Tuesday, December 20, 2016

Dunia Ini Hilang Jujurnya



Dalam hukum agama terlalu kerap kita diperingatkan supaya mengamalkan kejujuran dalam semua perkara. Apabila kita jujur implikasinya tentulah mengelakkan dari:

1                     Berbohong dalam banyak hal.
2                     Mengabui mata orang lain.
3                     Mencipta fakta palsu.
4                     Retorik mengenai hal yang dipaksakan sedangkan selamanya adalah diketahui palsu.
5                     Kata-kata tanpa sokongan fakta.
6                     Banyak merepek.
7                     Kuat melatah.
8                     Kata-kata bak lelucon belaka.
9                     Menjadi pelawak tak rasmi. Ditertawakan orang sekeliling. Badut sarkas.
Kesemuanya ini bukan khayalan semata-mata. Ianya realiti kehidupan kita sekarang. Sukar menemui yang sebenar-benarnya jujur, ikhlas, benar dan bersama yang haq. Kebatilan ada di mana-mana. Kebejatan bersepah-sepah. Kecelaruan melanda dalam masyarakat apabila hukum-hakam dipinggirkan. Apabila yang haq dikesampingkan. Apabila yang benar dianggap biasa-biasa sahaja. Hidup ini sebenarnya penuh dengan nikmat yang berganda-ganda. Malangnya banyak nikmat pula dinafikan kepada yang haq. Individu-individu antara kita tidak mendapat pembelaan yang wajar. Yang mampu antara kita tidak pula mengambil inisiatif untuk memberikan yang terbaik. Selfishness banyak menguasai diri sehingga batas-batas antara putih dan hitam terlihat kelabu kesemuanya. Masing-masing menjadi teraba-raba. Dalam hal akhir zaman ini yang dirujuk lazimnya bukan pakar. Bukan ahlinya. Tetapi yang dirujuk adalah mereka yang popular atau untuk mendapatkan jawapan popular. Bukan jawapan yang benar dan haq.

Kehidupan kita terpisah antara mereka yang di aras atas dan mereka yang di aras bawah. Yang di atas memiliki:

1                     Kuasa.
2                     Kuat dari segi berfikir.
3                     Kewibawaan
4                     Kekuatan ekonomi.
5                     Berpandukan dasar dan disiplin kehidupan.
6                     Kewarasan akal budi.

Yang di bawah pula:

1                     Daif dari segi kekuatan berfikir.
2                     Daif ekonomi hingga melemahkan usaha untuk merubah kehidupan ke arah yang lebih positif.
3                     Banyak meniru.
4                     Banyak menerima pendapat orang lain yang dianggap berwibawawalaupun tidak benar.
5                     Enggan mencari kebenaran.
6                     Kekal ingin menjadi pengikut selama-lamanya.
7                     Kekal berpegang kepada sesuatu yang dianggap benar walaupun dibuktikan oleh orang lain sebagai dakwaan palsu.
8                     Percaya kepada mereka yang fasiq.
9                     Yang kerap berbohong masih dipercayai.

Pertembungan antara dua pola pemikiran dan kumpulan ini menjadikan mereka yang di aras atas ada yang terlupa daratan. Lalu mereka:

1                     Berkemungkinan mengambil kesempatan.
2                     Melakukan penindasan pemikiran atau dakyah palsu.
3                     Menguasai ekonomi tanpa memikirkan mereka yang berada di aras bawah.
4                     Menyanggah hukum-hakam untuk kepentingan diri.
5                     Yang benar dan yang haq dikelirukan sehingga yang salah dilihat biasa-biasa sahaja.

Ketika ini apabila kita melihat di sekeliling kita seolah-olah kita tidak lagi pasti siapa yang jujur dan siapa yang tidak. Mereka yang jujur selalu dipertikai kejujurannya. Mereka yang hilang jujur ramai yang dipercayai. Kekadang kita mengetahui hukum yang dilanggar tetapi kita diminta berkelit mengenai hukum itu. Kita mengetahui bahawa rasuah itu haram. Haram seharamnya. Tetapi mereka berkelit bahawasanya itu bukan rasuah. Diberi nama lain yang berbagai:

1                     Hadiah.
2                     Pemberian ikhlas.
3                     Tidak salah asalkan niatnya betul.
4                     Pemberian itu wajar diterima.
5                     Imbuhan kerana membantu.

Apapun alasannya kesemuanya adalah haram kerana menerima sesuatu yang bukan haq. Rasuah itu kerana berkait dengan kedudukan individu yang menerima. Ada kepentingan jawatan, kedudukan atau kepentingan lain.

Untuk kesekian kalinya ada yang mencadangkan supaya yang memberi dihukum dan yang menerima dilepaskan. Mudah sangat alasan tidak munasabahnya. Jika tiada yang memberi tentulah tiada yang menerimanya. Hukum agama bukan atas alasan dan hujjah palsu. Yang memberi dan yang menerima dikatagorikan haram belaka. Kita lupa bahawa di kanan dan kiri kita kekal bersama Rokib dan ‘Atid. Allah Maha Melihat. Allah Maha Mengetahui. Ingatlah bahawa hanya kepada Allah tempat kembali. Tiada syak wasangka lagi. Hanya kepadaNya tempat kita kembali. Kita pasti akan menghadapi pengadilan yang seadil-adilnya.  Ketika itu tiada lagi hujjah palsu kerana kesemuanya telah terbukti benar. Mulut dan lisan tiada gunanya. Allah Maha Mengetahui. Saksinya malaikat yang tidak pernah ingkar. Tidak pernah berdusta. Tidak pernah diragukan.

Begitulah dalam kehidupan yang berbagai ini. Rakan kongsi tidak lagi boleh dipercayai. Perlu dikawal dengan undang-undang. Dengan akta dan enakmen. Kita sudah kehilangan seri dalam mencari kejujuran. Sebarang kejujuran berkait dengan agama. Berkait dengan Allah dan RasulNya. Jika kita mengabaikan larangan berlaku tidak jujur, kepada siapa lagi kita perlu jujur? Hidup di akhir zaman semakin sukar. Kita tidak tahu lagi yang mana kanan dan yang mana kiri. Masing-masing antara kita sudah menjadi enau yang melepaskan pucuk masing-masing.


Tahniah kepada mereka yang pada dirinya masih utuh dengan sikap dan sifat jujur, membantu, menjana kebaikan dan melimpahkan kebaikan dirinya seperti yang dituntut agama. Semoga bilangan mereka semakin ramai dan menyerlah di sekeliling kita. 

Thursday, December 15, 2016

Apakah Longkang Itu Milik Kita?



Ganjil bunyinya. Apa pula cerita longkang pada kali ini. Penulis ingin hubungkaitkan longkang dengan kegemaran kita makan di luar rumah. Kita gemar makan. Apatah lagi makan di luar. Banyak kedai makan atau restoran dalam senarai kita. Pernahkah kita sama-sama berhenti sejenak untuk melihatnya pada waktu siang. Di mana sebenarnya kedai atau gerai kita makan pada malam hari. Bagaimana sebenarnya persekitaran kedai itu. kondusif atau tidak. Bersih atau tidak. Pada waktu malam kita terpana dengan pelanggan yang ramai, lampu neon berkelap-kelip, aroma yang menangkap hidung dan selera, hidangan berwajah indah. Kita hanya perasan sedikit bau yang berbaur dengan aroma masakan. Kita hanya terkilas pandang kotor dan sampah di sekeliling. Tetapi kita tidak pun melihat sama ada tempat kita makan itu berstatus A atau lebih rendah.  Ada jaminan kebersihan dari pihak yang berwajib. Maksudnya ada juga jaminan kesihatan.

Di mana keperihatinan kita sebenarnya dalam hal ini? Di mulut atau pada akal budi? Cuba kita pandang keliling.

1                     Gerai orang kita bersepah di tepi jalan. Bersepah dari sedi kedudukannya. Dari segi rupa bentuknya. Bersepah dari segi susunaturnya. Ersepah kekemasannya.
2                     Kedai makan orang kita tidak strategik kebanyakannya. Kedudukannya menyulitkan. Sukar untuk parkir. Sukar untuk sampai ke tempatnya.
3                     Makanan yang disediakan terlalu stereotaip. Sama sahaja setiap hari dan masa. Garai lain itu juga makanannya. Rupa masakannya sahaja yang kelihatan berlainan.
4                     Layanan pula ala kadar. Setengah pembantu kedai tidak pandai menambat hati pelanggan. Masam, kasar, lambat, salah tulis, salah dengar dan berbagai karenah lagi.
5                     Tuan kedai pula tidak perihatin dengan kehadiran pelanggan. Yang penting bukan wang sahaja. Keperihatinan tuan kedai terhadap kehadiran pelanggan sangat kritikal. Sangat penting. Dilayan segera. Ambil pesanan dengan tepat.
6                     Standard makanan hendaklah dikawal rapi supaya kekal kualitinya setiap masa. Variasinya sangat sedikit. Masinnya tidak terlalu berbeza. Manisnya tidak terlalu berbeza. Masamnya tidak terlalu berbeza.

Penulis rasa terpanggil untuk berterus terang. Mengapa medan selera makanan Melayu/Islam terletak di tempat yang tidak dijaga kebersihannya. Tidak teratur keadaannya. Banyak gerai tutup dari yang beroperasi. Sampah banyak merata-rata. Paling merisaukan ialah:

1                     Longkang di sekeliling medan selera tidak dibersihkan.
2                     Airnya tidak dialirkan.
3                     Sampah yang terperangkap tidak dibuang.
4                     Sampah di tong sampah melimpah dan membuak. Bertabur apabila diselongkar anjing dan kucing.
5                     Malangnya terdapat gerai makanan yang terletak benar-benar bersebelahan tempat membuang sampah. Tempat sampah berlonggok. Tempat paling banyak semut dan lalat. Langau sudah tidak dapat dikira banyaknya.  Itu belum lipas dan tikus mondok.

Implikasinya terlalu banyak:

1                     Bau busuk mengganggu minat pelanggan untuk datang menikmati apa-apa hidangan di kawasan itu.
2                     Pelanggan yang sedang makan juga sangat terganggu dengan bau busuk yang kadang-kadang terlalu menusuk hidung.
3                     Mungkin mengakibatkan mudarat kesihatan.

Apakah orang kita terlalu kelaparan sehingga tidak memikirkan semua itu?
Apakah orang kita tidak mengenal bersih dan kotor?
Apakah orang kita terlalu daif berfikir sehingga tidak dapat membezakan antara faktor yang menyumbang kepada kesihatan dengan penyebab-penyebab penyakit?
                                                                                                                                                       
Ianya menjadi lebih menarik apabila kita berbicara tentang pihak yang berwajib. Penulis ingin berkongsi pengalaman tinggal di Ipoh dan sekarang sesekali ke Ipoh. Ada beberapa perkara yang boleh dicontohi oleh Pihak Berkuasa Tempatan lain.

1                     Tiada gerai terdapat di tepi jalan di sekitar Bandaraya Ipoh.
2                     Medan selera di wujudkan di banyak tempat yang strategik. Di tengah bandar, di stadium dan tempat-tempat lain.
3                     Kedai dibenarkan tetapi gerai tidak. Di pinggir bandar dibenarkan. Selagi masih dalam kawasan Bandaraya sebarang gerai tidak dibenarkan.

Apa yang kita lihat ialah:

1                     Tiada kenderaan diparkir di sepanjang jalan sehingga mengakibatkan kesesakan, kemalangan, kegusaran dan sebagainya.
2                     Tiada sampah bersepah-sepah kerana dibuang merata-rata atau kerana ditiup angin.
3                     Lalat, langau, semut, lipas dan tikus dapat dikawal atau dibasmi.
4                     Kebersihan kedai dan persekitarannya dijaga rapi.

Dalam hal ini biarlah penulis berkongsi kembali proses dan penguruan sampah di Bandaraya Amman, negara Jordan.

1                     Pada musim sejuk sampah memang bersepah-sepah. Seolah-olahnya tiada siapa yang peduli.
2                     Angin dan hujan memburukkan lagi keadaan. Sepahnya merata-rata.

Tetapi pada musim panas keadaan berubah 360:

1                     Tong sampah diganti baru. Banyak dan berhampiran satu sama lain. Pada satu-satu tempat terdapat hingga tiga tong sampah.
2                     Sampah dipungut bukan secara harian. Sebaliknya dipungut mengikut jadual jam.
3                     Dalam sehari sampah dipungut beberapa kali.

Kadang-kadang orang Arab bukan contoh terbaik. Tetapi dalam kes di Amman, Jordan ini ia boleh dijadikan contoh teladan. Paling khusus ialah kawasan yang menempatkan gerai-gerai makanan. Lebih-lebih lagi makanan basah. Bahannya basah. Sampahnya perlu dikutip segera sebelum mengeluarkan bau.

Kita tidak bercakap untuk mencontohi pengendalian makanan di negara maju seperti Jepun, US, Canada atau negara maju yang lain. Cukuplah kita merubah rupa bangsa kita. Rupa kerja kita. Rupa kita bekerja. Orang Melayu sarat dengan disiplin kebersihannya yang tersendiri. Di kampung umpamanya, rumah orang Melayu selalu bersih. Halaman rumah mereka bersapu. Tetapi kenapa apabila berniaga sifat bersih itu hilang. Tidak perihatin dengan kebersihan. Keadaan bertambah celaru apabila pelanggan pula tidak kisah dengan kotor dan sepah. Pihak yang berwajib pula tidak juga mempunyai dasar yang standardnya tinggi. Akhirnya kita terperangkap dalam kotor dan sampah. Sukar untuk keluar dari adat-beradat yang nisbahnya negatif, kotor dan menjijikkan.

Adakah kita juga hilang sensitiviti. Tidak rimas dengan yang kotor, berbau busuk, menjijikkan. Longkang yang tidak tega dilihat bukan sahaja mencucuk mata, ianya malah sangat mengganggu kewarasan mereka yang yang mahu berfikir. Akhirnya kita semua berada dalam sangkar kekotoran buatan kita sendiri. Maka kita semua tepalit dengan sikap kotor. Dengan perangai kotor. Dengan budaya kotor. Hal ini terlalu merebak:

1                     Parit kita kotor.
2                     Saliran air kita kotor.
3                     Sungai kita kotor.
4                     Gerai makanan orang kita banyak yang tidak kemas. Susunan barang-barang dalam kedai tidak rapi. Tidak bersih dari debu dan kotoran lain. Banyak sawang.
5                     Paling tidak enak kesemuanya itu dilihat di hadapan mata. Dipandang tanpa hijab.

Akhirnya cuba kita bertanya sesama kita:
Apa yang kotor?
Siapa yang kotor?
Perlukah ada pihak yang memperingatkan kita supaya sama-sama menjaga persekitaran?

Baik kita fikir bersama-sama. Fikir lama-lama. Fikir dalam-dalam. Fikir sambil melihat sekeliling kita. Mulakan dari rumah. Kemudian terjemahkan dalam kehidupan. Jadi amalan hidup supaya hidup dan menghidupkan amalan itu. 

Monday, December 12, 2016

Whatsapp Whatsup



Semasa penulis berada di USA pada tahun-tahun 1985-86 biasa didengar ungkapan what’s up. Yang bermakna ‘How do you do’? Apa khabar. Sekarang kita dibiasakan dengan whatsapp. Di mana-mana itulah whatsapp. Banyak kumpulan yang jika dilayan kita tidak terbuat kerja-kerja lain. Hanya berwhatsapp sahaja. Dari bangun tidur hingga waktu tidur berikutnya. Setiap masa telefon kita memaklumkan ada mesej masuk. Lemas kita dibuatnya apabila membuka banyak kumpulan whatsapp.  Yang kita lihat mesej yang sama. Yang kita pandang imej yang sama. Yang kita tonton video yang sama. Ianya dihantar oleh orang yang sama. Orang yang sama menghantar mesej atau gambar atau video yang sama ke banyak kumpulan yang kebetulan kita menjadi anggotanya. Itulah padahnya apabila teknologi berada di tangan mereka yang kurang maklum tentang pentingnya pengurusan whatsapp maklumat. Tidak ramai yang memikirkan manfaat sebenar. Yang berlaku ialah pembaziran:

1                     Masa yang berharga terbuang kerana melayani whatsapp. Seolah-olahnya kerja lain tiada yang lebih penting.
2                     Membazir ruang memori telefon. Kebanyakannya sampah maya yang akhirnya melambatkan fungsi telefon.
3                     Membazir masa untuk delete sampah-sampah dari whatspp. Rakan nitizen menganggap entry kita diminati. Kita tidak tahu ramai yang benci dengan entry orang lain.    
4                     Entry panjang-panjang memeningkan kepala. Kita tiada masa untuk membacanya. Tiada masa untuk respons.
5                     Entry yang sama di semua kumpulan menjadikan kita geram sendiri. Sesuatu yang sudah dibaca, menjadikan kita jemu untuk melihat mesej yang sama

Susah benar untuk meyakinkan orang lain bahawa whatsapp adalah seperti telefon. Berceloteh lama dan menulis panjang-panjang sama impaknya. Menjemukan. Membosankan. Lihat diri kita:

1                     Kita sibuk melaksanakan banyak tugas harian dan semasa.
2                     Kita banyak perlu berfikir untuk merencanakan aktiviti harian yang perlu untuk diri dan keluarga.
3                     Mungkin masih sibuk berkerjaya

Kerana itu berwhatsapp perlu beretika:

1                     Sampaikan mesej penting yang memang penting dan perlu. Kadang-kadang penting tetapi tidak perlu. Kadang-kadang perlu tetapi tidak penting. Kita perlu belajar menapis dan mempertimbang yang mana penting. Yang mana berkepentingan. Yang mana keutamaannya.
2                     Berita yang terdapat di portal-portal berita tidak perlu dimasukkan dalam whatsapp. Alhi kumpulan telah membacanya sebelum ini.
3                     Tentukan whatsapp mana yang wajar. Jangan sekali-kali masukkan dalam semua kumpulan whatsapp. Mungkin ada ahli yang namanya tersenarai dalam semua kumpulan whatsapp tersebut.  Malangnya terpaksa membaca atau menonton entry yang sama banyak kali.
4                     Apabila berlaku musibah cukuplah seorang menyampaikan ucapan takziah. Yang lain sambutlah dengan lisan. Tidak perlu ditulis. Kita baca mesej yang sama berturut-tirut. Copy and paste dari orang lain.
5                     Terlalu ramai menghantar imeh salam setiap pagi. Kita tidak bosan mendengar ucapan salam secara lisan. Berapa ramai sekalipun tidak pernah membosankan. Fitrah salam untuk manusia. Tetapi amat bosan membaca salam yang berulang-ulang dari atas ke bawah dalam whatsapp kita. Dari satu kumpulan whatsapp ke satu kumpulan whatsapp yang lain.

Amat baik kita celik dengan media sosial. Walau bagaimana sekalipun gunakanlah dengan bijaksana. Adil membahagi masa dan peluang diri dan orang lain. Beringatlah bahawa berwhatsapp itu suatu kemudahan teknologi. Gunakan sewajarnya.

1                     Fikirkan keutamaannya.
2                     Fikirkan impaknya.
3                     Fikirkan apa tindakan yang perlu dibuat oleh penerima mesej.
4                     Antara berita penting dan banyak keutamaannya:
a.       Musibah seperti sakit, kemalangan atau meninggal dunia.
b.      Panggilan mesyuarat
c.       Undangan jamuan
d.      Undangan kenduri-kendara

5                     Tidak sesuai untuk menyampaikan tazkirah panjang kerana hal-hal seperti itu perlukan wahana dan wacana lain.  Whatsapp perlu ringkas, tepat dan cepat. Kalimah dan ayatnya ringkas serta padat. Maknanya difahami secara spontan.

Sudah sampai masanya kit amenggunakan teknologi dengan bijaksana. Media sosial untuk menghubungkan antara kita kerana hal-hal yang bermanfaat besar. Berimpak tinggi. Memandu kita melaksanakan amal yang yang lebih baik. Membantu kita menjadi aktif, positif, reaktif dan proaktif. Pilihlah kumpulan mana kita berada:

1                     Selalu merancang untuk melaksanakan yang lebih banyak. Lebih berkualiti dan lebih berimpak tinggi. Musabah diri dan mencari redha Allah.
2                     Bercerita hal-hal semasa tanpa merancang untuk  memperbaiki keadaaan. Masa habis begitu sahaja. Tajuk yang dibincangkan sangat banyak tetapi tidak membina apa-apa kebaikan darinya.
3                     Bercerita hal-hal yang telah lalu. Yang tidak membantu apa-apa dalam kehidupan semasa dan akan datang. Lebih banyak hal-hal yang spele keadaannya. Kita jadi naif kerananya.

Setelah kita membuat pilihan, lihat kembali diri kita. Tentulah yang lebih baik itu ialah memperbaiuki masa hadapan. Khususnya untuk akhirat yang masanya dirasa lama tetapi datangnya semakin dekat. Esok atau lusa kita mungkin tiada. Yang kita tinggalkan biarlah hal-hal yang bermanfaat kepada orang yang kita tinggalkan.

Maaf ada peribahasa orang Jawa yang selalu relevan. Peringatannya ialah:

Ojo nang buri tapi nyarungi. Ojo nang ngarep tapi nyandungi.
Mafhumnya:
Jangan jadi pemimpin yang menyusahkan orang lain untuk bergerak ke hadapan dengan pantas untuk melakukan banyak perkara. Pemimpin di hadapan hanya banyak menghalang sama ada dengan lisan atau dengan lenggok badan atau atau lerek mata atau mencebik mulut. Tidak meraikan oralan di belakang teng lain yang menjadi pengikutnya.

Jangan pula menjadi pengikut yang menyusahkan pemimpin. Berjalan di belakang tetapi mengait kaki na orang di hadapan hingga menjadikan pemimpin terumbang-ambing. Atau mungkin dijatuhkan kerana kaitan kakinya dari belakang.

Dalam kedua-dua keadaan sama-sama tidak berjaya. Perlu bagi yang di hadapan memberi laluan fikiran atau idea yang baik untuk dilaksanakan. Perlu bagi pengikut turut serta dalam aktiviti yang difikirkan menasabah baik dan impaknya.


Fikirkan semula apabila kita hendak berwhatsapp mulai sekarang!

Thursday, December 1, 2016

Dewasa dan Tua


Dewasa adalah fasa kehidupan yang banyak tanggungjawab. Bebanan? Mungkin jika dilihat secara negatif. Jika kita melihatnya tanpa pandangan terbaik yang kita miliki. Jika kita melihat secara fizikal yang semakin lemah. Jika kita melihat secara material yang kuantitinya rendah semata-mata. Walhal hidup ini penuh dengan banyak yang positif. Yang memberi pengajaran. Yang memberi pengalaman untuk memandu kita ke arah fasa-fasa kehidupan yang berikutnya. Yang jika dikira dengan penuh perhatian terlalu banyak untuk diaudit manfaatnya. Faedahnya tentulah bekalan untuk masa tua. Masa ketika kita kehilangan banyak perkara. Ketika merasa semua perkara menyalahi pandangan mata. Menyalahi pendengaran. Menyalahi perasaan. Ketika kita menjadi sensitif dengan persekitaran yang sudah banyak berubah. Keadaan menyesakkan minda. Ketika kita lemas dalam melayani kehidupan yang semakin singkat. Menuju ke penghujung yang pasti tetapi tiada kepastian waktunya yang tepat. Di mana sebenarnya pengakhiran itu. Mengapa dan kenapa pengakhiran itu berlaku yang sudah tentu tidak akan kita ketahui.

 Menjadi tua bukan sebarang fasa. Banyak yang terserlah dan banyak lagi yang tersirat. Mata kasar tidak dapat melihatnya. Apatah lagi mata orang muda yang belum lagi terfikir akan jauhnya kehidupan. Hanya yang mengetahui sahaja sampai jejak kakinya merasakan apa sahaja yang dinikmati atau dideritai semasa tua.

Situasi 1
Tua yang menikmati bahagianya melayari kehidupan yang bersisa dan berbaki. Lebih-lebih lagi masih sihat walafiat. Apatah lagi yang masih aktif mindanya. Masih berlegar memberi perkhidmatan dan amal  yang jarang dapat dilakukan oleh orang lain. Tua yang banyak jalan jauhnya. Banyak fikir untuk memanfaatkan orang lain. Banyak memberi dari menerima. Banyak menyumbang dari terumbang-ambing. Banyak melangkah dari duduk diam. Banyak lagi belajar dari hanya mengenang masa lalu yang sudah berlalu. Tua yang masanya penuh. Dicari ruang untuk memberi yang lebih banyak. Bukan banyak  bercakap tetapi tiada bikinnya. Bukan hanya mengarah tetapi tiada capaiannya. Bukan memerintah tetapi tiada pengikut setia yang melaksanakannya. Tua yang menikmati masa-masa tuanya. Tawa dan senyum seiring sentiasa. Gerak dan sihat bersama. Tua yang masih berdikari. Masih mandiri. Masih banyak susun rancang dalam mindanya.

Situasi 2
Hidup bersenang-senang. Rehat yang memanjang. Tiada bising di sekeliling. Hanya sunyi sepi yang indah. Lengang yang menyenangkan. Melupakan hiruk-pikuk semasa dewasa hingga ke penghujungnya. Sibuk yang sudah ditinggalkan. Buang mesyuarat yang panjang-panjang. Buang bengkel yang bersambung-sambung. Buang lawatan yang banyak dan mungkin sahaja memenatkan. Buang zaman keluar daerah memanjang siang dan malam. Waktu tua untuk melupakan kesemua kesibukan berkerjaya. Ada antara kita yang berjaya berada di puncak. Ada pula berada setengah puncak. Tidak kurang pula yang berada di bawah. Namun bila tua mendatang kesemua kita berada di bawah. Melata seperti orang lain. Tiada siapa peduli kerana kita sudah buang rasa peduli. Tiada siapa yang kenal lagi kerana kita sudah melupakan siapa yang kita kenal.

Situasi 3
Hidup jauh dari segala kebahagiaan. Mungkin derita. Minta-minta jauhlah kita dari situasi ini. Kesihatan terganggu sejak belum bersara. Apabila semakin tua semakin banyak penyakit yang singgah di tubuh. Dirawat satu, yang lain pula datang. Hilang segala kemanisan bersara. Hilang nikmat tua. Bayangkan ramai antara kita yang tua tetapi malangnya berada di rumah khusus untuk orang tua-tua. Duduk bersama orang-orang tua. Mana yang sibuk dengan amal ibadatnya, alhamdulillah. Mana yang muflis ilmu agamanya semasa muda, meranalah seumur hidup semasa tuanya. Tiada apa yang dapat dilakukan selain dari bermenung, bercakap sendirian dan mungkin menangis mengenang nasib. Anak-anak menjauh. Cucu-cucu sudah tidak dikenal lagi.

Situasi 4
Kesemua situasai di atas mungkin boleh diharmonikan. Tetapi banyak syaratnya. Ramai antara kita mungkin tidak terdaya untuk melakukannya.

1                     Memandaikan diri sejak kecil hingga dewasa. In sya Allah tuanya akan lebih selesa.
2                     Mempelajari apa sahaja kemahiran yang berkekalan hingga ke tua. Bertukang, menjahit, memasak, mengajar mengaji, bertani, memelihara haiwan ternakan, mengukir, hiasan dalaman. Atau apa sahaja kemahiran yang halal dari segi syara’.
3                     Mengumpul bekalan harta untuk hari tua. Memiliki rumah tanpa mengira saiznya. Kenderaan bersesuaian. Simpanan untuk kontingensi di hari tua.  
4                     Mengekalkan kesihatan. Merasa sihat dan dilihat sihat. Masih cergas dan lincah sesuai dengan usia tua.
5                     Berfikiran lapang. Luasa pandangan. Mencurahkan pengalaman.
6                     Menerima perubahan dan pandai mengurus perubahan.
7                     Telah menyempurnakan tanggungjawab memanusiakan anak-anak. Apabila mereka dewasa kita hanya perlu memantau tetapi bukan mencampuri urusan mereka. Nasihat sekalipun biarlah dengan memberi peluang untuk mereka berfikir dan mempertimbangkan altenatif terbaik. Memakasakan sesuatu walaupun kepada anak-anak sendiri adalah di luar kewajaran.

Masa tua akan banyak merasakan sakitnya:
Penglihatan
Hati
Perasaan
Pendengaran
Fikiran

Kesmuanya itu tidak perlu mendatangi kita. Memang kita tidak akan terlepas dari memandang, dari mendengar, dari terasa dan dari berfikir. Perubahan banyak berlaku dan tetap berlaku. Biarlah kita berlaku adil terhadap diri kita sendiri. Kemungkinan anak-anak menjadi the boomerang kid tetap ada. Kita telah berusaha keras melepaskan mereka ke dunia yang luas terbentang. Mungkin ada yang terbang luas dan jauh. Namun jangan terkejut ada antaranya yang patah sayap. Tidak boleh terbang jauh. Qada’ dan qadar tetap diredhai kerana peracangan Allah tetap yang terbaik.

Perubahan bukan untuk ditangisi. Bukan untuk dibentak. Bukan untuk ditentang. Ia untuk kita belajar menyesuaikan diri. Mengubah pendekatan. Paling penting ialah kita menyedari bahawa perubahan itu menunjukkan bahawa kita sudah tua. Persekitaran bukan zaman dan bukan milik kita lagi. Tiada gunanya meratapi zaman yang berlalu. Tiada manfaatnya lagi kembali ke zaman yang sudah lama ditinggalkan. Kita perlu terus ke hadapan. The way forward. Tinggalkan sejarah dalam lipatan ingatan. Untuk meninjau kembali tetapi bukan untuk kembali ke zamannya. Bina objektif untuk destinasi yang pasti dengan menentukan di mana kita berada sekarang. Memetik kata-kata Yang Berbahagia Datuk Dr. Siddiq Fadhil, “Kita tidak tahu ke mana kita hendak pergi jika kita tidak tahu di mana kita berada.”[1]

Mengapa kehidupan tidak diteruskan untuk kekal menjadi muda. Sekurang-kurangnya cuba menyaingi yang muda. Yang masih segar tenaganya. Yang masih banyak karenah manfaatnya. Kita memang tua tetapi masih boleh berfikiran muda. Banyak berubah menyaingi keadaan. Boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran. Hubaya-hubaya, janganlah masa tua dihabiskan untuk:
1                     Mengutuk diri. Menyesali apa yang tidak kesampaian. Masanya telah berlaku pergi. Jalani dan hadapi apa yang ada dan yang akan mendatang.
2                     Terlalu banyak berkata yang bukan-bukan. Mereka di sekeliling tidak mendengar. Banyak berkata hanya menyakitkan diri sendiri.
3                     Tidak menjaga kesihatan. Biarlah sihat seadanya. Tidak menyusahkan diri sendiri. Tidak menyusahkan mereka yang ada di sekeliling kita.
4                     Sentiasa menjaga penampilan. Orang tua selalunya selekeh. Tidak. Jangan stereotaip. Jangan ikut trend itu. Begitu juga orang tua selalunya busuk. Tidak. Jangan jadi busuk. Orang tua banyak ragam. Tidak. Jangan buat prangai itu. Orang tua degil, tidak ikut cakap. Tidak. Kita bukan seperti itu. Degil ada prinsipnya. Tidak ikut cakap yang melanggar hukum.

Berbahagialah di hari tuamua
Nikmatilah sisa usia yang masih ada
Berbuatlah segala kebaikan yang terdaya dilaksana
Hidup bukan untuk sesuatu yang sia-sia
Masa banyak terluang
Peluang banyak mendatang  
Jangan gagal untuk merebut apa yang memberi kita lonjakan semangat juang  



[1][1] Siddiq Fadhil. Ucap utama dalam Muzakarah Fiqh, Masjid Sultanah Jemaah,  Bukit Jelutung, Shah Alam, 23 November 2016.