Friday, January 3, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Taman Asuhan Kanak-Kanak Yang Perlu Diasuh



Terlalu kerap rasanya ramai bayi malang di Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA). Bayi dan anak-anak kecil mongil yang terlal wangi seluruh tubuhnya cedera atau meninggal kerana banyak sebab yang sukar difahami. Ibu-ibu muda kehilangan cahaya mata yang belum puas ditatap dan diulit. Suatu industri yang terlalu berisiko tinggi kepada pengguna atau pelanggannya. Serba serbi menakutkan. Selain dari dicolek ada pula yang terabai hingga tercedera dan meninggal. Ada pula yang sengaja diberi minuman dan makanan yang menjadikan mereka tidur nyenyak. Tidak menangis. Tidak bising. Tidak meragam. Semakin lama TASKA semakin menjadi tidak menentu. Institusi harapan ini semakin menakutkan. Tiada siapa yang pasti anak siapa yang akan menjadi mangsa. Yang akan menerima nasib malang seperti anak-anak malang yang telah pergi terlebih dahulu. Semuanya tentatif. Kepastiannya tidak ada. Yang pasti kesemuanya menjadi tidak pasti. Ia bukan lagi antara selamat atau tidak. Malah menjadi lebih kritikal. Sesiapa yang menghantar anak ke TASKA perlu berfikir banyak kali. Selama lapan jam setiap hari, anak itu hidup atau mati. Ekstrim.

Banyak persoalan psikologi dalam pengendalian dan pengurusan TASKA. Banya pihak yang sepatutnya memainkan perananan. Ironisnya setelah begitu ramai anak-anak kecil menjadi mangsa, industri TASKA tidak diberi perhatian yang sewajarnya. Tiada mendapat keperihatinan semua pihak yang berkaitan.
1                   Jabatan Perdana Menteri: Pemantauan tertinggi.
2                   Kementerian Pelajaran: Mungkin persijilan.
3                   Kementerian Pembangunan Wanita: Penguatkuasaan.
4                   Kementerian Kesihatan: Pelaksanaan dan penguatkuasaan.
5                   Kementerian Sumber Manusia: Wawasan masa hadapan negara.
6                   CEUPECS: Masalah anak buah.
7                   Kesatuan Sekerja: Kelesamatan keluarga.
8                   Kejiranan: Maslahah umum masyarakat.

Jangan biarkan anak-anak hanya tanggungjawab ibu dan bapa. Anak itu tanggungjawab negara. Tanggungjawab pemimpin. Tangungjawab masyaralat.  Anak-anak itu masa hadapan negara. Sebagai contoh, jika kes keceraraan kekal atau kematian sebegitu berlaku di USA penulis pasti ibu bapa anak-ana malang itu akan menuntut pampas an sekurang-kurangnya USD100 juta. Juta, bukan ribu. Senang. Andaikan anak itu hidup 65 tahun. Jawatannya akauntan. Pendapatannya sebulan RM50,000. Selama 40 tahun dia bekerja berapa jumlahnya.  Termasuk juga dalam pengiraan multiplier effect dan pengembangan bisness. Di Malaysia semua orang mengambil mudah mengenai hal kanak-anak. Tidak suka, buang. Tidak suka, bunuh. Tidak suka, dera. Kita hilang kemanusiaan.  Mata kita berselaput dengan wang ringgit. Mengira dan ampak wang sahaja. Lalu kita lupa jalan baik yang kita tinggalkan. Kita mencari jalan pintas yang akhirnya memerangkap selamat diri. Tidak ada pemilik TASKA atau pekerjanya yang akan selamat apabila tindakan mereka tidak menjamin keselamatan anak-anak yang di bawah tanggungjawab mereka. Alhamdulillah tidak semua TASKA begitu senerionya. Masih banyak yang selamat. Cuma ibu dan bapa hendaklah selektif dan berhati-hati. banyak yang perlu dilakukan untuk memperbaiki keadaan.

Lembaga Perlesenan dan Persijilan TASKA
Sudah sampai masanya pihak yang berwajib memberikan perhatian rasmi tentang industri TASKA. Walaupun kerajaan bukan pemain utama atau bukan pemain rasmi tetapi pihak kerajaan perlu memberikan garispanduan yang sewajarnya. Ada statutnya yang jelas. Ada undang-undangnya yang nyata. Ada dasar yang mudah difahami. Maka kesemua TASKA hendaklah didaftarkan. Pendaftaran ini pula hendaklah dibuat secara serius. Ada borang dan prosedurnya. Persijilan diperlukan supaya hanya mereka yang benar-benar layak sahaja boleh mengendalikan sesebuah TASKA. Bukan kerja main-main. Bukan tangkap muat sahaja. Setiap orang yang yang terlibat terikat dengan undang-undang dan konsekuennya. TASKA hendaklah dipandang sebagai institusi masyarakat yang serius. Ia pelengkap kepada hasrat untuk memberi peluang kepada ibu-ibu muda sama-sama membina negara. Hak mereka wajib dihormati. Sumbangan mereka dihargai. Bukan dengan wang ringgit tetapi dengan menjamin keselamatan anak-anak mereka di TASKA sebagai contoh kecil.

Pemeriksaan Kesihatan
Menjaga kanak-kanak kecil sama juga seperti menjaga orang tua. Kanak-kanak belum kuat dari segi pertahanan diri. Dari serangan penyakit. Imunisasai pada diri mereka belum terbentuk kuat. Orang tua pula sudah kehilangan pertahanan diri. Oleh yang demikian mereka yang terlibat dengan TASKA wajib menjalani pemeriksaan kesihatan. Mereka wajib bebas dari penyakit yang mudah berjangkit atau merebak. Sebagai contoh, apabila seorang pekerja sedang demam atau selsema atau batuk ia mestilah bercuti sehingga sembuh baru boleh memulakan tugas semula. Penyakit adalah perkara serius kepada kanak-kanak. Tiada kompromi dalam perkara ini. Mana-mana TASKA yang engkar perlu dikenakan kompaun atau ditutup sementara atau lesennya ditarik balik. Mungkin sijil mereka ditarik balik. TASKA memikul tanggungjawab berat untuk negara. Bukan kantung dan saku yang perlu diisi dengan wang keuntungan yang berganda-ganda. Kerana itu hanya mereka yang benar-benar sihat dari segi fizikal dibenarkan turut sama mengendalikan TASKA. Tiada kecuali. Risiko penyakit sangat tinggi. Boleh memusnahkan harapan sebuah keluarga.

Pemeriksaan Mental
Terlalu banyak hal-hal yang di luar jangka. Ramai pengasuh yang diambil bekerja di TASKA tidak layak dari segi mental. Mereka gagal dari segi psikologi. Mengasuh anak-anak kecil perlukan mental yang segar. Tenang. Kerana itu mereka yang berminat bekerja di TASKA wajib melalui suatu ujian aptitude. Hanya mereka yang lulus sahaja layak diberi watikah sebagai pengasuh. Perlu ada latihan amali. Tugas mereka juga perlukan pemantauan untuk mengesan sindrom mendera atau mengabaikan tugas atau mengambil ringan sesuatu yang berkaita dengan asuhan mereka di TASKA. Aptitude Test juga merangkumi minat mereka terhadap anak-anak kecil. Seri wajah mereka berhadapan dengan bayi umpamanya. Sikap mereka yang tidak jijik dengan najis besar atau kecil. Tanda-tanda nyata dan yang berkemungkin perlu diselami melalui aptitude test supaya mereka yang berkecenderangan mendera bayi umpamanya dapat disingkirkan lebih awal. Jangan apabila sesudah terlambat. Sesudah kerosakan berlaku. Sesudah kematian berulang-ulang. Kita perlu belajar dari sejarah yang lalu. Perlu ada penamatnya.

Motif Penubuhan TASKA
Apabila menjadi usahawan, motif utama tentulah keuntungan. Namun begitu keuntungan bukan satu-satunya landasan mencapai kejayaan. Pemilik TASKA dijamin memiliki kekayaan menasabah. Peralatan selamat, mencukupi dan diselenggara. Keperihatinan adalah paling utama dalam menguruskan TASKA. Tanggungjawab di dalam jiwa untuk membesarkan anak bangsa. Membangun bakal warganegara masa hadapan. Keuntungan akan mengiringi TASKA yang bertanggungjawab. Berwawasan jauh. Ingin kekal lama dalam industri. Namanya diiklankan dari mulut ke mulut. Kebaikan TASKAnya bersalut antara kualiti dan kuantiti. Keuntungan jangkapanjang adalah lebih utama supaya TASKA menjadi kerjaya bukan keuntungan singkat tetapi menjerat diri sendiri. Pemilik TASKA bukan calang-calang orang. Mungkin perlukan mereka yang bertaraf guru. Memiliki diploma atau ijazah child care. Menjadi agen keselamatan anak-anak kecil dan bayi. Membantu menenangkan keserabutan ibu dan bapa muda yang baru belajar menerima cenderamata.

Pemerhatian dan Pemantauan Berkala
Apabila ditubuhkan sesebuah TASKA tugas untuk memastikan ianya berfungsi selaras dengan aspirasi negara tidak boleh terhenti begitu sahaja. Perlu ada pemantauan berkala. Ada pemeriksaan premis dari semua phak yang terlibat seperti Pejabat Kesihatan, Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran/Bandaraya dan mungkin Pejabat Pendidikan Daerah. Pemantauan berfungsi untuk menambahbaik.  Bukan untuk mencari kesalahan. Bukan kesalahan yang dihighlight tetapi cadangan untuk memperbaiki keadaan yang lebih penting. Semua orang bertanggungjawab untuk melestarikan industri TASKA sesuai dengan lonjakan untuk memajukan negara. Aspek penjagaan anak-anak menjadi penting. Semakin pengting.



Sudah sampai masanya TASKA menjadi institusi rasmi. Bergerak seiring dengan pembangunan manusia. Pembangunan insane kecil yang dikatakan permata negara. Jangan jadikan ianya ungkapan manis dimulut. Perlu ada tapak kukuh untuk merealisasikan sebuah impian segar yang muluk-muluk masa hadapannya. Cerita TASKA ini sudah puluhan tahun lamanya tetapi kerajaan belum juga merealisasikannya. Ianya perlu diwajibkan di semua organisasi supaya rasa selamat benar-benar selamat sudahnya. InsyaAllah jika semuanya disegerakkan bersama.

No comments:

Post a Comment