Tuesday, October 21, 2014

Siri Ketiga Puluh Empat: Banjir Oh Banji





Berkemas, memindahkan barang dan menyusun aturnya bukan kerja senang. Kebanyakan barang berat-berat belaka. Tenaga beberapa orang sahaja yang termampu digunakan. Lambat sehingga merosakkan peralatan yang dibuat dari kayu. Haji Abas hanya mampu melakukan yang ringan-ringan sahaja. Usianya tidak lagi mengizinkan ia melakukan yang berat dan sukar.


Banjir ini tidak diduga. Sudah terlalu lama penduduk Parit Sulong tidak menyaksikan banjir sebesar ini. Kebanyakan kawasan perumahan ditenggelami air. Hanya kedai-kedai yang bertambak sahaja yang berada di atas paras air banjir.


Pekan Parit Sulong terletak di laluan utama jalanraya utara-selatan sebelum adanya lebuhraya PLUS. Laluan dari Johor Bahru hingga padang Besar di Perlis. Pada peta Malaysia di Semenanjung jalanraya ini dilabel dengan No.1. Parit Sulong terletak antara Pekan Yong Peng dan Bandar Maharani di Muar. Loksinya di muara Sungai Senanga dan bertemu Sungai Simpang Kiri, Batu Pahat. Lokasi ini sangat strategik pada zaman penduduknya berperahu dan bersampan. Mereka bergantung kepada sungai sebagai jalan perhubungan. Pekan Parit Sulong ini pula di pertengahan perjalanan sungai antara Bandar Penggaram dan Seri Medan. Maka Pekan Parit Sulong menjadi tempat persinggahan. Berkembanglah Parit Sulong dari sebuah kampung kecil hingga menjadi sebuah pekan seperti sekarang. Tidak besar tetapi menyediakan banyak kemudahan kepada penduduk setempat. Di pekan inilah Haji Abas dan Hajjah Aminah bermastautin hingga sekarang.

Era banjir dari zaman dahulu hingga tahun 1960an seperti berlalu begitu sahaja. Usaha-usaha Jabatan Pengairan dan Saliran diizinkan Allah untuk tidak berlaku lagi banjir seperti sebelumnya. Banjir kali terakhir kira-kira pada awal tahun 1970an sewaktu penulis mula-mula menjadi guru sekolah menengah. Bertugas pula ketika itu di Kuala Terengganu. Berpuluh tahun kemudiannya Parit Sulong dan kawasan sekitarnya bebas dari banjir besar. Tiba-tiba pada alaf baru 2000 banjir datang lagi. Bukan sekali tetapi dua kali dalam jarak yang dekat. Pada pandangan mata ianya tidaklah gawat. Namun bagi Haji Abas dan Hajjah Aminah senarionya tentulah tidak dapat dibayangkan dengan mata. Hanya ruang tamu dan bilik tidur sahaja yang tidak ditenggelami air. Ruang dapur tenggelam keseluruhannya. Rumah Haji Abas menjadi seperti pulau.

Terhenti aktiviti memasak. Terhenti penggunaan bilik air dan tandas. Terhenti proses membasuh pakaian. Yang boleh hanya duduk melihat air. Mana mungkin tidak ke sungai besar dan ke sungai kecil? Kegawatan yang menerpa secara tiba-tiba. Kudrat pula sudah terlalu berkurangan. Dalam keadaan seperti itu tiada siapa jiran tetangga yang mampu membantu Haji Abas dan Hajjah Aminah. Masing-masing dengan kegawatan masing-masing. Kebanyakan mereka memilih untuk berpindah ke tempat pemindahan sementara atau duduk di rumah dalam serba kepayahan. Mereka yang tidak pernah mengalami banjir tidak mungkin dapat memahami situasinya. Manusia secara fitrahnya tidak boleh duduk diam. Banjir seperti memenjarakan mereka. Mereka seperti terpaksa duduk diam. Anak-anak pula jauh-jauh. Yang ada pun sudah berumur juga. Kudrat masing-masing banyak mengendur.

Lazimnya apabila musim hujan tidak nampak hentinya, petanda banjir dikesnalpasti datangnya dari Negeri Pahang lalu ke Segamat. Dari Segamat air menerjah Muar dan Batu Pahat. Seri Medan selalunya lebih awal dilanda banjir sebelum air itu turun ke Parit Sulong dan kawasan lain di Batu Pahat.  Seri Medan memberikan makluman awal. Banjir besar datang juga melanda Parit Sulong. Rumah Haji Abas ditenggelami air. Anak-anak yang ada bergegas ke Parit Sulong untuk memberikan bantuan awal. Peti ais, mesin basuh, kabinet pinggan mangkuk dan barag-barang lain yang ditenggelami air perlu diselamatkan. Yang tua-tua terasa bergetar urat-saraf seperti terlalu terik. Melelas telapak tangan. Ketika itu tiada cucu-cucu yang jumlahnya berpuluh orang.  Apa lagi yang perlu dibuat selain menyelamatkan apa sahaja yang boleh diselamatkan. Tidak perlu berfikir panjang-panjang. Yang hadir sahajalah harapan menyelamatkan keadaan.

Bukan sahaja Haji Abas dan Hajjah Aminah yang perlu diselamatkan dari keadaan bahkan keseluruhan isi rumahnya perlu diselamatkan. Diorientasi semula untuk memuatkan segala barang yang perlu dimuatkan di ruang tamu dan di bilik tidur. Suatu keadaaan yang cukup kalut. Air yang diharung bukan air bersih. Segala tandas sudah melimpahkan isinya. Terlalu tidak kondusif untuk berada di sekitarnya. Haji Abas dan Hajjah Aminah dipindahkan sementara ke rumah anaknya. Menanti surutnya air. Berminggu juga penantian itu. Selepas banjir surut masalah lain pula yang timbul. Kabinet pinggan mangkuk rosak teruk. Tidak boleh diperbaiki lagi. Perlu diganti. Lantai jubin pula lekang dari simen di bawahnya. Begitu juga kerosakan-kerosakan lain. Terpaksalah jubin baru menggantikan jubin lama. Bilik air diperbaiki. Dipulihkan seperti sebelumnya.

Masalah banjir ini selalu menghantui penduduk yang pernah dilanda banjir. Ianya bukan banjir kilat yang hilang dalam beberapa jam. Ia mungkin dua minggu atau lebih. Malah ada tempat seperti di Parit Raja yang banjirnya berbulan-bulan. Air banjirnya termenung. Tidak mengalir. Tidak surut-surut. Pengalaman itu terus menjadi ingatan. Mereka sentiasa berjaga-jaga apabila tiba musim hujan. Persediaan awal sentiasa dibuat supaya apabila banjir keselamatan sentiasa terjamin. Sebagai iktibar, bahawa apabila usia kita semakin lanjut perkara yang kecil menjadi besar. Pertamanya kudrat kita sudah terhakis. Keduanya, anak-anak lazimnya tinggal berjauhan. Ketiganya, masa amat penting kerana kesegeraan adalah perlu untuk membantu. Keempat, jarang cucu-cicit yang terfikir pentingnya datang membantu datuk dan nenek mereka. Kelima, jiran tetangga tidak  berkeupayaan membantu sewajarnya kerana masing-masing juga dalam kepayahan.


Pengalaman Haji Abas dan Hajjah Aminah ini besar impaknya. Pertama, hindarkan tinggal di kawasan yang cenderung banjir (flood prone). Kedua, pasangan yang berusia lanjut perlu ada yang memantau. Ketiga, bantuan dari keluarga perlu disegerakan. Tanya khabar. Tanya kedudukan. Tanya situasi. Tanya apa yang boleh dibantu. Ukhwah anak-cucu-cicit perlu kental sebagai menjaga warisan masa silamnya. Itu sahaja yang ada. Yang masih boleh ditatap. Yang masih boleh disentuh kulit kedutnya. Bahawa suatu hari nanti kita akan pasti berada dalam situasi itu. Situasi yang tidak banyak memberikan kita banyak pilihan. Kita menerima ketenuan takdir usia. Kepada Allah berserah. Semoga Allah selamatkan Haji Abas dan Hajjah Aminah.


Air di mana-mana apabila sesuatu kawasan itu dilanda banjir. Pekan Parit Sulong Penuh dengan air. Ia bukan pesta tetapi suatu kegawatan yang datang menerpa. Susah payahnya yang perlu ditangani seadanya. Ramai yang makan nasi kawah di pusat pemindahan banjir. Suatu keadaan yang juga menyulitkan.

No comments:

Post a Comment