Thursday, March 11, 2010

ZiarahTapak Feri Batu Pahat



Antara tahun 1960 hingga tahun 1965 feri ini menjadi nostalgia kepada diri penulis. Sesuatu yang sukar digambarkan sekarang. Di Port Said, Mesir penulis menyeberang muara Terusan Suez menggunakan feri tetapi berbentuk kapal.


Petang hari Isnin 8 Mac 2010 saya buat catatan sejarah ini. Setelah saya tinggalkan sejak Disember 1965, baru petang ini saya jenguk semula. 45 tahun sudah berlalu. Tempat yang memperkayakan saya dengan pengalaman suka duka menjadi remaja di sebuah bandar yang dianggap besar (ketiga di Johor) tetapi tidak pantas menggamit kemajuan dan pembangunan.

Dalam mengejar ilmu dan memenuhkannya ke dada banyak pahit maung kehidupan terpaksa ditempuhi. Saya rasa semua keluarga dahulunya berasal dari tapak yang rendah. Mereka berusaha naik. Dari jatuh dan bangun itulah kita menikmati keindahan kehidupan. Akhirnya kita menempuhi kebahagiaan, kesejahteraan dan berkelapangan untuk mengingat ini semua. Namun di belakang semua itu rentetan peristiwa payah, sukar, letih, jemu dan keinginan untuk lari dari semua yang fana ini.

Air sungai Batu Pahat deras pada musim hujan. Motorbot yang kecil itu menongkah arus. 


Pada zaman saya bersekolah, laluan ke Batu Pahat hanya ada satu. Dari Muar ke Batu Pahat atau dari Pontian/Johor Bahru ke Muar mesti melalui Batu Pahat. Jambatan masih belum dibuat. Sehingga tahun 1965, jalan perhubungan yang ada hanyalah melalui perkhidmatan feri. Syarikat yang sama mengendalikan feri di Muar. Juga sebelum ada jambatan pertama yang merentas bandar Maharani. Kenapa Maharani.? Mungkin orang Muar yang layak menjawabnya. Cuma dari sejarahnya, Muar adalah bandar kedua yang dibuka di Johor selain dari Tanjung Puteri (Johor Bahru sekarang). Oleh kerana di Johor sultannya Maharaja Abu Bakar, maka Muar mengambil sempena Maharani, permaisuri Maharaja Abu Bakar. Mungkin pakar sejarah Johor boleh mengesahkan hal ini.


Berbalik kepada feri. Dengan izin Allah feri, motorbot dan sampan adalah penyambung semua aspek kehidupan penduduk di sekitar laluan tersebut. Bagi saya perkhidmatan ketiga-tiganya adalah penyambung kelestarian hidup saya. Dari zaman remaja hingga saya keluar sekolah pada akhir tahun 1965. Perjalanan hidup saya sebenarnya bertapak di laluan ini. Darinya saya ke Kuala Lumpur, ke Kuala Terengganu, ke Ipoh, Ke Amerika Syarikat, ke Canada, merentas bahagian dunia yang lain dan sekarang barangkali di stesen terakhir sebelum berpindah kekal di alam yang lain.






Yang tinggal hanya bayangan masa silam.









Jeti ini tinggal bekasnya sahaja. Di kejauhan saya masih terbayang hiruk pikuk manusia seberang menyeberang, dayung-dayungan penambang (pemilik sampan sedang berkayuh) dengan jerit pekiknya bersama penambang yang lain. Di bahagian Peserai, terbentuk pekan kecil yang agak sibuk sepanjang masa. Pada tahun 60an itulah kali pertama Datsun mengenalkan kereta pertamanya di Malaysia. Suatu produk yang sangat-sangat diragukan kualitinya kerana kelainan dan kerana keluar dari kebiasaan menggunakan barangan buatan British. Kegigihan Jepun membina ekonomi dan teknologinya dan dengan polisi zero defectnya menjadikan baranga buatan Jepun sebagai the most sought after.

Minda remaja saya ketika itu tidak dapat membayangkan perubahan-perubahan yang akan berlaku di bandar Penggaram. Sementara jeti tersebut ditinggal kaku, timbul satu kesayuan yang mencengkam. Di sini, di jeti ini, saya seberangi, dalam arus deras dan tenang, kayuhan demi kayuhan penambang yang bekeringat dan bertenaga, dengan helah membelah seberang, tempat itu sekarang sepi, mati, sunyi dan terbiar sendiri. Jika is bisa berbicara, pasti ia meraung duka, ditinggalkan tanpa cerita. Usiagunanya telah tamat. Tetapi meninggalkannya tanpa pengisian perubahan adalah suatu pembaziran.

Maaf, mungkin ada baiknya di tapak itu, di jeti itu wujud muzium sejarah. Suatu galeri yang mengingatkan generasi mendatang bahawa suatu ketika dahulu di situ ada suatu kehidupan yang sukar kerana teknologi belum berkembang dan kerana minda warganya baru keluar dari kepompong belenggu penjajah British. Suatu bangsa yang banyak helah. Yang manis tutur katanya tetapi menjajah sampai ke minda, berakar umbi hingga sekarang.

Kemeriahan di kawasan ini cukup hebat. Kawasan ini berhampiran dengan pasar awam Batu Pahat, memasuki laluan utama iaitu Jalan Rahmat, tempat pertemuan sampan dan tongkang dari Sumatera dan deretan kedai makan di sepanjang Jalan Shahbandar. Setelah jambatan dibina, hanya pasar awam masih tegak berdiri, sampan dan tongkang masih berlabuh dan pergi. Jalan Rahmat hanya hidup pada hari kerja dan pada waktu siang sahaja. Malamnya seperti bandar mati kerana kehidupan beralih ke arah di mana kehidupan itu dibina semula.

Sejarah feri ini telah diabadikan dalam sebuah lagu ghazal yang popular pada tahun-tahun 60an. Nama lagunya ialah Empat Dara nyanyian Sharifah Rodziah. Empat dara ini adalah staf syarikat feri Batu Pahat. Seorang daripadanya ialah novelis terkenal Zaharah Nawawi. Jika ada yang membawanya menziarahi blog ini barangkali beliau dapat mengimbau kenangannya di jeti ini. Persinggahannya sebelum mencipta nama yang meninggalkan jolokan empat daranya dulu.







Sepinya. Begitulah jika
ditinggalkan tanpa berita, tanpa bicara.






Kawasan lain di bandar Penggaram dibangunkan. Lalu terbinalah terminal bas yang baru, the Summit, Carrefour dan Square One, Batu Pahat Mall dan mercu-mercu tanda baru seperti Ibu Pejabat Polis Daerah, balai Bomba, Masjid Sultan Ismail dan laluan utama yang berpindah ke Jalan Bakau Condong. Pada tahun-tahun 60an dahulu kawasan ini adalah paya kerana bandar Batu Pahat memang asalnya serokan. Sila lihat dalam pos yang lain. Pada alaf baru ini dan sejak tahun 1993 lagi mercu tanda yang tegak mencacak ialah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Parit Raja.















Gerai-gerai makan baru yang mula dibina semula di Jalan Shahbandar. Di sini banyak penjual sate. Pilih yang mana suka.

Masa sudah terlalu lama berlalu. Jalan Shahbandar tidak diubah lanskapnya. Maaflah, kita ramai orang-orang yang memiliki ijazah Perancang bandar, tetapi tidak keluar melihat sejarah, warisan dan wawasan. Alangkah indahnya jika Jalan Shahbandar dijadikan seperti Elizabeth Walk di Singapura atau Esplanade di Pulau Pinang.


Sebenarnya apabila kita memandang ke sungai, kita melihat paparan sejarah. Yang menelusuri sungai itu adalah pedagang yang mudik dan menghilir, nelayan yang selalu menyabung nyawa, petani yang membawa hasil taninya, warga kampung yang menjengah bandar. Motorbot sampan, jalur, kolek dan perahu berkejar-kejaran di sepanjangnya.














Hiasan air pancut yang berbentuk air menjatuh.


Kawasan ini sejak dari dulu lagi memang tempat pertemuan pertukaran barang. Dari Sumatera mereka membawa apa sahaja hasil yang boleh dibawa seperti kayu balak, getah, kopi, tikar, kelapa dan sebagainya. Bila air pasang bertunda-tunda kapal-kapal kecil memasuki pelabuhan. Bila air surut bot-bot itu keluar ke laut menuju jalan pulang mereka ke Sumatera.
















Kapal-kapal kecil ini akan terus berlabuh selagi masih ada manusia yang memerlukannya.
Pertemuan dua negara ini sudah lama termetrai. Barang dagangan mereka ditukarkan dengan sejumlah barang-barang makanan atau keperluan yang lain. Kadang-kadang kehadiran barangan dari Sumatera seperti penyelamat kepada keadaan di Batu Pahat. Di sini mereka bawa tikar mengkuang, kelapa biji, gula melaka, ikan masin (ikan bulu ayam), daun kelapa muda (untuk buat kelongsong ketupat) dan keropok melinjau. Banyak lagi yang tidak dapat saya senaraikan.


Catatan ini adalah nostalgia masa dulu-dulu. Suatu masa suatu tempat, suatu keadaan yang mencipta sejarahnya sendiri. Seperti sejarah-sejarah yang lain, generasi yang berikutnya tidak dapat memberi pertimbangan nilai yang sewajarnya. Kadang-kadang sejarah dilupakan begitu sahaja. Ramai yang tidak memahami hakikat sejarahnya. Sejarah seharusnya menemukan suatu titik masa keberadaan, kebersamaan, kekakraban, perkongsian rasa, citarasa, aspirasi dan selanjutnya menciptakan peradaban kemanusiaan. Dari sejarah itu, seharusnya manusia merencanakan sejarah yang lebih besar.

4 comments:

  1. Salam...

    Pada pendapat saya biasanya mereka yang berasal daripada keluarga yang susah dan miskin lebih mudah berjaya daripada anak2 yang selesa hidup dikelilingi kemewahan...


    Emak saya selalu mengeluarkan ungkapan begini apabila melihat berita2 kejayaan anak2 di kaca televisyen... ungkapan beliau... 'Tengok, anak orang susah semuanya pandai2 belajar...'... terpulanglah kepada anda untuk menilainya... saya hanya berkongsi pengalaman bersama emak saya...

    Berkongsi kisah hidup dengan orang yang lebih tua daripada kita ini banyak faedahnya... mereka penuh dengan pengalaman hidup yang tidak boleh dijual beli... sesetengahnya boleh dijadikan sebagai panduan untuk kita merencana masa depan...

    Sekian. Wassalam...

    ReplyDelete
  2. Lazimnya mereka yang susah akan membina kejayaan. Lalu mereka menjadi senang. Ini adalah waktu yang sulit. Kesenangan dan kemewahan kadang-kadang meleka dan mengalpakan. Tetapi bagi ibu bapa yang sentiasa peka akan asal usulnya, ada kaedah untuk disampaikan kepada anak-anak. Anak-anak tidak boleh dibenarlan untuk "take for granted" bahawa semuanya terhidang "on a silver platter". Semuanya mesti diusahakan. Ibu Bapa menyediakan kemewahan tetapi bukan dijadikan hak kepada anak-anak untuk menikmati keistimewaan kemewahan itu.

    Inilah kunci didikan dan asuhan berfikir dan mewaraskan minda. Tindakan susulan akan menjadikan anak-anak lebih mengerti menghargai apa yang mereka ada dan bukan memboroskannya. Menghargai itu penting kerana di situ ada keupayaan membuat penilaian antara baik, hak dan kewajaran. Binalah generasi ke arah itu.

    ReplyDelete
  3. Aslmkm tuan. Adakah sebelum menjadi novelis, Zaharah Nawawi pernah bekerka dengan Syarikat Feri Batu Pahat? Kerana ada bacaan lain yg merujuk Lagu Empat Dara itu merujuk kpd Syarikat Feri Muar kerana ia diiringi oleh Orkes Gambus Penambang Muar

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waktu sekolah menengah dahulu saya biasa menyeberang sungai menaiki feri atau sampan. Seingat saya Zahrah Nawawi memang bekerja di Syarikat Feri Batu Pahat. Antara yang dimaksudkan dalam lagu Empat Dara nyanian allahyarhamah Syarifah Radhiah.

      Delete