Dalam masa tiga bulan kita berada dalam situasi
berbeza: Bebas ke PKP1 ke PKP2 ke PKPB ke PKPP ke ……Bebas? Sesungguhnya kita merancang
dan Allah juga merancang tetapi perancangan Allah adalah jauh lebih baik. Lebih
super. Kita melalui proses di atas tanpa terfikir pun bahawa hal serupa itu
akan kita lalui. Kita telah pun melaluinya dengan berbagai impak yang berbeza.
Apakah yang kita lihat melalui proses perubahan dalam kehidupan kita ini.
Kita telah berada dalam situasi bebas. Bebas
apa? Bagaimana kita menterjemah kebebasan yang Allah anugerahkan kepada
kita.
1
Bebas beramal ibadat.
2
Bebas berekonomi.
3
Bebas meakukan aktiviti bersosial.
4
Bebas membangunkan sumber manusia.
5
Bebas membangun pendidikan, sains, teknologi dan pembangunan lain.
Namun bagaimana kita melihat kebebasan melampau
yang menjerluskan kita kepada berbagai kemungkaran. Tidak boleh dihalang. Tidak
boleh disekat. Tidak boleh dikawal. Tidak boleh ditegur. Tidak boleh dinasihat.
Seolah-olahnya sesama manusia tidak dapat berbuat apa-apa. Tiada upaya menyekatnya.
Lalu Allah memperlihatkan kekuasaannya. Virus yang sangat halus mengubah
segala-galanya.
1
Tiada lagi kegilaan berhibur hingga dinihari.
2
Terhenti tempat-tempat aktiviti kupu-kupu malam.
3
Hilang lampu lup-lip-lap di pub, karaoke, disko atau kelab malam.
4
Tiada pentas terbuka bercampur-baur dan terkinja-kinja dengan konsert
gila-gila.
5
Tiada kedai makan dibuka sepanjang malam.
6
Tiada pasar terbuka, pasar malam malah tiada bazaar Ramadhan.
7
Tiada lagi peleseran tidak menentu.
8
Tiada rempit.
Zaman bebas ini seolah-olah hidup kita di dunia
sebelum menghuni alam barzah. Bebas seolah-olah tidak akan mati. Seperti dunia
ini tiada sudahnya. Seolah-olah kita akan menongkat langit dan dunia. Kita
hilang kebebasan yang disalah tafsir. Hingga tersalah amal dan memberi akibat
negatif.
Maka datanglah PKP. Bila datang PKP ramai yang mindanya
terperangkap. Fizikalnya bebas tetapi mindanya terkurung dalam set yang
tertutup. PKP pertama amat mengesankan.
1
Tidak tahu hendak buat apa.
2
Hilang keupayaan untuk berfikir.
3
Hilang keupayaan memanfaatkan waktu.
4
Hilang keupayaan memanfaatkan fasiliti yang sedia ada dalam rumah.
5
Bosan menyerang. Bingung. Berputus asa.
Sebagaian besar warga banyak aktivitinya.
Kembali kepada fitrah. Al-Quran dirujuk. Keluarga ditaut. Masa kualiti dibina
bersama. Inilah masa bermain dengan cucu dan anak kecil. Gurau senda yang selama ini tiada kerana kesibukan mengharung
dunia. PKP bukan kurungan kepada mereka. Bukan halangan untuk melepaskan
kebebasan berfikir, kebebasan bermunajat, kebebasan untuk mendekati Allah. PKP
kepada mereka jalan indah untuk dilalui secara aman tanpa hiruk pikuk dunia
pekerjaan, dunia kerjaya, dunia mencari makan. Berada di rumah bersama keluarga
tentunya menemui semula diri yang hilang. Jatidiri yang tinggal bebayang.
Hargadiri yang kembali bernilai. Tergambar indah peranan ketua keluarga sebagai
imam, sebagai general, sebagai pelindung keluarga. Peranan ibu yang lembut
mengasuh. Yang indah mengibukan anak-anak. Anak-anak yang menemui semula ayah
dan ibu mereka di rumah. Jika selalunya mereka melihat ayah dan ibu hanya
bayang-bayang malam, PKP memperlihat ayah dan ibu mereka secara realiti dan
hakiki.
Penulis melihat PKP pertama sebagai alam sakit.
Mungkin bukan ketika sakaratulmaut sudah tiba. Tidak tahu hendak buat apa. Masa
sudah suntuk. Apa lagi yang boleh dibuat. Itulah kebingungan yang melampau.
Seolah-olah menanti nyawa berpisah dari badan. Alhamdulillah, PKP kedua membuka
suatu ruang baru. Penyakit fizikal dirasa kebah. Penyakit spiritual memulih
minda. Ramai yang menemui diri mereka yang hilang. Sudah mula melihat
jalan-jalan yang berbagai untuk mengisi masa. Menjalani kehidupan seperti biasa
tanpa kebebasan yang luar bebas. Bayangkan ada zon hijau yang umatnya baik-baik
belaka. Ada zon kuning yang umatnya bimbang dengan berbagai gejala. Bimbang
akan terkurung lebih lama. Sukar untuk pulih. Akan melalui trauma memanjang.
Umpama kita dalam sakit tetapi antara semakin berat atau semakin kebah.
PKPB dilihat ada sedikit kelonggaran melintasi
kawasan yang lebih luas. Apakah ini gambaran di alam barzah? Kita melintasi
alam dunia untuk masuk ke alam barzah. Kita melintasi time zone yang berbeza.
Alam yang berbeza. Satu di atas dan satu lagi di bawah. Dekat tetapi terpisah
sangat jauh. Ia daerah lain yang Allah tentukan. Yang di atas tidak boleh
tinggal di bawah. Yang di bawah tidak boleh kembali ke atas. Yang di atas tidak
akan kekal di atas. Sampai masanya akan ke bawah juga. Tetapi yang di bawah
kekal menanti alam yang satu lagi. Alam yang kekal selama-lamanya. Bergantung
kepada amalnya. Ada yang kuburnya luas dan ada yang sempit. Allah yang
tentukan.
Kita sampai ke PKPP. Allah memberi kita ruang
untuk sampai ke satu tahap yang ada harapan. Mereka yang banyak amalnya Allah
perlihatkan masa hadapannya. Nasibnya di akhirat. Itulah gambaran pemulihan.
Kita bergerak ke arah pemulihan yang benar-benar bebas. Tiada penyakit. Tiada
bahaya. Tiada apa-apa gejala yang menakutkan. Kita ingin berada pada situasi
yang serba nikmat. Nikmat dan hanya nikmat semata-mata. PKPP adalah jalan yang
perlu kita turuti ke arah kebebasan hakiki. Melintasi negeri bak melintasi alam akhirat. Melintasi
titian sirat. Akan ada SOP norma baru.
Ya Allah, ampuni kami ya Allah. Terlalu banyak
salah da n silap kami. Hanya Engkau yang dapat memberi kemaafan. Maafkanlah
kami. Kami alpa untuk menjalankan perintahmu. Kami hilang umapa untuk
menegakkan kebenaran. Untuk mencegah kemungkaran. Ampuni kami ya Allah. Amin ya
Robbal ‘alamin.