Wednesday, August 25, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Ketiga Puluh - Bab 3

Waktu di rumah setinggan dulu anak sulong saya berumur 5 tahun. Adiknya berumur 4 tahun. Tengah comel-comel belaka. Pada masa itu kedua-duanya sudah pandai membaca. Al-Quran sahaja yang belum khatam. Selalunya isteri saya yang mengajar mengaji. Seorang anak jiran yang sebaya dengan anak sulong saya turut mengaji. Kadang-kadang jika isteri saya sibuk, sayalah yang mengajar mengaji. Maka malam itu penuhlah rumah saya dengan bacaan al-Quran. Mungkin kerana itu saya berasa damai di rumah itu. Anak-anak juga tiada masalah. Al-Quran menerangi, memberi sinar cahaya kepada rumah dan penghuninya yang membacanya. Dikatakan cahayanya memancar ke langit. Manusia tidak melihatnya hingga manusia tidak banyak memberi nilai kepada Al-Quran. Kembalilah kepada membacanya. Fahamilah isinya. Kajilah tafsirannya. Banyak yang kita abaikan walaupun kita beriman kepadanya.

Di rumah setinggan hiburan adalah sifar. Seingat saya, radiopun tiada. Entahlah kami tidak perlukan hiburan ketika itu. Tidak ada keperluan. Selesa dengan keadaan yang ada. Bila hati damai, bila perasaan lega huburan tidak lagi suatu keperluan. Segala yang ada cukup menghiburkan. Entah ya. Saya tidak berhibur baik di rumah mahupun di luar rumah. Tidak pula saya menonton wayang walaupun ianya lumrah ketika itu. Mungkin ada rumah yang memiliki TV yang pastinya menggunakan bateri. Saya tidak pula menontonnya. Hari-hari dilalui dengan tekad untuk keluar sebagai graduan yang nanti menjadi lebih baik dan bahagia dengan kedudukan dan pendapatan yang lebih lumayan. Kepayahan sementara hanya suatu pengalaman yang mesti dilalui. Yang mesti dimengerti bahawa senang itu lazimnya dari segala payah dan susah. Dari bawah naik ke atas. Dari duri dan onak ke dataran luas terhampar. Dari lembah yang jauh di bawah akan nanti naik memanjat bukit dan gunung harapan. Puncaknya yang dirasa damai untuk dihuni. Untuk ditawan selamanya. Untuk dikecap indahnya panaroma hidup.

Di rumah setinggan saya kira saya hanya terdampar sementara. Badai kehidupan yang mesti menghempas pantai rasa dan cita. Merenangi jalur-jalur tepian yang nampak berbalam tetapi diharung untuk mendarat senang. Pastinya tepian pantai itu memanjang bersih dan putih. Menanti saya keluar memijak dan menjejaknya. Keluar dari alun dan ombak hidup. Semoga tidak kelemasan dilambung ombak dan alun itu. Biasalah tenggelam timbul dalam hidup. Seteguk dua tertelan air. Jika tidak begitu masakan mungkin merasakan nikmat yang datang kemudiannya. Segalanya relatif mengikut masa, ruang dan tempat. Cita-cita saya tidaklah besar. Cukup untuk keluar dari lorong-lorong gelap kehidupan. Cukup sekadar setara dengan orang lain. IPT seperti UM cukup gah untuk dihuni, direntas dan dipahat di hati sanubari saya. Dapat menjejaknya, dapat berpijak dan berpesta ilmu di sana, dapat mencari tapak kehidupan yang lebih baik. Darinya saya lanjutkan berbagai kelangsungan hidup hingga kini.

Kebetulan saya juga di IPT. Sekurang-kurangnya saya kongsikan pengalaman indah ini. Pengalaman sebagai penjejak ilmu dan kampus. Penjejak harapan dan hasrat besar menggunung. Indahnya berada di puncak gading. Yang sekarang hanya kenangan itu dibawa bersama. Untuk diingat dan diambil iktibar. Rupanya banyak, terlalu banyak yang telah saya lalui, banyak lagi yang pasti akan saya lalui. Usia kita membawa kita menjelajah semesta ini ke ruang-ruang di hadapan hingga ke akhir hayat nanti. Selagi titik noktah itu belum ditentukan selagi itulah perjalanan hidup mesti diteruskan. Kita tidak boleh berhenti. Saya tidak boleh berhenti. Berhenti itu hanya hak di perhentiannya. Bukan dipaksa. Ketentuannya sudah ditentukan sejak azali. Sabarlah dan tunggulah. Tetapi bukan untuk mensia-siakan usia yang ada. Guna dan gunalah hingga ke nafas yang terakhir.

Apalah yang ada di rumah setinggan? Barangkali tidak banyak yang dapat digarap dari pengalaman sementara itu. Namun bagi saya pengalaman itu banyak mengajar saya. Banyak erti hidup yang saya kutip dan pungut dari sana. Secara fizikalnya, cukup sekadar tempat berlingung dari hujan dan panas. Cukup sekadar ada tempat untuk mendamaikan hati. Untuk melelapkan mata. Untuk mengajar diri ini supaya menginsafi keadaan. Langit tidak selalu cerah. Panas tidak selalu sampai ke petang. Namun yang pastinya keindahan pasti datang. Cahaya gemerlapan itu pasti memancar. Percikan-percikan cahaya damai yang menerang. Yang membuka hamparan-hamparan baru dalam menghadapi masa-masa mendatang. Hati ini mesti berbunga dengan harapan. Doa yang tidak pernah putus untuk mensyukuri nikmat Allah. Merasa cukup dengan apa yang ada.

Isteri saya damai di rumah setinggan kerana kami bersama. Ia pandai menjahit. Maka banyak juga upahan dan tempahan menjahit yang terimanya. Gambaran itu masih jelas. Di lehernya akan terlingkar pita pengukur yang jarang lekang. Bak tukang jahit profesional. Dulu memang isteri saya yang mengurus hal pakaian kami sekeluarga. Bila perlu pakaian sata tahu siap berjahit. Pakai sahaja bila perlu. Upah menjahit cukup melegakan juga dari segi kewangan. Jika mengharapkan gaji saya yang hanya separuh, perit juga setiap hujung bulan. Alhamdulillah Allah sentiasa membantu. Rumah yang sekecil itu cukup mudah diurusnya. Kebetulan isteri saya cekatan orangnya. Seperti lipas kudung setiap masa. Hingga sekarang belum berhenti ligatnya. Umur 60 tahun belum lagi hendak diam bersara dari kesibukan. Hendak mengisi masa emas katanya. Anak-anak sudah ada kehidupan sendiri. Tanggungjawabnya sekarang beralih kepada mendidik ahli masyarakat pula. Kerja amal yang perlu diperbanyakkan. Memanfaatkan masa emas. Masih belajar dan masih ghairah untuk belajar.

Kepada orang lain, gila jadinya. Gila apakah agaknya umur 60 tahun masih bersusah-susah belajar? Di Kuala LUmpur pula. Berapa banyak masa, tenaga dan wang ringgit yang dikorbankan? Betapa payahnya merentas ilmu. Namun semuanya diharungi. Dengannya ia meneroka sesuatu yang tidak dapat diteroka oleh orang lain yang setuanya. Pada mata umum ia perlu berehat dan menghitung hari. Itu bukan motto hidupnya. Bukan falsafah hidupnya. Bukan penamat hidupnya. Mindanya mesti ligat. Berputar 24 jam. Menggunakan fakulti mindanya supaya segar dan aktif. Ubat dan penawar dari serangan penyakit. Sentiasa sedar dan waspada. Motivasinya masih dihambur untuk anak dan menantunya. Belajar dan belajar. Cari ilmu. Teroka bidang baru. Tidak boleh jumud. Tidak boleh berpuas dengan yang ada. Cucu-cucu jangan terkira. Yang mengambil UPSR pasti bersedia untuk dipuji atau disergah kerana prestasi tidak memuaskan. Mereka pasti dihantui oleh neneknya. Tahun hadapan, 2011, dua orang akan mengambil PMR. Dari sekarang sudah diasak dan didesak. Dapatkan kecemerlangan. Tiada kompromi.

Isteri jiran saya (di rumah setinggan dulu) cukup serasi dengan isteri saya. Hingga sekarang setelah 33 tahun kami masih rapat. Kunjung mengunjung dan hubung menghubungi. Sudah jadi terlalu rapat. Kadang-kadang melebihi adik beradik. Boleh berkongsi rahsia antara satu sama lain. Dia masih tinggal di kawasan itu. Mendapat peruntukan rumah apabila kawasan itu dibangunkan dijadikan kawasan perumahan. Sebenarnya rumah yang saya sewa dulu adalah rumah adik iparnya. Rumah itu rumah berkembar dua. Dia di sebelah dan saya pula di sebelah yang lain.

Pada waktu petang kadang-kadang saya balik awal sedikit. Sekitar pukul 5.30 petang. Itupun jika tiada kelas atau tutorial. Jika tidak sibuk hendak menghadapi peperiksaan. Pada musim peperiksaan saya biasa di kampus pada waktu malam. Belajar seadanya. Sedar bahawa mahasitua sudah agak berkarat otaknya. Kognitifnya perlu diperah. Inteleknya perlu digilap. Kapasiti berfikirnya perlu ditingkatkan. Fakultinya mesti dibangunkan. Hingga tengah malam baru saya pulang. Vespa kuning teman setia saya. Nombor pletnyapun saya sudah lupa. Mungkin JP 1580. Gambarpun tidak ada untuk ditunjukkan. Lama tidak membelek gambar-gambar lama. Mungkin ada dalam lipatan rakaman lama.

Waktu belajar di UM anak saya dua orang lagi. Saya rancang supaya yang ketiga jangan menyusul dahulu. Tunggulah sehingga saya tamat belajar nanti. Rupanya rancangan itu menjadi terlalu lama. Jarak antara yang kedua dan ketiga ialah 7 tahun. Ketika anak kedua saya terbang ke USA anak ketiga saya baru berumur 11 tahun. Saya tamat belajar pada tahun 1979 dan pada tahun 80 lahirlah puteri saya yang ketiga. Selepas itu berderet-deretlah hingga sembilan orang kesemuanya. Anugerah Allah, 7 puteri dan 2 putra. Alhamdulillah kesemuanya menjejak IPT. Tujuh telah tamat. Tinggal dua yang masih menghuni. Yang bongsu di UIAM. Baru menjejak kakak dan abangnya. InsyaAllah Allah akan mempermudahkan mereka.

Di rumah setinggan tiada hiburan untuk anak-anak saya. Oleh kerana mereka sudah pandai membaca, bahan bacaan sahaja yang saya banyakkan. Membacalah mereka. Oleh kerana isteri saya sentiasa bersama mereka, isteri saya yang banyak memandaikan mereka. Pada waktu petang saya biasa membawa mereka meronda kawasan setinggan itu. Walaupun namanya kawasan setinggan namun masih banyak kawasn lapang yang tidak berpenghuni. Bekas lombong yang membentuk berbagai saiz tasik ada di mana-mana. Dengan vespa saya naikkan yang sulong di belakang sementara adiknya berdiri di hadapan. Berliburlah kami bertiga berlegar-legar menikmati angin sepoi-sepoi bahasa di kawasan lombong itu. Dari satu tasik ke tasik yang lain. Dari satu lorong ke lorong yang lain. Bila puas barulah balik. Segarlah mereka dari kebosanan di rumah. Keluar dari ruang sempit yang menghimpit. Di luar mereka menerawang alam yang luas. Menghirup udara bebas yang tidak melemaskan.

Saya biasa ke kawasan yang berhampiran dengan Pembinaan Subang Jaya. Melihat dari jauh. Di atas Subang jaya itulah laluan kapalterbang naik dan turuk dari dan ke Lapangan terbang Subang. Pada waktu pembinaannya ramai orang yang takut untuk membeli rumah di situ. Bagaimana jika ada kapalterbang yang terhenpas di situ? Logiknya memang ada. Laluan kapalterbang. Rupanya ketentuan Allah hanya Allah sahaja yang tahu. Apabila KLIA dibina dan lapangan terbang Subang bukan lapangan utama lagi maka mereka yang mencemuh pembinaan Subang Jaya kehilangan rentak. Kebimbangan sementara yang bukan lagi kenyataan. Sewaktu melihat kapalterbang saya tidak pula terlintas untuk dapat terbang dengannya. Masih terlalu naif. Saya seperti perasaan bahawa rupanya apa sahaja yang pernah dilihat, didengar, dibaca, dihidu atau apa sahaja yang dialami oleh deria sedar atau tidak sedar kita pasti akan dialami dengan sebenar-benarnya. Allah perlihatkan dahulu laluan hidup yang bakal kita tempuh. Waktunya sahaja yang tidak dapat dipastikan.

Yang nyata kapalterbang itu saya naiki juga kali pertama ke USA. Saya bawa isteri dan lima orang anak saya merentas benua dan lautan. Dataran dan lembah. Dari benua ke benua. Melaluinya kami menjejak Hong Kong, Taiwan dan Jepun. Kami rentas Lautan Pasifik hingga merentasi kanada dan Amerika Syarikat. Kami medarat di O'Hare Airport di Chicago. Lalu kami terbang ke Pittsburgh. 18 bulan di sana kami terbang kembali merentasi Lautan Atlantik pula untuk singgah di London. Kemudian merentas benua Eropah dan Asia. Singga di Frankfurt dan Dubai. Sempurnalah sudaH pengembaraan kami bertujuh mengelilingi dunia. Menjejak Panglima Awang yang meneruskan hasrat Ferdinand Megallan untuk mengelilingi dunia. Jika Megallan sampai di Melaka pasti hasrat itu tercapai. Tetapi ketentuannya tidak begitu. Megallan sekadar sampai di Filifina. Ajalnya di situ. Panglima Awang yang dikatakan menjadi adik ipar Megallan meneruskan pelayaran. Dalam sejarah Barat namanya adalah Enrique. Carilah bukunya yang mencertitakan kisahnya bahawa He Travel With Megallan. Hingga sekarang masih ada usaha untuk menjejak keturunan Panglima Awang di Portugal. Mudah-mudahan berjaya. Nanti kita putar sejarah bahawa orang Melayulah yang pertama mengelilingi dunia.

Sebenarnya ruang, masa dan tempat itu bukan perkara pokok sangat. Walaupun ianya perlu diambil kira, namun ianya bukan faktor penentu untuk segala-galanya. Ruang, masa dan tempat hanya alat dan bahan untuk kita memanfaatkannya. Duduk di kawasan setinggan bukan bererti segala-galanya sudah mati. Bukan bererti dunia sudah sampai ke hujungnya. Tidak pula di situ untuk mereka yang kehampaan kesemuanya. Kawasan setinggan bukan untuk mereka yang terpinggir dan dipinggirkan. Bahkan bagi yang berani melakonkan watak-watak gigih mereka berjaya keluar dengan gah dan mewah. Bijak dan pandai mengendali hidup. Duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain. Kawasan setinggan bukan tempat hina. Hanya suatu kebetulan kedudukannya tidak mewah dan selesa.

Mungkin kebetulan kawasan setinggan Sungai Way agak berlainan dengan kawasan setinggan yang lain-lain. Cukup banyak ketika itu. Di mana-mana ada di keliling Kuala Lumpur. Di Sungai Way keadaannya teratur dan selesa. Tidak sesak dan kalut. Tidak menyesakkan dan menyulitkan sangat. Hanya air barangkali yang terasa payahnya. Tapi alah bisa tegal biasa. Rutin itu sudah menjadi darah daging. Tidak diambil pusing sangat. Cuma sekarang merasakan payahnya. Ketika itu hanya survival sahaja yang difikirkan. Demi kelangsungan hidup.

Yang nyatanya saya dan keluarga hidup aman. Orang-orang kampungpun menjalani kehidupan tanpa banyak bicara. Tiada yang merungsingkan mereka. Pekerjaan ada. Makan dan minum cukup. Sandang pakai tidak jadi masalah. Rumah ada. Tempat tinggal ada. Tempat berteduh ada. Tempat berkeluarga ada. Mereka hidup beranak pinak seperti orang lain. Tidak ada hinanya. Tidak ada cacat celanya. Harga diri mereka juga tinggi seperti orang lain. Bagi saudara mara di kampung asal mereka, penghuni rumah setinggan tetap tinggal di Kuala Lumpur. Tetap gah walaupun realitinya mereka memang tinggal di kawasan berlumpur. Lumpur ada di mana-mana. Dilihat di mana-mana. Dipijak di mana-mana. Kerap terpalit di mana-mana. Realitinya lumpur hanyalah pentas. Lakonan tetap dilakonkan. Hidup tetap diteruskan.

Itulah kehidupan dengan pasang dan surutnya. Ruang, masa dan tempat bukan persoalan yang perlu difikirkan sangat. Bila hati damai, perasaan tenteram cukuplah. Apa lagi yang perlu diminta. Dari segi psikologi apabila manusia merasa cukup dan puas ia akan damai. Hati dan perasaannya akan bulat tanpa segi. Tiada lain yang dicari.

No comments:

Post a Comment