Saturday, November 4, 2023

Seorang Wanita Yang Bernama Wanita

Seorang Wanita sinonim sebagai teman akrab seorang lelaki yang bernama suami. Begitu Hawa dan Adam. Muhammad dan Khadijah. Laila dan Majnun. Shah Jahan dan Mumtaz. Romeo dan Juliet. Mungkin ramai lagi. Pasangan-pasangan ini segar dalam edaran masa yang berlegar lestari memanifestasikan cinta mereka berdua. Terasa abadi melingkari wibawa diri seperti tidak dimamah zaman. Beruntung wanita-wanita yang sejarahnya panjang berlegar zaman. Melingkari kisah cinta abadi. Ceritera cinta pasangan berzaman itu hanya secebis kisah cinta yang terakam dan abadi. Banyak lagi ceritera cinta dan kasih sayang yang tidak terungkap. Yang tidak terakam. Yang tidak ada sejarahnya. Namun kisah setiap wanita melalui liku-liku yang berbeza mengikut tempat, masa dan persekitaran pelakunya. Ia bukan cerita kampung. Bukan cerita bandar. Ia cerita zaman berzaman yang menukilkan kisah-kisah berharga antara wanita dan lelaki. Sangat beruntung wanita yang menemui kekasih hati dunia dan akhirat. Lestari dalam cinta abadi. Layar kebahagian mereka sentiasa berkembang melayari pautan madu. Angin sentiasa sepoi-sepoi bahasa menghembus enak menyeberangi lautan dan segara. Tiada ombak menggunung. Tiada lautan bergelora. Yang ada hanya alun yang beralun. Didengar indah menghempas pantai pasir yang memutih bersih. Wanita Selamanya Wanita Rezeki, jodoh dan ajal ketentetuan Allah. Manusia dan semua makhluk yang lain menerima takdir dan tadbir Allah. Ada wanita yang ditakdirkan Allah hidupnya penuh badai. Halilintar menggema setiap masa. Hujan ribut kerap melanda dirinya. Panas dan hujan seperti tiada berganti. Amukan persekitarannya sentiasa menggelora. Api panas yang tiada redanya. Apakah ia tidak pernah bercinta? Sangat langka seorang wanita tidak melalui detik dan saat bercinta. Yang pernah dilalui itu mungkin sahaja ada petandanya (preview) apa yang bakal dilaluinya. Kiranya sudah terlanjur, petanda-petanda badai mendatang itu diabaikan. Percaya kepada ketentuan Allah. Bahawa setiap yang datang itu pasti ada hikmahnya. Itulah lumrahnya harapan seorang yang pasrah. Yang melalui masa yang agak lama untuk derita dan dideritai, kecewa yang mengecewakan, nista dan cerca, herdik dan tempik, lekeh dilekeh, harga dirinya diinjak-injak, jiwanya menjadi kosong bersama aliran masa. Seorang wanita malang yang tiada lindungan suami yang ingin disayang. Kehidupan yang malang, walang dan merudum harapan. Siapa wanita yang tidak mengharap kasih, ditimang sayang, dicintai dan digauli seikhlas hari. Setulus mesra. Dilambung harapan meninggi langit. Dihampar kebahagian. Dilindungi buah hati pengarang jantung. Menjadi intan payung. Dibelai penuh manja. Didakap ke dada cinta. Dicium haruman mesra. Dibelai dan dibelai dan dibelai. Diusap dengan penuh kasih sayang. Bersama sayang memanjang yang tiada tepi. Bersama kasih yang penuh putih bersih. Bersama cinta yang meluas tiada tepinya. Namun Allah menentukan bahawa kadang-kadang kebahagiaan itu elusif bentuknya. Ujian dan cobaannya banyak bersilih ganti. Selepas satu datang satu lagi. Selain dirinya, ujian melingkari ibu dan ayahnya. Malah mungkin keluarganya yang lain. Apakah itu menjadi kegagalan? Mungkin bagi seorang wanita tetapi tidak pada seorang wanita yang lain. Cabaran-cabaran yang mendatnag sebenarnya menjadi sumber kekuatan dalaman dan kekuatan psikologi. Malah menjadikan fizikalnya kuat. Ada waktunya rayu merayu dihidangkan. Tiada sambutan dan tiada perubahan. Jalan berpisah selalu ada. Tapi itulah wanita. Fikirnya jauh menjangkau. Ibu dan bapa yang sudah redho. Anak-anak yang panjang lagi masa jangkanya. Persekitaran yang tetap penuh cabaran. Lalu pulang kepada Allah. Tiada sandaran yang lebih baik. Berserah dan pasrah semoga ada sudahnya. Andai berserah kepada Allah, kekuatan itu menjadi sesuatu yang biasa. Menjadi lali dengan ujian. Menjadikannya asam garam bagi seorang wanita. Tiada kekesalan. Tiada dendam. Tiada yang mungkin melemahkan hidup diri dan semangatnya. Malah wanita sebegitu membangun diri yang tenang, senyumnya memanjang, tawanya meriangkan dan hadirnya membahagiakan orang di sekelilingnya. Menjadi wanita waja adalah sesuatu yang luar biasa. Tetapi jika dihasratkan begitu waja itu datang dengan senangnya. Persekitaran menjana hidupnya yang lebih santai dan membahagiakan. Wanita dan Harapannya Apakah agenda membahagiakan diri sebenarnya. Perlukah acara dan agenda yang lain untuk membina kebahagian hakiki? Tentunya kembali kepada Allah. Hanya kepada Allah. Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali. Itulah sebenarnya destinasi abadi kita. Kembali kepadaNya. Badai, gelora, taufan, ujian, cobaan dan segalanya yang mendatang adalah dari Allah. Andainya segala yang mendatang itu tabah dihadapi, ada ketenangan di dasar qalbu. Ada kebahagian di dasar hati. Ada keindahan di sanubari. Pastinya tiada wanita yang serba serbinya sempurna. Dalam kepayahannya kadang-kadang hadir orang lain yang dirasa pada pandangan mata dan hati memberi cahaya harapan yang lebih baik. Namun keterikatan dirinya dengan keadaan tidak memungkinkan dirinya terlepas bebas mengikut kata hati. Sesiapa pun mungkin menginsafi malang yang dihadapi seorang wanita. Hanya Allah yang bisa membantu menjernihkan keadaan. Jika ada usaha dan tawakal in syaa Allah. Beranikah wanita mengharungi lautan gelora berbadai yang lebih jauh dan lebih luas? Pengalaman tidak menjanjikan kebahagian yang mutlak. Di sinilah kita belajar menerima. Belajar bersyukur. Belajar dari apa yang Allah sajikan sebagai ujian. Ujian-ujian yang dilalui terasa manisnya. Terasa madunya. Rencah kehidupan ini tidak pernah tidak enak sebenarnya. Jika kit amelihat cahaya di hadapan, ikutlah cahaya itu. Jika gelap gunakanlah deria yang ada. In syaa Allah terowong gelap yang dilalui akan ke penghujungnya jua. Kekadang ingin menumpang kepada yang lain. Yang mungkin ada cahaya harapan yang membahagiakan. Namun jauh di lubuk hati tidak ada kepastian. Takut juga yang datang ujian juga. Anak bujang tentu terlalu jauh muda daya fikirnya. Duda banyak pilihannya. Suami orang tidak memungkin bahagianya memanjang. Dilestarikan. Menifestasi cinta, kasih dan sayang yang lebih elusif. Mungkin juga berserah kepada takdir tanpa banyak berfikir. Serah segala-galanya kepada Allah. Persekitaran Yang Menonton Persekitaran ini ada masanya membantu. Ada masanya memberi tekanan luar jangka. Berserah kepada persekitaran tidak mengubah paradigma. Terlalu banyak oleh menambah tekanan diri. Ramai antara kita hanya menjadi penonton. Gelak bersama gelak seorang wanita. Senyum bersamanya. Tetapi kita tidak bisa menangis melihat tangisnya. Tidak bisa hiba ketika hibanya datang. Barangkali kita banyak simpati bukan empati. Ada baiknya kita menjadi penonton yang empati. Membantu meredakan keadaan. Wanita bukan keseorangan sebenarnya. Bijaksana mencari dahan bergantung. Mencari naungan di bawah pohon rendang. Banyak berbicara dengan hati sendiri. Monolog yang membahagiakan diri sendiri. Antara pilihan untuk mencari bahagia. Indahkan dengan berdialog di hadapan Allah. Persembahkan segalanya lalu memohon yang terbaik. Redho, ikhlas dan bersedia apa sahaja. Yanag datang dari Allah adalah yang terbaik untuk mu wanita kesayangan lelaki.