Kadang-kadang
pepatah hanya penyedap hati. Yang patah akan tumbuh. Yang hilang akan berganti.
Kepada yang mengalaminya, pasti menafikan kebenaran pepatah tersebut. Mana mungkin
yang hilang ada penggantinya. Mungkin sama tetapi tidak serupa. Mungkin serupa
tetapi tidak sekali-kali sama. Hati sahaja yang cuba menenangkan keadaan. Bahu
yng memikul sahaja yang merasa beratnya. Apabila kehilangan berlaku hanya
lompang rasa yang terhidang. Hilang dari mata. Tinggal kenangan yang entah
hingga bila akan sama-samar juga jadinya.
Itu cerita
orang bercinta. Bunga bukan sekumtun dan kumbang bukan seekor. Malangnya hati
selalu tertipu. Bunga yang satu itu juga yang ingin direbut-rebut. Pilihan lain
yang lebih baik dipinggirkan. Diabaikan. Mengikut kata hati dan bukan kata
akal. Kumbang seekor itu juga yang dikejar-kejar. Entah ke mana terbangnya
masih diintai-intai. Banyak pun celanya tetapi kata hati juga yang diturut. Hati
menafikan bahawa ada ganti yang lebih baik. Tetap dikata tidak sama. Tidak serupa.
Cerita keluarga
jarang menjadi topik berakhir. Apabila ibu atau ayah meninggalkan kita, jarang
kita sibuk kerana kehilangannya. Sedangkan kehilangannya tiada pengganti. Tiada
siapa yang boleh mengganti. Tiada seorang manusia pun yang berani
menggantikannya. Apabila mereka pergi, pergilah yang tiada pernah akan kembali
lagi. Kita kehilangan dan terus kehilangannya. Maka tualah kita menggantikan
tempatnya. Sampai masanya kita pula yang akan hilang di mata anak-anak dan
cucu-cucu kita sendiri.
Ibu dan ayah
jarang dilihat sebagai permata. Tidak disayangi seperti emas tempawan. Tidak juga
seperti harta dan wang ringgit. Malah semasa hidupnya kita lebih utamakan
kesibukan kita. Kita sibuk dengan masa dan kerja. Dengan rakan dan taulan. Ziarah
kita menatap ibu dan ayah terlalu singkat berbanding kita melancong ke luar
negara yang memakan berhari-hari lamanya. Andainya kita melancong selama lapan
hari ke Andalusia, cuba kira dalam minit dan jam.
8 hari x 24 jam
=
192 jam
192 jam x 60
minit = 11,520 minit
Mungkin pada
hari raya kita ziarahi ibu dan ayah kita. Berapa lama? Dua jam? Tiga jam? Kita sibuk
hendak beransur pergi. Hendak menziarahi saudara mara yang lain. Tan sri, datuk
dan mereka yang berpangkat. Sahabat handai yang kita utamakan. Berapa kali lagi
kita ziarahi ibu dan ayah kita dalam setahun. Berapa lama kita duduk menatap
mereka. Andaikan:
Setahun 8
kali
Setiap kali
satu jam
Bermakna setahun
8 jam. 10 jam campur hari raya selama dua jam.
Kita melancong
pula 192 jam setahun. Maka kita melancong menatap ibu dan ayah hanya 10/192. Kira-kira
5% sahaja dari waktu kita melancong. Kita ziarahi ibu dan ayah kita sebanyak 20
kali baru sama dengan kita melancong sekali sahaja. Hampir tiga tahun lamanya
baru sama dengan sekali melancong. Siapa yang zalim. Kita menzalimi diri kita sendiri
atau kita menzalimi ibu dan ayah kita.
Aduhai malangnya
anak. Malangnya cucu kerana mereka lagilah jarang menjengah datuk dan nenek
mereka. Kepada mereka datuk dan nenek adalah tanggungjawab anak-anak datuk dan
nenek mereka kecuali emak dan bapa mereka. Kecuali ibu dan ayah mereka sendiri.
Pak cik dan mak cik yang lain kan ada. Ibu dan ayah mereka seboleh-bolehnya
perlu dikecualikan. Begitulah turutan dan kitaran keluarga. Datuk dan nenek
akan selalu dilupakan. Maka jangan terpana apabila kita tua maka nanti tiada
siapa yang pedulikan kita. Ketika kita memerlukan bantuan tiada siapa yang sudi
meluangkan masa. Tiada sudi meluangkan tenanga. Tiada siapa yang sudi meluangkan
harta dan wang ringgit mereka.
Dalam kitaran
manusia mereka lupa bahawa ibu dan ayah mereka dikandung oleh nenek. Dilahirkan
oleh nenek. Dibesarkan oleh nenek. Dijadikan manusia oleh nenek. Datuk pula
mencukupkan nafkah untuk hidup walaupun seadanya bagi kebanyakan kita. Ukurannya
berbeza mengikut kemampuan. Datuk dan nenek memberi yang terbaik kepada ibu dan
ayah kita. Semampu kudrat yang ada. Semampu peluang yang ada. Begitulah selalu
terjadi datuk dan nenek terpisah apabila cucu menjadi dewasa. Ibu dan ayah
menjadi hijab kepada datuk dan nenek mereka yang memulakan keluarga. Ibu dan
ayah menjadi fokus sehingga datuk dan nenek menjadi mereka yang di luar kotak pemikiran.
Orang asing di luar kotak perbincangan.
Tidak bagi
Allah. Redha Allah bergantung kepada redha ibu dan ayah. Cucu oleh ibu dan
ayahnya. Ibu dan ayah kepada cucu itu oleh datuk dan neneknya. Usia tidak
dijadikan kayu ukurannya. Anak yang tua sekalipun diwajibkan bertanggungjawab
terhadap ibu dan ayah mereka yang lanjut usia. Mungkin tidak masuk akal untuk
anak-anak yang sudah tua-tua terpaksa merawat ibu dan ayah mereka yang lanjut
usia. Sudah tidak ada keuyapaan lagi. Ketika inilah tanggungjawab cucu
meringkan beban dan tanggungjawab ibu dan ayah mereka untuk merawat datuk dan
nenek yang lanjut usia.
Semasa kecil
tanggungjawab ibu dan ayah untuk membesar dan menjadikan anak-anak manusia
berguna. Apabila anak-anak menjadi dewasa kitarannya terbalik. Mereka bertanggungjawab
menjaga ibu dan ayah serta datuk dan nenek. Gantilah diri kepada ibu dan ayah
yang sudah tidak berupaya. Allah perintahkan kita menjaga mereka yang di atas
kita. Yang lebih tua dari kita. Sesungguhnya apa yang kita berikan kepada
mereka, anak cucu kita yang akan membalasnya. Pengalaman menunjukkan bahawa
anak cucu yang peka dalam hal ini maka Allah akan membalas kebaikanya ketika
mereka tua dan lanjut usia nanti.
Ingatlah ibu
dan ayah sangat tinggi nilainya kepada kita. Berbaktilah semasa hayatnya. Layan
karenahnya. Ikuti kehendaknya asalkan tidak mengakibatkan syirik. Berbakti kepada
mereka bukan selamanya. Mungkin kita yang pergi dahulu. Mungkin mereka
memerlukan kesabaran kita. Sesungguhnya bakti terakhir anak dan cucu besar
nilainya di sisi Allah. Sangat besar hingga ada mereka yang beruntung
dijanjikan Allah dengan syurga. Bacalah Uwais al-Qorni dan khidmatnya kepada
ibunya tiada tolok bandingnya. Diiktiraf oleh Rasulallah. Doanya menembusi
langit. Jenazahnya diuruskan dan diiringi malaikat. Tidak dikenal di bumi
tetapi menjadi sebutan penduduk langit.
Bila lagi
hendak sibuk melayan ibu dan ayah. Melayan makan dan minumnya. Mendengar cerita
dan celotehnya. Cerita lama yang terlalu kerap kita dengar. Bukan susah
meminjamkan telinga untuk mendengar suaranya. Apabila Allah tarik suaranya kita
penasaran kerana tidak memahami apa yang diminta. Apa yang dicakap. Apa yang
mahunya. Ibu dan ayah yang sakit meninggikan suara kerana marah yang tidak
dapat diungkapkan. Ketika itu kita hanya mampu mencari jawapan yang tidak
pasti. Kita yang telah lama malas hendak mendengar celoteh yang tiada maknanya
kepada kita. Riwayat terakhir dari ibu dan ayah; datuk dan nenek itu tidak mahu
kita dengar.
Akhirnya kesemuanya
terhenti. Ajal datang menjemput ibu dan ayah yang lanjut usia. Mungkin yang
sekadar tua. Jangan lupa ada ibu dan ayah yang matinya ketika muda. Kita belum
sempat berbakti. Beruntunglah Allah memberi peluang untuk kita berbakti kepada
ibu dan ayah yang lanjut usia. Malangnya kita selalu melalaikan peluang
tersebut. Kita berharap anak dan cucu lain yang melakukannya. Kita tetap leka
dengan khayalan hidup kita sendiri.
Berhentilah sejenak
untuk merenung masa hadapan kita sendiri. Bayangkan yang tua itu kita sendiri. Anak-anak
sibuk dengan cucu-cucu mereka. Tiada yang melapangkan masa. Yang menghadiahkan
tenaga. Apatah lagi tiada yang meringankan kehidupan kita. Kita terlonta secara
fizikal dan emosi kerana anak-anak dan cucu sibuk dengan dunia mereka. Benarkah
begitu? Pasti begitu. Masanya terlalu dekat. 10 tahun, 20 tahun atau 30 tahun. Anak-anak
dan cucu yang sibuk itu akan tua dan lanjut usia. Lihat kembali situasi
sekarang. Apa yang kita lihat itulah yang akan orang lihat pada diri kita.
Jawapannya mudah
sebenarnya. Didiklah anak-anak supaya menyayangi yang lebih tua. Didiklah
cucu-cucu supaya menyayangi yang lebih tua. Didiklah cicit-cicit supaya menyayangi
yang lebih tua. In sya Allah kitaran itu akan memberikan kebaikan kepada warisan
dan kerurunan kita. Jika kitaran ini terputus kita yang akan tua yang akan
menerima akibatnya. Impaknya sangat besar.