Masihkah kau
ingat sewaktu kecil dahulu. Sewaktu kau sangat kecil. Sewaktu kau belum tahu
apa-apa. Sewaktu kau hanya mahu semua yang kau nampak. Sewaktu kau tamak
hendakkan semua yang ada di hadapan mata. Kau kedekut pada kakak dan abang.
Kedekut pada adik-adik. Malah kau kedekut pada ibu dan ayah kau. Masa kau ketka
itu tahunya hanya banyak menangis. Masa kau tahunya banyak menjerit. Dunia ini
kau mahu segala-galanya. Tidak boleh untuk orang lain. Malah untuk ibu dan ayah
juga tidak boleh. Segala-galanya untuk kau seorang sahaja. Matamu jadi gelap.
Telingamu jadi tertutup. Perasaanmu jadi terhijab. Orang lain di sekeliling
kesemuanya tidak ada dalam perkiraan. Yang penting diri kamu sendiri. Jarak
masa hanya sementara. Rupanya apabila kamu tua sifat sewaktu menjadi
kanak-kanak kembali kepada dirimu. Semua yang ada ingin kau miliki. Tidak ada
yang ingin dikongsi.
Masihkah kau
ingat sewaktu kau meraung meminta mainan di kedai dahulu. Kau meminta dengan tangis
mainan pistol dan pedang. Kau minta patung dan periuk masak-masak. Itu belum
baju gaun warna merah berenda-renda. Masihkah kau ingat sate yang tidak mampu
dibeli. Anggur yang hanya mengecurkan air liur. Rojak yang hanya mampu dihirup
baunya. Roti canai yang hanya wangi rangupnya. Baju raya yang sangat kau
idamkan. Kau tangisi. Kau jerit sekuat hati. Kesemuanya untuk kepentingan diri.
Masa itu kau kuasai suasana. Bentak kakimu sangatlah kuat. Tidak peduli rasa
sakit. Nanti bila tidurmu ibu dan ayahlah yang mengelus dan mengurut. Tidurpun
rengekmu sangat kuat. Kasih sayang ibu dan ayah kekal dalam ragam dan tangismu.
Kamulah anak mereka. Malah kasih sayang ibu dan ayah tumpah kepadamu. Tidak ada
pilih kasih. Siapalah kamu jika bukan cahayamata ibu dan ayahmu.
Ingatkah
sewaktu air besarmu merata-rata di ruang tamu. Air kecilmu meresap di karpet
tebal baru dibeli. Ingatkah makanmu bersepah di meja makan. Minummu tumpah di
lantai. Bajumu basah dan comot. Mulutmu penuh kotor nasi dan lauk-pauk.
Kerusimu tiada ruang yang tidak kotor. Ketika itu ada tangan-tangan sabar yang
mendamaikan ragammu. Sabar menyuap makanan ke mulutmu. Menghapus sepah dan
sampah. Minyak dan lekit gula yang memualkan kepada mereka yang tidak mempunyai
anak. Tetapi tidak bagi ibu dan ayahmu. Kamulah anak mereka. Tidak ada yang
lain. Sepahmu menghiburkan. Tangismu mendamaikan. Ragammu bertingkah dengan
kasih sayang mereka. Mana ada pilih kasih yang datangnya dari hati mereka? Yang
terpamer hanya kasih dan sayang. Hanya kasih dan sayang. Hanya kasih dan
sayang. Kamu menjadi harapan sehingga usia lanjut mereka. Harapan mereka. Tiada
anak yang berkemampuan memenuhi harapan itu. Mungkin sebahagian kecil sahaja. Terlalu
sedikit bilangannya. Anak-anak yang mendapat hidayah Yang Maha Mengetahui.
Ingatkah
sewaktu sakitmu diusap sayang oleh ibu dan ayahmu. Demammu dituam dengan kasih.
Kembungmu diurut dengan tanggungjawab. Penatmu diriba mesra. Rajukmu disapa
ramah. Siangnya kamulah cahaya. Malamnya kamulah bulan. tertumpah segalanya
kepada kamu. Anak yang memang diharap untuk berjasa kepada orang tua. Kepada ibu
dan ayah yang menyayangimu. Rupanya masa menjarakkan dua hati. Hati anak tidak
sama dengan hati dan perasaan ibu dan ayah. Sebagai orang lama, ibu dan ayahmu
ada tradisi yang mereka pelihara. Anak-anak yang selalunya mencipta standard
yang bercanggah dengan tradisi amalan ibu dan ayahmu. Maka terciptalah kelainan
dan perbezaan. Itu yang akhirnya kamu besar-besarkan dan kamu jadikan sumber
keresahan. Bahawa ibu dan ayahmau pilih kasih. Hanya setelah kamu tua nanti
barulah datang perasaan itu kembali menghantui jiwa tua. Kitarannya pasti
datang dalam bentuknya yang tersendiri. Ingatlah bahawa ibu dan ayah adalah dua
sosok yang tidak boleh dilukai hati dan perasaannya. Allah tidak redha
kerananya! Allahu akbar!
Ingatkah
sewaktu makanan tidak cukup, kaulah yang diutamakan. Ketika ibu dan ayahmu
menahan lapar, kaulah yang dikenyangkan. Ketika ayahmu ketiadaan wang, apa yang
ada diserahkan kepadamu untuk sekolahmu. Keupayaan menanggung anak-anak bukan
kepalang sukar dan susahnya. Kebetulan zaman kau kecil bukan zaman mewah. Bukan
zaman wang datang melimpah. Zaman itu kesemuanya dicatu. Disukat mengikut
kemampuan. Yang penting kau dan keluargamu terus hidup. Kesinambungan sebuah
keluarga yang hidupnya penuh dengan kesukaran. Kais pagi makan petang dan kais
petang malan pagi. Meminjam bukan perkara asing. Terlalu banyak kali dilakukan
demi sesuap nasi. Demi kehidupan anak-anak. Tidak ada anak yang memahami
peritnya menjadi orang tua. Hanya apabila masing-masing menjadi tua barulah
Allah berikan sedikit pengalaman menjadi ayah dan ibu. Tetapi hidupmu dalam
zaman yang jauh sangat mewah berbanding ketika kau kecil dahulu.
Itulah
sewaktu kecilmu. Itulah semasa kanak-kanakmu. Itulah sewaktu semuanya tidak
cukup. Semasa semuanya tidak ada yang lebih. Semasa hidup serba susah. Sewaktu kehidupan
mencengkam kemiskinan. Masa yang berlalu mendewasakan. Lalu menuakan. Lalu ibu
dan ayahmu menjadi sangat tua. Ketika inilah mirror image sewaktu kecilmu
kembali menemuimu. Dahulu ragammu menggeramkan. Kadang-kadang memeningkan.
Kadang-kadang memalukan. Malah kadang-kadang mengaibkan. Tidak kurang pukul dan
cubit. Tidak kurang marah dan tengking. Tidak kurang tinggi suara kerana
ragammu yang dahulu. Ragam anak-anak. Ragam kanak-kanak. Sekarang ragam itu
terjadi kepada ibu dan ayahmu. Mereka kembali ke zaman kanak-kanak mereka. Zaman
seperti yang kau lalui dahulu. Gerakanya perlu dibantu. Hidupnya banyak
perlukan bantuan. Apakah air kecilnya redha kau hidu? Apakah air besarnya redha
kau bersihkan? Hingusnya redha kau lap. Leleh minumnya redha kau kesat. Ragamnya.
Ragamnya. Ragamnya yang banyak dan luar biasa.
Apakah kau
boleh menerima perubahan itu. Apakah kau boleh menerima tingkah mereka.
Menerima ragam mereka. Karenah mereka. Apakah kau kembali kepada anak-anakmu.
Mengadu tingkah-laku kedua ibu dan ayahmu. Bercerita tentang kedua ibu dan
ayahmu. Bercerita tentang nada negatif bahwa kedua ibu dan ayahmu tidak seperti
dahulu. Tidak nampak siuman seperti mudanya dahulu. Banyak yang anak-anak
merasakan ibu dan ayahnya tidak memuaskan hati. Bisingnya melebihi biasa.
Kehendaknya yang bukan-bukan. Baru beberapa ketika sudah datang bosanmu kepada
mereka. Kitaran itu akan kembali kepada kita. Kepada kita semua. Tanpa kecuali
apabila kita panjang usia. Sakit dan pening tidak tahu bila datangnya dari
Allah. Ajal pasti tiba. Mudah-mudahan kita terhindar dari azab dunia hanya
kerana kita tidak redha dengan ibu dan ayah yang menjadi tua dan banyak
ragamnya. Itu ibu kita. Itu ayah kita. Bukalah dada sebentar. Masih adakah
sedikit kasih menyelinap di hati?