Tuesday, March 1, 2011

Anak Didik Kita Jadi Apa?


Rasanya tiap awal minggu  guru menatap kesemua anak didiknya di sekolah. Perhimpunan pagi Ahad atau pagi Isnin itu merupakan rutin mingguan. Tidak lengkap jika tidak dilaksanakan. Ramai guru yang gian untuk ‘bercakap’. Biasalah, panjang desingan kata-kata pedas dilemparkan kepada pelajar. Kasihan budak-budak tu. Penat datang ke sekolah. Diperintah berdiri dalam jangkamasa yang melebihi had. Kebanyakan mereka berlapar kerana tiada sarapan di rumah. Guru-guru duduk pula. Very feudalistic. Konsep tuan dan hamba masih berleluasa rupanya. Diperluas pula. Dalam zaman yang begini canggih masih ada saki bakinya. Masih diperkukuh. 

Mendidik ini satu hala atau dua hala? Atau banyak hala? Jika kita kata hanya guru yang layak mengendalikan sistem pendidikan, di mana peranan ibu bapa? Di mana peranan ahli masyarakat? Di mana pula peranan NGO? Ahli politik bagaimana? Ulama’ di mana?  Jigsaw puzzlenya terlalu rencam.  Bukankah guru hanya pelaksana? Ibu bapa memberi tanggungjawab kepada mereka? Masyarakat membebankan tanggungjawab kepada mereka? Pemerintah melonggokkan tanggungjawab kepada mereka? Agama, bangsa dan seluruh warganegara meletakkan tanggungjawab di bahu guru. Didiklah anak bangsamu. Ajarlah mereka. Berikan mereka cahaya untuk masa hadapan mereka. Tunjukkan mereka jalan lurus yang kita rencanakan. Bimbing dan asuhlah mereka dari bertatih hingga berlari pantas meneraju dunia. Meneroka the unknown. Menerobos ruang masa dan angkasa. Mencari kebenaran. Membuang kebatilan. Merencanakan keredhaan Allah. Untuk masa hadapan ummah. Kemanusiaan yang lestari sifatnya. Sementara dunia belum kiamat.

Saban waktu guru menatap anak-anak didiknya di kelas. Saban waktu di makmal. Saban waktu di bengkel. Apa yang guru nampak? Siapa yang guru nampak?   Anak-anak yang entah anak siapa? Banyak kelainan antara satu sama lain. Banyak perbezaan yang sangat ketara. Banyak pelarian-pelarian dari yang biasa-biasa. Cuba renung sejenak. Pandang dalam-dalam. Bawa ke dalam hati jauh-jauh. Masukkan ke lubuk hati. Mungkin ke suatu sudut kecil di hati. Selitkan dalam celahan kecil di mana-mana serpihan perasaan. Bukankah mereka itu anak? Bukankah mereka itu anak? Bukankah mereka itu anak? Anak siapapun mereka, mereka tetap anak. Anak-anak yang mentah. Yang segar. Yang masih mulus. Yang belum mengenal tulus. Bersih sebersihnya. Mereka menanti penuh debar untuk diwarnakan. Untuk dicorakkan. Untuk dipelbagaikan. Untuk dicanai menjadi manusia yang tinggi martabat kemanusiaannya.

Cuba pandang mereka dengan mata hati. Dengan rasa hati. Dengan kehalusan budi. Nanti akan terlihat bahawa anak-anak itu sebenar-benarnya tanggungjawab orang yang bergelar guru. Orang yang untuk digurui. Orang yang pada dirinya sudah tercatat fitrah guru. Orang yang sejak azali dicipta untuk menjadi guru. Allah telah melantikmu menjadi guru. Pada bahumu disandarkan harapan. Pada dadamu didambakan untaian-untaian mutiasa para ilmuan. Dari buaimu untuk menggegar dunia. Dari dendanganmu diledakkan suara dakwah untuk dikumandangkan. Dihalilintarkan ke telinga yang mahu mendengar. Dilontarkan lagu-lagu indah masa hadapan.

Sewaktu ke sekolah guru melihat anak-anak berduyun-duyun mengukur panjangnya jalan. Jalan itu nampak ada penghujungnya. Namun banyak dan terlalu banyak simpangnya. Benarkah anak-anak itu melalui simpang-simpang yang dimengertikan? Banyak stesen menanti berhenti. Benarkah stesen itu berakhirnya destinasi? Simpang mana mesti diambil dan dilalui? Stesen mana yang paling jauh mesti dituju? Beg-beg besar gunung yang digalas setiap hari itu adakah nanti melonggokkan haparan yang juga menggunung? Adakah ianya hanya beban yang ditimpakan? Hingga akhirnya nanti mereka tenggelam dalam timbunan beg. Hilang ditelan beg-beg besar yang hanya membebankan. Beg-beg itu akhirnya kosong. Tidak menjanjikan apa-apa.

Pulang dari sekolah guru melihat lagi senario yang sama. Anak-anak yang terlepas dari pagar sekolah yang tadi amat memeritkan. Mungkin enam jam yang menyeksakan. Adakah mereka keluar untuk membawa hati yang penuh harap? Atau keluar membawa derita pengalaman harian yang tidak pernah mendap? Keluar dan masuk  pagar sekolah itu adakah hanya rutin semata-mata-mata. Guru mengharapkan mereka menadah nyiru di kelas-kelas mereka. Membwa pulang dada-dada ynag penuh berisi padat dengan ilmu. Dengan pengetahuan. Dengan maklumat. Tangan-tangan mereka penuh trampel. Pandai tangan. Ada sahaja kemahiran yang menjadi. Tangan-tangan ringan yang cekatan. Ada arah yang boleh dituju untuk membina kehidupan masa hadapan yang cerah.

Guru memandang keliling melihat anak-anak didik.  Guru telah kenal siapa mereka. Ada latarbelakang yang telah diketahui. Sekarang pandanglah ke hadapan. Lima tahun dari sekarang. Mungkin 10. Mungkin 20. Mungkin 50. Mungkin dan mungkin untuk genersi mereka akan datang. Masa yang akan ditinggalkan guru. Masa yang telah lama nanti sewaktu guru bersemadi sendiri. Melihat ke dunia dengan rohnya. Dengan jisim yang sudah tiada. Siapa akan jadinya anak-anak didik guru itu? Apa nanti jadinya mereka? Senang atau payah hidup mereka? Dapatkah mereka melestarikan kesinambungan aspirasi guru itu dahulu? Ada lagikah warisan zaman yang dibawa untuk berzaman-zaman nanti.

Barangkali jika guru melihat crystal ball masa hadapan tentu ada yang tidak beres dalam perasaan. Lihatlah anak-anak didik itu sebagai anak kita sendiri. Mereka dambakan kasih sayang kita. Mereka mengharapkan kita. Kita menjadi galang ganti ibu bapa yang tidak mengerti. Gurulah harapan terakhir anak-anak didik kita. Harapan terakhir ibu bapa yang ada. Benteng terakhir pewaris zaman. Orang-orang yang merencanakan masa hadapan bangsa. Memikul harapan besar membina bangsa. Yang kau tanggung itu adalah anak bangsamu. Anak-anak warisanmu. Warganegara yang nanti  menjadi penyambungmu. Mereka membawa obor zaman. Obor ilmu yang terangnya menerobos segala rintangan.

Mereka bukan anak-anakmu tetapi mereka anak-anak bangsamu. Anak-anak yang tidak mengerti apa-apa jika tiada keikhlasan di hatimu. Jika tiada belas dalam perasaanmu. Jika tiada kasih di sanubarimu. Kau hanya melihat nanti mereka merempit. Mereka membuang bayi. Mereka menjadi peragut. Mereka menjadi bapa dan ibu ayam. Menjadi perompak. Mereka menjadi pembunuh. Mereka menjadi tegar dengan dadah. Mereka ketagih arak. Mereka jadi gila seks. Mereka menjadi manusia gelandangan. Guru bukan penontonnya. Guru bukan sekadar menjadi saksi. Guru memiliki saham ke atas semua salah laku itu. Ke atas semua sifat divergent itu. Ke atas semua yang tidak congruent itu. Yes! Saya guru. Tuan guru. Puan guru. Kita semua menyumbang kepada apa sahaja ketidak selarian yang dilakukan oleh anak-anak kita. Pusinglah ke manapun kita menyumbang sebenarnya. Bukan secara individu tetapi secara kolektif. Semua orang yang profesionya guru. Sebabnya sangat mudah. Semua yang namanya pendidikan menjadi tanggungjawab mutlak di bahu kita. Larilah. Igauan itu  tetap datang memburu kita.

Penyelesaiannya sukar. Cuma barangkali setiap seorang daripada kita mencari paradigma baru. Mencari arah baru. Bawa diri kita untuk memberikan yang terbaik. Baik akademik. Baik yang bukan akademik. Secara holistik atau tidak. Kembali kepada hasrat murni untuk membina bangsa. Untuk negara tercinta. Modal insan yang mesti dibangunkan. Yang mesti disepadukan dengan persekitaran yang semakin besar tuntutannya. Dunia kita tiada sempadan lagi. Anak didik kita menjadi warga dunia. Bukan lagi warga kampung yang jumud. Tanggungjawab siapa? Itulah tugas besarmu wahai guru. Suatu waktu nanti akan dituntut pananggungjawabanmu. Akan ditanya apa yang telah kau laksanakan. Yang telah kau sempurnakan. Sama-samalah kita menggandakan usaha untuk mencapai yang terbaik. Untukmu guru. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment