Saturday, January 1, 2011

Hukum Itu Hukum

Ada dua kejadian baru-baru ini. Kejadian ini dalam dua bentuk. Satu disengajakan. Yang satu lagi kebetulan. Namun begitu kedua-duanya membawa kita ke satu pengertian yang besar. Kedua-duanya menjurus kepada pengertian bahawa hidup ini mesti akur kepada ketentuan Yang Maha Esa. Hanya untuk Allah. Allah menentukan yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Cuma kadang-kadang kita mengambil sikap tidak peduli. Banyak hukum Allah yang diambil ringan khususnya hukum hudud. Mari kita lihat dua kejadian yang saya sebutkan di atas satu persatu.

Kejadian Pertama

Seorang pencuri telah terpotong tangannya pada had pergelangan tangan. Apa perasaan kita? Suka? Takut? Ngeri? Cuba lihat firman Allah berikut ini:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُواْ أَيْدِيَهُمَا جَزَاء بِمَا كَسَبَا نَكَالاً مِّنَ اللّهِ وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Dalam ayat di atas pencuri mungkin lelaki dan mungkin perempuan. Jika sabit kesalahan mereka hukumnya ialah dipotong tangan. Dalam sebuah hadith Rasulullah memberi isyarat bahawa had yang perlu dipotong ialah di pergelangan tangan. Tangan itu dipotong kerana kesalahan yang dibuktikan. Pemotongan tangan itu adalah sebagai suatu pencegahan. Maksudnya untuk mencegah orang lain dari terjebak dengan perbuatan mencuri.

Hukum hudud adalah hukum yang ditentukan Allah. Diputuskan bahawa dalam hal hudud ini tidak ada kompromi. Hukumnya seperti yang telah ditentukan Allah. Tidak ada soal itu dan soal ini. Tidak ada isu mengenainya. Tidak perlu ad perbinancan. Kita beriman kepada al-Quran. Al-Quran itu kalam Allah. Isinya menjadi hak Allah. Wajib pula diamalkan. Sesuatu yang ditentukan Allah tidak ada keburukan kepada manusia pada umumnya kecuali kepada pelakunya sahaja. Orang lain sebenarnya mendapat manfaat dari hukuman hudud itu.

Curi mencuri ini nampaknya macam bukan perkara besar. Yang dicuripun benda-benda yang tidak berapa penting. Namun jika dihalusi ianya menjadikan hidup kita tidak tenteram. Tidak ada rasa aman. Sentiasa sahaja bimbang. Sentiasa takut. Sentiasa tidak aman. Bayangkan selipar pun pantang salah letak. Banyak cerita jemaah yang kehilangan selipar di masjid. Di rumah-rumah di kampung biasa mereka kehilangan ayam dan itek. Kasut buruk. Basikal buruk. Baju dan seluar terpakai. Tentulah hidup tidak tenteram jika kecurian menjadi-jadi. Allah yang Maha Bijaksana menentukan bahawa tiada lain hukumnya kecuali potong tangan. Nampak macam zalim tetapi zalim itu dikenakan kepada orang yang zalim. Mencuri itu zalim. Menzalimi pemilik harta yang dicuri. Maka hukumnya ialah dikembalikan kezaliman itu kepadanya. Natijahnya orang lain rasa terlepas dari belenggu ketakutan dan kebimbangan.

Bila banyak pencuri, semua orang takut untuk meninggalkan rumah walaupun sebentar. Tidak menasabah pula kita tidak meninggalkan rumah. Untuk bekerja. Untuk menunaikan undangan. Untuk mencari keperluan hidup. Untuk bermsyarakat. Banyak urusan kita di luar rumah. Selama 24 jam sehari semalam ada sahaja urusan kita yang perlu meninggalkan rumah. Tetapi jika keluar rumah itu boleh mendatangkan musibah tentulah sukar untuk menjalani hidup yang normal. Banyak hal-hal kemasyarakatan yang terganggu. Tergendala. Terbantut. Bukan itu sahaja. Akan timbul pula syak wasangka. Siapa sebenarnya yang punya angkara. Anak siapa yang mencauri ni? Kenapa mencuri benda-benda yang tidak banyak faedahnya. Benda-benda kecil yang merumitkan fikiran. Ahli masyarakat menjadi rungsing. Gundah gelana. Libang libu. Tidak ada ketenteraman dalam jiwa mereka.

Mungkin Allah ingin memberi iktibar kepada kita semua. Pencuri wajib dipotong tangan mereka. Sekarang ini pencuri dan kecurian sangat menjadi-jadi. Sudah tiada had barang yang dicuri. Dulu pencuri memilih barang-barang yang sangat berharga seperti wang ringgit dan emas. Tetapi sekarang pencuri tidak memilih barang. Apa sahaja yang boleh dicuri mereka curi. Apa sahaja yang boleh dijual mereka curi. Apa sahaja yang ada nilai mereka curi. Langsung tidak memilih lagi. Oleh itu potong tangan itu adalah pencegahan. Deterent. Kejadian pencuri terpotong tangannya itu adalah isyarat dari Allah bahawa itu sahaja hukuman yang wajib ke atas pencuri. Potong tangan mencegah. Tidak ada penganiayaan. Tidak ada kezaliman. Tidak ada kerana hal-hal yang lain.

Menjaga harta benda adalah suatu tuntutan. Harta benda wajib dipertahankan. 5 perkara wajib dipertahankan iaitu agama, nyawa, keturunan, akal dan harta benda. Maka potong tangan adalah hukuman yang mencegah manusia dari mengambil harta orang lain dengan tiada haknya. Bagi pemilik harta mempertahankan harta itu adalah haknya. Dalam negara yang mendaulatkan undang-undang maka tanggungjawab pemimpin untuk memelihara rakyatnya dari ganggu gugat manusia yang bernama pencuri. Perundangannya mestlah digubal dan diwartakan supaya hukum potong tangan itu dilaksanakan. Jika tidak kita tidak aman dari gangguan fikiran yang kacau.

Ambillah iktibar bahawa apa yang diperintahkan Allah tiada cacat celanya. Tiada musibahnya. Tiada kekurangannya. Semuanya untuk manfaat manusia seperti kita. Untuk faedah kita. Untuk maslahah umum manusia. Tugas dan tanggungjawab ini mesti dilakukan supaya konsep baldatun toyyibatun ghafur itu tecipta. Urusan kita untuk menjalankan hukum Allah. Terlebih lagi ianya adalah suatu tanggungjwab. Sebenarnya tanggungjwab itu adalah milik pemimpin. Pemimpin yang adil antaranya ialah menjalankan hukum Allah dengan keadilan. Menghukum dengan hukum Allah adalah menjalankan kaeadilan. Sesungguhnya Allah Maha Adil dalam semua urusan manusia.

Kita inginkan pemimpin yang menjalankan urusan Allah. Mereka yang mengerti. Kita ingin terhindar dari pemimpin yang sesat dan menyesatkan orang lain yang menjadi pengikutnya. Di akhir zaman, itulah yang kita selalu alami. Yang selalu kita nampak. Yang selalu kita temui. Kita yang perlu menyumbang untuk memperbetulkannya.
Fikir-fikirkanlah.

InsyaAllah bahagian kedua akan menyususl

No comments:

Post a Comment