Gula itu manis. Gula-gula memaniskan
mulut. Dalam jangkapanjang kedua-duanya tidak lagi memaniskan. Sedikit yang
memaniskan adalah keperluan untuk tenaga. Apabila banyak dan tidak terkawal ia
menjanjikan mudarat yang berpanjangan. Berbagai penyakit yang komplikasinya
menjerut kesihatan. Begitu lah apabila kesederhanaan dilampaui dengan kerakusan
kerana gula. Bak kata pepatah, mati semut kerana gula. Asalnya sangat cantik. Di mana ada gula di situ ada semut. Semut boleh
mati kerana terlalu mewah dengan gula. Maka manusia yang juga makhluk bernyawa menerima
musibah gula apabila gula dan gula-gula dimakan melebihi hadnya. Melampaui keperluannya.
Dalam apa keadaan sekalipun apa-apa sahaja yang yang melampaui keperluannya
akan memudaratkan. Dalam keadaan lain apa-apa yang salah keperluan juga
memusnahkan. Memudaratkan. Membawa penyakit.
Penyakit banyak pula konotasinya. Ada panyakit
fizikal. Ada penyakit psikologi. Penyakit fizikal ada yang di dalam dan ada
yang di luar. Kadang-kadang kedua-duanya sukar dirawat. Sukar diubat. Sukar disembuhkan.
Namun yang di luar pastinya juga disebabkan penyakit yang di dalam. Intensitinya
sahaja berbeza. Tahap parahnya berbeza. Fatalitinya berbeza. Namun ramai pakar
yang dapat membantu untuk menyembuhkannya. Mungkin lama dan mungkin sekejap. Penyakit
psikologi yang lebih sukar diubat. Sukar dirawat. Sukar disembuhkan. Ianya menggarap
hati dan perasaan. Memacak pemikiran. Maka apabila kita bercerita mengenai gula
banyak sangat yang sangkut menyangkut. Cerita gula di negara kita tidak
habis-habis dari dulu.
1
Harganya menjadi
bicara.
2
Penyakit darinya
menjadi sengsara.
3
Monpoli dan oligopoli mengenainya
jarang didiskusi.
4
Dasar dan sikap politik
mendasarinya.
Itu cerita gula secara fizikalnya. Manisan
dari tebu dan diadun bersama bahan kimia untuk digunakan dalam makanan dan
minuman. Walaupun berbagai usaha dilakukan untuk mencari pengganti gula, hingga
setakat ini tidak ramai yang bersedia untuk arif tentang bahaya gula. Pemanis dari
stevia masih belum menangkap pemikiran orang kita. Dalam satu hal, baik juga harga
gula dinaikkan. Diharap kurang penggunaan gula. Dalam hal yang lain meraunglah
rakyat kerana kesukaan mereka dimahalkan harganya. Orang kita sukar
meninggalkan gula kerana disebatikan oleh sejarah pemakanan sejak dari
dahulukala lagi. Cerita gula ini mungkin boleh dianalogikan kepada benda-benda
lain. Apa sahaja yang ada nilai manis dikatakan gula. Mungkin gula-gula. Nilai gula
mungkin tarafnya agak tinggi. Tetapi jika dinamakan gula-gula maka konotasinya negatif.
Rendah taraf. Hina. Ada niat buruk di sebaliknya.
Siapa yang boleh menggula dan boleh
menggula-gulakan? Tentunya mereka yang mampu dari segi ekonomi. Untuk membeli
gula-gula yang paling murah dikira mahal juga. Yang berjenama lagilah mahal. Namun
gula-gula tetap gula-gula. Dikira rendah tarafnya. Dalam keadaan lain gula-gula
sudah tidak diperlukan. Banyak keperluan lain yang lebih mendesak. Kehidupan diasak
dengan himpitan dan lambungan harga barang. Ada yang boleh dijawab secara
ekonomi. Secara matematik. Ada jawapan saintifiknya. Malangnya banyak kenaikan
harga barang yang tidak ada sistem pengiraannya. Apabila sistem ekonomi hilang
keseimbangannya maka hal-hal yang biasa menjadi luarbiasa. Gula menjadi
penyebab penyakit. Gula-gula yang dimakan secara banyak juga memudaratkan. Kita
terperangkap antara gula dan subsidi. Dua benda yang berlainan tetapi dilihat
dalam spektrum yang sama. Apabila yang berada memberi gula-gula bermakna
gula-gula itu dianggap subsidi. Betulkah begitu?
Penulis teringat peribahasa lama. Masih wujud.
Masih ada yang berada dalam status itu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan
petang. Bak ayam yang mencari makan sendiri. Bergantung kepada kemahirannya mengais.
Tempat yang dikais. Masa mengais. Apabila ekonomi hilang keseimbangan maka
orang tidak lagi kais pagi dan kais petang. Mereka terpaksa berkais banyak kali
untuk makan sekali. Terpaksa bercatu pula. Kais hari ini dan esok belum tentu
boleh mengenyangkan. Rasanya selepas ini penulis berharap jangan lagi digunakan
racun rumpai. Jika digunakan juga sila bubuh papantanda yang jelas bahawa
kawasan itu rumpainya baru diracun. Jangan terperanjat akan banyak kenderaan
berhenti di tepi jalanraya. Bukan berehat. Mereka memungut pucuk ubi. Pucuk paku
merah. Pucuk paku perak. Paling seronok barangkali memetik kangkung yang
lazimnya banyak di dalam parit yang terbiar.
Apabila kos hidup meningkat maka taraf
hidup merudum. Tidak ada siapa yang akan perasan bahawa yang memungut sayur
percuma itu bukan calang-calang orang. Pendapatannya sebulan ribuan ringgit. Tetapi
habis untuk rumah, kenderaan, persekolahan anak-anak, keperluan keluarga dan
saudara mara. Mungkin kita perlu mengubah gaya hidup. Budaya makan kita dikurangkan
dengan drastik. Kembangkan budaya berjimat secara revolusi. Bukan evolusi.
1
Setiap kali makan hanya
satu lauk dan satu sayur sahaja.
2
Lauk dan sayur dicatu. Untuk
mengisi perut dan bukan untuk mengenyangkan.
3
Jika ada peluang tanam
sendiri sayur apa-apa yang boleh ditanam. Di tanah jika ada tanah. Di pasu
untuk orang bandar.
4
Kembali kepada hobi
memancing untuk menampung lauk-pauk secara tabii.
5
Kurangkan bertandang ke
rumah orang lain. Kasihan tuan rumah yang perlu menyediakan makanan tanpa
bajet.
6
Kurangkan kenduri
kendara. Baca doa sendiri. Cukup anak-beranak.
7
Jamuan kenduri kendara
dihadkan menunya. Cukup air dan sedikit kuih. Ikhlaskan doanya. Ikhlaskan kehadiran
diri. Kebersamaan itu yang lebih penting.
8
Paling besar perubahan
ialah kenduri kahwin. Selepas ini kurangkan undangan. Cukup sekadar saudara
mara terdekat. Dan kawan rapat sahaja. Maaf. Rasanya jika bajet sebelum tahun
2014 ialah RM10 seorang, sekarang mungkin RM17 seorang. Janganlah berhutang
pula kerana untuk membayarnya semakin sukar kerana kesempitan hidup yang
semakin melambung.
Cukuplah. Kita telah sampai di
penghujung suatu persimpangan. Kita perlu mengambil langkah berani. Kita perlu
utamakan desakan yang lain. Pendidikan anak-anak, persediaan kesihatan,
langlah-langkah keselamatan keluarga dan hal-hal di luar jangka. Bagi yang
berada, mereka banyak pilihan. Bagi yang kaya mereka banyak ruang bertindak. Bagi
yang berkuasa, politik menentukannya. Bagi kita yang biasa-biasa ini kena
fikirkan sendiri. Bertindak sendiri. Kena banyak tutup mata bagi mengelak
keghairahan berbelanja. Kena tutup telinga untuk mengelak sindir dan perli. Ekonomi
diri kita, kita yang jaga. Gula-gula datang sekali sekala. Sedikit. Bukan banyak.
Itupun diambil kembali apabila harga barang-barang melambung naik. Apabila banyak
caj tambahan dikenakan kepada kita. Mengeluh tiada yang mendengar. Berkata tiada
siapa yang memberi nilai baik. Kita dan diri kita yang perlu bertindak sendiri.
Mudah-mudahan Allah bersama kita. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment