Memanjat usia tua bukanlah menakutkan. Semua orang melaluinya. Orang dahulu, orang sekarang, orang akan datang dan siapa sahaja yang bernama orang. Bagaimanapun ramai orang yang takut berwajah tua sebelum berusia tua. Mereka yang handsome dan cute, akan berkedut hanya dalam masa 20 tahun. Lalu apa lagi yang dapat dibangga dan dipertahankan? Barangkali inner shine dan inner strength menjadi kusyen untuk mengampu proses penuaan.
Saya selalu terkedu apabila pelajar lama atau kawan lama terkejut dengan kemudaan saya. Bila saya katakan umur saya 64 tahun mereka akan lebih terkejut. Orang yang pertama kali mengetahui umur saya ramai yang terpempan antara percaya dengan tidak. Jika saya dan isteri saya berjalan beriringan, ramai yang meyangka anak-anak kami masih kecil-kecil belaka.
Sukar untuk berkongsi pengalaman. Ramai yang meminta nasihat atau bertanyakan rahsia menjaga kemudaan. Saya selalu berseloroh bahawa petua yang saya amalkan ialah bila lapar makan, bila mengantuk tidur. Bila mandi tetap basah, bila makan tetap kenyang, bila tidur tetap lena.
Saya amat sedar memang saya sudah tua. Tetapi saya masih boleh kembali menyatakan bahawa umur saya belum mencapai 50 tahun. Ya, seorang pelajar saya yang saya ajar pada tahun 1979 di Politeknik Ungku Omar, Ipoh sudah menjadi Timbalan Pengarah 2. Ia sudah berumur 52 tahun. Saya rasa saya masih boleh menandingi kemudaannya.
Bila saya bertemu kawan-kawan lama di Ipoh rata-rata mengatakan bahawa time stood still bila melihat wajah saya. Tidak tua-tua. Apabila saya memulakan kelas buat kali pertama bagi pelajar baru di UTHM saya katakan kepada pelajar mengenai umur saya yang sebenar. Mereka hanya pandang memandang antara satu sama lain. Antara percaya dengan tidak. Maka saya lanjutkan bahawa anak saya sembilan, cucu saya 11 orang hampir 12, cucu sulong saya tingkatan 2. Anak sulong saya 39 tahun. Anak bongsu baru lepas SPM. 2 orang cucu tingkatan 2, 2 orang lagi tingkatan 1. Yang lain sekolah rendah dan tadika.
Penolong Kanan SMK Mergong Alor Setar kerkedu bila saya katakan umur saya 64 tahun. Di SMV Jalan Stadium, berita merebak akan umur saya. Ada yang bertanya secara berbisik akan umur saya. Mereka ingin kepastian yang sebenar. Saya tidak ada rahsia. Saya angkat tangan. Saya memang tidak ada rahsia. Cuma bila saya susur kembali mungkin ada faktor penyumbang tentang kemudaan saya.
Saya tidak ada pantang makan. Gula dan kolestrol sahaja yang saya jaga. Minyak untuk goreng mengoreng saya gunakan minyak matahari atau canola atau jagung. Untuk memasak saya gunakan minyak zaiton. Air minuman hanya yang bertapis saya minum. Saya gunakan yang ada aura pula. Makanan di rumah lebih banyak yang masak air atau sup sahaja. Sesekali makan juga yang berlemak. Tidak pula bercerai putus. Tetapi tidak begitu kerap. Yang susahnya bila saya bertugas di luar. Payah sungguh hendak menjaga makanan. Apa nak buat. Banyak berdoa.
Saya jarang tidur awal. Bila tidur awal, melalut pula lenanya. Tidak puas-puas. Bila tidur pukul 2.00 atau 3.00 pagi, boleh pula bangun mengikut waktu. Siangnya pula tidaklah mengantuk sangat. Di rumah saya ambil peluang menyiram pokok bunga, menyapu laman, membersihkan pokok, meracun rumput, mencabut rumput, mevakum rumah dan sebagainya. Kenalah keluarkan peluh. Exercise. Badanpun rasa segar.
Jangan lupa. Al-Quran hendaklah selalu dibaca. Ia menyegarkan minda dan tubuh fizikal. Bila membaca al-Quran menjadi amalan, kaedah membaca pula adalah penting. Saya dapati ada dua perkara pokok. Pertama, lembut dan mainkan suara. Ia boleh mengasyikkan. Keduanya, membaca dengan lembut juga melembutkan tubuh badan. Dengan sedikit goyang seolah-olah bersenam pula. Seperti orang berzikir. Tusukkan ke dalam jiwa. Regangkan otot dan sendi.
Yang paling penting ialah menjaga hati dan perasaan. Di sinilah pentingnya EQ, SQ dan SPQ. Paling besar ialah EQ. Emotional Quotient (kecerdasan emosi) penting dijaga. Ia membina psikologi. Boleh mengawal perasaan, mestabilkan minda, tenang dan terkawal. Social Quotient (kecerdasan sosial) mengawal perwatakan, boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Boleh menjaga hati orang dan hati sendiri. Senang mendekati dan senang didekati. Tidak pula menyakitkan hati orang. Ramai kawan walaupun tidak terlalu rapat. Akhirnya Spiritual Quotient (Kecerdasan rohani) bermakna mengisi dalaman kita dengan ilmu agama dan hal-hal yang menyejukkan hati. Penting mendamaikan hati. Akan terserlah pada wajah.
Satu hal lagi, dalam hidup ini semua orang menghadapi masalah. Ada masalah kecil ada masalah besar. Semakin tinggi pendidikan kita, sepatutnya semakin matang cara kita berfikir, cara kita menyelesaikan masalah dan cara kita membuat keputusan. Bila ada masalah, ketepikan emosi. Sentiasa rasional dan profesional. Sebab itu kita hendaklah selalu bertenang dalam apa keadaan sekalipun. Just keep cool. Menunjukkan emosi akan hanya memburukkan keadaan. Dan ia akan menjatuhkan maruah kita sendiri. Orang yang cool boleh pergi jauh dalam meniti liku-liku hidup. Ia akan memberi kesan kepada kekasih atau pasangan, rakan sejawat, senior kita dan subordinate kita. Akhirnya orang yang emosi akan hanya menjadi pulau, pulau yang tidak pernah menjamah air. Jadilah tasik. Tenang. Airnya bersih. Menyejuk dan mendamaikan.
Masalah adalah masalah besar kepada kebanyakan orang. Belajarlah mengurus masalah kerana jika tidak masalah akan memberi masalah. Bila kita belajar mengurus masalah ramai orang yang akan meminta kita menyelesaikan masalah mereka. Perlahan-lahan kita meningkat menjadi lebih mahir mengurus masalah.
Selalulah senyum. Ia contagious. Ia menjadi pemangkin untuk mendamaikan orang lain di sekeliling kita. Tidak ada orang yang tidak suka orang yang senyum. Kenapa mesti keras? Kenapa mesti tegang? Kenapa mesti tension? Kenapa mesti masam? Kenapa mesti tarik muka masam? Dalam mengendalikan EQ, SQ dan SPQ kita harus boleh mempamerkan wajah bersahaja. Di dalam hati siapa tahu. Kita menangis di dalam, kita mengeluh di dalam, kita lemah di dalam, kita runtuh di dalam, kita merintih di dalam. Tidak ada siapa yang melihat di dalam. Tidak ada siapa yang mahir membaca wajah yang merintih. Barangkali cermin sahaja yang boleh membaca. Sebab cermin itu kita yang pandang. Kita pandang diri kita sendiri. Kita kenal diri kita sendiri. Yang merintih itu kita, hati kita.
Orang perempuan memang mudah menangis. Air mata menjadi teman setia mereka. Wanita mungkin kurang mengerti bahawa di sebalik keras lelaki, mereka selalu menangis. Tetapi air matanya jarang mengalir. Kadang-kadang tergenang di matapun tidak. Namun lelaki selalu menangis dalam hatinya. Merintih di dalam. Tetap rasa sayu, hiba. Di luar semuanya terkawal. Itulah sebabnya lelaki perlu ruang untuk bersendirian, untuk menangis sendirian. Bukan kerana egonya tetapi kerana menangis bagi lelaki adalah terlalu peribadi. Begitulah hakikat lelaki.
Saya biasa menangis. Sejak saya menulis blog ini saya kerap menangis. Semakin banyak yang saya tulis, semakin banyak yang saya ingat. Ingatan itu akan menerawang dan berlegar kepada zaman susah saya, zaman payah saya. Akan kembali kenangan itu kepada orang-orang yang saya kasihi, yang telah pergi, lama dahulu. Semakin tua semakin dekat rasanya akan menemui mereka. Masa, masa dan ajal sahaja yang menunggu masa. Esok, lusa, tulat, langkat. Allah sahaja yang tahu.
Dalam rasa gembira dan senyum dikatakan muda, jauh di sudut hati saya berasa takut. Walaupun luaran saya nampak muda, hakikat dalaman, tulang belulang saya adalah seorang tua yang masih ada sedikit usiagunanya lagi. Semangat saya masih kuat. Saya masih menemui tenaga muda saya. Itulah kekuatan yang saya bina dari dalam. Kemudaan dari dalam yang saya pamerkan keluar. Saya bina penampilan yang tidak pernah kurang-kurang. Stamina saya masih bertahan. Rasa muda saya mengatasi ketuaan usia. Ia menjadi aset untuk saya terus menyumbang membina bangsa saya. Rasa puas kerana masih ada manfaatnya.
Muda mesti di dalam hati. Serlahkan melalui penampilan, fikiran, idea dan tindakan. Jangan pula salah mengerti. Saya masih memiliki kekuatan untuk berbakti, menyumbang, memberi dan menabur pengalaman. Jangan menjadi tua sebelum dimamah usia. Saya masih ada sisa usiaguna sebelum tamat masanya. Masih ada kemudaan itu. Still full of bursting energy.
Banyak berfikir juga kaedah untuk mengekalkan kemudaan. Bila usia emas menjelma, banyak buat aktiviti kebajikan pula. Masuklah satu atau dua aktiviti masyarakat. Jadi AJK lebih baik. Bila bermesyuarat atau merancangkan sesuatu aktiviti, minda kita bergerak. Mudah-mudahan terelak dari mati akal, mati minda, mati emosi. Jika itu terjadi, berakhirlah kehidupan. Ajal itu pasti datang. Allah yang menentukan. Kita hiduplah sementara diberi hidup. Sekadar bernyawa tanpa sumbangan tentu tidak banyak manfaatnya. Hatta dalam sebuah hadith Rasulullah bersabda yang mafhumnya: "Jika qiamat tiba esok, tanamlah benih yang ada di tangan." Begitulah besarnya erti sumbangan kita kepada alam dan makhluknya. Jangan berhenti menyumbang. InsyaAllah bila kita pergi nanti, sumbangan itulah yang kekal abadi.
Salam Tuan Hj...
ReplyDeleteTerima kasih Tuan Hj. atas tips2 tersebut... Wah! Hakikatnya memang Tuan Hj. nampak muda... macam mak saya... hehehe... sampai ada yang kata apa yang mak saya pakai?... Mustika Ratu ke?... kelakar betul... Apa yang saya tahu, mak saya rajin benar memakai bedak sejuk dan hati mau baik selain rajin solat wajib dan sunat... tak simpan dendam, tak suka marah2 dan banyak bersabar... itulah pula petua mak saya... umur mak saya hampir mencapai 69 tahun, tahun ini... Alhamdulillah, emak saya masih panjang umur dan tiada apa2 penyakit yang serius... mudah2an Allah memanjangkan umur mak saya kerana hanya dialah saja yang ada menemani saya setiap hari... Arwah bapa saya telah lama meninggal dunia sejak saya berusia 7 tahun lagi dan saya tidak pernah menikmati kasih-sayang seorang ayah sejak pemergian Allahyarham pada usia 49 tahun... semoga roh Allahyarham di tempatkan di kalangan orang2 yang beriman dan diampunkan segala dosa2nya... Amin...
Wassalam...
Kasihilah dia dengan tanggungjawab. Jaga dia dengan tanggungjawab. Dia sangat berharga. Hidupkan dia sehidup-hidupnya. Belai dia sementara masih ada. Berbahagialah dengan selalu.
ReplyDelete