Thursday, September 29, 2011

Mencari Bidadari Di Hati Wanita

Seorang wanita menikah. Seorang lelaki menikah. Alasannya berbeza. Walaupun ada persamaannya namun dalam jangkapanjang berlaku devian dari segi tanggungjawab. Dari segi perlakuan masing-masing. Dari segi kesetiaan. Cinta kepada lelaki berbeza ertinya dengan cinta yang dilarakan seorang wanita. Ramai wanita menangis semasa bercinta. Hampir tiap malam bantalnya basah. Rembesen airmatanya sukar ditahan-tahan. Tiada bendungan untuk menyekatnya. Gelisah di pembaringan. Tidurnya memang selalu tidak lena. Pusingnya entah berapa kali. Teringat pantun rang tua barangkali:
Kalau nak gugur, gururlah nangka,
Jangan menimpa si pohon pauh;
Kalau nak tidur, tidurlah mata,
Jangan di kenang orang yang jauh.

Tetapi itulah yang fitrahnya. Rindu yang sendu. Sayu yang membayu. Semuanya ingin dikirimkan di angin lalu. Cinta orang dahulu. Kini teknologi sudah lama berubah. Namun cerita cinta tidak pernah berubah. Tambatan dua hati. Tautannya mencengkam qalbu. Menusuk ke dalam. Ingatan selalu padanya. Kenangan selalu dalam minda. Gambarannya ada di mana-mana. Mimpi untuk berjumpa di alam maya. Siangnya bertentang mata. Imej diri silih berganti berkirim-kiriman. Selagi ijab dan qabul belum terlaksana rasa kerinduan tetap menjelma. Apatah lagi yang belum ada kepastian. Yang berpacaran belum ada pengikatnya. Yang sudah diikat masih belum ditentukan jangkamasanya. Yang berjanji waktu menghitung hari. Yang mendekat mengira saatnya. Yang bercinta sama ceriteranya walau di mana mereka berada. Di utara atau di selatan, sama sahaja. Cinta dan bercinta. Cerita lara hati kerana rindu yang belum tentu ada penentunya.

Kali pertama bersama lelaki yang bernama suami segalanya terlerai. Seorang wanita tetap juga menangis. Dulu kekasih jauh di mata. Yang malamnya diimbau dan diimpi. Sesudah suami di depan mata masih tetap tangisnya menderaikan air mata. Bercucuran membasahi pipi. Air mata gembira yang bukan kepalang hendak dikata. Tiada bahasa yang cukup layak untuk diungkapkan. Hanya air mata yang memanifestasikan rasa di dalam. Luahan hati yang sudah lama dibendung. Jika dulu empangan air mata merembas bantal, kini empangan  air mata membasahi pangkuan suami. Penantian yang sekian lama. Bertahun-tahun yang ditunggu dengan penuh kesabaran. Menangkis segala dugaan dan godaan. Demi kesetiaan suatu cinta. Rindu dalam tangisan. Bertemu dan bersama juga dalam tangisan.

Masa berlalu pantas. Hari berganti minggu. Melewati bulan dan tahun. Masa mengubah pandangan dan keselesaan. Cinta tetap sejati. Sayang tetap di hati.  Tetapi banyak perubahan dalam mengotakan  cinta dan sayang itu. Jika dahulu hatinya hanya untuk suami, kini hatinya banyak berbelahnya. Anak mungkin sudah berderet. Kerjaya semakin memberat. Suami bukan lagi the only focal point. Cabang-cabang tanggungjawab bercapah. Liku-liku kehidupan menuntut kebijaksanaan mengatur jadual. Meligatkan diri antara suami dan rumah. Anak dan kerjaya. Sahabat dan masyarakat. Mana lagi negara yang perlu dijunjung. Sumbangan yang dilonggokkan menggunung. Kelangsungan seorang warganegara  berguna. Semuanya perlu dilaksana. Apapun kudrat yang ada. Ruang yang cuma sedikit. Masa yang selalu sempit. Peluang yang hanya secuit. Seorang wanita menjadi gah kerana hatinya sudah memiliki value added sebagai penyumbang bakti.  Suami adalah puncak hatinya. Hanya dakiannya tidak pernah hanya ke puncak itu. Banyak lagi urusan hidup yang perlu sempurna. Suami mungkin payah memahami.

Usia semakin meningkat. Kebestarian membahagi masa semakin banyak pertimbangannya. Pertimbangan yang menuntut keadilan seorang wanita yang bernama isteri. Sama ada dia menjadi a gem of a lady atau menjadi wanita biasa-biasa sahaja.  Bukan ada beza antara lelaki dan wanita kecuali gendernya. Allah menghitung tahap taqwa mereka.  Bukan gender. Lelaki selalunya tinggi egonya. Mempertahankan martabat kelelakiannya. Imam yang mesti diikut. Dipatuhi. Namun selalu juga lelaki tidak dapat turun hinggap di tanah menilai diri. Muasabah diri. Wanita yang di hadapannya adalah isterinya. Kekasihnya. Bintang kesayangannya. Intan payungnya. Buah hatinya. Pengarang jantungnya. Ramai lelaki melupakan hakikat itu. Yang dilihat ialah wanita yang terlalu biasa di mata. Selalu didengar suaranya. Yang dikenal baunya. Sudah dimaklumi kehadirannya. Suami terlepas pandang kerana terlalu biasa. Lupa melihat kehebatannya. Wanita berusia yang semakin menyerlah tinggi bijaksananya. Full of wisdom.

Saat lelaki memalingkan mukanya ia terlihat mereka yang bukan hak. Yang bukan lagi boleh digapai sebarangan. Ia lupa untuk kembali merenung ke dalam hadirnya sang isteri yang jauh lebih setianya. Lebih sayangnya. Kuat keterikatannya. Yang senang dan susahnya telah lama teruji. Telah lama bersama. Sudah tidak lagi perlu membelah dada. Sudah tidak perlu bersusah payah merenangi lautan api. Jika yang dilihat ialah wajah yang sudah kusam maka tiada lagi kelihatan wajah ayu yang ada di sebaliknya. Yang telah luntur kerana kesetiaannya. Tetapi masih berkilau kasih sayangnya. Yang telah menghakisnya dengan kasih sayang. Lihatlah hatinya. Lihatlah ke dalam jiwanya. Ia tetap sama. Yang dulu juga. Tetap hangat cintanya. Syaratnya sambut cintanya. Gapai kasihnya. Timang sayangnya. Kunci kesetiaannya. Dia akan sama selama-lamanya.

Cuma wanita yang sudah berumur hatinya bercapah. Waktunya bukan semata-mata untuk suami. Perlakuan cintanya bukan melangkolik lagi. Bukan sentimental. Ia berpijak di bumi nyata. Banyak yang perlu dibereskan. Bahasa tubuhnya bukan lagi perlu dilembutkan. Suami hanya sebahagian penting urusannya. Anak-anaknya selalu difikirkan. Cucu-cucunya selalu merisaukan. Sayangnya tangannya tidak panjang untuk menggapai semua. Ia mungkin berjaya memandaikan anak-anaknya. Memanusiakan mereka. Menjadikan mereka orang-orang yang boleh hidup sendiri tanpa lagi bimbingannya. Namun apabila melihat cucu-cucunya hatinya  bergejolak lagi. Ingin kembali memutar masa mendidik untuk mengorangkan mereka. Memberi mereka acuan yang membina  kualiti. Standard yang lebih tinggi. ISO keluarga dan jalur keturunan.

Kerana itu wanita semakin terikat kepada suaminya. Keterikatan yang bukan perlu dipamer. Bukan perlu diterbukakan. Ia di dalam. Kukuh di hati. Setia yang dimeteri bersama cinta abadi. Siapapun suaminya, bagi wanita sama sahaja. Dia lelaki pilihannya. Yang diyakini memberikannya yang terbaik. Yang memberikannya suatu keindahan bersuami. Kepada wanita semangat senang dan susah bersama adalah kuat tersemat. Yang mengikat dirinya sekuat kudrat yang ada. Wanita yang setianya meninggi begitu menzahirkan bidadari yang sukar dicari. Tawa dan tangisnya untuk suami tersayang. Kasihnya tertumpah selalu. Ayunan naik dan turun iklim rumahtangga dihadapi penuh bahagia.

Lelaki perlukan isteri kerana sebab lain. Keperluan bialoginya sangat tinggi. Di sinilah yang selalu menimbulkan malang bagi lelaki. Banyak yang tewas di hari tua. Kawalan diri tidak lagi dapat dibatasi dengan kewarasan. Ragamnya menjadi-jadi. Karenahnya memutar keperluan. Tuanya menukar watak. Kehendaknya yang bukan-bukan. Terlalu memilih. Biasnya sukar dimengerti. Maunya bersama selalu. Mengulit sepanjang masa. Tetapi itulah sisa-sisa kasih sayang yang ada. Cinta yang dahulu bukan lagi isu. Sudah tidak perlu lagi difikirkan. Selagi kasih sayang masih ada masih kukuhlah hidup bersama. Cuma kadang-kadang wanita tidak betah diulit selalu. Wanita lebih kerap menjauh. Sibuk dengan hal-hal yang tidak perlu. Mengisi masa yang berlalu. Cinta seorang wanita. Ada bidadari di hatinya. Carilah. Wahai suami, bidadari itu di hadapanmu. Selalu di dalam dakapanmu. Hadirnya bersamamu. Kiranya kau tahu pasti kau tidak akan pernah keliru.

8 comments:

  1. owh sedapnya penulisan ni...=)

    ReplyDelete
  2. terima kasih. mudah-mudahan ada manfaatnya.

    ReplyDelete
  3. sangat memahami wanita..terima kasih..
    moga anaknya juga begitu demi kebahagiaan dunia akhirat..

    ReplyDelete
  4. saya belajar untuk mengerti. ianya banyak membantu. membantu menemukan dua hati yang kadang-kadang diburu buntu.

    ReplyDelete
  5. Salam Prof... Kisah ni jadikan Novel boleh? Rasa terkesan di hati...
    Memang benar apa yang di tulis...

    ReplyDelete
  6. Wasalam. Teringin juga sebenarnya. Mungkin keterikatan waktu belum memnerikan saya luang yang diperlukan. InsyaAllah bila tiba masanya, Terima kasih memberi saranan.

    ReplyDelete
  7. Bestnya andai suami sy nanti diusia sebegini dpt memahami sy sebagaimana prof tulis ni:)

    ReplyDelete
  8. Mudah-mudahan semua lelaki yang bergelar suami mencontohi Nabi Adam yang sangat mencintai Hawanya. Hawa sahajalah satu-satunya wanita pada zamannya yang Allah kurniakan untuk memenuhi kesempurnaan berumahtangga. Hawalah isteri. Hawalah ibu. Hawalah jantung hatinya. InsyaAllah hati lelaki akan selalu begitu.

    ReplyDelete