Saturday, May 8, 2010

Untuk Ibu

Seorang wanita dinikahi seorang lelaki. Saat 'aku terima nikahnya' seluruh jiwa raganya diserahkan kepada lelaki yang bernama suami. Diperhambakan dirinya kepada suami demi mencari keredhaan Allah. Ia tahu sangat bahawa lelaki itulah yang membimbingnya ke syurga. Kampung halaman yang dijanjikan kekal oleh Allah. Syurga indah yang di dalamnya mengalir sungai air bersih, susu, madu dan arak. Nikmat yang kekal abadi.

Isteri solehah mantap fikirannya, bulat hatinya, saksama sakhsiahnya, adil layanannya kepada suami, sempurna peribadinya sebagai Muslimah. Indahnya, cantiknya dan halusnya hati budinya. Sejuk alam di sekelilingnya. Seluruh hidupnya untuk membahagiakan orang-orang yang ada di sekitarnya. Untuk Allahnya, untuk Rasulnya dan untuk suaminya.

Naluri dan hakikatnya ia rela dan merelakan untuk menerima ketentuan dan ftrah yang Allah beri dan tentukan untuknya. Kasih sayangnya kepada suami adalah kerana Allah. Ia menuntut haknya tetapi tidak melampaui batas yang diizinkan. Lalu yang dituntutnya adalah keredhaan Allah. Ia ingin benar ke syurga bersama suaminya yang dicintainya. Maka kehamilan adalah suatu keharusan untuk dirinya. Demi kelangsungan zuriatnya bersama suami.

Sembilan bulan yang pada mata yang memandang adalah suatu kepayahan yang mungkin menyeksakan. Namun padanya itulah pengorbanan, itulah jihadnya pada agama dan Allah. Sesunggunya meramaikan umat Muhammad suatu sunnah yang sangat disenangi Rasulnya di akhirat nanti. Sembilan bulan itu hanya hari-hari yang berlalu. Tidak ada yang perlu dirisaukan. Tidak ada yang perlu dibimbangkan. Tidak ada yang perlu digundahkan. Tidak ada yang perlu digulanakan. Datangnya waktu dan saat itu, lahirlah nanti cahaya mata, pelita hati, pengarang jantung yang bernama putera atau puteri. Itulah penyeri hidup bersuami isteri. Itulah pengikat kasih suami isteri. Itulah nanti penyambung warisan keluarga. Warisan manusia hingga ke akhir zaman.

Melahirkan tentulah suatu keadaan yang antara hidup atau mati. Malah jika meninggal pahalanya cukup besar. Syahid kecil barangkali. Siapalah yang dapat mengukur kesakitan seorang ibu yang sedang melahirkan. Anak-anak perempuan yang juga melahirkan kadang-kadang tidak dapat merasa dan menghargai kesakitan ibunya. Lupa bahawa perempuan yang melahirkan adalah seksa saatnya. Tetapi anak perempuan kadang-kadang alpa dalam menterjemah kesakitan itu dalam bentuk kasih sayang. Dalam bentuk empati yang mendalam. Malah simpati kadang-kadang entah ke mana dibuangnya. Mereka lupa sakit yang serupa juga mereka rasainya. Bukankah ibu itu serupa di mana-mana. Melalui semua yang bersifat keibuan. Kepekaan dan keperihatinan kadang-kadang hilang kerana sifat keibuan yang hilang.

Bayi sebesar tapak tangan ditatang bagai minyak yang penuh. Itulah pengubat lara seorang ibu. Dekatnya dikasihi. Jauhnya dirindui. Manjanya pengubat hati. Keletahnya memperkaya keindahan menjadi ibu. Tangisnya yang meruntun jiwa bagaikan nyanyaian merdu yang selalui memenuhi rasa. Jaganya menghibur. Tidurnya dijaga rapi tanpa usik dan kacau. Ulitannya menyelimuti kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Nyenyaknya mendamaikan. Rengeknya mengundang rindunya yang tersendiri. Sakitnya merisaukan. Peningnya membimbangkan dan menggundahkan perasaan.

Goleknya dinantikan. Rangkaknya ditunggu. Tatihnya diagah-agahkan. Jalannya yang setapak demi setapak dikira langkah-langkah berjaya untuk masa hadapan. Larinya adalah kemuncak bertukarnya bayi menjadi kanak-kanak yang lebih banyak keperluannya. Memanjat adalah permulaan mendaki kejayaan. Lompatan adalah gerakan maju untuk menunaikan harapan.

Ucapan pertama dan ungkapan 'ibu' dan 'ayah' adalah semerdu buluh perindu. Serunai indah dari anak yang dimanja. Terbinalah kosa kata yang berganda-ganda. Jadilah anak itu pemidato keluarga yang selalu dibangga. Tanya dan jawabnya, bahasan dan hujjahnya menjana pemikiran insan harapan untuk masa depan keluarga yang lebih berencana.

Besarlah anak itu menjadi remaja dan dewasa. Menggarap ilmu dan kemahiran untuk hidup berdikari. Menjadi harapan ibu bapa yang tidak pernah hilang sakit dan payahnya. Dari dalam kandungan hingga menjadi dewasa seorang ibu tidak pernah luput ingatan sakit, seksa dan kepayahan membentuk seorang manusia hasil kasih sayangnya bersama suami. Sampai bilapun ia merasakan perasaan dekat itu. Perasaan dekat di hati itu. Itulah yang digambarkan oleh Rasulullah bahawa seorang ibu memiliki kelebihan berganda berbanding kelebihan seorang bapa.

Betapa tenangnya seorang ibu apabila anak-anaknya tidak lupa kepadanya. Seorang ibu bukan meminta kekayaan anak-anaknya. Bukan meminta wang ringgit anak-anaknya. Bukan meminta kemewahan anak-anaknya. Ia hanya meminta ingatan. Meminta kebersamaan. Meminta perhatian untuk melalui masa tuanya dengan damai. Untuk melihat kualiti didikannya pada anak-anaknya. Alangkah damainya jika anak-anak mempamerkan kualiti itu semasa sang ibu menjadi tua. Ada kesinambungan usahanya yang diperturunkan kepada anak, cucu dan cicitnya. Kualiti keluarga dapat dipertahankan untuk suatu jangkamasa yang panjang. Lestari sepanjang zaman.

Seorang ibu telah menghabiskan seluruh hidupnya untuk keluarganya. Untuk anak-anaknya. Tidak ada yang dikecualikan. Bila hari tuanya tiba di manakah seorang ibu kepada anak-anaknya? Di mata atau di hati mereka? Di mata kasar mereka atau di mata hati mereka? Dapatkah perasaan halus seorang ibu diterjemahkan oleh anak-anak? Dapatkah anak-anak menjelmakan harapan seorang ibu? Dapatkah anak-anak melestarikan warisan keluarga? Dapatkan anak-anak melaksanakan kesinambungan jambatan zaman yang sudah terbina melalui darah, keringat dan air mata? Ya darah, keringat dan air mata! Tidak ada yang kurang dari itu.

Di manakah kau anak? Di mana wujudmu hingga aku merinduimu? Di manakah kasih sayangku dahulu yang tidak kau kembalikan? Ke manakah payahku yang tidak terakam? Ke mana menghilangnya warisan zaman yang minta dilestarikan? Kembalilah kepada asalmu. Kembalilah kepada indukmu yang sentiasa menanti. Di matanya kau adalah anak kecil yang dulu tidak jemu-jemu meminta, menangis, bermain, makan dan minum bersuap, sakit pening yang dirawat, jatuh bangun yang diharap. Datanglah dakap ibumu. Datanglah untuk menyempurnakan rindunya. Seorang ibu akan sentiasa lemas menanti kehadiranmu.

Hari ibu bukan hari sosial. Hari ibu bukan setahun hanya datang sekali. Janganlah keliru hari ibu yang komersil dengan hari ibu yang hak dan hakikat. Hari ibu adalah setiap saat dan hari. Dalam era canggih ini mana smsmu, mana e-mailmu, mana deringan telefonmu. Sesuatu yang kecil - small gesture - tetapi tinggi nilainya kepada seorang ibu. Ibumu selalu merinduimu. Sentisa. Selalu. Setiap masa. Kebahagianmu, kesejahteraanmu adalah mendamaikannya.

Jadikanlah hari-harimu sebagai hari ibu. Ini mungkin peluang terakhirmu. Esok lusa ia mungkin tiada. Kewajipanmu pula untuk melanjutkan tradisi itu. Jadilah ibu, ibu mithali. Selamat hari ibu untuk semua ibu. Untuk semua wanita yang benama ibu. Semoga Allah bersamamu. InsyaAllah.

4 comments:

  1. sgt indah bahasa yg digunakan...
    nk share citer nie kat blogs sy leh x..

    ReplyDelete
  2. Assalamu'alaikum Tuan Haji...

    Ibu harus menjadi permata hati setiap orang. Tanpa ibu, tiada kita di dunia ini dan mengecapi pelbagai nikmat yang ada di muka bumi. Ibu tidak pernah mengenal putus asa dalam membesarkan anak-anaknya walaupun dirinya sendiri kadang terpaksa menahan lapar demi sesuap nasi untuk anak-anaknya. Tetapi ada juga ibu yang sanggup mengabai dan membuang anaknya. Ibu jenis ini adalah ibu yang buta agama dan singkat pemikirannya. Minta kita dijauhkan daripada semua ini.

    Tangan ibu yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Tetapi kejayaan anak-anak bukanlah diharapkan balasan segunung emas sebaliknya hanyalah sedikit kasih-sayang sebagai tanda ingatan seorang anak buat ibunya. Pastinya bagi ibu-ibu yang taat kepada perintah agama akan sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anaknya. Tetapi adakah anak-anaknya ingat akan pengorbanan ibu mereka yang telah membesarkan mereka dengan bersusah payah dan sabar. Sebaliknya apabila gembira, rasa gembira itu dikongsi bersama keluarga sendiri dan kawan-kawan. Tetapi apabila dalam kesusahan atau mempunyai masalah barulah ibubapa yakni ibu khususnya yang dicari sebagai tempat rujukan dan peneyelesai masalah terutamanya dari segi kewangan.

    Wallahu'alam.
    Sekian. Wassalam...

    ReplyDelete
  3. Kembalilah ke pangkuan ibu bapa dalam keadaan riang, bahagia dan membawa kegembiraan. Elakkan jadi boomerang kid, kembali membawa masalah. Cukuplah ibu bapa menyelesaikan masalah kita sebelum kita dewasa. Sekarang kita pula menyelesaikan masalah mereka. Bukan sebaliknya.

    ReplyDelete