Thursday, September 30, 2010

Tadika Itu Hiburan Atau Pendidikan?

Hari ini Khamis 30 September 2010 saya singgah di sebuah pasaraya. Entah yang keberapa saya tidak tahu. Setiap kali saya melihatnya saya menjadi lemas. Saya rimas. Saya jadi mencuka. Saya luka perasaan. Saya jadi kehilangan rasa. Event seperti itu ada di mana-mana. Bukan sahaja di hujung minggu, pada hari kerjapun event itu diadakan. Ramai pula yang menontonnya. Kanak-kanak merata tempat. Orang tua berkeliling penuh minat. Ibu bapa seronok gembira.

Bayangkan anak-anak yang masih hijau dididik untuk akhirnya mencintai hedonism. Hidup mereka rancak dengan muzik sepanjang masa. Mereka hanya tahu berhibur. Dari event kecil mereka akhirnya menjadi terbius dengan hiburan tanpa batas. Unplugged. Terlalu muda usia mereka. Setiap masa mereka didedahkan, dilatih, dibudayakan dengan muzik, nyanyian dan hiburan. Mereka pula dihias dengan berbagai rupa. Pakaian beragam. Hilang jatidiri mereka semua. Apa sebenarnya mereka hendak dibentuk? Ke mana pula arah tuju mereka?

Malang sekali anak-anak kecil yang belum mencapai usia tujuh tahun diperlakukan begitu. Semuanya atas nama TADIKA, TABIKA, TASKA, TASKI, KINDERGARTEN, TAMAN ASUHAN dan ABIM. Agensi yang mengendalikannya berbagai juga. Bermacam-macam kementarian dan jabatan. Yang swasta tidak boleh dikira. A lucartive business. Yang berada berlumba-lumba melabur. Yang kurang berada mencari yang paling minimum bayarannya. Demi anak. Demi masa depan. Demi kelangsungan masa depan keluarga.

Syaidna Ali menyarankan bahawa pada usia antara lahir hingga tujuh tahun, banyakkan bermain dengan anak-anak. Ibu bapa disarankan banyak bermain dengan mereka. Ya bermain. Tetapi jangan terpedaya dengan perkataan bermain itu. Jangan bermain-main dengan istilah itu. Bukan bermakna bermain tanpa matlamat. Tanpa prosedur. Tanpa peraturan. Tanpa pengajaran. Tanpa masa dan tempat. Bermain itu dengan disiplin. Untuk mengajar. Untuk menunjukcara. Untuk membimbing. Untuk menguatkan fizikal. Untuk menguatkan kesihatan. Untuk mengasah bakat. Untuk mencungkil segala kebaikan dna kemungkinan. Untuk menguatkan stamina. Untuk berdikari. Untuk bersosial. Untuk berperaturan. Untuk toleransi. Untuk ukhwah. Untuk kasih sayang. Untuk kepimpinan dan yang dipimpin. Bermainlah tetapi bukan untuk main-main. It has to be with purpose. Objektifnya mestilah jelas.

Bermain yang dicadangkan lebik kompleks dari yang dijangka. Dari yang difahami. Usia menjelang tujuh tahun adalah zaman yang masih jernih. Mereka masih putih. Masih bersih. Masih telus. Masih mulus. Suci dari segala kekotoran. Dari noda. Pada usia inilah mereka mesti didisiplinkan dengan agama. Dengan suruhan agama. Dengan amalan agama. Solat menjadi tiang dan tembok pertama yang mesti dibina. Yang mesti dibangunkan. Yang mesti didirikan. Yang mesti dikebalkan. Yang mesti bentengkan. Yang mesti diperkukuhkan. Yanbg akhirnya mesti dipertahankan. Diperkasakan.

Pada usia begini mereka mudah menyerap sessuatu yang baru. Lekat ingatan di benak mereka. Yang nanti sampai ke tua menjadi kenangan. Mereka mestilah diberi yang terbaik. Yang selari dengan garispandu agama. Yang menyejukkan roh-roh yang tenang. Yang mendamaikan jiwa yang bergejolak. Yang ingin didekatkan selalu kepada Allah.

Mengapa dan kenapa? Apa sebabnya? Dalam usia muda ini mereka dikaburi. Diracuni. Dicemari dengan hal-hal yang tidak sepatutnya. Usia semuda itu mereka tidak diberi pilihan untuk mendapatkan yang terbaik. Yang menjadi keutamaan hidup di dunia dan akhirat. Yang merintis jalan selamat, jalan lurus yang digariskan Allah dan RasulNya. Yang diperpanjangkan ulama’ yang menjadi pewaris para anbia’.

Anak-anak di kindergarten memanglah itu bentuk pendidikan mereka. Menyanyi dan menari. Muzik sepanjang masa. Tetapi bagaimana anak-anak di TASKA, TASKI dan yang serupa dengannya boleh terlibat dengan event yang menyimpang dari agama. Dari zikir dan doa. Tentulah tidak cukup anak-anak di tadika hanya diajar dengan doa makan dan minum. Doa tidur. Doa berpakaian. Doa dan zikir mestilah dimagnifikasikan. Di menifestasikan dalam bentuk kehidupan beragama. Ad-din. Guru-guru meraka didedah dengan Islam. Ibu bapa mereka Islam. Bila ada event hiburan, anak-anak tidak berpakaian sewajarnya. Tiada identiti Islamnya.

Ironis dan paradox bila dalam event seperti itu anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Berpakaian Melayu, berkopiah tetapi disuruharah terkinja-kinja, menari-nari dan terjerit-jerit. Ibu bapa yang berskopiah dan ada yang berserban. Ibu-ibu bertudung panjang dan lingkup. Audien pula dalam lingkungan mereka yang Muslim juga. Event itu tidak mencerminkan Islam. Tidak ada tanda aktiviti beragama. Bertambah malang bila event itu dimulakan dengan doa. Hanya make-up. Satu momokan yang kerap berlaku di mana-mana.

Bila sebenarnya kita boleh sedar akan kesilapan-kesilapan ini? Kembali untuk menegakkan yang hak. Bekerja untuk membina kekuatan akidah. Memperkukuh dan memperkasa agama. Merentas jalan lulus yang diredhai. Kita terpedaya dengan dunia sedangkan matmamat akhir kita bukan di sini. Kesemuanya ingin ke akhirat. Biarlah anak-anak itu berada di landasan yang betul. Sampai ke desta

Bimbinglah anak-anak kecil kita ke jalan lurus itu. Binalah sistem yang mencerminkan Islam. Yangs seuai dengan kehendak Allah. Mematuhi arahan dan sunnah RasulNya. Ke mana lagi hendak diarah? Kita sudah ada yang terbaik. Yang sudah digarispandukan. Yang sudah dijamin terbaik. Yang menjadi pilihan teragung. Inilah yang selalu Allah tanyakan dalam al-Quran. Kenapakah cari yang lain selalin Islam? Bukahkah telah diwahyukan bahawa ‘Pada hari ini telah Ku sempurnakan agamamu’? Allah menegaskan bahawa Allah redha Islam itu menjadi agama bagi mereka yang beriman’.

Keluarkanlah anak-anak kecil kita dari lingkungan yang tidak membina agama. Akhirnya nanti mereka faham bahawa agama itu seperti juga agama lain. Penuh dengan tarian dan nyanyian. Penuh dengan muzik dan hiburan. Fahaman salah ini yang dibawa hingga mereka besar dan mungkin sehingga dewasa. Ketika mereka sudah menjadi buluh nanti segala-galanya akan menjadi tunggang terbalik. Sukar untuk diubah persepsi dan perspektifnya. Jenuh nanti didakwah. Berbuih untuk dibetulkan. Memantul. Mereka yakin mereka dididik dengan betul. Mereka yakin jalan mereka adalah jalan yang lebih lurus.

Janganlah keadaan yang sudah bobrok ini semakin hancur. Kita yang boleh mengubahnya. Ibu bapa, andalah yang boleh mengubahnya. Guru-guru tadika, tuan-puanlah yang boleh mengubahnya. Kementerian dan agensi, mulakanlah perubahan ke arah yang Islamik. Pemimpin dan ketua, kembalilah kepada memartabatkan Islam. Wahai kaum, marilah sama-sama kita kembali kepada Islam yang telah dijanjikan lurus dan diredahaiNya.

No comments:

Post a Comment