Wednesday, September 17, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Garam di Padang Pasir

Tasik garam dilihat dari atas Jabal Mauta. Mountain of the Dead. Memutih garamnya.


Dalam Geografi kita belajar bahawa hanya di Laut Mati sahaja yang airnya masin. Laut yang berada 400 meter di bawah paras laut itu masin sejak mendap ribuan tahun dahulu semasa Allah mengazab kaum Nabi Luth. Air yang masuk ke dalam Laut Mati mati di situ sahaja. Tidak keluar ke mana-mana. Kadar masinnya pula tersangat tinggi sehingga tiada kehidupan di dalamnya. Di Siwa penulis mendapat input baru bahawa ada tasik lain selain dari Laut Mati yang airnya masin. Kuasa Allah yang menjadikan sessuatu hanya dengan kun fayaqun sahaja. Di tengah padang pasir terdapat sebuah tasik yang masin airnya. Wadi itu penuh dengan air tawar di buminya. Di sekeliling Siwa terdapat beberapa tasik. Begitulah Allah menunjukkan kuasanya ke atas sesuatu. Di padang pasir yang jauh dari laut terdapat tasik air masin.

Mungkin ada sejarahnya yang tersendiri tetapi belum ada yang memberikan jawapan kenapa air itu masin. Sama masin seperti air di Laut Mati di Jordan. Tiada kehidupan di dalamnya. Mereka yang berada di dalamnya tidak tenggelam. Tentu sahaja tasik ini menjadi tarikan pelancong. Kedudukannya seperti tidak memungkinkan adanya air masin. Di tebing tasik kelihatan garam yang sudah mengering disejat matahari. Sumber garam bagi rakyat tempatan. Proses sahaja seadanya. Boleh dibuat pada bila-bila masa terutamanya pada musim panas. Kepada umat Islam ianya bukan suatu keajaiban. Anugerah Allah ke atas hambanya. Untuk kita mengerti. Menyembahnya tanpa syarat. Garam bukan musibah. Bukan memusnahkan. Ianya menyumbang kepada diversity di Siwa.

Ada sesuatu yang luarbiasa sebagai tanda-tanda kebesaran Allah di tasik air masin Siwa. Menurut pemandu pelancong yang bersama kami, ada bahagian-bahagian tasik air masin itu yang airnya segar dan enak. ﺣﻠﻮ . Terjemahannya bermakna manis. Tetapi lebih tepat enak dan menyegarkan. Mungkin kerana berlawanan dengan masin terasa pula seakan-akan manis. Hanya Allah sahaja yang berkuasa mengadakan sesuatu di luar kotak pemikiran manusia seperti kita yang daif ini. Setelah puas menelusuri ladang kurma di Siwa kami ke tasik garam. Melalui jalanraya yang belum sempurna dan belum diturap. Malangnya di pertengahan jalan untuk menuju ke bukit garam jalan tidak boleh dilalui kerana sedang dibaiki. Bas terpaksa mengundur kira-kira sekilometer jauhnya sebelum menemui jalan pintas untuk kembali ke pekan Siwa.

Agak malang kerana destinasi sebenar di bukit garam tidak dijejaki. Walau bagaimanapun kami sempat berhenti di tepi tasik. Merasakan airnya. Ada yang bergambar. Ada pula yang lainnya merendamkan kaki untuk merasakan garamnya apabila kering nanti. Tidak kelihatan industri kosmetik atau komersil di tepi tasik seperti Israel mengeksploitasi Laut Mati menjadi industri kosmetik yang berbillion dollar nilainya setahun. Bukan sahaja Mesir, Jordan juga tidak memanfaatkan kehadiran garam di tengah negaranya. Jika ada sekalipun hanya secara kecil-kecilan. Itulah bezanya antara mereka yang ada sifat opportunistic dengan mereka yang apathy tentang alam sekelilingnya. Selain dari minyak banyak lagi sumber kekayan alam yang diidamkan oleh Israel. Kesemuanya ada di bumi Syam. Di bumi Anbia’. Lihatlah ambisi Israel. Mereka ingin menguasai keseluruhan bumi di sekeliling negara mereka. Setakat ini hanya Hamas yang menyedarkan mereka bahawa tidak semudah itu hasrat mereka untuk dipenuhi. Allah menghalang kerakusan mereka.

Berada di Siwa adalah suatu pengalaman berzaman-zaman. Di situ terdapat tamaddun Siwa, tamaddun Greek dan tamaddun Islam. Sebagai pengembara penulis rakamkan perjalanan yang unik ini. Sekilas pandang tiada apa yang mengujakan. Tetapi sebagai manusia kita melihat susur galur tamaddun yang silih berganti. Bangsa yang kuat membina tamaddun. Bila mereka sampai di puncak mereka berada di zon selesa. Apabila keadaan itu terjadi mereka tidak merosot perlahan-lahan tetapi jatuh terperosok hina dina kerana kalah kepada bangsa yang lebih gagah. Selepas satu, datang satu lagi yang lain. Janji Allah adalah benar. Bangsa yang leka dan hanya bangga dengan apa yang ada akhirnya binasa. Diganti dengan bangsa yang kuat bekerja. Untuk memakmurkan alam. Bukan untuk menyekutukan Allah. Semoga kita bukan dari golongan itu.
Dari arah yang sama.



Laluan kenderaan yang sempit. Untuk satu laluan sahaja.

Sistem jalanraya di Mesir seperti di Eropah. Di sebelah kanan/ Stereng di sebelah kiri. Untuk pergi satu lorong dan untuk baik satu lorong yang lain.


Garam memutih di pantai tasik.


Airnya pula sama seperti tasik-tasik lain. Riak-riak kecil kerana tiupan angin di permukaan air.


Seorang peserta rombongan sedang ingin bersama air yang unik ini.


Tasik ini luas. Tidak terfikir airnya masin dan bukan tawar.


Bungkah-bungkah garam di tepi tasik.


Luas juga tasik ini.


Di bahagian yang sempit. Tempat pelancong menikmati pemandangannya yang menarik. Di musim dingin lebih sesuai untuk berada di sini.

No comments:

Post a Comment