Wednesday, June 22, 2011

Menerima Kelahiran


Sembilan bulan sepuluh hari bukannya lama. Masa yang berlalu. Datang dan pergi. Saatnya tiba juga. Penantian yang bukan memenatkan. Banyak rencana mengisi masa. Mengisi sarwajagat yang luas terbentang. Mengerdilkan diri sebanding kosmojagat yang sukar dimengerti. Milik Allah yang sangat besarnya. Sangat hebatnya. Nantian masa yang datang juga. Saatnya tiba untuk menerima suatu kelahiran. Anakku ini umimu. Ini abimu. Datanglah kepada kami dengan luhurmu. Tangislah untuk menyedarkan kami tentang hidupmu. Berbuatlah untuk menjadikan kami dinamik mengasuhmu.

Bang, azankan anak itu di telinga kanannya. Iqamahkan dia di telinga kirinya. Alunkan semerdu-merdunya. Kau jela-jelakan panjangnya. Dayu-dayukan gemersik suaramu. Biarlah anak itu mendengar hanya yang hak. Biar sampai ke hatinya hanya yang hak. Biar diterima oleh akalnya hanya yang hak. Biar damai hatinya. Biar tenang sanubarinya. Biar sejahtera rohaninya. Biarpun ia mewarisi Islam dari ibu dan ayahnya jangan biarkan dia mewarisinya tanpa roh. Tanpa nyawa. Azan dan iqamah itu mengijazahkan kepadanya legasi Islam yang syumul dari ayahnya. Memperingatkan dia akan Allah yang menjadi segala-galanya kepada manusia yang dituntut beriman. Menjadi Muslim yang mumtaz. Berjuang untuk Allahnya, Rasulnya dan kesejagatan Islamnya.

Ingatlah proses tahnik. Anak comel itu yang mirip kau dan ibunya kau dakap penuh mesra. Penuh sayang. Penuh kerinduan yang mencengkam. Sentuhlah kulitnya yang halus mulus. Ciumlah pipinya yang mewangi semerbak. Wangian dari alam yang baru ditinggalkannya. Wangi itu akan kekal beberapa bulan. Beberapa tahun.  Ciumlah sepuas hatimu. Sepuas nuranimu. Wangi itu tidak kekal selamanya. Besarnya pasti menghakis bau itu. Ada bau lain yang datang bersilih ganti. Tanda perubahan usia dan tanggungjawabnya sebagai manusia. Bau semasa bayinya sangat mengasyikkan. Baunya semasa kecilnya sangat mengujakan. Bila kau berpergian untuk bekerja kau akan bawa bau itu. Kau terhidu bau itu. Petang itu kau akan berkejaran pulang untuk merindui bau itu. Begitulah bau cintamu bersama isterimu. Ibu anakmu. Itu bau bahagiamu bersamanya. Itulah bau syurga rumahtanggamu. Carilah bau itu. Ia tidak akan ada kecuali pada bayimu. Pada anakmu. Pada jalur keturunanmu. Pada zuriatmu.

Bau wangi itu amat mewangi. Merangsangmu untuk membesarkannya dengan wadah Islamiyyah. Mencorakkannya dari bak kain putih yang bersih. Corakkan dia supaya penuh dengan warna warni iman. Penuh dengan silangan dan selingan jihad. Penuh dengan jalur-jalur jariah. Pejuang yang mencarinya syahid. Menjadi muttaqin. Solihin. ‘Abidin. Asuhlah menjadi pengasih bak Abu Bakar. Asuhlah dia menjadi tegas bak Umar al-Khattab. Asuhlah dia menjadi ‘alim bak Uthman bin Affan. Asuhlh dia menjadi berilmu bak ‘Ali karamallah wahjah. Pada dadanya ada Khalid al-Walid. Ada darah pejuang. Ada kekuatan menegakkan Islam. Ada keghairahan mendakwah. Mengukuh dan memperkasa agama.

Susui dia wahai isteri. Alirkan kekuatan dirimu kepada anak itu. Kekuatan kasih sayangmu akan membesarkan dirinya. Fizikalnya. Rohaninya. Psikologinya. Alirkan kekuatan dirimu kepadanya agar dia menjadi sekuat kau. Anak yang mengerti keperitan ibunya yang mengandungkannya. Anak yang mengerti kesakitan agung kerana melahirkannya. Mengerti jerih perih membesarkannya. Mengerti kasih sayangmu yang mencurah-curah bak air terjun yang tidak pernah berhenti. Tidak pernah membeku. Makanan keduanya barangkali sedikit cicipan kurma yang sudah dikunyah lumat. Biar makan kegemaran Nabi itu masuk ke mulutnya. Ke  rongganya. Ke dalam siatem sarafnya. Kata ulamak proses itu menjauhkan dia dari terkena kanser usus. Biar dia membesar dengan sempena agamanya. Supaya hatinya dekat dengan agama. Dekat dengan Rasulnya. Dekat dengan Allahnya.

Panjatkan kesyukuran kerana limpah kurniaNya. Semoga Allah merahmati keluargamu. Merahmati kehidupan dunia dan akhirat anakmu. Zuriatmu. Sujud syukur yang pertama sekali. Segerakan bersyukur kepada Allah. Semuanya keranaNya. Tiada yang lain selain dariNya. Dituntut supaya rambutnya dicukur. Ditimbang dan dinilai dengan ukuran emas. Seolah-olah rambut itu adalah emas. Wang nilaiannya itu disedekahkan untuk mereka yang berhak. Adakanlah aqikah. Dua ekor kambing untuk anak lelaki. Seekor kambing untuk anak perempuan. Jamulah mereka  yang ada. Juga tanda kesyukuran yang tidak terhingga. Dikongsi dengan saudara mara. Dikongsi dengan jiran tetangga. Semoga kambing itu menantinya nanti di alam akhirat.

Adat dan undang-undang perlu dipenuhi mengikut haknya. Namanya diisytihar menggema. Anak itu sudah ada nama. Nama yang telah berbulan dipilih. Yang telah disepakati paling sempurna. Nanti sebutan namanya menjadi doa yang berulang-ulang. Lalu didaftarkan kepada yang berwajib. Syarat untuk nanti dibekalkan dengan pengenalan diri. Menjadi warganegara yang berhak dan dilindungi. Boleh bersekolah dan berurusan apa sahaja sebagai warganegara. Jaganya kau pesan dengan tanggungjawab terhadap Allahnya. Terhadap Rasulnya. Terhadap agamanya. Dodoimu mestilah dengan lagu iman dan Islam. Buai dia dengan lagu-lagu syurga yang indah mengesankan. Tidurnya kau uliti dengan mimpi-mimpi jihad. Selimuti dia dengan kasih sayangmu. Dengan kesyukuran yang memanjang.

Bermulalah tanggungjawabmu sebagai ibunya. Bermulalah tanggungjawabmu sebagai bapanya. Hanya kematangan mewaraskan pemikiranmu. Tindakanmu. Mengertilah bahawa perkahwinan bukan semata-mata nikmat keseronokan. Mengertilah nikmat itu sangat pendek hayatnya. Hanya kebahagiaan dan kesejahteraan berumahtangga yang memanjang usia.  Rumahtangga adalah gedung tanggungjawab. Tanggungjawab kepada Allah. Kepada Rasulullah. Kepada agama. Suami kepada isteri. Isteri kepada suami. Ibu bapa kepada anak. Tanggungjawabmu sekarang berganda. Maka belajarlah untuk mengurus kesemuanya. Tidak ada kepada siapa yang boleh kau pindahkan tanggungjawab itu. Kesemuanya di bahumu. Mutlak tetapi syahdu.

Ingatlah apabila kau berumahtangga dahulu Allah sangat merestui. Iblis dan syaitan mengeluh tidak henti-hentinya. Namun di sebalik itu Allah mengurniakan kepadamu kelebihan-kelebihan yang juga berganda. Ibadatmu berganda-ganda pahalanya berbanding dengan orang bujang. Yang pastinya 27 kali ganda lebih besar nilainya. Rezekimu lebih barakah berbanding sewaktu bujang dahulu. Percayalah semakin ramai anakmu nanti semakin banyak rezeki datang melimpah-limpah. Kurnia Allah yang datang dari berbagai penjuru.  Yang penting yakin dan redha. Rezeki dari Allah. Jika perkahwinan itu sunnah Rasulullah tentu ada kebaikannya. Kerana perkahwinan itu adalah sunnatullah, Allah pasti melindungimu dan keluargamu dengan mawaddah. Dengan kasih sayang.

Banyaklah bersyukur. Hanya dengan banyak bersyukur itu kau menyerahkan dirimu kepada Allah.  Memohon kebaikan atas kehadiran anakmu. Anugerah Allah yang tidak terhingga. Nikmat berkeluarga. Redhalah kerana kesempatan itu Allah anugerahkan kepadamu. InsyaAllah semuanya dalam peliharaan Allah jua. Amin.

No comments:

Post a Comment