Tuesday, June 9, 2020

Suatu Proses Yang Memproses




Dalam masa tiga bulan kita berada dalam situasi berbeza: Bebas ke PKP1 ke PKP2 ke PKPB ke PKPP ke ……Bebas? Sesungguhnya kita merancang dan Allah juga merancang tetapi perancangan Allah adalah jauh lebih baik. Lebih super. Kita melalui proses di atas tanpa terfikir pun bahawa hal serupa itu akan kita lalui. Kita telah pun melaluinya dengan berbagai impak yang berbeza. Apakah yang kita lihat melalui proses perubahan dalam kehidupan kita ini.

Kita telah berada dalam situasi bebas. Bebas apa? Bagaimana kita menterjemah kebebasan yang Allah anugerahkan kepada kita.  
1                     Bebas beramal ibadat.
2                     Bebas berekonomi.
3                     Bebas meakukan aktiviti bersosial.
4                     Bebas membangunkan sumber manusia.
5                     Bebas membangun pendidikan, sains, teknologi dan pembangunan lain.

Namun bagaimana kita melihat kebebasan melampau yang menjerluskan kita kepada berbagai kemungkaran. Tidak boleh dihalang. Tidak boleh disekat. Tidak boleh dikawal. Tidak boleh ditegur. Tidak boleh dinasihat. Seolah-olahnya sesama manusia tidak dapat berbuat apa-apa. Tiada upaya menyekatnya. Lalu Allah memperlihatkan kekuasaannya. Virus yang sangat halus mengubah segala-galanya.
1                     Tiada lagi kegilaan berhibur hingga dinihari.
2                     Terhenti tempat-tempat aktiviti kupu-kupu malam.
3                     Hilang lampu lup-lip-lap di pub, karaoke, disko atau kelab malam.
4                     Tiada pentas terbuka bercampur-baur dan terkinja-kinja dengan konsert gila-gila.
5                     Tiada kedai makan dibuka sepanjang malam.
6                     Tiada pasar terbuka, pasar malam malah tiada bazaar Ramadhan.
7                     Tiada lagi peleseran tidak menentu.
8                     Tiada rempit.

Zaman bebas ini seolah-olah hidup kita di dunia sebelum menghuni alam barzah. Bebas seolah-olah tidak akan mati. Seperti dunia ini tiada sudahnya. Seolah-olah kita akan menongkat langit dan dunia. Kita hilang kebebasan yang disalah tafsir. Hingga tersalah amal dan memberi akibat negatif.

Maka datanglah PKP. Bila datang PKP ramai yang mindanya terperangkap. Fizikalnya bebas tetapi mindanya terkurung dalam set yang tertutup. PKP pertama amat mengesankan.
1                     Tidak tahu hendak buat apa.
2                     Hilang keupayaan untuk berfikir.
3                     Hilang keupayaan memanfaatkan waktu.
4                     Hilang keupayaan memanfaatkan fasiliti yang sedia ada dalam rumah.
5                     Bosan menyerang. Bingung. Berputus asa.

Sebagaian besar warga banyak aktivitinya. Kembali kepada fitrah. Al-Quran dirujuk. Keluarga ditaut. Masa kualiti dibina bersama. Inilah masa bermain dengan cucu dan anak kecil.  Gurau senda yang  selama ini tiada kerana kesibukan mengharung dunia. PKP bukan kurungan kepada mereka. Bukan halangan untuk melepaskan kebebasan berfikir, kebebasan bermunajat, kebebasan untuk mendekati Allah. PKP kepada mereka jalan indah untuk dilalui secara aman tanpa hiruk pikuk dunia pekerjaan, dunia kerjaya, dunia mencari makan. Berada di rumah bersama keluarga tentunya menemui semula diri yang hilang. Jatidiri yang tinggal bebayang. Hargadiri yang kembali bernilai. Tergambar indah peranan ketua keluarga sebagai imam, sebagai general, sebagai pelindung keluarga. Peranan ibu yang lembut mengasuh. Yang indah mengibukan anak-anak. Anak-anak yang menemui semula ayah dan ibu mereka di rumah. Jika selalunya mereka melihat ayah dan ibu hanya bayang-bayang malam, PKP memperlihat ayah dan ibu mereka secara realiti dan hakiki.

Penulis melihat PKP pertama sebagai alam sakit. Mungkin bukan ketika sakaratulmaut sudah tiba. Tidak tahu hendak buat apa. Masa sudah suntuk. Apa lagi yang boleh dibuat. Itulah kebingungan yang melampau. Seolah-olah menanti nyawa berpisah dari badan. Alhamdulillah, PKP kedua membuka suatu ruang baru. Penyakit fizikal dirasa kebah. Penyakit spiritual memulih minda. Ramai yang menemui diri mereka yang hilang. Sudah mula melihat jalan-jalan yang berbagai untuk mengisi masa. Menjalani kehidupan seperti biasa tanpa kebebasan yang luar bebas. Bayangkan ada zon hijau yang umatnya baik-baik belaka. Ada zon kuning yang umatnya bimbang dengan berbagai gejala. Bimbang akan terkurung lebih lama. Sukar untuk pulih. Akan melalui trauma memanjang. Umpama kita dalam sakit tetapi antara semakin berat atau semakin kebah.

PKPB dilihat ada sedikit kelonggaran melintasi kawasan yang lebih luas. Apakah ini gambaran di alam barzah? Kita melintasi alam dunia untuk masuk ke alam barzah. Kita melintasi time zone yang berbeza. Alam yang berbeza. Satu di atas dan satu lagi di bawah. Dekat tetapi terpisah sangat jauh. Ia daerah lain yang Allah tentukan. Yang di atas tidak boleh tinggal di bawah. Yang di bawah tidak boleh kembali ke atas. Yang di atas tidak akan kekal di atas. Sampai masanya akan ke bawah juga. Tetapi yang di bawah kekal menanti alam yang satu lagi. Alam yang kekal selama-lamanya. Bergantung kepada amalnya. Ada yang kuburnya luas dan ada yang sempit. Allah yang tentukan.

Kita sampai ke PKPP. Allah memberi kita ruang untuk sampai ke satu tahap yang ada harapan. Mereka yang banyak amalnya Allah perlihatkan masa hadapannya. Nasibnya di akhirat. Itulah gambaran pemulihan. Kita bergerak ke arah pemulihan yang benar-benar bebas. Tiada penyakit. Tiada bahaya. Tiada apa-apa gejala yang menakutkan. Kita ingin berada pada situasi yang serba nikmat. Nikmat dan hanya nikmat semata-mata. PKPP adalah jalan yang perlu kita turuti ke arah kebebasan hakiki.  Melintasi negeri bak melintasi alam akhirat. Melintasi titian sirat. Akan ada SOP norma baru.

PKPP juga menampakkan kesukaran kita lari dari kebiasaan kebebasan yang dahulu. Ramai yang mencari hotel dan bukan masjid. Ramai yang mencari pantai dan bukan al-Kauthar. Ramai yang mencari makan di kedai dan restoran bukan makanan syurga yang nikmatnya tidak terkira. Ramai yang keluar dari daerahnya sendiri mencari daerah lain yang belum tentu lebih baik. Akhirnya akan ramai yang meninggalkan yang baik tetapi tidak menemui yang lebih baik secara hakiki. Maka akal budi kita perlu celik. Lubuk hati perlu dapat menerobos jauh melepasi norma-norma yang bukan hakiki.

Ya Allah, ampuni kami ya Allah. Terlalu banyak salah da n silap kami. Hanya Engkau yang dapat memberi kemaafan. Maafkanlah kami. Kami alpa untuk menjalankan perintahmu. Kami hilang umapa untuk menegakkan kebenaran. Untuk mencegah kemungkaran. Ampuni kami ya Allah. Amin ya Robbal ‘alamin.      

Sunday, April 19, 2020

HIKMAH DARI ALLAH




Setiap yang terjadi adalah kehendak Allah. Semua yang Allah cipta tiada yang sia-sia. Dalam surah Ali Imran 3:191 Allah berfirman, “Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia.” Setiap penciptaan Allah dapat kita lihat dari dua sisi. Pada satu sisi ianya hikmah dan mungkin musibah. Seperti Covid 19 yang sedang kita harungi sekarang. Wabak ini mungkin hikmah kerana terlalu banyak kebaikan darinya. Selama ini mungkin warga perubatan tidak begitu diberi nilai tinggi. Doktor sangat ramai jumlahnya di mana-mana. Jururawat adalah anggota perubatan yang dilihat biasa-biasa sahaja. Pembantu hospital pun sama juga. Nah sekarang mereka menjadi sangat diberi penghargaan. Nilai doktor, jururawat dan pembantu hospital naik melambung. Mereka yang sudah bersara sekalipun diberi pengiktirafan untuk menyumbang semula tenaga dan kepakaran mereka. Selepas ini doktor menjadi hot personnel di merata tempat di dunia. Melebihi selebriti yang selama ini disanjung-sanjung. Alhamdulillah doktor dan jururawat Malaysia akan sentiasa berada di persada dunia.

Yang pasti, kerjaya perubatan akan melonjak permintaannya. Pengiktirafan tinggi akan diberi kepada mereka. Jangan terkejut bahawa mereka bukan sahaja akan menerima berbagai ganjaran malah mereka sewajarnya menikmat tangga gaji yang lebih tinggi.  Kedudukan yang lebih tinggi. Status yang lebih di atas. Jika dahulu mereka dipandang dengan dua mata, sekarang orang memandang mereka dengan teropong dekat, bukan jauh. Doktor muda akan diintai-intai untuk dijadikan menantu. Jururawat apa kurangnya. Mereka yang ikhlas akan Allah balas dengan lebih baik. Lebih dari yang djangka dan dimimpikan. Lebih baik dari yang kelihatan secara fizikal. Semoga mereka semua dalam perlindungan Allah. Tugas dan pengorbanan masa, tenaga dan hati nurani mereka hanya Allah yang akan membalasnya.

Di luar sana, Covid19 merehatkan manusia dan kemungkarannya. Menghentikan sifat pemusnahnya.  Menurunkan lahap zalimnya. Menghalang manusia yang tamak halobanya sukar dibendung. Menebat hawa nafsu yang selama ini tidak mengerti batas. Alam berehat dari tangan-tangan ganas manusia. Lalu alam memperbaiki dirinya. Udara kembali bersih. Ozon kembali menebal. Kepanasan global mulai menurun. Kutub Utara dan Kutub Selatan kembali kepada fitrahnya. Menebal semula dengan ais. Sungai dan aliran air yang lain semakin bersih. Pepohon lebih mudah berfotosintesis. Haiwan lebih mudah membiak. Rerumput kurang yang memijak. Walaupun di bawah letaknya tidak ramai yang menginjaknya. Mereka yang di tingkat atas tentu lupa rasanya telapak kaki menjejak tanah. Tetapi percayalah bahawa bumi juga turut berehat.

Kita diciptakan Allah untuk memakmurkan alam. Memberi kebaikan. Menjana amal. Mendatangkan manfaat kepada semua makhluk. Malangnya kita kehilangan sentuhan kemanusiaan. Sentuhan kehambaan. Kita merasa besar. Merasa berkuasa. Merasakan semua di sekeliling adalah dalam genggaman kita. Bagaimana kita boleh lupa bahawa kita hanya menumpang di alam yang fana ini. Transit dalam perjalanan jauh menuju akhirat. Kita merasa penting tanpa meletakkan diri kita antara makhluk Allah yang lain yang mungkin lebih penting. Kita tidak menjadikan bumi ini sebagai hamparan kohabitasi kita dengan makhluk lain. Kita rasa kita raja. Kita rasa kita tuan. Pada hal kesemua yang Allah ciptakan di sekeliling kita adalah sistem sokongan untuk kita hidup selesa di sini. Tuan atau raja tiada maknanya apabila kemusnahan akan berlaku. Akibatnya menimpa semua kita. Manusia yang banyak lupa sifatnya merosakkannya satu demi satu. Kita rosakkan sistem sakongan kita.

Gunung dan bukit yang menjadi pasak bumi ditarah dan diratakan. Kita cemarkan udara. Kita cemarkan air. Kita cemarkan makanan. Kita cemarkan fizikal kita. Dari zahir hingga rohani, psikologi dan spiritual kita semuanya berada dalam tahap cemar. Kita hilang harapan untuk kekal aman dan tenteram. Aman dan sejahtera. Segala nikmat yang Allah sediakan untuk kita kesemuanya hendak kita musnahkan. Hanya untuk mendapat untung segera tetapi tidak panjang untuk anak dan cucu kita akan datang. Kita merosakkan habitat mereka. Kita musnahkan hamparan permaidani yang berupa bumi. Kemusnahan yang memusnahkan diri kita sendiri dan diri orang lain yang ada di sekeliling kita.

Hari ini kita berehat dari menjadi pemusnah. Bagi Allah mudah sahaja. Allah Yang Maha Mengetahui mengikat tingkah laku kita dari menzalimi diri kita sendiri. Allah kurung kita di rumah masing-masing. Gunung dan bukit menghijau semula. Air megalir jernih. Udara suci dari unsur cemar. Manusia Allah bersihkan dari berbuat noda. Kita hanya melakukan yang perlu sahaja. Yang wajib dan sunat dilebihkan untuk Allah yang selalu kita alpakan. Hari ini suara azan berkumandang di mana-mana. Malah di tempat yang selama inti dihalang. Yang selalu dicemuh tetapi sekarang ditunggu-tunggu iramanya.  Tiada lagi prasangka dan iri agama. Al-Quran diperdengarkan di telinga bukan Muslim. Malah di gereja dikumandangkan. Hari ini al-Quran ditadabbur setiap jam, setiap hari. Al-Quran dicari, dibeli dan diinfaqkan.

Allah melebihkan Islam.
Azan dilaungkan di mana-mana tanpa sekatan. Hilang kebencian.
Allah mengangkat al-Quran, wahyunya yang paling agung. Pembacanya dicari di mana-mana.
Allah kembalikan kesemua ciptaannya kepada fitrahnya.
Kita perlu betulkan persepsi kita mengenai alam sekitar kita. Bukan kita yang dominan tetapi hanya bahagian kecil yang wajar berkompromi. Subset dari set yang lebih besar saiznya. Jauh lebih besar.
Allah jadikan kita hamba dan bukan menghambakan makhluk yang lain.
Kekallah menjadi hamba yang mendengar dan taat dan sentiasa dalam pengampunan Allah.

Sisi kedua wabak Covid 19 ini dilihat sebagai musibah. Bagi yang beriman wabak ini adalah juga kasih sayang Allah kepada kita. Peringatan dariNya. Kita kembali kepadaNya. Allahlah segala-galanya yang kita cintai. Bahawa kita akan kembali kepadaNya.  Wabak ini hanya asbab untuk kita muasabah diri. Yang telah berlalu untuk kita banyak bertaubat. Yang sedang kita hadapai untuk kita perbaiki diri. Yang akan datang banyaklah berdoa untuk kembali kepadaNya dalam keadaan redho dan diredhai. Allahuakbar.  

Tuesday, March 31, 2020

Iktibar Di Sebalik Wabak




Seumur hidup kita inilah kali pertama menghadapi situasi yang tidak menentu. Bukan kita seorang tetapi semua orang di atas muka bumi ini. Dari utara hingga ke selatan. Dari timur ke barat. Dari raja kepada rakyat, dari pemimpin ke warganegara di bawah. Wabak covid 19 ini tidak pernah kita jangkakan. Mungkin sudah ada ramalan-ramalan mengenainya sebelum ini tetapi kita tidak maklum dan tidak dimaklumkan. Amaran-amaran itu pasti telah Allah wahyukan tetapi kita tidak mengkajinya dengan teliti. Cuma apabila ianya berlaku kita rasa tersentap kerana hal-hal yang selama ini kita ambi ringan (take for granted) benar-benar menukar rutin hidup kita. Sesungguhnya
amaran dan ingatan Allah itu benar tetapi kit ayang selalu alpa megenainya. Aoakah pemerhatian kita setakat ini?

1                     Penyakit ini datang dengan ketentuan dan izin Allah.
2                     Segala-galanya seperti terhenti. Nyawa kit amasih berdenyut. Masih ingin makan, bersantai, tidur dan melakukan kerja-kerja rumah yang tidak pernah berhenti. Yang hilang ialah banyak nikmat yag selama ini kita kecapi , hilang sekelip mata.
3                     Mereka yang sakit terasing dari segala-galanya seperti orang tersayang, anak dan pasangan, saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga.
4                     Mereka yang meninggal terputus hubungan langsung dengan sesiapapu kecuali petugas Kementerian Kesihatan Malaysia. Tidak boleh diziarahi, tidak diiringi ke tanah perkuburan, tidak dapat membantu menurunkan jenazah, tidak dapat menimbus tanah kubur. Sesmuanya dari jauh sahaja. Kesayuan yang tidak terhingga terasanya.
5                     Dalam tempoh sekatan pergerakan ini, ibu dan bapa tidak dapat bertemu anak dan cucu. Tidka dapat bertemu adik-beradik. Tidak bebas bertemu jiran tetangga. Tidak bertemu rakan sekariah.
6                     Masjid dan surau jadi sunyi kerana tidak boleh berjemaah kecuali imam, bilal dan seorang lagi jemaah atau makmum.
7                     Solat Jumaat ditangguhkan.
8                     Perniagaan tertunda
9                     Ramai tidak bekerja tetapi dijamin pendapatan. Ada yang tidak bekerja dan tidak mendapat pendapatan.
10                 Perjalanan tersekat-sekat dan tidak dapat menyeberangi sesuatu kawasan tanpa alaan yang menasabah.
11                 Banyak mesej media sosial yang wajar ditapis berkali-kali. Banyak palsu berbanding yang sahih.
12                 Orang yang beriman lebih tenang dalam menghadapi wabak dan bencana. Redho dengan ketentuan Allah. Berusaha menghadapinya dengan izin Allah.
13                 Hidup perlu diteruskan dalam keadaan sukar.
14                 Banyak bertaubat dan berzikir.
15                 Hubungi ibu dan bapa setiap masa. Jangan putuskan hubungan dan duduk mendiamkan diri sahaja. Sesekali telefon untuk didengar suaranya. Supaya tergambar wajahnya. Supay asentiasa terasa dekat. Anak mungkin tidak rindu kepada mereka tetapi mereka rindukan anak dan cucu.

Bila agaknya wabak ini akan reda? Kita kembali kepada keadaan asal. Menikmati semula anugerah Allah yang sangatlah terlalu banyaknya. Apa agaknya yang wajar kita lakukan apabila kesemua ini berakhir nanti?

1                     Kekal berhati-hati dan menjaga kebersihan. Bagi yang Islam kekalkan berwuduk dari masa ke semasa kerana dalam berwuduk kita membersihkan tangan dan muka.
2                     Kunjungi ibu dan bapa yang sudah tidak ditemuai beberapa minggu ini. Buat segera tanpa berlengah-lengah. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini.
3                     Bertemu saudara-mara terdekat.
4                     Bertanya khabar dengan semua orang.
5                     Kekal mengingati Allah, menyembahNya dan bersyukur dengan semua nikmat yang dianugerahkan kepada kita. Bersyukur dalam nikmat dan dalam musibah.

Cuba kita renung sebentar. Apakah semua ini yang dapat kita ambil pengajaran? Huru-hara. Perpisahan. Hidup sendiri-sendiri. Ada yang boleh hidup sendiri. Ada yang perlu ditolong. Ada yang tidak mendapat pertolongan. Adalah kita mengambil ingatan akan balasan Allah apabila tiba masanya nanti? Golongan kanan akan ke kanan dan ke syurga. Golongan kiri ke tempat lain. Nazubillahi min zalik. Kita sedang merasainya sekarang. Warganegara mendapat segala bentuan yang diperlukan dengan izin Allah. Bagaimana dengan bukan warganegara yang jumlahnya berjuta-juta ramainya? Mereka terperangkap antara mengejar ekonomi dan wabak. Selain daripada mengawasi pergerakan secara amnya, pergerakan bukan warganegara perlukan pengawasan yrng lebih teliti. Kita tidak tahu kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku dengan ketentuan Allah. Mereka kehilangan pendapatan dan mereka di luar skop bantuan kerajaan yang dikhususkan untuk warganegara sahaja. Sama-sama kit afikirkan.

Tuesday, January 7, 2020

Wanita: Anak, Isteri dan Ibu




Siapa wanita? Kita seperti tahu tetapi mungkin tidak mendalam untuk memahami seorang yang bernama wanita.

Semasa menjadi janin dia dalam rahim seorang ibu, ia seseorang yang sangat sangat lemah. Tali pusatnya bersambung dengan ibunya. Saluran ia bernyawa, bernafas dan makan serta minum. Namun rahim ibu itu lembut, nyaman dan membolehkannya hidup selama sembilan bulan tanpa gangguan. Ia bahagia di dalamnya. Di alam rahim ibu itulah Allah membentuknya dari setetes air mani, menjadi segumpal darah, lalu menjadi segumpal daging, Allah membentuk tulang belulang, urat dan otot, kulit , deria, akal dan perasaan. Dari cecair janin itu membentuk seorang manusia yang bakal Allah sempurnakan bentuk dan sifatnya. Jadilah seorang wanita sempurna.

Selepas sembilan bulan ia dilahirkan oleh seorang ibu dengan susah payah. Dengan sakit pedih. Dengan separuh nyawa. Dengan rasa sakit yang tidak terhingga. Lahirnya dengan tangis yang memecah kesunyian. Tangis yang tersangat kuat. Tetapi tangis itu sangat membahagiakan. Tangis yang ditunggau saatnya oleh seorang ibu. Tangis itu halwa telinga yang tiada tolok bandingnya. Tangis itu isyarat bahawa anak itu hidup dan bernyawa. Anak yang sangat wajar disambut ke dunia yang penuh pancaroba. Alam dunia yang fana tetapi perlu dihuni sebelum sampai ke syurga. Kampung halaman yang diidam-idamkan. Dunia yang penuh cabaran ini  adalah dunia yang penuh ujian. Ujian untuk diri anak-anak dan ujian untuk ibu yang setengah mati tadinya.

Jadilah anak yang ditatang. Dirawat sebaik-baiknya. Dijaga dengan selamatnya. Dibesarkan dengan kasih sayang. Dibesarkan dengan penuh harap akan menjadi anak yang menghargai. Yang memancarkan kasih sayang kepada ibu yang setengah mati melahirkan. Yang sembilan bulan dikandung di rahim ibu itu. Anak itu menjadi cahaya mata. Menjadi cahaya hidup seorang ibu. Setiap masa di dalam pengawasan. Makan dan minumnya, sakit dan peningnya, sandang pakainya, baca dan tulisnya, belajar dan pandainya. Anak itu diasuh dengan penuh kesejahteraan. Dengan penuh erti kehidupan yang bakal ditempuh pada masa hadapan.

Membesarlah anak itu sebagai anak. Berkerjaya, berumahtangga dan beranak pinak. Malangnya pengalaman di dalam rahim ibu tidak ada yang diingat. Tiada siapa yang mengingatkan anak itu. Pengalamannya berumahtangga, mengandung dan bersalin dengan susah payah juga tidak mengajarnya untuk menginsafi siapa ibunya. Siapa wanita yang mengandungkannya. Siapa wanita yang melahirkannya. Siapa yang mengasuhnya. Siapa yang merawatnya. Begitulah lumrahnya anak akan lupa siapa ibunya. Siapa asal usul ibunya. Siapa ibunya sewaktu kecilnya. Sewaktu kanak-kanaknya. Sewaktu remajanya. Sewaktu mula keluar mengejar kerjayanya. Sewaktu memulakan penghidupan bersama pasangan masing-masing.

Menjadi dewasa tentunya mengajar banyak perkara. Tetapi apabila perasaan dan fikiran telah apla maka fokus hanya untuk diri sendiri. Asal usul sudah dilupakan. Dari mana datangnya anak itu tiada dipeduli lagi. Refleksi diri hanya melihat yang negatif. Yang tidak indah. Yang mendendam dalam perasaan. Lupa dan lupa siapa ibunya. Siapa dia asal usulnya. Jika itu persepsi diri yang dibina maka musnah segala harapan masa lalu yang indah-indah. Harapan untuk melihat anak-anak merasa kasih sayang terhadap ibunya. Ibu yang mengandungkannya. Ibunya yang melahirkannya. Ibu yang merawatnya. Ibu yang menunjuk ajar untuk menjadi manusia berkeluarga dan bermasyarakat. Runtuhlah segala istana harapan yang dulunya indah. Runtuhlah rasa rindu ibu melihat anak-anaknya menjadi ahli keluarga terindah.

Segala-galanya memusnahkan harapan indah yang sudah dibina. Amat mengguris hati dan perasaan. Pedih dan pedih menusuk jiwa. Hati mana yang mampu dimamah kekecewaan. Senerio itulah yang lumrah di akhir zaman. Anak-anak hilang peranannya. Semakin ramai ibu dan bapa di rumah orang-orang tua. Kasih sayang sudah hilang. Yang dilahirkan ialah rasa tidak suka. Rasa tidak kasih. Rasa tidak sayang. Rasa tidak selesa. Rasa tidak puas hati. Anak yang dikasihi menjadi musuh yang menyakitkan. Menjadi lawan yang tiada faedahnya dilawan dan ditentang. Hilang selera untuk membina semula kasih sayang yang tidak hargai.

Di manakah seroang bapa apabila seorang ibu rasa menderita sebegitu. Dalam membina keluarga bapa seolah-olah seorang yang pasif. Tetapi percayalah kesemua yang berlalu dalam genggaman fikirnya. Kesemuanya dalam garapan pandangannya. Bapa itu merasa hiba kerana anak-anak itu adalah benihnya. Darah dagingnya. DNAnya ada pada anak-anak itu. Ibu yang terluka itu adalah isterinya. Wanita itu adalah ibu kepada anak-anaknya. Wanita yang telah bersusah payah bersamanya. Yang mengandungkan anak-anaknya. Yang melahirkan anak-anaknya. Yang beberapa kali seperti terputus nyawanya. Wanita yang memberi mawaddah. Yang memberikannya kebahagiaan berumahtangga. Wanita yang terluka itu membebani perasaannya.  

Apakah episod akhir zaman ini berulang-ulang sejarahnya. Sejarah kemanusiaan yang telah Allah tentukan. Ibu dan bapa itu redha dengan ketentuan. Bukan rezekinya lagi berharap kepada keturunan yang mungkin tidak lagi memberi harapan. Cuma hatinya bertanya. Derhakakah anak-anaknya. Apakah tercium nanti bau syurga yang berada di bawah tapak kaki ibunya masing-masing. Allahuakbar. Bagaimana hati mereka boleh memaafkan anak-anak mereka yang lupa diri.