Thursday, December 27, 2018

Maaflah Kami Melayu Dari Tanah Melayu




Benar, kami Melayu dari Tanah Melayu. Jika tidak mengapa negara ini asalnya bernama Tanah Melayu. Secara politiknya Persekutuan Tanah Melayu. Malaysia bukan Melayu mati seperti dalam orang. Malaysia adalah gabungan beberapa negara Melayu yang lebih luas. Siapakah penduduknya? Di sini adalah nusantara. Bumi Melayu yang mencakupi seluruh Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea, New Zealand, Brunei, Filipina, Sri Langka dan Madagaskar. Tetapi Melayu Sekarang berada juga di Afrika Selatan, di Netherland dan Dutch Surinam di Amerika Selatan. Yang namanya Melayu sudah berada di mana-mana. Sudah di utara dan sudah di selatan. Sudah di puncak tertinggi dan sudah ke angkasa.

Memang ironis kerana dahulu penduduk di nusantara ini menganut animisma dan Hindu. Apabila datang Islam ianya merubah lanskap ethnografik persekitarannya.  Tetapi untuk mengatakan orang lain berada di sini terlebih dahulu adalah mengelirukan. Memang banyak kuil ditemui tetapi ianya di persekitaran Melayu nusantara. Etniknya mungkin Jawa, Bugis, Minang, Mandailing, Dayak, Bajau dan sebagainya. Mereka dari ras Melayu. Orang Maori di New Zealand adalah dari keturunan Melayu. Anutan bukan bermakna bangsanya datang sekali dan menetap di sini. Orang luar berada di Melaka kerana faktor perdagangan dan kemudiannya faktor agama. Lebih banyak faktor ekonomi sebenarnya seperti bijih timah dan getah.    

Kajian-kajian menunjukkan yang dicari orang Barat sebagai Atlantis yang hilang dipercayai bumi Melayu yang tenggelam antara Indonesia dan Malaysia. Ruang lingkup dunia Melayu adalah hingga ke Okinawa di Jepun. Piramid tenggelam yang ditemui di laut Okinawa bertatahkan keris Melayu. Siapa lagi yang arif tentang keris jika bukan orang Melayu walau dari mana asal mereka. Mungkin dari Tanah Melayu atau dari Jawa atau Sumatera atau Maluku. Keris adalah sinonim dengan Melayu. Keris Taming Sari sekadar yang masyhur. Hingga sekarang keris masih ditempa. Masih dijual. Masih dijadikan perhiasan. Tidak lagi menjadi senjata ampuh berhadapan dengan musuh.

Melayu tidak pernah bersalah sangka kerana orang luar dibawa kemari.  Mereka yang dibawa dari India oleh British untuk menjadikan mereka hamba. Seolah-olahnya pula British meletakkan mereka supaya akhirnya mereka menikam Melayu dari depan dan belakang. Dari negara Cina dibawa kuli di lombong-lombong bijih di Perak dan Selangor. Akhirnya sama juga mereka menikam Melayu dari depan dan belakang.

Siapa Melayu?

1                     Hatinya lembut sehinggakan apa sahaja hendak diberikan kepada orang lain.
2                     Tanah yang ada diberikan.
3                     Sawah yang ada diberikan .
4                     Bandar yang ada diberikan.
5                     Lombong yang ada diberikan.
6                     Murah hatinya melampaui batas hingga anak cucu yang tinggal tidak diambilkira dalam    membuat keputusan.

Sekolah vernacular (sekolah Cina dan Tamil) dibangunkan kerana mereka yang datang ke sini ingin pulang kembali ke negara asal mereka. British tahu tetapi orang kita pula buat-buat tidak tahu. Apabila mereka pulang ke negara asal mereka, bekal pendidikan sudah ada pada diri mereka.  Pendidikan kepada mereka bukan untuk tinggal kekal dan menumpahkan taat setia di bumi ini. Sekarang segala-galanya sudah terlalu terlajak. Pendidikan yang mereka ada hendak diterapkan pula di sini. Jika tidak mengambil alih sekali pun segala-galanya, maka akan terwujud dual system yang akhirnya menyukarkan keadaan.

Ironis, kerana yang mengutarakan semangat merdeka adalah orang Melayu. Yang merdeka orang Melayu. Yang dimerdekakan adalah Tanah Melayu. Berapa ramai Melayu yang mati dibunuh British kerana dituduh derhaka. Berapa ramai Melayu yang dipenjara British kerana menjadi duri dalam daging kepada mereka. Kesemua ini seolah-olah bukan sejarah. Malaysia bukan terbentuk pada PRU14! Serivijaya sudah beribu tahun. Kedah Tua sudah beribu tahun. Majapahit beribu tahun. Melaka, Perlak dan Pasai gagah di nusantara ini. Orang Melayu bukan dating dari langit. Bukan dari hutan. Bukan dari negara lain. Mereka peribumi di sini. Di seluruh nusantara Melayu.

Barangkali kita tidak pandai memelihara sejarah. Dijajah berulang-ulang tetapi masih kurang belajar. Portugis, Belanda, British, Jepun dan British silih berganti memerangkap minda kita. Memerangkap aspirasi kita. Memerangkap zaman kita. Benar, kita sudah merdeka. Secara politik. Tetapi minda kita, perasaan kita, psikologi kita, moral kita dan jatidiri kita masih belum pulih. Belum melonjak sedar untuk bergerak ke hadapan dengan gegaran tinggi. Menjulang diri ke persada kejayaan bangsa. Diperkotak-katikkan dari dahulu hingga sekarang. Yang melakukan hanya mereka yang hanya sedikit. Yang majoriti seperti kita ramai yang tidak ambil pusing. Sesudah dipusing-pusingkan oleh orang lain, kita masih tidak mengetahui kedudukan perkara.

Dalam banyak perkara kita terus lemah. Di peringkat bawah terlalu sangat lemahnya. Itu pun yang pandai memakan yang miskin. Yang kuat memakan yang lemah. Yang di hadapan meninggalkan yang di belakang. Yang tinggi menginjak yang di bawah. Kita tiada aspirsi bangsa seperti bangsa Yahudi. Dihina, dikutuk dan dilaknat tetapi masih terus-terusan membina bangsa dan negaranya sendiri. Dalam diri kita mengalir darah kepahlawanan Dato Bahaman, darah Mat Kilau, darah Dato Maharaja Lela,  darah Abdul Rahman Limbung dan darah Dato Naning. Ke mana darah itu mengalir. Hanya  kita yang perlu mencari alirannya kembali. Kembali untuk membina kehebatan lama yang dijajah. Untuk dimerdekakan sebagai bangsa yang bermaruah.

Saturday, December 22, 2018

Antara Kubah Kuning dan Kubah Hitam




Realiti berada di al-Quds seperti membuka suatu lembaran sejarah yang terlindung. Jauh di belakang maklumat sebenar. Banyak yang disalah faham. Tanggapan menjadi berbeza. Persepsi hilang tanpa melihat sendiri dengan mata kasar dan mata hati. Kita sebenarnya banyak menggunakan kalimah Bahasa Arab tetapi maksud sebenar tidak terpakai seperti yang kita gunakan. Berada di lapangan al-Quds banyak yang perlu diorientasi semula. Benarlah kata Imam Syafie bahawa perjalanan yang jauh menemukan kita dengan bukti-bukti kebesaran Allah. Iklimnya berbeza. Begitu cuaca dan suhunya. Orangnya berbeza budaya. Makanannya berbeza. Tempat tinggal mereka berbeza. Kita bukan memcari perbezaan tetapi yang terbaik ialah memahami perbezaannya. Lalu kita harmonikan kesemunya supaya manusia yang Allah cipta berbangsa-bangsa ini dimengertikan dari asal yang sama iaitu Nabi Adam as dan pasagannya Hawa. Yang Allah bezakan ialah tahap taqwanya masing-masing.

Di Malaysia masjid dan jami’ difahami dan digunapakai sebagai masjid jami’. Dalam Bahasa mudahnya Masjid adalah Bahasa Arab. Jami’ juga Bahasa Arab. Kita gabungkan menjadi masjid jami’. Secara murninya masjid dan jami’ adalah dua kalimah yang berlainan maksud hakikinya. Masjid adalah kawasan lapang untuk solat berjamaah. Di negara-negara Islam keadaan ini berlaku di mana-mana. Solat Jumaat di Kawasan lapang. Begitu juga solat Aid al-Fitri dan Aid al-Adha. Jami’ pula kawasan berbangunan dan berbumbung tempat orang berlindung dan berkumpul untuk solat. Kepada orang Arab masjid di Malaysia kesemuanya adalah jami’ bukan masjid. Kerana itu disebut Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawiy dan Masjid al-Aqsa. Ketiga-tiganya Kawasan terbuka tanpa bumbung. Sebahagiannya sahaja berbumbung. Di sini penulis menemui kebenaran makna dua kalimah yang dianggap sama di tanah air.


Di hadapan jami’ berkubah hitam.

Masjid al-Aqsa adalah Kawasan tanah lapang seluas 14 hektar. Kawasannya berbukit dan di tengahnya terdapat busut kecil atau anak bukit. Orang zaman dahulu solat berkiblatkan batu atau busut tersebut. Sewaktu Rasulullah as solat sunat ketika sampai dari Masjid al-Haram (dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj) Rasulullah as mengimami 124,00 roh para anbia. Solat di Kawasan lapang pada waktu malam. Mungkin bercahayakan bulan dan bintang yang terang  tanpa mendung. Keadaan sudah berubah. Kawasan masjid ini sudah ditinggikan sebahagiannya dan diratakan bahagian datarannya. Datran yang lapang inilah yang menghimpunkan Jemaah tempatan dan pelancong yang bertali arus ke al-Quds.

Persekitaran Masjid al-Aqsa menghimpunkan penganut tiga agama samawi iaitu ajaran al-Quran, Taurah dan Injil. Yang Islam mereka sujud. Yang Yahudi meratap di tembok luarnya dan yang Kristian dengan programnya. Di dalam masjid adalah kawasan untuk orang Islam. Di sekeliling masjid ada bahagian untuk Yahudi dan dan bahagian Kristian dengan berbagai gerejanya. Yang mana yang dinamakan Masjid al-Aqsa yang selalu kita tonton pergolakannya. Mereka yang bukan Islam tidak boleh masuk ke kawasan masjid hatta ke kawasan lapang di dalam kawasan masjid. Apa pula kubah kuning dan kubah hitam. Ia salah faham yang besar sebenarnya. Penulis menyangka selama ini bahawa masjid al-Aqsa adalah jami’ yang berkubah hitam. Dalam media cetak dan eleltronik masjid al-Aqsa dikatakan yang berkubah kuning. Yang mana masjid al-Aqsa? Bukan kubah hitam dan bukan kubah kuning. Tentu kita keliru.


Bangunan berkubah kuning.

Bangunan berkubah kuning adalah sebuah bangunan yang menempatkan batu yang menjadi qiblat pertama umat Islam. Juga sebenarnya qiblat orang Yahudi. Bangunan berkubah kuning bukan masjid dan bukan jami’. Untuk solat sunat tiada masalah. Jami’ yang sebenarnya ialah bangunan yang berkubah hitam. Dilakukan solat fardhu berjemaah di dalamnya. Pada hari Jumaat, Aid al-Fitri dan Aid al-Adha jamaahnya melimpah ruah memenuhi seluruh kawasan Masjid al-Aqsa. Sama ada di dataran atau di kawasan lapang yang ada. Jika ada sekatan keselamatan mungkin jumlah jamaahnya berkurangannya. Kerana ada juga jamaah dari Malaysia yang tidak dibenarkan masuk. Yang kadang-kadang berlaku kekecohan penganut agama lain di dalamnya ialah di jami’ berkubah hitam. Kekecohan itu pula bukan setiap masa. Bukan berkala dan bukan selalu. Hanya pada ketika-ketika tertentu. Apabila keadaan seperti itu berlaku barulah tiada pelancong dibenarkan masuk sama ada oleh pihak berkuasa tempatan atau oleh pihak negara luar seperti negara kita. Pada waktu  yang lain keadaan di al-Quds aman seperti di tempat lain.


Bangunan berkubah  kuning memerlukan penelitian untuk memahaminya. Ia bukan jami’ dan bukan masjid tetapi terletak di tengah kawasan masjid al-Aqsa yang seluas 14 hektar. Sekali lagi dimaklumkan bahawa masjid al-Aqsa adalah seluruh kawasan lapang seluas 14 hektar. Bangunan berkubah hitam dan kuning berada di dalam kawasan 14 hektar. Maknanya sekarang ini di masjid al-Aqsa dibina jami’ yang berkubah hitam dan bangunan berkubah kuning. Bangunan berkubah kuning dibina oleh khalifah Marwan sementara bangunan yang berkubah hitam dibina oleh anak khalifah Marwan. Di tengah banguna berkubah kuning terletak busut atau batu tempat Rasulullah berpijak untuk memulakan mi’raj. Selepas peristiwa Isra’ dan Mi’raj ramai pengunjung yang mengambil batu bukit kecil tersebut kerana dianggap barakah bekas tapak kaki Rasulullah saw. Khalifah Marwan bimbang bahawa satu hari nanti batu itu akan habis diambil orang. Maka bangunan berkubah kuning dibina bagi tujuan melindungi dan menjaga batu tersebut.


Panorama Masjid al-Aqsa

Saturday, December 1, 2018

Inspirasi Perjalanan Ke al-Quds




Al-Quds, di situ letaknya sejarah para anbia. Tempat lahir, sejarah kehidupan, iktibar dan dakwah kepada manusia sejagat. Sekadar menyebut nama-nama mereka Nabi Ibrahim as, Nabi Isa as. Nabi Daud as, Nabi Sulaiman as, Nabi Zakaria as, Nabi Yahya as dan ramai lagi. Sinonim juga nama-nama Imran dan keluarganya serta Maryam. Satu-satunya nama wanita pilihan yang Allah rakamkan dalam al-Quran. Menjejak mereka merupakan sesuatu yang syahdu. Terasa sendu dalam qalbu. Ya Allah, alhamdulillah kau anugerahkan aku peluang dan ruang ini. Limpah kurniamu mengizinkan aku tiba di sini. Di tanah yang penuh dengan jejak insan pilihanmu. Berilah barakahmu dalam kembaraku ini. Kembara membara untuk menjadi lebih dekat lagi dengan sisimu.

Al-Quds yang biasa disinonimkan dengan al-Aqsa ini penuh sejarahnya. Menjejak kaki di sini merupakan tekad lama bagi mereka yang sudah menjejak kaki ke Masjid Al-Haram, Masjid Nabawiy dan kemudiannya Al-Aqsa. Ianya bukan nama masjid. Al-Aqsa bermakna jauh. Terlalu jauh bagi mereka yang tinggal di Makkah ketika itu. Tunggangan lazimnya dengan unta. Masanya perjalanannya kira-kira sebulan untuk sampai. Al-Aqsa sangat jauh bagi mereka. Hanya disebut Al-Aqsa. Jauh. Hingga sekarang tiada nama khusus untuk masjid al-Aqsa. Kita kekalkan Al-Aqsa itu dengan sejarahnya. Yang penting bukan namanya tetapi sejarah buminya kerana di situ jejak para anbia yang sangat ramai bilangannya. Sejarah paling agung apabila nabi terakhir, Muhammad Rasulullah saw menjejakkan kakinya di situ sebelum dibawa ke langit mengadap Allah. Menerima rukun Islam yang kedua iaitu solat fardhu lima waktu.

Bagi kita di Malaysia,selalu memikirkan bahawa al-Quds atau Jurusalem bukan tempat selamat. Bukan aman. Bukan tempat yang kondusif untuk diziarahi. Persepsi ini selalu kita bina tanpa hak. Kita selalu membina persepsi yang salah kerana kita dihidangkan banyak hal negatif melalui media arus perdana khususnya akhbar dan TV. Di seluruh dunia berita negatif menjadi lumrah. Ramai yang ngeri apabila ada program lawatan ke al-Quds. Sama juga orang takut ke Mesir kerana berita kekacauannya yang berlebihan. Realitinya bukan begitu.  Hakikatnya tidak seperti berita yang kita baca. Tidak seperti yang kita dengar dan lihat. Membina persepsi melalui media kadang-kadang banyak yang tidak benar. Menjejak al-Quds memberi peluang membetulkan persepsi yang penulis ada selama ini. Berada di sini bersama realiti yang hakiki.

Di luar tembok Masjid al-Aqsa keadaan santai dan tenang seperti tiada apa-apa.

Hidup seperti biasa seperti di tempat lain.

Perjalanan ke al-Quds perlukan perancanan yang panjang. Paling kurang enam bulan. Al-Quds dikuasai oleh Israel walaupun Palestin sebuah negara berdaulat. Kita ada hubungan diplomatik dengan Palestin. Duta Besar Malaysia ke Mesir lazimnya juga Duta Besar Malaysia ke Palestin. Tetapi kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Kita berdagang dengan mereka. Benar. Itu hubungan perdagangan. Tentunya dengan restu dan izin kerajaan. Maka untuk ke al-Quds perlukan urusan yang kompleks dengan izin Kementerian Luar Malaysia. Antara kriteria penting yang diambilkira ialah faktor keselamatan. Jika keselamatan tidak dapat dipastikan maka izin itu tidak akan diperolehi.

Sebenarnya setiap minggu ada sahaja rombongan dari Malaysia yang berada di al-Quds. Kumpulan besar dan kumpulan kecil. Bersama penulis seramai 34 orang. Datang dari berbagai tempat di Malaysia. Penulis bertemu dengan rombongan lain yang datang lebih awal. Tarikh kembali ke Malaysia mereka enam jam lebih awal. Mereka dijadualkan tiba di KLIA sebelah tengah hari sedangkan penulis dijadualkan tiba pada waktu Maghrib. Penulis bertemu juga rombongan dari negara Cina,Korea, Thailand dan Indonesia. Yang datang dari Eropah lebih ramai lagi. Al-Quds menjadi tumpuan penganut Islam, Yahudi dan Kristian.

Setiap hari kota al-Quds sentiasa ramai. Penduduknya 100% Islam. Mereka bercakap Arab tetapi fasih dalam beberapa Bahasa asing khususnya Bahasa Inggeris. Tradisi dan pelancongan serta ekonomi. Suatu pengalaman yang indah dan berimpak tinggi. Ia berkaitan dengan agama kita. Banyak yang Allah rakam di dalam al-Quran ada di sini. Berada di sini seperti kembali ke zaman itu. Suasana berbeza tetapi udaranya sama. Panaromanya masih sama. Bayangan masa lalu yang terimbas kembali. Lintasan masa yang Allah izinkan untuk kita kembali menginsafi perjalanan sejarah manusia dari dahulu hingga sekarang. Kita adalah penjejak masa itu. Pengembara masa.