Thursday, December 9, 2010

Lambaian Kaabah: Kerinduan Yang Ingin Diulang-Ulang

Setiap kali ada orang pergi menunaikan umrah atau haji hati saya bagai diruntun untuk turut sama. Rindu pada Rasulullah dan dua bumi haram (haramain) sukar disembunyikan. Setiap kesempatan berkirim salam kepada Rasulullah. Dititipkan kepada mereka yang berharap berada di sana. Dulu sebelum sampai di sana hati saya tidaklah mengharap apa-apa. Rupanya bila sudah bersua, sudah menatap dan meratap, sesudah memandang dan terpandang, sesudah bersama tiap waktu barulah kecintaan itu mendalam dan menusuk. Kerinduan selalu mendatang. Menjelmakan gundah gelana. Hanya di mata terbayang. Di hati terkenang. Di mulut tersebut-sebut. Bibir bergerak mengulang-ulang. Jiwa terbang menjengah tempat-tempat yang sudah pernah ditandang.



Perjalanan dari Madinah ke Makkah mengambil masa yang lama. Kira-kira lapan jam. Berhenti di sana berhenti di sini. Berhenti solat. Berhenti minum dan makan. Berhenti kerana rehat. Entah berapa kali saya tidur dan jaga. Terasa lena bukan boleh diminta-minta. Bukan boleh ditahan-tahan. Mata ralip sendiri. Kepala terlentok sendiri. Semasa meninggalkan Tana'im masing-masing galak bertalbiah. Bergema dalam bas. Lama-lama keletihan juga. Tinggallah seorang dua yang masih gagah berjaga.



Alhamdulillah. Bila jaga dari tidur talbiah disambung lagi. Begitulah tuntutannya. Iktibarnya ialah apabila kita berhajat kepada sesuatu hendaklah diungkapkan. Dinyatakan. Dimaklumkan. Didengarkan. Dibicarakan dengan terang dan jelas. Allah mengetahui walaupun yang jauh di dalam hati. Namun mengungkapkannya memberikan suatu kekuatan yang luarbiasa. Lahirlah sinergi baru yang membuak dari dalam. Semangat yang meruntun untuk mengabdikan diri. Menyedari kekurangan diri. Menginsafi dosa-dosa lalu. Kepada manusia lebihlah lagi. Selagi tidak dinyatakan siapakan yang tahu. Tentulah sia-sia memendam rasa. Monolog sentiasa. Menyatakan tidka semestinya disambut. Bertepuk tidak semestinya dengan kedua tangan. Yang pentingnya ada orang sedar kita menghayun tangan. nampak tangan menunggu tangan. kata orang menyayangi tidka semestinya memiliki.



Menghampiri Kota Makkah sangat mendebarkan. Doa-doa yang dibaca digerakkan di bibir. Paling ulung doa semoga jasad diri diharamkan arai api neraka. Hati berkocak ingin segera menatap masjid paling agung dalam Islam. Perjalanan terasa sangat perlahan. Kenderaan memang banyak. Sesak di jalanraya. Sekatan Imigresen pula ada di mana-mana. Alhamdulillah jugalah bila berhenti ada air zamzam yang dihulurkan kepada jemaah. Sukanya hati bukan kepalang. Air yang paling baik di dunia. Tidak perlu disaring. Tidak perlu ditapis. Tidak perlu alat dan mesin. Allah anugerahkan kepada manusia dengan kelebihan-kelebihannya yang tersendiri. Susunan molekulnya cantik. Menjadi penawar dan ubat. Minuman yang mengenyangkan. Penuh barakah.



Kota Makkah bustling with life pada musiam haji. Kenderaan ada di mana-mana. Bertali arus di jalanraya. Manusia sangatlah ramai. Benarlah perintah Allah kepada nabi Ibrahim. Serulah manusia untuk ke Bait al-Allah. Tugas nabi Ibrahim hanya menyeru. Allah yang menyampaikan seruan itu kepada orang-orang yang dijemput Allah. Bila datang seru. Begitulah orang Melayu membuat kesimpulan yang sangat naif. Haji tidak cukup menunggu seru. Ada usaha mendaftar. Ada usaha mengumpul dana. Ada usaha mempelajari rukun, wajib dan sunatnya.



Untuk ke sana, hati dan nurani hendaklah dijinakkan. Disedarkan. Diajak berunding untuk membuat perancangan yang diperlukan. Berunding pula dengan orang-orang yang terdekat. Ada yang ingin ikut serta. Ada yang ingin menumpang mahram. Satu demi satu langkah-langkah awal itu dilaksanakan hinggalah penamatnya apabila berada di haramain.



Jenuh juga menanti saat melihat masjid idaman. Bangunan dari yang tersebar dan terpencail. Melalui bangunan rendah yang rapat-rapat. Bertemu pula bangunan yang semakin meninggi dan menjulang. Tibalah di lorong-lorang sempit di celah-celah bangunan pencakar langit. Dalam sibuk menoleh ke kanan dan ke kiri itulah saya terpegun diperlihatkan menara masjid yang meninggi. Sedikit demi sedikit tembok masjid terpampang di depan mata. Bas pula berkeliling masjid menuju asrama. Ponduk atau hotel tempat menginap.



Pandangan pertama saya ke arah masjid bercampur baur. Masjid Nabawi terletak di dataran yang luas. Rata dan terhampar. Catnya cerah dan menceriakan. Walaupun ada kesyahduan di situ, masih ada ruang ceria yang dapat ditanggap perasaan. Kegembiraan kerana berada bersama Rasulullah dan sahabat-sahabat kabir yang sangat setia kepadanya. Bangunan-bangunan yang ada di Madinah juga nampak ceria.



Sesuatu yang agak unik ialah dinding banguna di sana bukan lepa dan dicat warna. Sebaliknya dinding bangunan adalah dari batu. Jubin granit. Tidak ada cat. Tidak diulang cat. Warna bangunan itu mengikut warna jubin tadi. Rasanya semua bangunan memenuhi standard yang khusus. Dinding dan tembok selalunya licin dan rata. Cat yang digunakan dalam bangunanpun rata. Tiada bintik dan tiada tompok. Kualitinya dijaga. Ironinya kesemua bangunan itu dibina menggunakan tenaga Muslimin. Hanya orang Islam sahaja yang boleh mendatangi Makkah dan Madinah. Kualiti kerja mereka jauh berbeza dengan kualiti kerja orang Islam di Malaysia. Mungkin sifat dan sikap tawadu' mereka diterjemahkan dengan kualiti. Tanggungjawab agama dan tanggungjawab kepada Allah melebihi segala-galanya.



Apa perasaan saya ketika memandang Masjid al-Haram? Sebenarnya saya seperti terpegun dan gerun. Batu mar-mar yang digunakan sebagai didinding masjid memperlihatkan bahawa masjid itu serene, tranquil and imposing. Calang-calang orang mungkin terkedu. Batu mar-marnya hitam dan putih. Nampak suram dan kelam. Menyedarkan hati-hati manusia betapa syahdunya masjid itu. Kudus statusnya. Masjid terbaik dan teragung. Setiap amalan dikatakan diberi ganjaran dalam nisbah 100,000. Masjid al-Aqsa 10,000 dan Masjid Nabawi 1,000. Di dalam masjid ini orang berlumba-lumba berbuat baik. Antaranya:



1 Menghulurkan air zam-zam apabila ada orang mendekai balang-balang air yang berbaris di tepi laluan.

2 Mengambil gelas terpakai dari mereka yang habis minum

3 Tolong mengambilkan al-Quran bagi yang memerlukannya

4 Menyusun kembali al-Quran yang sudah dibaca

5 Solat jenazah

6 Mencari jalan untuk membantu mengangkat keranda

7 Jika tidak boleh kerana terlalu ramai yang hendak mengusung, cukuplah sekadar nenyentuh keranda itu

Banyak lagi pahala kontan yang boleh dibuat di sana. Pahala dan pahala di mana-mana. Setiap tempat dan setiap masa. Kullu makan, kullu zaman.

No comments:

Post a Comment