Friday, December 30, 2011

Jangan Berlunjur Sebelum Duduk Untuk Mengurus Anak

Mencegah adalah yang paling baik. Mencegah menghalang musibah. Mencegah sebarang kemunkinan yang negatif. Perkiraan untuk menghasilkan semua yang terbaik. Mencegah itu menghindarkan banyak masalah yang dijangka tiba. Mencegah sebenarnya lebih mudah. Mengambil semua langkah menghindar kemungkinan yang mendorong terjadinya sesuatu. Yang kita maksudkan ialah kedatangan bahaya. Kehadiran mala petaka. Musibah yang selalu tidak diundang. Malangnya kita selalu sesudah terantuk baru tengadah. Kepada ibu dan bapa anak yang paling baik ialah yang akhlaknya menyenangkan. Kata ibu dan bapa dituruti. Tidak banyak karenahnya kerana dia tahu ibu dan bapanya menyediakan yang terbaik untuknya. Malangnya tidak ramai anak-anak yang cepat matang. Yang cepat mengerti. Yang tahu apa yang terbaik untuk masa hadapannya. Sama ada anak-anak tidak dapat mempergunakan akal fikirannya atau ibu dan bapa gagal menyampaikan hasrat hati masing-masing. Walaju apapun maka mencegah adalah ubat segala ubat dalam mendidik anak. Sekiranya cegahan tidak berjaya dilaksanakan maka kita berhadapan dengan musibah merawat. Oleh kerana merawat adalah jauh lebih berat maka mencegah adalah lebih murah. Cost saving. Ia mungkin cost effective. Seperti dalam biznes harus ada cost benefit analysis.

Namanya sahaja disebut mencegah. Sebelum musibah boleh singgah anak-anak harus telah maklum akan apa yang mungkin akan mereka hadapi pada masa hadapan. Langkah mereka mesti lurus. Bila kaki tersandung, musibah jadinya. Apabila terpanjang langkah masalah jadinya. Apabila berhenti melangkah maka penyakit yang akan hinggap tiba. Terlalu banyak penyakit akhlak yang hinggap pada anak-anak kita. Merawatnya menjadi semakin sukar. Mereka semakin kebal nasihat. Jauh dari mahu menerima ajaran. Iktibar banyak terbiar begitu sahaja. Anak-anak semakin liar kerana yang mereka pandang adalah teladan yang bukan hak. Yang mereka rujuk bukan yang benar. Terlalu banyak yang mengganggu psikologi anak-anak. Yang benar mereka ketepikan. Yang salah itulah yang pada persepsi mereka adalah benar. Tolong jangan rujuk TV sebagai benar. Drama banyak yang salah. Berita banyak yang tidak tepat.  Jika ingin melihat benar maka rujukan yang terbaik ialah al-Quran, hadith sahih, ijmak, qias, ijtihad. Rujuk mereka yang musyid. Yang alimnya kerana berguru.  Bukan yang alim kerana membaca. Membaca dan berguru dua perkara yang berbeza. Membaca tanpa guru tidak dapat membetulkan kefahaman. Tidak dapat mengharmonikan keraguan. Tidak dapat meluruskan kecelaruan fikiran. Rujuklah yang arif bukan yang sekadar tahu.

Mencegah banyak juga yang perlu dilakukan. Iklim rumahtangga perlu diwujudkan. Siapa sebenarnya yang ingin kita bangunkan dalam keluarga kita. Maksud saya apa akan kita jadikan anak-anak kita. Bagaimanakah dewasanya nanti. Kita sebagai ibu dan bapa yang mencorakkan mereka. Ingat, mereka dilahirkan suci. Bak kain putih. Bersih dan putih. Kita, kita ibu dan bapanya yang mencorakkan mereka. Jalan fikir mereka datangnya dari kita. Gaya kehidupan didikan kita. Falsafah hidup mereka ikutan dari kita. Tindakan adalah saduran kita. Kita selalu menyenaraikan the dos and the don’ts. Namun kita mungkin memilih yang boleh walaupun dari segi agama tidak boleh. Kita mungkin melarang sedangkan larangan itu tidak bersandarkan agama. Sesungguhnya apa-apa yang diperintahkan Allah tiada yang cacat celanya. Apa-apa yang dilarang Allah tiada apa manfaatnya. Maka jika kita memilih senarai arahan dan larangan yang salah akibatnya adalah musibah. Atau jika kita memilih apa-apa senarai bukan kerana Allah, mungkin musibah juga jadinya.

Ilmu hendaklah dipelajari. Apatah lagi ilmu beribu bapa. Ilmu berkeluarga. Ilmu untuk mendidik anak-anak. Satu lagi mendidik anak jangan ikut trend. Ia tidak menentukan yang hak dan yang benar. Main ikut-ikutan adalah taqlid yang merosakkan. Sebabnya kita tidak tahu rasional pilihan kita. Orang buat kita buat. Kenapa mereka buat kita tidak tahu sebabnya. Tidak tahu pilihan orang lain. Sangat bahaya kerana apabila sesuatu yang tidak elok berlaku kita terpanar. Kita tidak tahu cara berhadapan dengannya. Tidak tahu untuk mengatasinya apabila ianya membebankan kita. Tidak tahu menyelesaikannya. Bila kita tidak tahu maka semakin banyaklah masalahnya. Semuanya membesar tanpa kita tahu untuk mengecilkannya. Sebab itu mencegah perlu ada agenda. Ibu bapa hendaklah bercakap menggunakan bahasa yang difahami oleh anak-anak. Straight to the point.   Yang dibicarakan ialah hal-hal yang diketahui bukan yang samar-samar atau abstrak. Bukan yang ghaib. Kecualilah anak-anak sudah dikebalkan dengan ilmu agama. Akidahnya kukuh. Imannya teruji. Mereka mudah bertaubat. Merawat mereka lebih mudah. Rohani mereka penuh. Cuma ada gangguan sahaja.

Semuanya harus dimulai dari anak-anak semasa kecil. Sewaktu mereka masih polos.  Sewaktu mereka masih terlalu mudah mengikut apa sahaja agenda ibu bapa. Sewaktu mereka tidak banyak karenahnya. Itulah sebabnya standard harus dibangunkan sejak dari mereka kecil lagi. Dengan standard itu mereka dapat dibentuk. Dapat dibina. Dapat dibangunkan mengikut acuan ibu dan bapa. Sewaktu kecil itulah masa yang paling unggul. Paling sesuai. Supaya mereka membesar dalam acuan yang dihasratkan ibu dan bapa. Sekali lagi apakah standard itu sudah dibangunkan. Jika tidak ibu dan bapa akan terus tercari-cari. Mencari ramuan yang paling baik. Rempah ratus yang paling serasi. Formula yang paling ampuh.  Semua ibu bapa mahukan anak-anak yang jempolan. Menjadi jagoan. Anak-anak yang terbaik pernah dilahirkan. Anak-anak yang menjulang nama keluarga. Memartabatkan yang  terbaik untuk keluarga. Namun hakikat tidak semuanya benar. Kesilapan berlaku pada bila-bila sahaja. Cuma didoakan kesilapan itu yang kecil-kecil lagi. Tidak yang terlalu memburukkan.

Walau apapun tidak semuanya seperti direncana. Mendidik anak kadang-kadang seperti cuba jaya. Seperti eksperimen. Banyak yang perlu dilakukan untuk menghasilkan sesuatu yang dicita-citakan. Setiap seorang anak berbeza fitrah khususnya. Pada umumnya mungkin sama. Ada sifat-sifat biasa. Ciri-ciri biasa. Persamaan-persamaan yang membenarkan ianya adalah insan. Manusia yang berperana sebagai khalifah. Pemimpin kepada manusia lain. Yang khususnya tidak sama. Ada yang mudah tetapi banyak yang payahnya. Kesabaran dan perancangan yang jitu diperlukan untuk menghasilkan anak-anak yang terbaik. Kerana itu kesalahan banyak berlaku. Kekeliruan banyak terjadi. Kekusutan banyak dihadapi. Maka ibu dan bapa selalu tidak menang tangan berhadapan dengan anak-anak. Kepayahyan mengurus karenah mereka. Kebimbangan yang selalu datang. Ketidakwarasan yang selalu perlu didalangi. Mendidik secara profesional tanpa banyak emosi. Semuanya ditentukan kurikulumnya. Sebagai guru tanggungjawabnya hanya di sekolah. Sebagai ibu bapa tanggungjawab itu sepanjang usia. Tiada rehatnya. Not even a second.

Barangkali tiada jawapannya yang pasti. Namun banyak yang telah dicuba. Duduklah bertentang mata dengan anak. Duduk berdua. Pegang tangannya. Renung lembut ke matanya. Pandang lama-lama. Nyatakan harapan dan hasrat untuk menjadikanya yang terbaik. Anak yang diinginkan. Berbicara dari hati ke hati. Usap egonya. Hembus psikologinya. Katakanlah yang terbaik kepadanya. Minta dia memahami. Jadikan ianya seperti suatu jual beli. Minta anak beli idea ibu dan bapa. Minta mereka membuat persetujuan. Minta janji mereka untuk ikut rencana ibu dan bapa. Minta mereka faham. Minta mereka ikut dulu. Mencuba dahulu. Beri mereka waktu untuk berubah. Tiada paksaan. Tiada ugutan. Suasana yang santai sahaja. Banyakkan sabar. Banyakkan berdoa. Serahkan kepada Allah. Curahkan hati kepadaNya. Mohon petunjukNya. Mohon bimbinganNya. Mohon semoga Allah membuka ruang hati anak-anak. Membuka luang yang boleh diisi dengan kebaikan.

Rakan adalah suatu keperluan kepada anak-anak. Bimbing mereka untuk memilih rakan-rakan yang banyak positifnya. Pilih yang rajin belajar. Yang suka membaca. Yang suka membeli bahan bacaan akademik. Yang hobinya membina minda dan sosial. Yang menambahkan keyakinan diri. Yang ada daya kepimpinan. Yang darjah kepekaannya tinggi. Yang suka membantu. Prihatin dengan permasalahan antara rakan. Akademiknya selalu dijaga. Pergaulannya selalu dibatas. Kegilaan remajanya selalu banyak sempadannya. Pemikirannya jauh ke hadapan. Menjuarai kebaikan. Menjulang kejayaan. Teman-teman seperti itu yang ditanam dalam benak anak. Supaya mereka tidak memilih yang gila-gila. Bukan yang mementingkan hedonism. Bukan yang tidak tahu memilih hyjung dan oangkal. Bukan yang sesar barat. Bukan yang menyingkir agama. Bukan yang jarang solat. Bukan yang tidak cintakan kebaikan.

Biarlah anak keluar sekali sekala. Tetapi berjadual. Harinya ditentukan. Lamanya ditentukan. Masanya ditentukan. Tempatnya ditentukan. Aktivitinya ditentukan. Pengangkutannya ditentukan. Pakainnya ditentukan. Wang sakunya terbatas seperlunya sahaja. Elakkan pengangkutan awam. Elakkan dia berpergiaan dengan kenderaan awam. Nanti dia menjadi tidak terkawal. Masanya terlalai. Lamanya terlajak-lajak. Terlalu banyak mempersia-siakan masa yang seharusnya dihargai kerana nilainya yang tinggi. Kenderaan banyak lambatnya. Banyak berhentinya. Banyak gangguannya. Banyak masa terbuang menunggu ketibaannya. Maka waktu pulangnya selalu melepasi masa yang diperuntukkan.  Di dalam bas umpamanya banyak juga gangguan yang lain. Mungkin teman wanita. Mungkin teman lelaki. Penyelesaiannya sangat mudah tetapi sulit jika tidak bersedia. Jika tidak ada rasa untuk melindungi anak-anak yang paling dikasihi. Pergi dan baliknya anak itu hendaklah dijemput. Ditentukan time framenya. Sampai di destinasi sebelum aktivitinya bermula. Sampai kembali di situ untuk menjemputnya di hujung sesuatu aktivitinya.  Jangan benarkan ada waktu sengang sebelum aktivitinya bermula. Begitu juga waktu selepasnya. Pendek kata jangan benarkan ada waktu senggang untuknya.  Ingatlah anak-anak kita belum dewasa. Kematangan berfikir belum terbina. Kepandaian menggunakan masa belum terdidik.

Ibu bapa perlu berkeras dengan anak-anak pada waktu-waktu tertentu. Tidak ada kompromi untuk keluar sesuka hati. Sebagai anak beri tanggungjawab untuk mematuhi peraturan ibu bapa. Larangan dikkir awajib. Keluar tanpa mahram sebenarnya bukan Islamik. Anak-anak kita terdedah kepada bujukan syaitan, iblis dan sekutunya.  Bukan sahaja yang ghaib. Yang zahir cukup banyak menggoda. Apatah lagi yang cantik. Yang berpakaian di luar seperlunya. Yang keletahny asedikit galak pula. Terlalu banyak yang tergoda. Terlalu banyak yang ingin menggoda. Terlalu banyak lubuk bahaya di sepa njang perjalanannya. Ke mana sekalipun bahaya itu pasti ada. Kuasa ada di tangan ibu bapa. Kebijaksanaan juga ada pada ibu bapa. Namun larangan, sekatan, peraturan, undang-undang dan garispanduan ibu bapa yang tentukan. Jika anak-anak boleh memahami bahawa mereka ditanggung oleh ibu bapa maka dengarlah kata-kata ibu bapa. Jika anak-anak terasa bahawa mereka lahir dari rahim ibu maka dengarlah kata-kata ibu. Jika anak-anak sejak kecilnya dirawat oleh ibu bapa maka dengarlah apa yang diputuskan ibu bapa. Sampai bilapun anak-anak tidak ada kebebasan miliknya. Kecualilah ia telah berumahtangga. Telah akil baligh dan waras serta matang pemikirannya.

Sebenarnya anak-a nak tidak boleh dimulakan untuk terlibat dengan apa bentuk maksiatpun. Tentu masih ingat apabila anak-anak diazankan sewaktu lahirnya. Diiqamahkan sewaktu lahirnya. Kita telah sahkan Islamnya. Telah ditanam bibit iman kepadanya. Jangan rosakkan dia dengan membawanhya ke arah maksiat. Zaman hedonism seperti sekarang ini konsert bukan caranya. Hiburan terbuka yang mengalpakan bukan caranya. Maksiat yang berupa nyanian janganlah keterlaluan. Jauh sekali dari parti walau apa jenispun. Kesemuanya itu adalah permulaan ke arah sesuatu yang akan lebih berbahaya. Dari aktiviti kecil itulah jadinya pergaulan  bebas. Menari bebas. Berpelukan bebas. Bergeselan bebas. Takut-takut nanti yang kita bimbangi tentang mendekati zina itu menjadi terlanjur menjurus kepada zina yang sebenarnya. Takut-takut pula bahawa seks bebas itu menjadi asam garam yang tidak ada masam dan masinnya lagi. Takut menjadi lumrah. Dari situ juga nanti jadinya ketagihan arak. Ketagihan dadah. Satu punca yang bercapah musibahnya. Bertali-tali hingga tiada terdaya untuk ibu bapa menepisnya lagi.

Prasarana untuk menjinakkan anak di rumah mestilah ada. Maaflah. Jika boleh ibu bapa bekerja keraslah mencari rezeki yang halal untuk membina rumahtangga yang mendapat keselesaan ruang. Keselesaan kemudahan peralatan dan perkakasan. Seboleh kemampuan sediakan ruang itu. Ada ruang solat. Ada perpustakaan mini. Ada ruang rehat. Ada ruang santai. Ada ruang sembang. Ada ruang untuk bekerja. Begitu juga dalam era sekrang ini komputer ada tempatnya. TV ada ruangnya. Radio ada sudutnya. Buku ada rak dan almarinya. Meja dan kerusi ada susunan kekemasannya. Bilik tidur hendaklah diurus seperti hotel. Kemas, bersih, tersusun. Termasuklah bilik airnya. Dapur adalah ruang kerja yang menjamin kebersihan, suci dan terhimpun semua yang halal. Kuantiti dan kualitinya halal. Proses memasaknya halal dan suci. InsyaAllah anak-anak akan lekat di rumah. Lekat di persekitaran rumah. Lekat di bilik. Lekat di dapur.

Solat dan hal-hal agama pastikan tiada uzurnya. Tiada pontengnya. Itu tiang agama. Patah tiang itu maka seluruh hidupnya akan patah. D rumah atau di luar rumah, solat hendak prioriti nombor satu. Jika solat dikira sempurna maka yang lain-lain akan mengikut secara turutannya. Menjaga masa adalah penting. Menjaga waktu adalah keutamaan. Anak-anak hendaklah dipastikan pulang ke rumah sebelum menjelang waktu Maghrib. Sebelum Maghrib. Sebelum azan Maghrib. Lebih awal lebih baik supaya ada masa untuk mandi. Ada masa untuk menukar pakaian yang lebih bersih. Bersedia menunggu Maghrib. Itu adalah permulaan aktiviti malam. Selepas Maghrib mungkin  makan malam. Lalu diikuti dengan mengulangkaji. Membuat kerja rumah. Membaca. Berlatih menjawab soalan. Membuat penyelidikan dengan membaca atau internet. Please not browsing. Bukan melayari internet. Yang dibenarkan ialah mencari maklumat. Seberapa boleh, ibu dan bapa hendaklah berada di rumah pada waktu-waktu tersebut. Mereka perlukan kehadiran ibu bapa untuk menenangkan jiwa raga mereka. Bukan apa-apa cukup dengan hadir di rumah. Anak-anak akan lebih tenang.

Jadilah sahabat anak. Banyakkan mendengar ceritanya. Banyakkan mendengar keluhannya. Kongsi suka dukanya. Bersama mencartakan masa hadapan mereka. Bersama-sama meneroka masa hadapan yang penuh harapan. Mendengar dan banyak mendengar. Elak memberi nilai. Kesilapan ibu bapa ialah terlalu berkeras menghukum dengan nilai yang difahami ibu bapa. Nilai lama yang masih dipegang tanpa ubahsuai. Tanpa perubahan. Tanpa input-input baru yang lebih relevan. Perbualan pula terlalu serius hingga tiada ruang untuk bermesra. Terlalu ingin memberi nilai sehingga menghalang penyatuan jiwa. Malah merenggangkan perhubungan. Masing-masing membina tembok batas yang menghalang-halang antara satu sama lain. Dengar adalah lebih baik dari banyak cakap. Dari banyak pendapat. Tugas ibu bapa ialah membimbing anak ke arah yang sesuai dengan agama. Dengan dirinya sendiri. Setiap anak dinilai secara individu yang berbeza. Anak pertama dan anak bongsu berbeza. Lelaki dan perempuan berbeza.  Yang remaja dan yang kanak-kanak berbeza. Jika boleh belajarlah psikologi. Pelajari kaunseling. Kaedah terapi untuk anak-anak yang berbeza-beza. Kepada anak yang ramai kuliah umum hanya untuk hal-hak yang umum. Jika boleh banyakkan kaunseling individu. Biar anak-anak faham melalui sudut yang berbeza. Pada mereka letaknya harapan ibu bapa. Jangan berkonfrantasi dengan anak. Banyak yang mereka pamerkan bukan masalah tetapi tanda-tanda (symtom) masalah. Selami diri anak-anak untuk mencari masalah yang sebenar.

Banyakkan doa untuk kesejahteran anak-anak. Ibu kenalah lebih usahanya. Doa ibu lebih disegerakan Allah. Ada hubungan naluri antara ibu dan anak-anak. Solat malam diperbanyakkan. Dalam solat itulah panjatkan doa untuk memohon kebaikan anak-anak. Bertanyalah dengan orang-orang alim.  Bacalah buku-buku pandauan mendidik anak. Pilih yang Islamik. Tambah dengan kaedah saintifik. Gabungan kedua-duanya insyaAllah membantu. Walau bagaimanapun berserahlah kepada Allah. Mohon supaya usaha ibu dan bapa dimakbulkanNya.  Mudah-mudahan ada jalannya. Cari dan mohon Allah tunjukkan jalan itu.

5 comments:

  1. salam,

    terima kasih di atas tips2 yg diberikan... ada di antara tips2 di atas yg saya & suami telah praktikkan sejak dari anak pertama (now she's 19) hingga anak ke 5 (now age 9).

    Alhamdulillah... memang nampak hasilnya. cuma kita sebagai parents, ada masanya kena 'hati kering' utk memastikan anak2 berjaya mengikut landasan yg kita tetapkan.

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah..sangat memberi manfaat

    ReplyDelete
  3. alhamdulillah. mudah-mudahan ada manfaatnya. sekadar berkongsi mana yang ada. sedikit pengalaman. sedikit ilmu. sedikit yang difikirkan.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih atas panduan diberi. Insyallah akan cuba memperbaiki apa yang telah dilakukan selama ini. Tips yang sangat bertepatan dengan situasi saya sekarang.

    Semuga Tuan sentiasa diberi kesihatan yang berpanjangan serta diberkati Allah sentiasa.

    ReplyDelete