Pemimpin diberi kuasa (power) untuk menjadi orang yang
terkehadapan. Menjadi ketua kepada kumpulannya. Berhak melaksanakan apa-apa
arahan sebagai tugasnya. Lebih banyak memberi dari meminta. Di samping itu ia
diberi tanggungjawab (responsibility)
untuk melakasanakan apa-apa yang terbaik untuk mereka yang dipimpinnya. Pada
akhirnya pemimpin diperlukan untuk menjawab
(accountable). Pertama, ia perlu menjawab kepada ketuanya. Kedua, perlu
menjawab kepada mereka yang dipimpinnya. Ketiga, menjawab kepada Allah di
akhirat kelak. Maknanya pemimpin bukan mendapat cek kosong. Mereka tidak boleh
berbuat apa sahaja yang menyenangkan dirinya sendiri. Seolah-olah tidak perlu
memikirkan kemaslahatan mereka yang dipimpinnya. Maslahah orang-orang di
bawahnya. Seolah-olah ia tidak akan dikembalikan kepada Allah. Anggapan itu
selalu salah. Pemimpin seharusnya berasa perlu untuk memberikan yang terbaik
kepada ahlinya. Berkorban apa sahaja secara professional. Hal-hal yang
dimaklumi hendaklah dilaksanakan dengan adil dan saksama. Keadilan inilah yang
nanti selalu dipersoal oleh manusia lain. Akan dipersoal di akhirat kelak. Hal-hal
yang tidak dimaklumi hendaklah banyak mengambil inisiatif untuk mendapat
pencerahannya. Dapatkan perinciannya. Cari kesahihannya. Pastikan benar atau
salah. Hak atau batil.
Terdapat perbezaan
besar antara penjawat awam atau swasta berbanding dengan orang biasa. Mereka
yang tidak pernah menjawat jawatan rasmi tentu tidak maklum mengenai
peraturan-peraturan yang mengawal seseorang penjawat awam. Tidak kira sama ada
jawatannya tetap dan kekal atau kontrak atau sementara atau sambilan. Penjawat
awam dikawal oleh Printah-Perintah Am Kerajaan iaitu suatu peraturan lengkap
mengenai segala yang berkaitan dengan penjawat awam dari segi perlantikan,
perlaksanaan tugas, disiplin, kenaikan pangkat dan sebagainya. Mereka yang
bukan penjawat awam tentu tidak ramai yang maklum mengenai perkara ini. Ada
sesuatu yang perlu dijauhi oleh penjawat awam iaitu berkaitan dengan larangan
yang terkandung dalam Akta Rahsia Rasmi Kerajaan. Apa-apa sahaja maklumat dalam
sesebuah pejabat adalah maklumat rahsia kepada kerajaan kerana ianya boleh
disalahguna oleh pihak-pihak yang hendak mengkhianati perkhidmatan kerajaan.
Apa sahaja maklumat yang diperlukan di mana-mana pejabat kerajaan perlu diperolehi
melalui pegawai yang berautoriti. Tidak ada sesiapa yang boleh membuka
mana-mana fail di pejabat dengan alasan untuk mendapatkan maklumat atau untuk mengemaskini
maklumat atau untuk apa-apa yang lain tanpa urusan rasmi pejabat. Malah tidak
juga untuk tolong menyusunnya kerana itu adalah tugas mereka yang berada di
pejabat itu sebagai penjawat awam. Menyentuhnya sahaja sudah dikira melakukan
kesalahan. Di sekolah umpamanya hanya pengetua, penolong pengetua dan kerani
yang berkaitan sahaja berhak untuk membuka fail mana-mana staf di sekolah. Guru
lain tidak boleh membuka fail guru lain. Suatu larangan keras. Semua maklumat
mengenai individu lain adalah rahsia. Kerahsiaan itu perlu dipelihara dan
dipertahankan. Amanah yang berat.
Apa-apa isi dalam
sesuatu fail peribadi adalah rahsia individu. Rahsia itu hanya ketua-ketua yang
berkenaan sahaja yang boleh melihatnya. Apabila seorang guru hendak dinaikkan
pangkat maka failnya akan dibuka dan disemak. Guru lain tidak perlu tahu. Tidak
wajar untuk mengambil tahu. Apabila ada aduan ke atas seseorang guru, maka
failnya akan dibuka. Surat aduan ke atasnya akan dimasukkan ke dalam fail guru
itu. Hasil siasatan akan juga difailkan. Begitu juga tindakan yang diambil ke
atasnya. Maknanya fail itu sangat rahsia. Markah prestasi tahunannya hanya
perlu diketahui oleh pengetua dan penolongnya. Guru lain tidak berhak
mengetahuinya. Begitulah besarnya kerahsiaan sesebuah fail. Kerana itu fail
seseorang tidak boleh sewenang-wenangnya dibuka dan diperiksa oleh mereka yang
bukan penjawat awam. Hatta dengan niat untuk membantu sekalipun ianya tidak
boleh. Tanpa jawatan rasmi sesiapapun tiada hak untuk berbuat demikian. Jika
ada keizinan pegawai yang berkenaan sekalipun perbuatan itu tetap salah.
Andainya berlaku perkara berbangkit maka pegawai yang memberi izin itu boleh
dikenakan disiplin dan dikenakan tindakan kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi Kerajaan.
Pegawai itu boleh digantung kerja. Boleh diturunkan pangkat. Boleh ditamatkan kontrak. Boleh dibuang
kerja. Kesalahannya kerana membocorkan maklumat seseorang individu sedangkan
individu yang failnya dibuka tidak suka hal itu berlaku ke atasnya.
Sebagai orang awam
kita perlu juga mengetahui batas-batas kita untuk menolong pegawai yang kita
kenal. Kerja di pejabat adalah tanggungjawab seseorang pegawai yang dilantik
untuk menjalankan tugas tersebut. Tugas itu perlu dilaksanakan di pejabat dan
dilaksanakan oleh pegawai itu sahaja. Sangat malang apabila tugas itu dibuat di
luar pejabat. Fail seseorang individu terdedah kepada ramai orang awam.
Maklumatnya mungkin pula digunakan untuk menganiaya individu lain yang tidak
disukai. Apatah lagi jika ada orang awam yang menjadi sumber untuk mendapatkan
maklumat mengenai seseorang individu sedangkan maklumat itu rahsia. Hanya
penjawat awam sahaja yang berhak ke atas maklumat tersebut. Ia mungkin tidak
dianggap rahsia tetapi tidak ada individu yang suka fail peribadinya dibuka dan
dibaca oleh orang lain yang sama taraf dengannya. Hanya ketua yang diberi kuasa
sahaja berhak melakukannya.
Ada masanya orang
di bawah ketua suka memberi arahan bagi pihak ketua. Ini juga tidak sewajarnya
berlaku. Hanya ketua sahaja yang berhak memberi arahan. Dalam sebuah rumah,
adik tidak suka abang atau kakak memberi arahan. Arahan yang wajar adalah dari
ayah dan ibu sahaja. Tetapi sekiranya pembantu ketua mengedarkan surat arahan
atau memo atau pekeliling kepada rakan sejawatnya maka itu dikira hanya
mengedar. Bukan memberi arahan. Paling tidak disukai oleh orang lain ialah
arahan lisan yang diberikan oleh seseorang kerana katanya mewakili ketua atau
orang yang lain. Suara ketua masih lebih lunak didengar walaupun kadang-kadang
kita tidak suka mendengar suaranya. Suara mereka yang setaraf dengan kita
mungkin boleh menyakitkan telinga dan menggusarkan hati kita sesama sendiri.
Kita rimas mendengar suaranya.
Dalam pengalaman
kita, kita diajar supaya tidak banyak bercakap. Bercakap pula berulang-ulang
mengenai isi yang sama. Kita dilarang oleh agama supaya tidak banyak bercakap.
Pastinya apabila kita bercakap, banyak yang tersasar. Hari ini kita bercakap
penuh fakta. Minggu hadapan kita bercakap mengenai perkara yang sama dengan
cerita yang bertambah. Bukan faktanya yang bertambah. Minggu yang lain
percakapan kita sudah lari dari tajuk. Kita lupa konteks siapa kita. Siapa
audien kita. Ramai yang mendengar sudah lama menutup telinga. Lama-kelamaan
orang yang suka banyak bercakap menjadi tidak relevan. Banyak sudu dari kuah. Orang
semakin tidak peduli. Bercakap bukan haknya. Menyampaikan maklumat bukan
tugasnya. Timbul pula rasa riak. Menghina orang lain. Menimbulkan lebih banyak
masalah.
Begitulah episod
pemimpin-pemimpin kecil yang sibuk mencari nama. Minta menjadi wira yang
dinobat. Sesungguhnya pemimpin bukan sepatutnya begitu dan tidak sepatutnya begitu.
Kita perlu belajar untuk memimpin bagi membantu orang lain. Bukan untuk
menyusahkan. Bukan menjadikan kita dibenci oleh orang lain. Mungkin malang bagi
orang Melayu kerana kita lebih banyak mendiamkan diri apabila hati kita
tersentuh. Kita malas untuk membetulkan keadaan sehingga keadaan semakin lama
semakin parah. Menanti retak menjadi belah. Menjadikan ramai yang malu dengan
diri sendiri. Akhirnya menjauhkan diri dari masalah. Maka yang mencipta masalah
semakin menjadi-jadi masalah yang diciptanyanya. Semakin dibiarkan maka semakin
keadaan tidak terkawal lagi. Ramai yang emosinya berbaur tetapi sekadar
mendiamkan diri. Menunduk. Herot mulut ke kanan dan ke kiri. Hati sahaja
berbuku. Membengkak semakin lama semakin besar. Siapa yang perlu bertindak
tiada siapa yang tahu.
Kembalilah kepada
haknya. Memimpin untuk kebaikan. Untuk keadilan. Untuk kesaksamaan. Untuk
memberikan yang terbaik kepada orang lain tanpa mengurangkan hak orang yang
lain. Pemimpin perlu banyak memberi bukan meminta. Contohilah Khadijah yang
mengorbankan segala harta miliknya untuk Islam. Contohilah Abu Bakar yang
menghabiskan semua hartanya untuk Islam. Dia hanya perlukan Allah dan RasulNya.
Apabila pemimpin banyak meminta, banyak menghimpun kesenangan dunia maka
miskinlah ia dengan hal yang lain-lain. Hormat orang ke atasnya semakin hilang.
Kasih orang semakin tipis. Rindu orang semakin tiada. Berdoalah sesama kita
supaya diri kita yang Allah beri kesempatan untuk menjadi pemimpin kecil ini
memberi manfaat kepada orang lain demi Allah yang menghidup dan mematikan kita
semua. In sya Allah.