapa dan sahabat handai.



Pasangan baru seperti berada di hadapan pintu yang terrutup. Di balik pintu itu banyak yang perlu diteroka. Jika persediaan rapi apa sahaja dapat dijangka dan dihadapi


Hari Jumaat 29 Mac 2013. Ilhamnya tidak datang dengan tiba-tiba. Sebagai orang tua kadang-kadang kita tidak biasa dengan hal yang besar dan gah. Allah menentukan bahawa segala-galanya adalah di dalam kekuasaanNya. Walau apapun perancangan kita sebagai manusia, perancangan Allah mengatasi segala-galanya yang terdaya kita lakukan. Semuanya dengan izinNya. Begitulah pernikahan anak saya yang mencipta sejarah keluarga. Jauh di negara orang. Jauh dari sanak saudara. Jauh dari keluarga. Jauh dari sahabat handai. Apabila kita fikirkan adat saya seperti menyingkirkan diri dari semua yang patut diraikan. Apabila kita fikirkan agama maka yang baik kita lakukan sebaiknya. Moga-moga yang baik itu melimpah ruah natijahnya. Suasana yang pada mulanya biasa-biasa sahaja akhirnya meninggalkan impak yang besar dalam sanubari. Sebagai ibu dan bapa tentulah hanya yang terbaik untuk anak-anak. Kesejahteraan dan kebajikan yang tiada berbelah bagi. Apabila sesuatu latarbelakang berubah maka perlakuan-perlakuan yang mengiringinya turut berubah. Perubahan luar jangkaan selalunya sangat mengujakan.
Anak saya yang seorang ini agak kental hatinya. Dari kecil ada sifat-sifat yang tersendiri. Sewaktu lahirnya saya ingatkan perempuan sebab mukanya comel. Saya tidak yakin sewaktu diberitahu oleh isteri saya bahawa bayi yang kelapan ini adalah lelaki. Untuk mendapatkan kepastian saya selak lampinnya. Benar. Lelaki. Sahih.  Sekarang saya ada dua orang anak lelaki. Begitulah ketentuan Allah terhadap perkongsian hidup saya dengan isteri saya. Sebelum kelahirannya kami bincang dan cari nama yang kami rasa boleh membantu dalam proses tumbesarannya. Kami ingin dia menjadi pemimpin. Sekurang-kurangnya memimpin keluarganya dengan sebaiknya. Benarlah bahawa nama yang baik adalah doa dari kedua ibu dan bapa. Dia menyerlah menjadi pelajar yang cergas. Menjadi ketua di sekolah. Dalam perkumpulan. Dalam prosesnya mengejar dewasa. Sewaktu menyertai PLKN dia mendapat anugerah dan dinobatkan sebagai imam besar kumpulannya. Di sekolah rendah dahulu dia mengikuti pasukan tae-kwan-do. Di sekolah menengah minatnya kepada nasyid. Di samping itu dia mula memimpin. Minatnya dalam bidang agama berkembang. Apabila balik bercuti ada sahaja buku agama yang dibawa balik ke asrama. Untuk rujukannya memberi motivasi kepada rakan-rakannya yang lain.
Sebagai bapa saya melihat perkembangan itu. Darah saya dan darah ibunya meresap ke dalam sanubarinya.  Kelembutan dan ketegasan bergabung membentuk peribadinya. Mewarisi sifat saya semasa muda. Ramai sepupunya yang tidak berani merapatinya. Orang lain jauh sekali. Mungkin adik-adik di asrama dahulu begitu juga. Gerun melihatnya. Apabila ditawarkan untuk ke Azhar dia menolak kerana prinsip. Dia ingin menghabiskan peperiksaan STAMnya di KISAS. Puas saya dan ibunya membujuk. Kami berikan pilihan yang terbaik. Dia gagal temuduga Amanah Raya Berhad kerana tidak berminat. Rezeki Allah tidak ke mana tumpahnya. Rezekinya. Yayasan Rahsia, milik allahyarham Tun Abdul Hamid Omar menawarkan kepada mereka yang gagal untuk turut serta rakan yang lain ke Mesir. Anak saya ini masih menolak. Berulang alik saya dan ibunya ke KISAS untuk menyakinkan bahawa ini adalah peluangnya yang terbaik.  Allah makbulkan doa ibunya yang setiap hari mengalirkan airmata. Yang mendoakannya supaya Allah membukakan hatinya. Solat hajat yang tiada putus-putusnya. Terbang juga dia ke Mesir. Ke Universiti al-Azhar. Seruan Sallehuddin al-Ayyubi kuat memanggilnya ke al-Azhar. Alhamdulillah.
Hubungan kami dari masa ke semasa menyakinkan kami bahawa dia berada dalam keadaan  selesa di Mesir. Bersama rakan-rakan yang memang biasa dengannya di KISAS. Dia mendewasa di tempat orang. Sebagai bapa saya mengenalinya. Ada  bunga-bunga hatinya terpaut kepada gadis idamannya. Dibuka mulut dan hatinya kepada ibunya. Tentu sekali ibunya tersentap. Dalam usia semuda itu dia ingin mendewasakan diri lebih cepat dari usianya. Dia ingin mendahului kakaknya yang ke-enam dan abangnya yang ke-tujuh. Kakak dan abangnya tidak kisah sangat dilangkau adiknya. Kami yang tua sahaja terasa belas jika kakaknya terlangkau. Abangnya mungkin tidak begitu terasa. Banyak kali saya berikan senario yang boleh memberikannya peluang menimbang untuk menangguhkan hasratnya berkahwin awal. Sebagai guru, psikologi dan kaunseling yang saya arif saya gunakan untuk menenangkan gelora hatinya. Hatinya seperti bulat untuk cepat menamatkan zaman bujangnya. Dia tidak ingin selesa dahulu. Dia tidak bersedia terlalu memendam rasa. Selain kaunseling di dalam kenderaan, tulisan saya dalam blog saya  banyak memberikan ruang kapadanya untuk berfikir.  Saya tidak mahu berkeras menghalang. Sekadar memberikan tempoh berfikir. Ibunya memberi tempoh seperti infiniti. Sekiranya kakaknya bernikah maka dia berpeluang untuk segera menikah. Alhamdulillah kakak dan abangnya menikah terlebih dahulu.
Timbul persoalan. Adakah ketiga-tiganya perlu disaingkan. Banyak kali kami berfikir dan berbincang. Rupanya jodohnya belum boleh disegerakan. Selepas kakak dan abangnya sudah dipastikan tarikh perkahwinannya, kami  aturkan pertunangannya. Tempoh waktu tidak ditentukan.  InsyaAllah apabila sampai masanya kami satukan. Bulan Januari 2013 saya ke Jordan kerana mengejar hasrat mempelajari Bahasa Arab di negara Arab. Dari Jordan kami rancangkan supaya anak saya menikah di Mesir. Sementelahan pula pengajiannya hampir tamat. Anak-anak yang lain diberi makluman. Keluarga sebelah perempuan diajak berunding. Persetujuan nampaknya sebulat suara. Rupa-rupanya rakan-rakannya di asrama ARB juga dimaklumkan. Perkara yang mudah menjadi global. Sebagai ibu dan bapa saya hanya ingin menikahkannya dengan pasangannya seringkas yang mungkin. Tidak boleh. Apahal dengan rakan-rakannya di asrama ARB. Apa hal pula rakan-rakan sekelasnya. Difikirkan juga untuk meraikan mereka.
Pernikahan pula diatur supaya dilangsungkan di masjid al-Azhar. Ada urusan rasmi dengan JPM (Jabatan Penuntut Malaysia). Selalunya pernikahan tanpa kahadiran wali disempurnakan oleh pagawai agama JPM. Dirancng supaya dinikahkan oleh pegawai JPM terlebih dahulu dan kemudiannya dengan Sheikh Azharnya. Saya berikan pandangan wasatiah. Rundingkan dengan pegawai JPM supaya pernikahan itu dihadirinya. Terlalu jauh dari pemikiran saya dan ibunya. Barangkali izin Allah begitu untuknya. Ahlamdulillah wali pengantin dapat hadir sama dari Klang. Sekali lagi Allah mempermudahkan urusan pernikahan itu. Di hadapan Sheikhnya. Di hadapan kedua-dua ibu bapa pengantin. Di hadapan pengawai Jabatan Penuntut Malaysia. Di hadapan rakan dan taulanya di Azhar. Malah turut mengujakan orang Arab yang kebetulan ramai di masjid ketika pernikahan itu.  Pernikahan dijalankan dalam bahasa Arab dan kemudiannya dalam bahasa Melayu. Hasrat anak yang seorang ini dimakbulkan Allah. Pernikahan di masjid yang darinya dilahirkan Universiti al-Azhar.
Orang perempuan biasanya menangis apabila dinikahkan. Dirinya bukan lagi milik kedua ibu dan bapanya. Orang lelaki juga biasa menangis. Selepas majlis nikah anak saya solat sunat dan sujud syukur. Airmatanya bercucuran. Tergenang di kelopak mata. Dikesat masih nampak. Sebagai bapa saya maklum. Air mata itu adalah tanda besar sesuatu yang sukar digambarkan. Ada kesyukuran kerana mendapat isteri. Ada keindahan menjadi suami. Dia bukan lagi anak tetapi seorang suami. Bukan lagi bebas sebebasnya tetapi terikat dengan janji dirinya sendiri. Lafaz, aku terima nikah....... menamatkan segala-galanya yang bernama muda. Usia muda yang didewasakan. Di sebalik airmata itu ada tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan. Dia bukan lagi seorang tetapi berdua. Dia bukan lagi bujang tetapi seorang suami. Dia akan kembali kepada saya dan ibunya berdua. Bukan seorang lagi seperti selalunya. Zaman bujangnya ditinggalkan. Semua kebiasaannya sebagai orang bujang perlu dioverhaul. Sistem hidup yang perlu diubahsuai. Sesungguhnya pernikahan adalah pintu-pintu yang membuka lembaran baru dalam hidup mereka yang terlibat. Di sebalik pintu-pintu itu ada harapan dan cabaran. Bergantung kepada pasangan untuk merealisasikan impian bersama yang selalu diungkapkan. Yang selalu didambakan. Yang selalu terlukis di hati. Yang selalu membayang imejnya.
Anak-anak yang berumahtangga bukan terputus hubungannya dengan keluarga. Kedua ibu bapa sentiasa memantau keadaan. Melihat riak dan alun. Memerhati kocak dan desir. Berumahtangga bukan bererti cukup dewasa dan sempurna. Banyak yang perlu dipelajari. Yang perlu dialami. Tidak ada buku yang memberi semua azimat untuk mencipta kebahagiaan. Tiada kuliah yang memberi semua teori yang diperlukan. Tiada rumus yang pasti. Tiada agenda yang tersenarai indah. Tiada prosedur yang terbukti pasti berjaya. Tiada eksperimen yang teruji buktinya.  Pengalaman yang diambil secara perlahan tetapi pasti memberikan gambaran-gambaran meyakinkan bahawa semuanya boleh diharungi. Boleh dilayari. Boleh mengapungkan impian yang lebih indah. Seorang anak muda yang menukar dirinya menjadi suami hanya dalam beberapa saat sahaja. Kedudukannya bermartabat yang ada tahapnya yang tersendiri. Ganjaran solatnya berganda-ganda. InsyaAllah rezekinya Allah cukupkan.
Anak-anakku, berikanlah yang terbaik untuk pasanganmu. Bentuklah keluarga yang soleh dan solehah. Anugerahkan abah dan ibumu cucu dan keturunan yang memberi harapan cerah pada masa hadapan. Menjaga agama dan akidah. Hidup dan matinya dalam Islam. Doa dan harapan semoga Allah memakbulkan. InsyaAllah.


Sampai di sini. Jadilah lelaki yang bertaggungjawab sesempurnanya.  Banyak harapan yang berjuraian di sepanjang jalan hidupmu.

Tuesday, April 2, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Anak Yang Menjadi Suami dan Bapa


Apabila isteri mengandung, lazimnya hati suami berbunga lebat. Kembang dan semarak. Akan lahir nanti zuriat yang menyambung keturunan. Lahir anak-anak lelaki dan perempuan yang didoakan soleh dan solehah. Hati seorang suami selalu tersentuh bahawa zuriatnya bakal tiba. Memenuhi segala ruang kecil hatinya. Yang nanti harum semerbak membuka ruang lain orang-orang sekeliling.  Saudara mara dan sahabat handai bertali arus menghulur tahniah. Maka sahihlah bahawa keturunannya tiba dengan tangis kuat yang membelas seorang ibu. Air susu dan dakapan sayang yang memanjang hingga tuanya. Begitulah halus dan teguhnya kasih sayang seorang ibu terhadap anak yang pernah berada di rahimnya. Yang hanya dapat ditatap seorang suami yang akhirnya bergelar bapa. Dari seorang menjadi dua, tiga dan bertambah-tambah jika isteri memang barakah kesuburannya. Allah menganugerahkan anak-anak yang menyejuk mata memandang. Menyirami dingin hati yang kasih. Lalu anak-anak membesar membina kemanusiaannya mengikut acuan yang dibina.
Anak lelaki dan anak perempuan adalah anak-anak kepada pasangan kedua ibu dan bapa. Yang berbeza hanya jantinanya. Yang berbeza adalah dewasanya. Anak perempuan akan meninggalkan ibu dan bapa kerana tanggungjawab yang sudah diserah kepada suaminya. Suaminyalah yang menggalang ganti tugas memimpinnya hingga tua dan insyaAllah hingga akhir hayatnya. Hati bapa berada antara lega dan sayu. Lega kerana tugasnya diambilalih oleh suami anak perempuannya. Sayu kerana anak yang membesar di hadapan mata sudah diserahkan kepada orang lain. Menjadi keluarga orang lain. Islam menggalurkan keluarga mengikut nasab suami. Nasab lelaki. Maka anak perempuan menjadi susur dan galur kepada keluarga suaminya. Bukan lagi susur galur bapanya. Seorang cucu ada aliran darah seorang datuk dan moyangnya. Tetapi hak berada di sebelah bapanya, datuknya dan moyangnya di sebelah bapanya. Maknanya seorang bapa telah menyerahkan anak perempuannya kepada susur galur suaminya. Yang tinggal ialah hak aliran darah. Hak hubungan ibu dan bapa. Sebab itu apabila seorang perempuan bercerai atau menjadi balu maka hak keluarga suaminya untuk menjaga kebajikannya. Keselamatannya. Maruahnya. Di sinilah yang barangkali perlu ada penegasan supaya sempadan hak itu diketahui. Di sepakati. Diambil berat. Hak agama bermakna hak Allah dan Rasulnya. Ada nilai pahala dan dosa. Pahala untuk yang mematuhinya. Ada dosa bagi yang mengingkarinya.
Apakah anak lelaki berbeza bila menjadi suami? Apabila seorang lelaki menikahi seorang perempuan maka tertanggung di atas bahunya segala tanggungjawab seorang suami. Jika sebelumnya ia bertanggungjawab terhadap kedua ibu bapanya sekarang ia menambah tanggungjawab. Ia bakal menambah tanggungjawab itu apabila menjadi bapa kelak. Turut bertanggungjawab kepada masyarakat, agama dan negara. Tetapi seorang bapa sangat takut jika anak lelakinya gagal menjalankan tanggungjawab itu. Yang semakin bertambah kuantiti dan kualitinya. Dia menjadi harapan ramai orang. Termasuk harapan negara. Maka apabila anak lelaki berumahtangga seorang bapa terlebih sayunya. Sebagai bapa ia ingin menurunkan segala petua yang boleh diikut. Kesabaran yang selalu menuntut. Ketabahan yang selalu membalut. Ketekunan yang perlu ditambah-tambah. Menjaga pendidikan, keselamatan, ekonomi, kebajikan  dan kesejahteraan keluarga. 

Pernikahan bagi seorang lelaki adalah menggalas pada bahunya tanggungjawab besar. Hak lelaki besar. Hak lelaki tinggi. Allah memilihnya menjadi pemimpin  kepada wanita. Kepada isteri dan anak-anaknya. Namun hak itu bukan mutlak. Apabila seorang isteri berada di sampingnya bermakna seorang suami berada dalam situasi berdua yang selalu bersama. Fikirannya berganda. Usahanya berganda. Di situ ada barakah. Ada mawaddah. Ada nikmat sebagai suami yang selalu mengagahi segala kepayahan. Kesukaran yang diringankan. Rezeki yang Allah cukupkan. Seorang lelaki harus lebih berlapang dada. Di kanannya ada kedua ibu dan bapa. Di kirinya ada isteri dan anak-anaknya. Di hatinya ada Allah dan RasulNya. Jalannya mesti lurus. Langkahnya mesti ke hadapan. Lagaknya mestilah tenaga dan aura. Pada dirinya tidak perlu wujud segala kelemahan. Apatah lagi kedaifan berfikir. Lemah mencari helah yang perlu dihindari. Ia perlu dilihat gagah. Di hadapan untuk memimpin. Di belakang untuk membantu. Di samping untuk orang lain menyandarkan harapan.
Siapa isteri kepada suami jika bukan wanita solehah. Wanita Islam selalu keliru dengan dirinya. Agama dan adat selalu salah letaknya. Apabila suami menjadi pemimpin maka isteri adalah orang yang dipimpin. Salahnya ditunjukajar. Jalannya diluruskan. Bengkoknya dilurutkan. Larinya dibantu. Lambatnya digesa. Betulnya dirangsang. Pasangan yang sama kufu sangatlah dituntut. Jalan fikirnya selari. Menyaingi satu sama lain. Tinggi dan rendahnya sama dialun. Gelombang dan badai difahami aturnya. Agenda berkeluarga seharusnnya membawa kepada suatu arah dan matlamat yang sama digapai. Sama digarap. Sama dikecapi. Tidak semua yang di hati harus dicapai jika natijahnya tidak mendamaikan.  Setiap tindakan restu merestui. Setiap langkah diatur dan disusun mengikut rentak yang dibina. Tidak mungkin suami dan isteri bertingkah rentak gendangnya. Tidak mungkin tarinya bertingkah rentak. Bersuami isteri bukan tawa dan tangisnya yang lebih utama. Kemanisan antara keduanya hanya dikecapi melalui kecekalan hati yang tinggi.
Dalam hubungan bersuami isteri banyak perbezaan pendapat. Selalu ambil jalan yang terbaik. Ada kompromi yang perlu diambilkira. Pertimbangkan yang syarie. Bukan emosi atau gah diri. Agenda kebahagiaan ialah membahagiakan pasangan. Bukan kebahagiaan diri. Jika masing-masing berusaha membahagiakan pasangan masing-masing maka tidak ada pihak yang menuntut berlebih-lebihan. Yang diusahakan ialah untuk memberi kebahagiaan. Alangkah manisnya hidup beriringan bahagia. Manis dikenang. Manis diingat. Suka yang diadun dengan kedamaian dan ketenteraman di hati. Carik-carik yang ada disimpul tepi. Dilipat jauh. Dihulur kepada masa supaya hilang dari ingatan. Apabila hidup untuk membahagiakan maka yang duka jangan disimpan dalam kamus keluarga. Lahirkan yang indah dan menyinar senyum panjang yang membelah zaman lama yang bakal mendatang. Hadapi dengan senang kerana berumahtangga hasratnya mencari kebahagiaan yang menyenangkan. Kembali kepada Allah. Pernikahan adalah kerana sunnatullah. Kelak di akhirat Rasulmu akan berbangga dengan kehadiran zuriat yang soleh dan solehah. InsyaAllah.
 

Monday, April 1, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Anak Muda Panjang Akalnya


Pendidikan menjadikan seseorang itu terdidik. Selalunya kita merujuk kepada bagaimana seseorang itu melepaskan diri dari kebiasaan yang kualitinya rendah kepada yang kualitinya lebih tinggi. Yang dituju ialah matlamat peringkat tinggi. Apabila berhadapan dengan situasi yang tertentu orang yang terdidik menerima pendidikan pastinya boleh melakukan anjakan yang apabila dilihat ada kelainan dari cara bertindak. Cara berhujjah. Cara bekerja. Cara menyusun agenda. Yang dapat dilihat ialah seorang yang boleh berhadapan dengan cabaran-cabaran yang besar atau kecil. Kepada mereka semuanya dilihat seperti positif. Yang senang sudah biasa. Yang susah ada cara mengatasinya berdasarkan pengalaman dan akal yang terbina. Lalu kita menilai akan akal budi yang diterjemahkan dalam output yang dapat dilihat. Dapat dirasa. Dapat dinikmati. Pengguna output pula merasa damai dan tenteram. Yang diterima ialah sesuatu yang menjadikan hidup orang lain lebih berkualiti tinggi. Sesungguhnya pendidikan menjadikan seseorang itu berada di atas landasan ilmu. Landasan kebijaksanaan. Ada kebestarian dalam menjalani hidup. Hidup profesional yang tinggi. Hidup sosial yang disenangi. Hidup berkeluarga pula penuh harmoni. 
Saya melihat kualiti itu ada pada anak-anak Malaysia tajaan Amanah Raya Malaysia (ARB) dan yang bergabung dengannya, yang mengikuti kursus peringkat ijazah di Universiti al-Azhar, di Kaherah, Mesir. Apabila saya merancang untuk menikahkan anak lelaki saya di Kaherah, saya hanya ingin menyelesaikan urusan nikah itu sahaja. Anak saya memberi banyak input. Antaranya dia ingin mengadakan majlis untuk rakan-rakannya di asrama ARB. Kira-kira 80 orang ramainya. Dia ingin menambah lagi beberapa orang rakan sekelasnya yang bukan tajaan ARB. Jumlahnya 150 orang. Bajetnya melebihi RM1,000. Kosnya seperti di Malaysia juga. Kebetulan besan saya dari Klang dapat hadir sama. Jadinya kami berkongsi kos. Alhamdulillah.  Saya jangkakan jamuan yang akan diadakan biasa-biasa sahaja. Maklumlah di negara orang. Jauh dari saudara mara dan sahabat handai. Seperti saya sebut selalu, kadang-kadang mimpi kita datang tanpa lelap mata. Tanpa tidur mimpi itu datang. Seperti mimpi, saya menerima kejutan akan persiapan yang mereka lalukan. Mereka turut sama ingin mejayakan majlis untuk rakan mereka. Sama yang lelaki atau yang perempuan sama sahaja. Masing-masing teruja untuk bersama.
Rupanya anak-anak tersebut merancangkan suatu majlis yang meriah meraikan anak saya dan isterinya. Mereka membahgai tugas. Berbagai-bagai jawatankuasa ditubuhkan. Mulanya anak saya ingin jamuan disediakan oleh katerer sahaja. Isteri saya ingin pula memasak sendiri kecuali nasi sahaja dibeli dari katerer. 30 ekor ayam masak merah, kari terung, acar campur (kobis ungu, tomato, timun dan lada gajah). Perahkan lemon. Nasi pula nasi tomato. Tetamu yang datang berselera sungguh mereka makan. Mereka benar-benar menjamu selera. Sebenarnya kami lebih banyak memerhati dan memantau sahaja. Kesemuanya diurus oleh anak-anak ARB. Majlis yang besar dan bermakna itu diusahakan kerana itulah kali pertama majlis seumpamanya diadakan di asrama ARB. Walaupun di asrama-asrama negeri biasa diadakan tetapi kerana majlis itu kali pertama diadakan di ARB kesemua penghuninya sangat teruja. Malah ada rakan anak saya dari asrama lain yang turut terlibat. Sementelahan pula mereka rapat antara satu sama lain. Belajar sekelas. Sama-sama merantau. Sama-sama membina aspirasi yang sama. Membina diri, agama dan bangsa. Negara sentiasa di sudut hati mereka.
Apabila saya jejakkan kaki saya di ARB  saya terkejut kerana mereka menyediakan ruang khas seperti pelamin. Terpempan juga saya sebentar. Tujuh kali saya menikahkan anak belum pernah saya mengadakan pelamin dan majlis bersanding. Isteri saya berbisik, kalau orang kampung nampak gambar-gambar majlis ini nanti tentu ramai yang heboh. Hanya anak ketujuh saya yang bersanding di rumah isterinya. Yang lain hanya duduk bersama untuk majlis jamuan sahaja. Saya tertanya-tanya sendirian. Betulkah anak-anak ini ingin mengadakan majlis bersanding. Begitulah persispan yang dapat dilihat. Ada jawapannya. Nanti dulu. Pada hari Khamis, sehari sebelum majlis, mereka mengadakan raptai. Siap dengan juruacara lelaki dan perempuan. Ada tayangan video. Paluan kompang Johor. Bunga manggar. Dayang-dayang membawa dulang hadiah untuk pengantin perempuan. Kesemuanya melebihi jangkaan. Saya katakan kepada mereka, sudah tujuh kali saya mengadakan majlis walimah tetapi kali kelapan ini baru ada kompang. Dari mana mereka mendapat kompang agaknya. Dari asrama pelajar negeri Johor, kata mereka. Pasukan yang menyediakan ruang latar seperti pelamin bekerja hingga siap pada malam Jumaat itu. Ada yang berminat ke arah itu. Seperti Mak Andam pula jadinya bakal ustazah yang seorang ini.
Pagi Jumaat jamuan disiapkan. Sebelum tengahari semuanya siap belaka. Apabila nasi siap dihantar, lengkaplah semua hidangan yang dirancang. Siap dengan kuih muih. Biasalah minuman tentunya air sirap. Tetapi air sirap Mesir yang bercampur sedikit strawberry. Sedap pula rasanya. Manisnya cukup. Malam itu jamuan diadakan dengan meriah sekali. Sebelum majlis bermula juruacara bermonolog. Pelamin ni untuk bersanding ke apa? Jika bersanding seperti tidak syarie pula. Dia mendapatkan kepastian dari rakannya. Rupanya ruang itu disediakan untuk tujuan bergambar sahaja. Pasangan pengantin dan rakan-rakan mereka. Anak-anak ini sudah memikirkan yang hak dan bukan hak. Majlis itu difikirkan dari sudut syarienya. Bukan suka-suka. Bukan main langgar sahaja. Seperti yang selalu berlaku ramai anak muda melakukan sesuatu tanpa ilmu. Bila ditegur baru bertindak tidak melakukannya. Anak-anak yang brilmu, lebih bertanya dahulu. Difikirkan dahulu. Dipastikan yang dilakukan ada keharusan untuk melakukannya. Kerana itu banyak berfikir banyak mengelakkan dari melakukan hal-hal yang bukan hak. Bukan syarie. Bukan pembaziran.
Setelah majlis membaca doa dan bacaan al-Quran, didakan tayangan video yang menghadirkan pertemuan dua hati kedua-dua mempelai. Rakaman sejarah dari kecil hingga ke jinjang pernikahan memberikan gambaran kesekufuan antara pasangan. Ada perbezaan dan persamaan. Yang hadir terhibur dengan ramakan sejarah diri kedua-duanya. Kadang-kadang kita kenal ramai orang. Namun sejarah diri mereka tidak kita ketahui. Mungkin sekadar cebisan-cebisannya sahaja. Secara pastinya tidak kita ketahui. Membuka lembaran sejarah diri mungkin ada baiknya. Dari situ terbuka hijab diri yang tersembunyi. Kita kenal dari dekat bagaimana seseorang itu terbentuk peribadinya. Ada ciri dan trait yang membantu untuk difahami. Apabila bergaul dengannya kita dapat menjaga batas yang boleh dan batas yang tidak boleh. Latarbelakang sejarah menjadi penting untuk sama-sama menjadi seiring. Tidak dianggap bahawa semua orang adalah sama. Yang dilihat bukan sahaja jasad fizikalnya. Banyak lagi yang tersingkap menyerlahkan kejayaan, cita-cita, usaha dan harapannya. Kerana itu tugas kita bukan sahaja mendampinginya. Sebaliknya dan sebaiknya kita membantu merealisasikan hasrat hidupnya. Membuka laluan untuk membuang yang menghalang.
Dalam mana-mana majlis yang besar untuk seseorang individu, sesi bergambar paling meriah. Dari satu sesi ke satu sesi yang lain. Semua ingin gambar mereka dirakamkan. Mudah-mudahan giliran diri pula menyungsung. Ada juga yang melucukan dalam sesi bergambar tersebut. Ramai yang tidak berani memegang jambak bunga pengantin. Sesetengahnya seperti fobia. Takut benar bertemu jodoh sesegera masa. Seorang dua sahaja yang bersedia memegang jambak bunga dengan selamba. Riuhlah rakan-rakan yang lain. Ala kuli hal, terima kasih banyak-banyak kepada anak-anak ARB yang bersedia meraikan rakan mereka sendiri mendirikan rumahtangga. Semoga segala bakat kepimpinan yang ada terus digilap untuk nanti dijadikan bekal apabila menjawat kedudukan penting pada tahun-tahun mendatang. Bakti dari anak-anak semua semoga menyemarakkan usaha membina generasi agama yang lebih berwibawa. Landasan syarie yang terbina perlu dikembangkan supaya semua tindakan berlandaskan agama. Menjaga batas-batas yang diredhai dan diberkati Allah. InsyaAllah.     

Saturday, March 30, 2013

Salam dari Amman Jordan: Belajar Yang Banyak Susahnya


Suatu tanggungjawab anak-anak untuk membantu kedua ibu bapa mereka sedaya mungkin. Ada tuntutan agama dan ada tuntutan sosial. Tambah lagi dengan tuntutan kemanusiaan. Suatu kewajipan agama yang tidak dapat disangkal lagi. Masyarakat pula menuntut supaya anak-anak mengembalikan usaha kedua ibu bapa mereka yang terdahulu. Sebelum mereka bergelar graduan dalam peringkat apa sekalipun. Sebelum mereka bekerja menikmati ganjaran kerana bersusah payah belajar dan menjadi orang pandai. Menjadi orang terpelajar. Sebelum ada yang sudi menyumbang dahulu, sumber kewangan adalah dari kedua ibu bapa. PTPTN hanyalah sesuatu yang baru. Sewaktu berada di menara gading. Sebelum itu kesemuanya dari kedua ibu dan bapa. Abang atau kakak sekadar membantu. Mereka ada tanggungjawab mereka sendiri. Di Kaherah Mesir saya melihat suatu fenomena yang menggegarkan hati saya. Walaupun saya lama di IPT tetapi saya tidak melihat kesukaran yang melampaui batas. Di Jordan saya tidak melihat kesukaran menimpa pelajar. Sama ada pelajar tempatan atau pelajar antarabangsa. Banyak ruang kebajikan yang terurus. Terjaga dengan baik. Di Mesir lain keadaannya.
Pelajar Malaysia di Mesir berbelas ribu ramainya. Dari yang mengikuti kursus peringkat Doktorat (PhD) hinggalah yang berada di peringkat sekolah menengah. Maahad atau madrasah. Dari remaja awal hingga yang sudah beranak pinak. Hari ketiga di Kaherah saya dan isteri berjalan-jalan meninjau kawasan Hayyi Sabiq’. Ketika itu saya temui ramai sungguh pelajar Malaysia. Pelajar Melayu tentunya. Saya rasa seperti berada di Malaysia. Bayangkan suasana ketika pelajar-pelajat hendak pulang selepas beberapa jam di sekolah. Ramai, sibuk, hingar bangar. Bas dan van menanti di tepi jalan untuk mengangkut mereka. Di tepi jalan pula ramai peniaga memperagakan barangan mereka. Cumanya tidak seperti di Malaysia apabila peniaga selalunya menjual minuman ringan dan makanan ringan. Selalunya murid-murid sekolah rendah yang tergoda. Atau pelajar menengah rendah. Yang menengah tinggi sudah arif memilih yang terbaik. Maknanya ada barangan yang boleh dibeli oleh pelajar-pelajar Malaysia. 
Dalam negara atau luar negara banyak bezanya. Di negara sendiri kita jarang memikirkan kebajikan pelajar. Anak-anak kita sendiri. Semuanya seperti sudah tersedia. Terjaga dengan rapi. Pengangkutan tersedia. Makanan tersedia. Pakaian tersedia. Basuh dan siapnya tersedia. Kesihatan tersedia. Ringkas kata anak-anak kita yang berada di rumah tiada resah gelisahnya kepada orang tua. Yang di asrama guru-guru yang menjaga. Kerajaan menjaga mereka. Tetapi tidak yang berada di luar negara. Di Kaherah ini anak-anak Malaysia hidup sendiri. Hidup mandiri. Mereka berdikari. Segala-galanya kena belajar sendiri. Di negara sendiri banyak mudahnya. Di negara orang anak-anak kita terlonta-lonta membawa diri. Belas benar rasanya bila melihat mereka. Pada zahirnya mereka ceria. Gembira. Jiwa anak-anak yang selalu berlapang dada. Menerima apa sahaja seadanya. Menjalani hidup seperti anak-anak biasa.

Hidup berdikari memang baik untuk masa hadapan. Anak-anak tidak perlu bergantung sangat kepada ibu dan bapa. Susah dan senang tanggung sendiri. Susah dan payah selesaikan sendiri. Tetapi ada hal-hal yang rasanya perlu difikirkan. Sakit pening bagaimana? Keselamatan bagaimana? Hal-hal di luar jangka bagaimana? Secara umumnya rakan-rakan ramai yang boleh membantu. Itu yang sudah dewasa. Yang memiliki kematangan usia dan akal. Yang masih belasan menerima banyak kejutan budaya. Alhamdulillah Mesir negara Islam. Budaya yang ada tidak banyak larinya dari Islam. Selamatlah anak-anak kita dari budaya negatif. Budaya kuning. Budaya tidak tentu hala. Di Kaherah anak-anak kita terjaga Islamnya jika mereka mengikut arus rakan-rakan yang baik. Tidak terbawa-bawa dengan keanak-anakan dan keremajaan. Sebenarnya jika anak-anak boleh membawa diri banyak permasalahan hidup yang dapat diatasi. Hidup mereka mengatasi banyak hal yang selalu mungkin berlaku. Hidup selalu banyak yang perlu diatasi. Ada sahaja yang datang mencabar kesabaran. Hidup berdikari memberi ruang menangangi kerencaman hidup yang bakal selalu dihadapi apabila dewasa dan berkeluarga nanti.
Jika ada masa, ibu bapa seharusnya kembali kepada asal peranannya. Lihat kembali anak-anak bagaimana mereka menjalani hidup. Anak-anak di luar negara sebenarnya menikmati banyak keindahannya yang tersendiri. Cuma mereka tidak ada ibu dan bapa. Di negara sendiri ibu bapa banyak mengurus khidupan anak-anak. Di luar negara anak-anak banyak susahnya. Makan minum ikut selera yang mungkin tidak banyak kenanya dengan kesihatan. Faktor tumbesaran minda dan fizikal mereka. Selera orang di luar negara tidak sama dengan selera orang Malaysia. Tempat tinggal entah bagaimana urusnya. Baik atau buruk tidak diketahui. Yang paling belas barangkali sakit pening mereka. Yang diharap hanya rakan-rakan mereka sahaja. Baik untuk mereka baik untuk anak. Ibu bapa mungkin tidak tahu sakit pening mereka. Hanya sakit berat sahaja yang dimaklumkan kepada ibu bapa. Itupun anak-anak melindung-lindung susah senang mereka. Mereka ingin ibu bapa tidak rasa risau tentang kesihatan mereka.   Jika tahu sekalipun tentulah menggundahkan hati sahaja. Hendak terbang menjengah anak mungkin perlu menggadai sawah yang ada. Atau menjual kerbau yang dibendang. 
Sekarang saya hendak cerita realiti yang lebih realiti. Tidak ramai yang benar-benar arif tentang payahnya belajar di IPT. Lebih-lebih lagi yang berada di luar negara. Pada musim dingin mereka meredah sejuk dan mungkin salju yang sangat membeku. Berbaju tebal. Telinga dan kaki seperti hilang dari anggota. Berbulan-bulan menahan seksa sejuk itu. Anak-anak yang belajar banyak payahnya. Sama ada belajar di luar negara atau dalam negara sama sahaja payahnya. Kategorinya sahaja berbeza. Setiap minggu banyak yang dirujuk. Banyak buku yang hendak dibaca. Banyak tugasan yang hendak disiapkan. Banyak ujikaji yang perlu sdisempurnakan. Banyak perbincangan yang hendak dihadiri. Banyak pertemuan dengan pensyarah yang hendak dipenuhi. Banyak dan banyak lagi yang perlu dibuat. Malam dan siang yang sukar dipisahkan waktunya. Tidur dan jaga juga susah pisahnya. Pendekata semuanya seperti tidak cukup waktu. Hari seperti tiada. Malam hendak dijadikan siang. Jika ibu dan bapa dapat mengadap mereka mungkin banyak sedarnya bahawa anak-anak yang ingin berjaya terlalu banyak mendambakan diri.
Belajar setengah mati mati bukan cerita dongeng. Tanyalah siapa sahaja yang pernah belajar di IPT. Belajar bukan seperti makan pisang goreng. Antara bilik kuliah, bengkel dan makmal diulang berjam-jam lamanya. Itu belum ke HEP, masjid, pejabat akademik, berjumpa penasihat akademik, temujanji dengan pensyarah, sumber maklumat di luar dan sebagainya. Mereka  berjalan yang tiada hentinya kerana putaran masa di IPT tiada hentinya. Sentiasa pasang dan pasang. Payah surutnya. Kerana itu pelajar selalu hidup berkelompok. Mereka bantu membantu. Kelompok menjadi tempat berharap. Sama-sama mengharungi suka duka di pengajian tinggi. Nyawa yang sedikit dikongsi hayatnya. Talian yang selalu disambung-sambung demi survival untuk menjadi graduan. Ingin menjawat jawatan tinggi berganjaran tinggi juga. Duduk di bilik besar berkerusi empuk. Memberi arahan dan menerima hormat. Ada pembantu yang boleh disuruh harap. Melunaskan tanggungjawab untuk negara.
Jawatan dan pendapatan belum tentu selari. Tinggal di kota besar menuntut banyak pengorbanan besar juga. Yang terkorban ialah ganjaran yang nampak besar tetapi mungkin sekadar cukup. Di sini berlaku paradoks sosial. Lazimnya masyarakat beranggapan seorang pegawai gajinya besar. Melebihi pegawai rendah. Apatah lagi yang belum berumahtangga. Tentu banyak wang yang berlebihan. Maksudnya? Perlu menjaga hati ibu dan bapa? Tentu sekali. Sesudah bekerja kenalah hulur yang berlebih-lebihan. Ibu bapa juga ingin merasa hasil tuaian dari anak-anak. Sekarang cuba kita tinjau kembali. Berapa sebenarnya yang mampu anak-anak sejukkan hati dan perasaan ibu dan bapa.
Bil
Pendapatan sebulan
RM2,200
1
Sewa berkongsi rumah
250

2
Makan
800

3
Pengangkutan
300

4
Pakaian
150

5
Simpanan awasan
100

6
Rekreasi
100

7
Tabung semasa
300
2,000
Baki di tangan
200


Rumah berkongsi dengan rakan-rakan. Tidak mampu menyewa sebuah rumah sendiri. Makan paling menuntut dana. Sarapan dan makan tengahari perlu di kedai. Sarapan sahaja mungkin RM5. Makan tengahari RM8.50. Makan malam belum lagi.  Bila haus dan lapar belum lagi. Pengangkutan tidak boleh lagi dijimatkan. Suatu kemestian harian. Pakaian perlu dirancang. Sebagai pegawai perlu dijaga penampilan. Dijaga peragaan diri. Pegawai perlu dilihat sebagai pegawai. Pakaian tidak boleh meruntuhkan kewibawaannya. Sebagai anak bujang dia perlu juga menghibur hati. Penat dan banyak susahnya sewaktu belajar dahulu. Simpanan awasan sangat perlu untuk sakit dan pening. Untuk bakal mendirikan rumahtangga. Jika baki wang sekadar RM200, berapa sebenarnya anak-anak mampu membahagiakan ibu dan bapa.  
Kekurangan yang selalu dituntut. Ke mana perginya gaji beribu ringgit. Terkelip-kelip anak-anak hendak menjawab. Ibu bapa pula tidak semuanya memahami. Kepada mereka RM2,000 sangat banyak. Benar di kampung RM2,000 boleh disimpan RM1,500. Minta maaf ibu. Minta maaf ayah.  Anak-anak yang bekerja di Kuala Lumpur perlukan dana yang besar juga. Ribuan ringgit tidak mencukupi jika tidak besar ribunya. Apabila ibu dan bapa tidak memahami keadaan maka berlakulah konflik ketidakadilan. Ibu bapa merasa teraniaya. Anak-anak merasa terbeban. Bagi yang rajin mulalah berkira membuat kerja sampingan yang tidak menggangu kerja. Alhamdulillah rezeki tambahan. Tetapi, tetapi apabila tekanan keluarga memuncak menuntut rezeki tambahan jangan terkejut ada anak-anak yang mungkin condong untuk mencari rezeki melalui jalan pintas. Punah segala pendidikan yang ditarbiahkan selama puluhan tahun. Roboh iman dan kekuatan jatidirinya. Jalannya pincang tidak lurus lagi.
Rasanya ibu dan bapa kenalah menilai semula keadaan. Bakal ibu bapa hendaklah keluar dari status yang ada.
1        Ibu bapa menjadi ibu bapa yang cukup diri. Bantuan anak-anak mengikut kemampuan mereka. Tidak meminta melebihi kemampuan.
2        Lepaskan anak-anak untuk membina kekuatan ekonomi keluarga.
3        Biarkan anak-anak boleh hidup sendiri hasil berdikari mereka dahulu.
Saya masih belas melihat anak-anak Melayu yang ada di luar negara. Khususnya yang berada di Mesir kerana jumlah mereka agak besar. Ramai antaranya dibiayai dengan semangat keluarga yang ingin melihatnya anak-anak mereka hidup berbekalkan agama.  Payah hanya asam garam hidup. Manis yang belum tahu. Harapan tetap tinggi.  Semoga Allah meredhai usaha mereka.