Saturday, August 21, 2021

Pokok Atas dan Pokok Bawah

 

Pernahkah anda urus pokok? Pokok kecil dan pokok besar? Jika anda pernah mengalaminya tentu banyak ibrah dari alam sekitar ini. Pokok kecil senang diurus. Tidak tinggi dan tidak semak. Apatah pula jika tangan mudah mencapai apa sahaja yang hendak dibuat. Memotong ranting atau dahan kecil, menggembur tanah, membubuh baja, membersihkan daun kering, menukar tanah, membiak benih dan menyiram air. Pokok itu boleh diurus dengan mudah dari berbagai sudut. Tidak pula perlu sehingga memanjat tangga untuk memotong bahagian atas pokok itu. Berbeza benar dengan mengurus pokok besar. Lebih besar lebih berbeza cara mengurusnya.

 

Dari pangkal pokok kita berkira apa yang hendak dilakukan. Memotong dahan dari sisi yang berbeza. Memotong ranting panjang dan pendek ikut perkiraan minda kita yang melihat dari bawah. Kita juga melihat dedaun kering dan daun yang menguning. Ada daun kering yang tersangkut di celah ranting dan dahan. Dari bawah sangat jelas apa yang tidak kena, yang tidak cantik yang perlu diurus. Namun begitu apabila kita berada di atas pokok sesuatu yang berbeza berlaku. Bukan cerita gayat. Bukan cerita banyak kerja yang hendak dibuat. Rupanya apabila berada di atas kita terpesona melihat kecantikan sekeliling. Pandangan kita meluas dan menjauh. Kita alpa dengan pesona kita. Lupa kepada matlamat asal memanjat pokok.

 

Di atas dan di bawah sangat jauh bezanya. Dari bawah kita nampak yang di atas. Apabila berada di atas kita hanya melihat yang di atas dan yang di sekeliling kita di atas sana. Kita melihat dedaun pokok yang kita panjat tetapi kita tidak dapat melihat dahan dan ranting. Tidakk dapat melihat bunga yang kuntum dan mekar. Tidak dapat melihat batang pokok. Tidak dapat melihat perdu pokok. Malah tidak dapat melihat dedaun menguning dan kering. Tidak dapat melihat daun kering yang tersangkut di celah dedaun hijau dan ranting yang berada terlindung di bawah dedaun hijau. Orang di bawah mudah menuding jari sana dan sini untuk membuang dedaun menguning, daun kering dan reranting kecil yang kering.

 

Saya jadikan pokok itu sebagai analogi bagaimana bezanya rakyat dan pemimpin. Khususnya Perdana Menteri yang di atas dan rakyat yang di bawah. Rakyat di bawah melihat segala keburukan pemimpin di atas atau Semua keburukan yang berada di sekeliling pemimpin yang teratas. Apatah lagi jika keburukan itu memang terjadi sama ada sengaja atau tidak sengaja. Secara langsung atau secara tidak langsung. Rakyat di bawah melihat kesemuanya. Pandang sahaja ke atas, pasti terlihat segala yang tidak cantik. Segala yang tidak baik. Soalnya mengapa? Begitulah sukarnya mengurus rakyat dan “mengurus” pemimpin. Pemimpin seorang sahaja. Rakyat pula terlalu ramai. Berbagai maslahnya. Terlalu banyak.

 

Rakyat di bawah melihat keburukan di atas tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.

1                     Yang di atas terlalu tinggi dan tidak tergarap tangan.

2                     Banyak halangan dan cabaran untuk mengurus yang di atas.

3                     Banyak red-tape dan protokol yang perlu dilalui.

4                     Yang di atas mungkin tidak mendengar apa yang disebut dari bawah.

5                     Yang di atas mungkin tidka faham apa yang disebut.

6                     Atau mungkin yang di atas sudah mabuk di atas kayangan.

 

Bagaimanakah hendak mengharmonikan dua ekstrim atas-bawah ini?

1                     Jika yang di atas itu pemimpin maka eloklah buat catatan awal terlebih dahulu sebelum naik ke atas. Alami perasaan sewaktu di bawah.

2                     Senaraikan perkara-perkara buruk yang perlu diperbetulkan. Yang perlu dikemaskini.

3                     Minta bantuan orang di bawah untuk menunjukkan kelemahan yang mereka lihat untuk diperbetulkan.

4                     Betulkan dari atas perlahan-lahan, setahap ke setahap.

5                     Turun ke bawah untuk betulkan ke bawah dan semakin ke bawah.

6                     Turun ke bawah sekerap mungkin untuk melihat sendiri apa yang telah diperbetulkan dan apa yang belum diperbetulkan.

7                     Naik ke atas semula untuk memperbetulkan lagi apa yang belum diperbetulkan.

8                     Betulkan apa yang belum disempurnakan.

9                     Ulang lagi turun dan naik.

10                 Pemimpin perlu selalu turun dari kayangan untuk melihat sendiri dengan pandangan realiti dan hakiki.

11                 Pemimpin tidak boleh berharap kepada pemimpin bawah dan kepada ahli di bawah. Berkomunikasi dan berinteraksi terus dengan rakyat di bawah.

12                 Jangan percaya sepenuhnya kepada laporan. Kebanyakannya di makeup. Verify dan validate kesahihannya.

13                 Turunlah ke bawah, lihat keliling, catatkan apa yang perlu diperbetulkan.

14                 Buat pembetulan, penambahbaikan, perancangan yang lebih lestari.

15                 Tinggalkan legasi kepimpinan yang berdaya saing, berdaya maju, cerdas agama, cerdas teknologi, cerdas sosial dan cerdas dalam segala hal.

16                 Tinggalkan negara ini untuk generasi kemudian dalam keadaan sejahtera.

 

Tepuk dada tanya apakah yang sewajarnya pemimpin lakukan untuk memenuhi aspirasi rakyat. Yang Allah redhai dan Rahmati. Rakyat pula tepuk dada untuk menyumbang kepada memudahkan pemimpin. 2 x 5 bukan 10. Biarlah jadi 20 atau 1001. In syaa Allah jika ada political will yang benar-benar ikhlas.

Thursday, August 19, 2021

Menanti Seorang PM

 Beberapa hari ini kita tidak mempunyai kerajaan dan tidak mempunyai kabinet yang menentukan dasar-dasar negara, menentukan bajet tahunan dan hubungan antarabangsa. Secara realitinya, pentadbiran kerajaan tetap kekal beroperasi. Rakyat tetap menjalani kehidupan seperti biasa mengikut keadaannya dan mengikut ketentuan Allah. Kita masih setia menunggu bakal PM baru yang diharap galas di bahunya menyelesaikan berbagai kemelut semasa dalam negara. Masalah kesihatan, masalah ekonomi, masalah pelaburan antarabangsa, masalah kewangan, masalah good governance, masalah sosial dan berbagai masalah lain. Semoga Allah menghadirkan seseorang yang membawa kita ke arah kebahagiaan , kesejahteraan dan ketenangan.

1 PM yang memandang ke hadapan. Pandang ke belakang untuk membetulkan arah. Ambil pengajaran sejarah lama. Bergerak ke hadapan untuk mencipta sejarah. Untuk meninggalkan legasi.
2 Tidak bermain dengan blame game. Jangan sekali-kali menyebut kesilapan orang terdahulu yang telah berlaku kepada rakyat. Yang kami nanti ialah apakah yang baik yang akan dilakukannya pada masa hadapan. PM hendaklah mendengar nasihat, mendengar cadangan dan mendengar kritikan.
3 Walk the talk. Kurangkan bercakap tetapi banyak bekerja. Cakap pula hendaklah serupa bikin.
4 Berdamai dengan lawan politiknya. Kurangkan berpolitik. Selalu berbaik sangka. Tawarkan jawatan tertentu kepada lawan untuk sama-sama Membina masa hadapan.negara.
5. Jawatan PM hanya sementara. Cukup masa gugur atau mengundur diri. Buat yang
terbaik
sementara jawatan disandang.
6. Engage mereka yang pakar untuk membantu memulihkan kerosakan negara, untuk melonjakkan kemajuan negara.
7. Negara tercinta ini sudah mula ketinggalan dari kejayaan berbanding rakan negera-negara ASEAN. Kalah dengan Singapura, Vietnam, Thailand dan Indonesia. Terlalu banyak yang perlu dilakukan untuk memulihkan imej negara dari berbagai aspek.
8. PM hendaklah turun ke lembah dan ke lurah. Jangan kekal di kayangan sahaja. Jangan bercakap dari jauh. Parlimen terlalu tinggi dan terlalu jauh kepada rakyat marhaen. Temui khalayak, bercakap sendiri secara berdepan. Bantu rakyat setelah melihat sendiri, sahih faktanya.
9. PM perlu asingkan sesungguhnya Legislatif, Eksekutif dan Judisiari. Biar kesemuanya berperanan dan diliihat adil dan saksama.
10. Revamp dan rejuvenate sistem pendidikan kita. Kelihatan benar anak-anak kita jauh ketinggalalan dari banyak aspek pendidikan berbanding dengan anak-anak di negara lain yang jauh melonjak ke hadapan.
11. Cari dan latihlah tokoh-tokoh muda yang bakal menerajui negara. Jangan taksub dengan parti sendiri sahaja. Bakal-bakal pemimpin masa hadapan itu perlu datang dari bawah tanpa mengira politik anutan mereka. Buang sifat politik ketam. Tiada siapa yang akan berjaya. Jangan bunuh Hang Nadim yang ada pada anak-anak muda kita.
12. Benarlah pertukaran PM dan kerajaan itu proses demokrasi, keluhuran perlembagaan tetapi jangan kompromikan kesejahteraan rakyat, kepentingan rakyat dan hak rakyat.
13. Letakkan balik di tempatnya yang wajar bahawa rakyat adalah sumber kekuatn dan bukan sumber kekuasaan semata-mata.
14. Pacu negara ini ke hadapan. Belajar dari negara yang berjaya mencipta teknologi, menyelesaikan hutang lalu berupaya memberi hutang, mereformasi ekonomi, pendidikan dan sosial.
15. PM perlukan orang yang berjiwa besar, berwawasan jauh melangkaui zaman, berani membawa rakyat berlari membina lonjakan kejayaan demi kejayaan.
16. PM perlukan jaguh kampung sebagai asas membina kekuatan tetapi perlu menjadi jaguh antarabangsa. Gelanggang besar itu bukan untuk calang-calang orang. Ia mesti memiliki aura untuk membawa negara ini di pentas dunia yang penuh cabaran dan volatile bentuknya.
17. PM perlukan orang yang boleh membuka kepompong kekampungan rakyat supaya menjadi masyarakat madani yang menjuarai dunia.
18. Ramai rakyat kita yang bijak dan berbakat untuk menjadi figura dunia. Ketengahkan lebih ramai lagi. Jangan terus lemah dan layu. Bina ketahanan rakyat yang banyak menyumbang dan bukan banyak meminta.
19. Bina kekuatan dalaman rakyat khususnya orang Melayu agar mereka disegerakkan memacu diri ke hadapan, membina rangkaian-rangkaian strategik membina bangsa.
20. Paling penting, jangan abaikan peranan agama. Dekatlah dengan Allah kerana segala-galanya di bawahNya Yang Maha Kuasa. Kita semua bergantung kepadaNya. Perlukan rahmat dan redhoNya.
Selamat datang PM baru. Siapapun dia Allah yang tentukan. Saya harap pandanglah selalu rakyat di bawah yang melata dan jangan lama sangat memandang diri anda sendiri dan rakan-rakan anda. Mudah-mudahan kami mendapat tokoh bayangan Umar Abdul Aziz. Aamiin.

Monday, August 2, 2021

Merentas Alaf Membelah Kurun

 

10 hari selepas tarikh lahir yang ke-25, penulis menerima nikahnya isteri kesayangan Maznah binti Abas. Gadis sekampung yang hanya beberapa buah rumah jaraknya.  10 hari lalu genap usia penulis 75 tahun. Allah izinkan menyambut usia jubli intan. Hari ini, 2 Ogos 2021 genap pula ulang tahun ‘aku terima nakahnya’ yang ke-50. Jubli emas. Penulis tidak mendapat pingat emas di Olimpik 2020 di Tokyo sekarang. Cukuplah emas dalam usia perkahwinan. Hajat hati ingin bersana anak-anak, menantu dan cucu. Pandemik Covid 19 sekarang tidak menizinkan hajat itu. Cukuplah makan berdua di rumah sambil merakam detik-detik sejarah dalam perkahwinan ini. Detik penuh makna selama-lamanya.

 

50 tahun yang sangat lama. Merentasi dua alaf. 50 tahun yang dikira setengah kurun. 29 orang cucu, besar dan kecil. Menanti seorang lagi cucu yang akan menggenapkan angka cucu ke-30. Tentulah banyak istimewanya angka 50. Anak sulong sudah berusia 49 tahun. Setahun lagi setengah kurun usianya. Dari kampung di pedalaman yang hanya boleh diakses dengan motorboat dan basikal, Allah izinkan penulis mengembara melihat kebesaranNya di luar negara. Alhamdulillah telah dijejak USA, Canada, Britain, bumi Jerman, Palestin, Jordan, Arab Saudi, Oman, Kuwait, Bahrain, Jepun, Hong Kong, Taiwan, Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Emeiriah Arab Bersatu dan Mesir. Kesemua itu melengkapkan kitara 50 tahun ualang tahun kami. Benar-benar emas yang berkilauan.

 

Dengan izin Alah penulis telah berada di Laut Mati yang kedudukannya 400 meter di bawah aras laut. Telah juga mendaki Bukit Tursina untuk menjejak laluan Nabi Musa a.s. ketika menerima kitab Taurahnya. Berada di Palestin khususnya Masjid al-Aqsa sangat mengujakan. Di situlah diramalkan akan berlakunya perang besar akhir zaman (malhamah kubro). Menjejak realiti Bait al-Maqdis tentunya mengharukan. Itu belum tinggalan sejarah di ‘Ijlun, Irbid, Karak dan Amman yang merentas zaman. Belum lagi Petra, sebuah kota di celah gunung yang luarbiasa sebinanya. Sebuah negara di celah gunung yang gah berzaman.

 

Tinggal di Mesir selama hampir dua tahun, memahat indahnya agama Islam menyebar ke serata dunia. Bandaraya Kaherah sahaja sudah terlalu besar untuk dijelajah. Sempat ke Universiti al-Azhar. Anak lelaki kedua (anak ke-8) menikah di Masjid al-Azhar. Perjalanan ke Iskandariah nostalgik. Cerita tentang Laut Mediterranean telah lama dibaca sejak kecil lagi. Selalu disebut sebagai Laut Tengah. Juga disebut Laut Qalzum. Di sekolah menengah baru mengenal namanya yang sebenar dalam Bahasa Inggeris. Lintasan ke Siswa di sempadan Libya menjejak kisah silam Cleopetra, wanita Greek yang digilai Julius Ceasar dan Mark Antony.

 

Begitulah perjalanan ke timur Iskandariah. Perjalanan yang menemukan pertanian jberbagai iklim. Beras dari iklim tropika, gandum dari iklimk sederhana, kurma dari iklim padang pasir. Menjenak Dumyat yang banyak kerangnya. Besar-besar saiznya seperti sekepal tangan manusia. Orang Malaysia sahaja yang memakannya. Orang Mesir tidak menjamahnya kerana mazhab mereka tidak mengizinkan. Sempat juga berada di Muara  Pelabuhan Suez. Menyeberang ke Pelabuhan Fuad. Kedudukannya di seberang muara Terusan Suez. Sempat juga ke Fayoum. Kincir ciptaan Nabi Yusuf a.s. masih utuh dipelihara. Fayoum adalah pusat pertanian. Di situlah terdapat anggur, delima, mangga, bawang, kentang, oren, kantelop, dan segala bagai tanaman yang lain sama ada buah-buahan atau sayur-sayuran.

 

Berada di negara Arab sebenarnya mencipta kelainan yang tersendiri. Ia mengharmonikan kefahaman tentang agama yang berlatarkan negara Arab, Bahasa Arab, budaya Arab dan kaitannya dengan apa sahaja yang dikaitkan dengan Arab. Berada di Arab Saudi untuk menunaikan umrah dan haji adalah kemuncak erti kehidupan yang hakiki. Menyempurnakan rukun Islam yang ke-5 itu menyedarkan bahawa di dalamnya terhimpun rukun Islam yang lain. Di situlah syahadah, solat, zakat dan puasa. Kerana itu sesiapa yang pernah ke sana pasti rindu lagi dan rindu lagi. Tetap rindu walaupun beberapa kali ke sana.

 

Berada bersama anak-anak di Pittsburgh, USA  melengkpkan kembara keluarga. Merasa ertinya summer, fall, winter dan spring. Ianya pergantian musim dari sejuk ke panas dan sebaliknya. Ramai rakan-rakan dari negara yang tidak mengetahui Malaysia, berasa hairan kerana di negara kita tiada winter dan musim-musim yang lain. Alhamdulillah kerana kita mempelajari Geografi maka kita mengetahui negara mana yang ada summer dan winter. Mereka di Kargystan,Uzbekistan dan Kazaktan  umpamanya memang tidak mengetahui di mana Malaysia. Mereka menganggap semua negara sama sahaja iklimnya. Ada summer dan ada winter.

 

50 tahun yang penuh kembara. Kembara fizikal, kembara emosi dan kembara psikologi. Bahtera ini kami layari bersama untuk bersemadi di pantai bahagia. Allah mengurniakan kami segala yang indah. Ombak dan alun adalah biasa. Itulah mainan laut dan bahtera. Andainya kapal itu cukup besar dan kuat dan laluannya selalu terarah maka pelabuhan destinasi itu akan Allah izinkan untuk dilabuhi. Kembara rumahtangga, kembara zaman, kembara ilmu, kembara agama dan kembara menyaksikan kebesaran Allah tergabung dalam 50 tahun yang kami rentasi.

 

Alhamdulillah baki usia yang tinggal kami manfaatkan untuk keluarga, masyarakat dan agama. Tiada apa lagi yang lebih besar dari mengabdikan diri kepada Allah. Berbuat amal soleh untuk mencari redhanya. Kami kongsikan semua yang telah berlalu. Segala kebaikannya kami turunkan. Mudah-mudahan ada kebaikannya kepada yang menerimanya. KepadaMu aku berserah ya Allah.