Friday, September 28, 2018

Masa Yang Sukar Diatur


Kita bebas dengan rutin harian. Rutin yang diamal setiap hari tanpa henti. Kecualilah sakit atau uzur berpanjangan. Atau ketika berpergian jauh yang memakan masa panjang. Maka rutin seperti itu terputus alirannya. Hidup kita ini sesungguhnya dalam dua peranan besar. Peranan yang memerlukan kita banyak mengguna masa. Banyak merencana masa. Banyak membahagi masa. Banyak mengurus masa. Banyak masa diperlukan untuk melakukan yang banyak. Yang berkualiti banyaknya. Yang tinggi tahap garapannya. Yang tinggi tahap pencapaiannya. Kita mungkin bukan siapa-siapa. Bukan ada nama. Bukan tinggi duduknya. Bukan berada di atas. Tetapi apabila kita berada di luar kotak, kita risau bahawa warga kita yang berada di dalam kotak tidak tentu halatujunya. Tidak tentu rutinnya. Banyak masa terbuang tanpa manfaat untuk masa hadapan.

Setiap kita menanti kematian yang pasti datang tanpa lewat atau awal walau sesaat pun. Namun kematian itu tiada kepastian bila datangnya. Tiada manusia yang tahu waktu yang paling tepat. Hanya tanda-tandanya Allah perlihatkan kepada yang arif. Yang punya diri mungkin sedar. Orang di sekeliling sedar tetapi selalunya tidak ambil peduli. Dianggap sebagai kelainan dari kebiasaannya sahaja. Kerana itu, sementara menunggu kematian tiba, kita pergunakan masa yang ada. Masa yang berbaki sebenarnya. Masa yang tinggal sedikit nisbahnya dengan usia kehidupan kita. Bergelandangan begitu sahaja tiada apa yang dapat menambah nilai diri. Tiada limpahan kepada khalayak. Termenung hanya menambah sayu. Atau hilang fokus untuk bergerak ke hadapan mencari sesuatu yang tinggi nilainya di hadapan kita. 

Untuk ke hadapan kita perlu bergerak. Perlu berubah. Perlu anjakan paradigma. Mengharmonikan paradoks yang ada di sekeliling kita. Kita selalu stereotaip. Memandang sesuatu itu sama sahaja. Tidak melihat kelainan yang ada. Perbezaan yang ada. Sifat berlawanan yang ada. Maka kita berhadapan dengan segala yang sama. Apabila kedaaan seperti itu berlaku maka kita menjadi terlalu tepu. Kita jadi malas berfikir. Atau fikiran menjadi tertutup untuk berfikir jauh. Untuk tidak berubah. Untuk tidak tergerak hati untuk membuat anjakan apa-apa paradigma. Jasad kita mati. Hati kita mati. Pemikiran kita mati. Kita seperti ornag mati yang diurus oleh mereka yang hidup. Dimandikan. Dikafan. Disolatkan. Dan dan akhirnya kita disemadikan dalam kedaifan diri kita yang menjadi jumud dan tepu.

Kita menjadi hamba yang malang. Urusan Allah sekadar ada. Malah ramai yang main-main. Urusan manusia sekadar ada. Kita menjadi malas untuk memperbaiki diri. Menambah nilai diri. Meneroka bidang baru. Memperbaiki status dan kedudukan diri. Tidak menelusuri bidang dan skop luar yang banyak, rencam dan pelbagai. Jika kita hanya melihat dengan mata kasar yang terlalu lurus maka yang kita lihat hanya luaran yang kosong, lompong, datar dan rata, berbeza terang dan gelapnya sahaja. Mungkin kita hanya melihat besar dan tinggi sahaja. Di luar kotak di sekeliling kita terlalu banyak yang kita belum tahu. Yang perlu kita ketahui, yang perlu kita kuasi. Soalnya yang selalu berlegar dalam minda kita ialah “Mana ada masa untuk semua itu?” Terlalu naif yang ada dalam benak kita. Sewajarnya kita mencari waktu yang sesuai. Membahagi masa yang ada. Merancang waktu supaya manfaatnya berganda-ganda.

Apa yang ada pada diri kita sangatlah terlalu sedikit. Tiada nilainya dari segi ilmu yang sangat banyak. Bertahan dengan yang sedikit itu mematikan kita. Dunia di sekeliling kita berubah dengan sangat pantas. Terlalu volatile. Apa yang hendak kita lakukan pada hari esok, sudah kita rancang hasilnya pada hari ini. Kita tahu:
Semalam adalah sejarah.
Hari ini adalah realiti.
Esok adalah mistri.

Namun begitu dari rutin hidup kita, kita boleh membuat jangkaan dengan izin Allah. Kita yang perlu fikirkan. Mohon bantuan Allah. Berdoa untuk mendapat ilham dan fikiran untuk hari esok. Untuk masa hadapan. Berbuatlah seberapa banyak yang boleh. Seberapa banyak yang boleh dicapai. Rancangkan seberapa banyak hasil yang ingin dinatijahkan. Yang kita fikirkan ialah apa yang mampu kita sumbangkan kepada khalayak. Manfaat kepada khalayak. Impak besar yang dapat disumbangkan. Ingat KBAT? Kemahiran berfikir aras tinggi perlu digarap. Latih diri kita untuk berfikiran tinggi. Berfikiran besar. Berfikir di luar kotak yang biasa-biasa. Kita keluar dari kepompong zon selesa yang selalu kita jaga. Yang terlalu selalu kita pertahankan. Pada usia yang semakin menganjak jauh, kita perlu merubah cara berfikir. Cara bertindak. Cara melihat semua yang ada di sekeliling kita.

Allah jadikan Nabi Adam a.s. sebagai khalifah. Kita sebagai keturunannya adalah khalifah. Kita pemimpin sama ada kita suka atau tidak. Ada orang yang perlu kita pimpin sama ada kita suka atau tidak. Kerana itu kita wajar belajar memimpin. Untuk memimpin kita perlukan ilmu dan kemahiran. Perlukan pengalaman. Kerana itu juga kita perlu banyak belajar. Banyak melihat. Banyak menggarap pengalaman orang lain. Mencontohi orang lain. Kita tidak boleh menjadi penonton selama-lamanya. Perlu ada hadnya untuk sekadar menonton semata-mata. Apa yang orang kain buat, kita bantu. Kita tolong. Kita buat sama. Jangan hanya melihat tanpa erti. Memandang tanpa ada apa-apa makna. Sekadar melihat dan melihat. Dalam perang Khandak, Rasulullah saw besama-sama sahabat menggali parit. Bukan melihat. Bukan memerintah. Bukan mengarah. Bukan untuk memarah atau membuat teguran dan teguran. Itulah suri teladan yang ditunjukan oleh Rasulullah saw kepada ummatnya. Kita belajar menjadi pemimpin yang melakukan kerja. Bukan yang boleh mengarah sahaja. Atau yang tahu mencari salah orang lain.

Untuk melakukan yang terbaik kita perlukan masa. Masa itu emas. Sangat berharga. Demi masa maunsia selalu dalam kerugian. Kecuali mereka yang berpesan-pesan dan nasihat-menasihati yang hak dengan sabar.  Untuk merancang aktiviti kita perlukan masa. Untuk turut serta dalam aktivit orang lain, kita perlukan masa. Hubaya-hubaya, masa yang kita ada hanya dua sahaja:

1                     Pada hari kerja. Bagi orang Johor dari hari Ahad hingga hari Khamis. Bagi negeri yang lain dari hari Isnin hingga hari Jumaat.
2                     Pada hujung minggu. Hari Jumaat dan Sabtu atau pada hari Sabtu dan Ahad.

Penulis risau menjawab kedua-dua masa ini. Apabila program dibuat pada hari kerja, maka sungutannya ialah tidak boleh turut sama kerna mengurus anak sekolah. Menghantar dan mengambilnya. Jika pada hujung minggu, tidak boleh hadir juga kerana memenuhi undangan walimatul urus saudara mara dan sahabat handai. Mereka yang berada dalam dua keadaan ini terperangkap dalam urusan masa. Maka yang paling senang bagi mereka ialah tidak perlu hadir.

1                     Maka mereka kehilangan peluang untuk hadir.
2                     Untuk menimba ilmu.
3                     Untuk mendapat kemahiran.
4                     Untuk meningkatkan diri.
5                     Untuk memperbaiki diri.
6                     Untuk menambah nilai diri.
7                     Untuk maju ke hadapan.
8                     Untuk lebih banyak membantu orang lain.
9                     Untuk bertukar pandangan dengan orang lain. Dengan kelompok lain. Dengan kepakaran lain.
10                 Untuk belajar berhujjah.
11                 Untuk belajar menghilang rasa gemuruh apabila bersama orang lain.
12                 Untuk menyampaikan pandangan.
13                 Untuk bertanya dan ditanya.

Banyak lagi yang akan kita kuasai apabila kita menuntut ilmu. Berada dalam majlis ilmu. Berada dalam raudatul jannah. Begitu indahnya analogi majlis ilmu. Bak taman-taman syurga. Mereka yang banyak ilmunya bukan menjadi lalang. Mereka menjadi tangkai padi yang semakin menunduk kerana beratnya ilmu yang ada dalam diri mereka. Apabila diperlukan ilmu itu akan bangkit dari diri. Keluar dengan mudah. Dapat membantu orang lain dengan mudah. Oleh itu urus masa. Cari jalan untuk urus kehidupan diri dan keluarga. Pada hari kerja cari alternatif untuk urus anak sekolah. Pada hujung minggu urus juga masa. Kursus pada waktu pagi. Pergi jemputan pada waktu sebelah petang. Ambil masa untuk belajar. Cari masa untuk belajar. Urus masa untuk belajar. Banyak alasan merugikan. Rugi yang merugikan. Tidak mencari jalan terbaik untuk diri juga sangat-sangat merugikan. Rugi dan merugikan.  

Thursday, September 27, 2018

Nikmat Itu Saksama




Episod dalam hidup kita beralih dan berubah mengikut masa dan situasi. Dari satu episod ke satu episod yang lain. Meninggi dan menegak atau sekadar mendatar? Izin Allah yang menentukannya. Kita perlu pula banyak usaha. Siapa kita bukan penentu. Allah yang menentukannya. Agi idup agi ngelaban. Itu kata-kata rangsangan dari Kanang. Hero dari Borneo. Bagaimana kita membina legacy adalah pilihan kita sendiri. Tentunya juga dengan izin Allah. Dalam setiap aspek hidup kita Allah yang menentukannya. Kita makhluk, Allah Khalik. Tugas kita menjadi hamba tetapi pada masa yang sama tanggungjawab kita amat besar. Kita juga kahalifah. Pemimpin yang memimpin. Bukan hanya melihat. Bukan meniru-niru. Bukan memandang dari jauh. Bukan dengan sifat iri atau cemburu. Bukan berada di luar gelanggang, menonton dan menonton. Usaha yang banyak bukan kesemuanya menandakan kejayaan. Tugas kita melaksanakannya. Kejayaan adalah milik Allah. Dia yang menentukan segala-galanya.

SOP (Sandard Operation Procedure) kehidupan kita bermula dengan susah atau bersusah-susah. Tidak ada yang senang. Rawatan adalah penting. Olahan adalah penting. Ketelitian adalah penting. Perlu ada sifat futuristik. Memandang jauh ke hadapan. Melepasi bulan dan bintang. Melaksanakan sesuatu usaha bukan ke langit atau ke laut. Ianya berjejak di bumi nyata. Ramai yang takut dengan berbagai entah apa-apa.

Apa kata orang nanti.
Tidak pernah dibuat orang.
Boleh ke?
Mana ada duit?
Ada ke yang berminat?

Senarai keraguan ini panjang dan panjang. Mengalirkan peluh mengingat dan memikirkannya. Apa sebenarnya yang terbaik untuk diri kita?

1                     Kesungguhan
2                     Semangat ingin jaya
3                     Mohon bantuan Allah
4                     Kerana Allah

Benar kata orang yang berpengalaman. Tugas kita adalah berbuat yang terbaik. Yang positif. Yang kita yakini akan dibantu Allah. Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menjayakan perancangan kita. Kita hanya wajar mengajak mereka. Menyeru mereka. Sesungguhnya orang-orang di sekeliling kita sangat sedikit yang sama aspirasi dengan kita. Yang sama semangatnya dengan kita. Yang menyokong secara moral dan material. Yang paling penting ialah kita yang kena cekal. Yang penuh gigih menyelesaikan apa sahaja halangan dan masalah yang mendatang dan menghalang. In sya Allah pertolonganNya akan datang tanpa kita sangka-sangka. Sebenarnya tidak perlu ada sebarang keraguan pada diri dan pemikiran kita. Allah sentiasa bersama kita.

Apalah usaha yang sedikit sebenarnya. Terlalu sedikit untuk diingat. Melaksanakan apa yang dirancang itu lebih utama. Mencantikkan pelaksanaannya lebih penting. Maksudnya buatlah yang terbaik. Yang tercanggih. Yang mencari redha Allah. Banyak bercakap perlu dielakkan. Perlu dibuang dari sifat yang ada pada diri kita. Orang lain lebih suka orang yang pendiam tetapi dalam diamnya banyak menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain. Allahu jangan sekali mementingkan diri. Diri kita tiada pentingnya. Apalah hal dunia yang sedikit. Matlamat kita jauh selepas mati. Hidup adalah perjuangan yang tidak pernah habisnya. Terus berjuang, maju ke hadapan. Beri manfaat kepada orang lain. Ketepikan kepentingan diri. Usah sekali-kali fikirkan diri kita sangat yang tidak penting. Memang tidak penting pun berbanding orang lain.

Tiada yang lebih manis selain dari melihat orang lain bahagia. Mereka gembira. Mereka senyum dan tawa. Kita bukan lucu. Kita bukan melawak. Kita bukan badut. Kita tidak perlu senyum. Tidak mengapa banyak menangis. Melihat sahabat dan orang lain bahagia sangat membahagiakan. Kebahagiaan itu pastinya kembali Allah anugerahkan kepada kita. Itupun bukan pentingnya sangat. Laksanakan yang terbaik memadai untuk melihat orang  mendapat manfaatnya. Lebih ramai lebih baik tentunya. Pesan seorang sahabat, buat sahaja apa yang kita fikir ianya baik. Jangan terbanyak fikirkan kekangannya. Selesaikan satu persatu apabila ianya datang.

Banyak lagi tugas menanti. Untuk dilaksanakan. Untuk dijayakan. Untuk dimanfaatkan kepada orang. Kita perlu jadi pokok yang berbuah lebat. Jadilah kebun atau ladang yang melimpah hasilnya. Perlu jadi payung yang melindungi dari susah dan mengawal senang yang datangnya sesekali. Membri lebih enak dari menerima. Memberi selalunya tanpa apa-apa syarat. Menerima pula takut termakan budi. Oleh itu banyaklah memberi. Tiada apa yang dibimbangi walau banyak manapun memberi. Jangan berhenti walau pun berbuat salah yang mencari yang terbaik. Pastinya semua yang berlalu kekal dirindui.