Monday, August 8, 2011

Kegilaan Di Luar Lampau Zaman


Setiap Ramadhan kita dihidangkan dengan berita yang berkaitan dengan musibah mercun. Saban tahun beritanya sama. Malangnya yang paling menggetap bibir ialah pelakunya orang yang sama. Orang Melayu. Orang saya. Suku sakat saya. Susur galurnya ada kaitan dengan saya. Sama agama. Sama adat resam. Sama mungkin tinggal di kampung. Apa sebenarnya yang mengakibatkan mereka memilih sesuatu yang memudaratkan. Yang mencedrakan. Yang menyusahkan. Yang mencacat kekal sepanjang usia hidup.  Tidakkah berita saban tahun menjadi penghalang untuk tidak mencuba lagi kebodohan yang sama. Untuk tidak mengulangi kesilapan-kesilapan lalu. Kegilaan tanpa batas kewarasan akal. Hilang budi bicara.

Hilang sebelah mata bukan petakakah itu? Bukan musibahkah itu? Bukan balakah itu? Bukan kerugiankah sepanjang-panjang hidup yang masih berbaki? Belum remaja. Belum dewasa. Belum tua. Kesengajaan membuat sesuatu yang merugikan. Pilihan yang selalu tidak betul. Mungkin anak-anak ini perlu diberi contoh di depan mata baru mereka faham. Tetapi yang saya kesalkan ialah ibu bapa yang tidak ambilkira. Tidak ambil peduli apa. Tidak tahu memberi pilihan yang mana benar dan yan mana salah. Yang memberi pilihan yang langsung tidak memberi faedah. Tiada langsung menyumbang kepada kepandaian. Kebijaksanaan. Kebestarian. Apatah lagi produktiviti . Tiada langsung nilai ekonomi. Sia-sia. Lagha. Hanya lara yang diperolehi.  Perkataan itupun mungkin tidak layak digunakan kerana bala itu dicari sendiri. Sengaja menempah kesulitan sepanjang hidup.

Di mana ibu bapa untuk memberi tunjuk ajar? Saya yakin ibu bapa ada wawasan untuk memberi jaminan keselamantan kepada anak-anak mereka. Tidak mungkin mereka sengaja mahu membunuh anak-anak tanpa niat. Itulah tugas ibu bapa. Melindungi anak-anak dari kedaifan berfikir. Mentah mereka belum boleh dimasakkan. Kedangkalan berfikir belum boleh  dipandaikan. Ibu bapa yang membimbing mereka. Yang mengasuh mereka. Yang mencelikkan akal budi mereka. Tidak mungkin ibu bapa hanya membiarkan anak-anak membunuh diri. Atau mencederakan diri. Atau meletakkan mereka dalam bahaya buatan sendiri. Pilihan sendiri yang memang tidak matang. Tidak bijak. Tidak pintar.

Mercun bukan budaya kita. Bukan. Dan memang bukan budaya kita. Mereka yang menjadikan mercun sebagai budaya sudah mula membuang tabiat kegilaannya. Terlalu banyak kemusnahan yang telah berlaku. Kebakaran memang biasa. Letupan selalu berlaku. Kecederaan sudah lali didengar dan dibaca. Cukup menghairankan kerana musibah yang sebegitu besar dan berat tidak pernah diambil iktibar. Tidak dijadikan pengajaran. Tidak diambil sebagai sempadan supaya tidak mengulanginya. Hanya menambah derita orang-orang terdahulu.

Mungkin berita kecederaan akibat mercun tidak dilihat impaknya. Mungkin jika dipaparkan dengan gambaran grafik yang lebih dahsyat baru anak-anak tidak berani mencubanya. Mereka hanya mendengar berita. Hanya membaca berita. Tidak ada penghayatan sebenar yang menusuk jiwa mereka. Tidak menakutkan mereka. Sememtelahan pula pengawasan ibu bapa tidak ada. Hanya apabila anak-anak kehilangan tangan, kehilangan jari, kehilangan anggota badan yang lain baru ibu bapa meraung. Baru menyesali diri. Baru menyesal kemudian. Sayang dan sayang semuanya sudah terlambat. Kemusnahan sudah berlaku. Tiada jalan pulang. Tanggunglah segalanya seumur hidup.

Rugi dan satu kerugian. Hilang jari bukan kerana berjuang menegakkan agama. Hilang tangan bukan kerana menjalankan eksperimen untuk menjadi bestari. Hilang anggota tubuh badan bukan kerana perang sabilillah. Tidak ada langsung kaitannya dengan perjuangan hidup atau mati. Hanya kedangkalan berfikir. Membiarkan anak-anak terbebas tanpa tunjuk ajar yang benar. Membiarkan mereka bermain dengan bahaya. Dengan risiko yang amat besar dan berat.  Yang akibatnya sangat memanjang seumur hidup. Akan diingat dan diimbau selalu. Akan terpandang tanda dan bekas yang mengingat tindakan bukan kebijaksanaan.

Barangkali lagu hari raya nyanyian Saloma perlu ditukar senikatanya. Bunyi mercun dam dum dam itu perlu dibuang. Bukan lagi zamannya. Itu dulu. Zaman dulu. Zaman yang membenarkan kita memilih yang bukan hak. Mercun bukan hak kita. Bukan untuk kita. Biarlah siapapun hendak makan mercun tetapi anak-anak kita seharusnya dihindarkan dari mendekatinya. Dari memusnahkan diri mereka sendiri. Dalam kategori ini bunga api juga sekelas dengannya. Bila tiba musim perayaan kedua-duanya perlu dibanteras habis-habisan. Dicari sama ada yang secara terbuka atau yang disorok. Kenakan penalti yang sangat berat. Denda yang tinggi. Penjara yang cukup lama. Tidak cukup dengan amaran sahaja. Sudah terlalu ramai yang menerima musibahnya.

Media perlu juga memainkan peranan yang lebih besar. Mungkin ibu bapa perlu diberi tangungjawab yang lebih menggerunkan. Bila anak mereka putus jari, ibu bapanya yang didenda. Cari siapa penjualnya. Denda juga. Siapa yang mengimport. Denda lagi. Jika ditangkap yang menyeludup, penjara selama yang mungkin. Kematian bukan perkara kecil. Kecacatan bukan perkara kecil. Kehilangan anggora bukan perkara kecil. Kita hanya bercerita mengenai beritanya. Siapa yang bertanggungjawab ke atasnya tidak diambil perkiraan. Tiada siapa yan bertanya. Balik-balik anak-anak kecil yang kurang akalnya itu dipersalahkan. Jika tiada yang menjual anak itu tidak membeli. Tidak bermain dengannya. Tidak mencederakan diri mereka. Sumbernya yang perlu diperangi. Sistemnya yang perlu diperbaiki. Undang-udangnya yang perlu diperkemas.

Orang kita lemah cara berfikirnya. Sistem berfikir tidak dibudayakan. Semuanya main cuba dan cuba. Tetapi yang dicuba adalah yang membahayakan diri. Membahayakan generasai mereka sendiri. Akhirnya mereka yang menanggung akibat lemahnya berfikir itu. Apa lagi yang perlu dibuat supaya orang kita menjadi pandai fikir.  Bijak fikir. Menjadi bestari. Bijaksana. Fukirkan yang besar dan hebat. Bukan yang menyusahka diri akhirnya. Fikirkan yang memberi keuntungan. Bukan yang hanya meruguikan. Letih pemimpin di atas terpekik terlolong. Letih mengingatkan memanjang tahun. Letih bercakap dengan tembok dan dinding. Apa yang didengar sebenarnya. Apa yang dipandang sebenarnya. Apa yang difahami sebenarnya.

Kenapa tidak mengubah paradigma. Bulan Ramadhan bukankah untuk beramal ibadat. Untuk menambahkan pahala.  Untuk lebih dekat dengan Allah. Selari dengan ajaran Rasulullah. Bila semua itu diabaikan maka petaka yang diterima. Bala yang ditanggung selamanya. Ayuhlah kembali menghayati agama. Banyakkan membaca al-Quran. Lakukan slat-solat sunat. Membaca buku agama. Mendengar kaset agama. CD agama. Membantu orang lain yang memerlukan. Himpunkan pahala. Sudahlah, buang tabiat lama. Tukar buku. Tukar baju. Tukar pemikiran. Kita semua boleh melakukannya.  

No comments:

Post a Comment