Monday, November 15, 2010

Madinah al-Munawarah - Pengisian Dengan Ilmu

Benarlah, sesungguhnya untuk melakukan sesuatu mestilah dengan ilmu. Haji dan umrah tidak boleh ikut-ikut. Tidak boleh mengikut arus. Tidak boleh tumpang-tumpang. Seharusnya ilmu haji dan umrah itu dipelajari sejak dari kecil lagi. Diberi penekanan. Diberi penjelasan. Memang masa dan ketikanya untuk menjadi tetamu Allah itu tidak dapat dipastikan. Entah pergi entah tidak. Namun persediaan fizikal, mental dan spiritual itu ditanam dahulu dalam jiwa. Bahawa bila tiba masanya, kita sudah siap siaga. Semuanya sudah diketahui. Sudah mahir tertibnya. Sudah tahu prosedurnya. Sudah dimaklumi susah dan senangnya. Hakikat cabaran dan kekangannya sudah diketahui.

Pergi haji dan umrah adalah mudah bagi yang memiliki syarat-syaratnya. Yang paling sukar pada kebanyakan orang ialah ongkosnya. Tetapi jangan lupa bahawa ongkos itu hanya luaran. Dalaman kita itu lebih penting lagi. Seperti kereta, diisi minyak hingga melimpah sekalipun jika ada hal-hal asas pada enginnya yang tidak beres kereta itu tidak akan hidup. Tidak mungkin berjalan, memecut dan sampai ke destanisinya. Begitulah, ongkos menunaikan haji dan umrah tidak memberi makna jika rukun-rukunnya tidak difahami. Jika hal-hal wajibnya tidak difahami. Jika sunat dan harusnya tidak diketahui. Takut nanti bercampur aduk yang mana rukun, yang mana wajib dan yang mana sunat. Takut pula melebihkan yang sunat sedangkan yang rukun dan yang wajib terabai.

Orang Malaysia bermazhab Sfafie’i. Pada dasarnya begitulah. Kita diajar begitu. Kursus haji juga begitu. Semuanya dikatakan Shafie’i. Maaflah saya tidak pasti sama ada ramai atau tidak orang yang memahami mazhabnya. Tuntutan-tuntutan mazhabnya. Keperluan mazhabnya. Rasional mazhabnya. Hujjah-hujjah mazhabnya. Jika perkara asas ini tidak diketahui, maka akan berlaku bermacam-macam karenah jemaah haji Malaysia bila sampai di Madinah dan Makkah. Di sana mereka diperlihatkan berbagai-bagai hal yang tidak pernah mereka alami sewaktu di tanah air. Mereka belum pernah bersama jemaah yang bermazhab Hanafi atau Maliki atau Hanbali. Bila ilmu tidak seberapa, mereka mula keliru, mula was-was adakah cara mereka yang betul atau cara Malaysia yang betul. Bagi mereka yang pernah ke luar negara dan mereka yang mendalami tentang agamanya, hal-hal yang berbeza itu tidak mendatangkan kegusaran.

Perhatikan sahaja apabila imam tidak didengar membaca basmalah. Orang Malaysia jadi bingung. Jangan terkejut ada yang akan mengatakan imam itu salah. Solat jemaah itu batal. Mereka ini solat semula kerana tidak berpuas hati berimamkan imam lantikan kerajaan Arab Saudi itu. Alangkah indahnya jika semua orang memahami tuntutan mazhab masing-masing. Memahami hujjah-hujjah mazhab. Alasan mazhab. Pandangan mazhab. Sandaran nas dan hadith yang dipegang oleh mazhab. Pengalaman pendokong-pendokong mazhab.

Nanti akan ada jamaah Malaysia yang ditegur kerana berwuduk dengan menggunakan air yang sedikit kuantitinya sedangkan mazhab lain bewuduk dengan bermewah-mewah air. Wuduk itu sendiri menjadi teguran. Kenapa kita mengusap rambut sedikit sahaja sedangkan ada jemaah yang membasahkan rambutnya dari depan ke belakang dan dari belakang ke depan. Ada jemaah yang tidak membaca apa-apa ketika solat sedangkan kita membaca surah al-Fatihah selepas mengaminkan imam. Imam tidak qunut subuh sedangkan kita berqunut. Dan macam-macam lagi perbezaan yang kita lihat, dengar dan perasan. Tanpa ilmu kita keliru sekelirunya.

Bagaimana dengan pengisian sewaktu di sana? Minta maaf sekali lagi. Suami tidak boleh bergantung dengan ilmu isterinya. Isteri tidak boleh bergantung dengan ilmu suaminya. Bila praktikal haji atau umrah itu dilaksanakan masing-masing melakukan mengikut apa yang telah dipelajari. Yang telah dimahiri. Jika tidak mahir, ketika praktikal itu tidak ada siapa yang akan membantu. Semasa tawaf umpamanya suami dan isteri biasa terpisah kerana asakan dan tolakan manusia. Ibu dan anak terpisah. Bapa dan anak terpisah. Rakan terpisah. Di sinilah ilmu memainkan peranan. Warna, nombor dan tulisan adalah anugerah Allah. Untuk kegunaan manusia. Dengannya manusia yang pandai dan yang tidak pandai boleh mencari panduan.

Yang boleh membaca, bacalah apa-apa tulisan yang ada. Mungkin nama. Mungkin arahan. Yang tidak tahu membaca mungkin kenal nombor. Ingat pintu nombor berapa kita masuk dan keluarlah ikut pintu nombor itu. Atau jika keluar pada pintu lain cari nombor pintu kita masuk tadi. Dari situ kita mencari jalan pulang ke maktab. Ke apartment. Ke hotel. Ke asrama. Jika nomborpun tidak kenal, silalah gunakan warna. Di Masjid al-Haram ketiga-tiganya ada. Ada tulisan. Ada nombor. Ada warna. Jadikan kesemuanya sebagai panduan.

Semasa musim haji keadaan memang penuh sesak. Paling sesak ialah selepas solat. Semua orang seperti meluru keluar. Jika Zohor, mereka mengejar makan tengahari. Jika Isya’ mengejar makan malam. Lazimnya saya keluar paling awal setengah jam selepas solat tamat. Di sana tidak ada wirid. Jika adapun solat jenazah. Maka pandai-pandailah kita berzikir sendiri. Solat sunat sendiri. Habiskan waktu sesak itu dengan menambah ibadat. Nanti selepas setengah jam kita dapati perkarangan masjid sudah lengang walaupun di jalanraya suasananya masih sesak dan padat. Sekurang-kurangnya kita tidak berasak-asak untuk keluar masjid. Tidaklah tertanggal selipar. Tidak terjepit di pintu.

Datang ke masjid tidak boleh bersantai-santai seperti di Malaysia. Kita biasa dengan melewat-lewatkan masa. Di sana pergi ke masjid itu hendaklah awal. Jauh lebih awal. Jika waktu Zoror itu 12.30 tengahari datanglah ke masjid pada pukul 10.30 atau lebih awal. Kita hendak mengejar saf di hadapan. Jika boleh di Raudah. Atau yang berhampiran dengannya. Kita merancang supaya tamat sahaja solat fardhu kita masuk ke Raudah untuk solat sunat. Pengisian begitu perlukan pengamatan, pengalaman dan dengan sedikit ilmu. Sementara sebelum keluar dari masjid banyakkanlah membaca al-Quran atau berwirid. Atau solat-solat yang dibenarkan. Selain daripada itu banyakkan berdoa. Mintalah apa sahaja yang baik dari Allah. Di tanah haram itu banyak kelebihannya untuk berdoa.

No comments:

Post a Comment